CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 12 Disember 2009

latihan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara menjayakan amalan berbudi bahasa. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Budi bahasa lazimnya merujuk kepada tutur kata, kelakuan sopan santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak mulia. Prinsip kelima Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan jelas menekankan bahawa setiap warganegara harus menjaga tatasusila masing-masing tanpa menyinggung perasaan orang lain.
Amalan yang perlu dilakukan untuk menjayakan kempen budi bahasa ialah sentiasa menuturkan perkataan-perkataan yang membawa maksud yang baik dan sopan pada pendengaran khalayak dalam pertuturan seharian. Justeru pengucapan yang kurang sopan dan menggunakan kata-kata yang kasar tidak harus digunakan. Generasi kini perlu dididik dengan nilai-nilai murni dan tatasusila bagi memelihara adat dan budaya masyarakat timur yang kaya dengan budi bahasa.
Ibu bapa bertanggungjawab dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak supaya membesar dengan akhlak yang terpuji. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang baik supaya menjadi ikutan anak-anak khususnya dan masyarakat amnya. Dalam hal ini tidak ada kaedah tertentu dalam mendidik anak-anak kerana pendidikan keibubapaan adalah bersifat tidak formal. Oleh hal yang demikian, kita sebagai ibu bapa perlulah melaksanakan tuntutan keibubapaan dengan sebaik mungkin.
Masyarakat sekeliling berperanan untuk menerapkan nilai berbudi bahasa. Sikap bertegur sapa, bertolak ansur dan mengambil tahu antara jiran merupakan satu amalan yang baik. Selain itu, sekolah sebagai institusi pendidikan formal berperanan dalam menerapkan dan mempraktikkan nilai-nilai murni dan amalan budi bahasa dalam kalangan anak-anak. Kemasukan elemen nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pemelajaran dalam institusi pendidikan merupakan salah satu kaedah yang dapat melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa.
Kesimpulannya, pihak tersebut perlu berganding bahu dan berjuang bersama-sama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi. Nilai-nilai murni sewajarnya diterapkan dalam fikiran, hati budi serta perilaku masyarakat Malaysia bagi melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang.
(Diubahsuaikan daripada Dewan Siswa, April, 2005)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan