CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 12 Disember 2009

model karangan cikgu azman mahat 5

Karangan Muzik Penting Dalam Generasi Muda?
Karangan 21

Rancangan muzikal di media massa sering dikatakan tidak membawa makna. Namun, rancangan sebegitulah yang mendapat sambutan masyarakat.

Huraikan kebaikan-kebaikan yang tercetus daripada muzik di negara ini.

Muzik dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana muzik pada masyarakat menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan tenaga mereka terutama dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini. Keadaan ini menyebabkan rancangan muzikal telah mendapat sambutan hangat masyarakat terutama remaja. Sesungguhnya, muzik mempunyai pelbagai natijah yang mampu mengubah kehidupan sesebuah negara itu.

Sekali pandang pandang muzik memang membawa kebaikan. Muzik mampu memberi ketenangan jiwa kepada seseorang kerana apabila mendengar muzik, jiwa seseorang akan tenteram terutama mendengar muzik kegemarannya. Irama muzik yang mendayu-dayu menyebabkan jiwa seseorang yang suka memberontak akan kembali menjadi tenang dan gembira. Sesungguhnya, muzik membawa ketenangan jiwa yang meningkatkan lagi kekuatan minda dan fizikal seseorang itu.

Malah, muzik mampu memberi imej baru atau memperkaya muzik tradisional sesebuah negara itu. Keadaan ini mampu diwujudkan kerana muzik tradisional dianggap tidak bersesuaian dengan keperluan alaf globalisasi yang mengutamakan muzik rancak sahaja. Rancangan muzik yang disiarkan oleh media tempatan mampu mengorak langkah untuk menyebarkan pengaruh muzik tradisional terutama dalam kalangan remaja. Jadi, muzik memang mampu meninggikan imej muzik tradisional kita.

Bukan sahaja imej muzik tradisional mampu ditingkatkan tetapi imej negara pada mata masyarakat antarabangsa turut meningkat. Muzik sering dikaitkan dengan tahap kemodenan sesebuah masyarakat dan neagra itu mengikut piawaian antarabangsa. Semakin tinggi minat masyarakatnya terhadap muzik semakin modenlah sesebuah negara itu.

Selain itu, muzik turut mampu memberikan satu kerjaya yang baik terutama kepada remaja. Keadaan ini berlaku kerana bidang muzik di negara ini masih belum diteroka dengan seluasnya. Permintaan sebagai ahli muzik masih tinggi dan persaingannya tidak begitu sengit berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Dalam masa yang sama negara mula menganggap keperluan muzik menjadi penting dengan pelbagai konsert muzik diadakan setiap tahun di negara ini.

Kesimpulannya, muzik bukanlah sesuatu yang hanya membawa kebaikan tetapi juga impak negatif yang tersendiri. Setiap individu haruslah menilai dan melihat muzik itu daripada keperluan peribadi mereka untuk memastikan bidang muzik ini membawa impak positif. Peribahasa melayu ‘tepuk dada, tanya selera’ membuktikan bahawa buatlah sesuatu mengikuti keperluan dan kehendak seseorang terutama yang memberi kebaikan sejati.
Karangan 22

Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja semakin menipis. Keadaan ini sering dikaitkan dengan perubahan kehidupan masyarakat kita.

Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk dan kepentingan memiliki semangat ini kepada remaja.

Semangat kebangsaan merujuk sikap cinta akan negara atau nasionalisme yang mendalam terhadap negara yang tercinta. Sememangnya semangat nasionalisme ini semakin berkurangan terutama dalam kalangan generasi muda kita lantaran corak kehidupan yang semakin berubah selari dengan perubahan zaman. Maka, banyak tindakan yang mampu dilaksanakan untuk memastikan sikap ini terus wujud kerana sikap ini memiliki kesan yang positif.

Tindakan yang pertama ialah subjek sejarah yang diajar di sekolah dilaksanakan secara meluas. Pelajaran sejarah penting ditekankan kerana subjek ini mampu memberi rasa cinta yang meluas dalam diri remaja. Pemahaman tentang sejarah ini menyedarkan remaja mengenai kepentingan memiliki sikap menyintai negara yang mendalam. Jadi, langkah menjadikan subjek sejarah ini mampu menyuntik sikap nasionalisme dalam diri masyarakat terutamanya remaja.

Selain itu, kerajaan boleh menonjolkan pejuang-pejuang negara yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara ketika hari Kebangsaan. Penonjolan ini boleh dilakukan melalui penggunaan media massa dengan menyiarkan maklumat diri pejuang-pejuang tersebut beserta kepentingan tindakan mereka dalam menentukan hala tuju kemerdekaan negara pada masa lampau. Langkah ini mampu meningkatkan pemahaman remaja tentang sebab musabab yang membawa kepada pejuang negara itu melakukan sesuatu tindakan yang dipelajari dalam subjek sejarah. Ringkasnya, langkah mempamerkan informasi tentang pejuang-pejuang negara ini mampu meningkatkan semangat remaja untuk meniru semangat yang telah dipamerkan oleh pejuang-pejuang bangsa itu sebelum ini.

Malah, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan boleh menjalankan satu pertandingan yang melibatkan remaja seperti deklamasi sajak, menulis esei, dan pementasan drama yang bertemakan semangat kebangsaan. Aktiviti ini dapat memastikan remaja menyelami dan memahami peristiwa yang dialami oleh pejuang-pejuang negara secara lebih mendalam lagi. Pertandingan yang berunsur sastera ini dapat mendekatkan remaja dengan pejuang-pejuang negara yang sudah lama meninggalkan negara ini. Maka, aktiviti berunsur pertandingan sastera ini memberi satu dimensi baru kepada remaja untuk mencintai negara mereka.

Kerajaan boleh menonjolkan kejayaan negara dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Kejayaan ini mungkin diperoleh melalui kejayaan melangsungkan kejohanan sukan, memenangi sesuatu anugerah, dan pencapaian luar biasa rakyat kita dalam sesuatu perkara. Kejayaan rakyat kita mendaki Gunung Everest dan penghasilan kereta nasional mampu meningkatkan sikap cinta akan negara ini selain kemampuan negara dalam menganjurkan Sukan Komanwel suatu masa dahulu. Perkara ini penting ditekankan supaya remaja mempunyai sesuatu perkara yang boleh mereka banggakan dan kaitkan dengan negara apabila berbicara tentang negara sendiri. Sesungguhnya, semua kejayaan negara memberikan satu motivasi yang tinggi kepada remaja untuk turut mencapai kejayaan yang serupa atau menghasilkan kejayaan yang lebih baik lagi.

Kesimpulannya, pemupukan semangat kebangsaan memang menjadi perkara penting dalam pembangunan negara sejak dahulu. Pemupukan ini penting supaya remaja tidak lupa akan perjuangan yang sudah dilakukan oleh generasi terdahulu dan membiarkan pengorbanan mereka menjadi sia-sia belaka. Mungkin remaja sekarang harus merenung dan bertanya kepada diri sendiri, “apa yang mampu mereka sumbangkan kepada negara” dan bukannya “apa yang mampu diberikan oleh negara kepada mereka”.

Karangan 23

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar.

Huraikan punca-punca tercetus.


Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia


Karangan 24
Masalah disiplin pelajar semakin meruncing. Masyarakat semakin kecewa dengan kegagalan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar.

Jelaskan punca-punca.

Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?

Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa era globalisasi ini. Ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.

Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonoh yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.

Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggung jawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.

Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.

Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.

Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.

Karangan 25

Semangat kejiranan sudah longgar dalam masyarakat kita kalau kita lihat sejak akhi-akhir ini. Keadaan ini menimbulkan pelbagai spekulasi kepentingan semangat ini diamalkan.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk meningkatkan semangat ini.

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan