CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 12 Disember 2009

model karangan cikgu azman mahat 2

Karangan 5
Penduduk desa telah dinasihatkan supaya membuat barangan kraf tangan untuk dijual kepada masyarakat. Namun, masih ada pihak yang mempertikaikan usaha mereka ini.
Jelaskan sebab-sebab mereka berpendapat usaha penduduk desa ini sia-sia.
Penduduk desa sudah mula memberikan perhatian terhadap penghasilan kraf tangan terutama untuk dijual. Sikap positif mereka ini telah didorong oleh tindakan kerajaan yang giat memberi galakan supaya mereka menjalankan aktiviti kraf tangan ini untuk menambah pendapatan mereka. Cuma yang menyedihkan ialah masih ada suara-suara sumbang yang menganggap tindakan penduduk desa ini tidak akan berjaya. Jadi, apakah pencetus yang menyebabkan ada segelintir pihak yang memandang rendah usaha penduduk desa ini?
Anggapan yang paling mudah ialah golongan ini memandang rendah mutu kerja penduduk desa. Pada firasat mereka, kualiti yang diperlihatkan selama ini masih di takuk lama yakni tiada perubahan drastik seperti reka bentuk dan penggunaan warna produk. Mereka menganggap aktiviti sampingan penduduk desa ini memang tidak mengutamakan kualiti. Pada mata golongan ini, kualiti barangan luar negara sahaja yang lebih baik walaupun anggapan mereka itu jauh daripada kebenarannya seperti peribahasa “jauh panggang daripada api”.
Faktor yang kedua sudah pasti aspek pemasaran kraf tangan penduduk desa itu sendiri. Pihak yang memandang rendah aktiviti ini mengutarakan ketiadaan usaha-usaha konkrit untuk memasarkan hasil kraf tangan ini terutama di pasaran antarabangsa. Ketiadaan usaha ini atau lebih tepat lagi agensi khas untuk memasarkan kraf tangan telah membantutkan pasaran kraf tangan negara. Mereka mahu kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas untuk tujuan pemasaran barangan kraf ini sahaja.
Selain itu, kekurangan pelancong asing di negara ini turut menjadi alasan golongan yang menentang usaha membuat kraf tangan ini. Jumlah pelancong asing yang kecil dan kekurangan minat dalam kalangan pelancong tempatan untuk membeli hasil kraf tangan pada mereka telah menyebabkan usaha ini tidak perlu diteruskan atau diberi galakan. Mereka berpendapat jumlah pelancong asing yang lebih ramai harus disediakan sebelum usaha kraf tangan ini diberi galakan yang menyeluruh.
Alasan yang agak mengelirukan ialah ketiadaan sokongan kerajaan dalam usaha meningkatkan industri kraf tangan negara. Golongan ini berpendapat kerajaan tidak memberi galakan yang secukupnya seperti ketiadaan pelepasan cukai keuntungan atau memberi bantuan teknikal dalam usaha menembusi pasaran luar negara. Mungkin golongan ini terlalu bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri untuk mencari jalan atau rakan niaga di luar negara dalam usaha mengembangkan pasaran kraf tangan negara.

Kesimpulannya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti KEMAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan harus memandang serius tanggapan negatif segelintir masyarakat kita ini. Agensi kerajaan itu haruslah proaktif dalam membuat perancangan untuk menangani pandangan negatif mereka ini. Mungkin agensi kerajaan ini harus menggunakan pendekatan yang baru atau unik dalam usaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa kraf tangan negara memang berpotensi untuk dikembangkan secara komersial.
Karangan 6

Negara kita telah mengutamakan perindustrian untuk mencapai era negara moden. Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar untuk meningkatkan tahap industri negara.
Terangkan kebaikan-kebaikan yang terjelma melalui langkah kerajaan ini.
Sememangnya negara kita telah memberi penekanan yang ketara terhadap aspek perindustrian terutama sejak awal tahun 80-an yakni era pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed. Penekanan ini sejajar dengan dasar kerajaan kita untuk mencapai tahap negara maju menjelang tahun 2020. Namun, perindustrian memang membawa pelbagai kebaikan kepada negara dan rakyat tanpa sebarang pertikaian lagi.
Kebaikan yang dibawa oleh perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu. Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor industri negara telah berjaya menghasilkan produk tersebut pada harga yang lebih murah. Situasi ini turut memberi kesan terhadap sumber kewangan negara kerana kurang wang diperlukan untuk membayar harga barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor lain.
Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat. Peningkatan taraf hidup ini dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat. Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal. Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.
Selain itu, penubuhan kilang menjadi antara intipati perindustrian. Kilang terpaksa dibina untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat antarabangsa. Justeru, permintaan terhadap bahan mentah negara akan meningkat. Hasil bahan mentah negara seperti bijih timah, getah, dan kayu akan meningkat selaras dengan perkembangan industri produk tersebut. Harga komoditi negara itu sudah pasti akan turut meningkat dengan mendadak yang menguntungkan rakyat negara ini.
Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam tempoh yang panjang.
Lantaran itu, semua perkara yang dinyatakan di atas telah menyebabkan imej negara turut meningkat. Masyarakat antarabangsa melihat negara kita sebagai sebuah negara yang mempunyai aktiviti ekonomi yang kukuh dan stabil. Pada mata mereka, negara kita telah berjaya menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih baik daripada negara-negara jiran atau negara di benua lain yang masih berada di tahap yang menyedihkan. Imej yang baik di persada dunia ini sudah pasti memberi kesan psikologi terhadap rakyat negara kita yang berasa bangga tinggal di Malaysia.

Kesimpulannya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat negara ini. Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat sektor ini. Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.
Karangan 7
Karangan Isu Lumba Haram

Penglibatan remaja dalam perlumbaan motosikal secara haram membimbangkan banyak pihak. anda berhasrat untuk menulis satu artikel tentang cara-cara mengatasi gejala tersebut untuk tersiar dalam sebuah akhbar tempatan.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Remaja dan lumba motosikal: Satu Penyelesaian Mutlak?
oleh: Azman bin Noor
Perlumbaan motosikal memang sering dikaitkan dengan remaja kerana aktiviti ini dikatakan mampu memberi semangat kepada remaja yang sedang mengalami satu proses kedewasaan yang kritikal. Remaja melihat lumba motosikal ini satu jalan mudah untuk menyelesaikan masalah kerana terutama masalah keluarga dan sekolah serta masa depan mereka. Kejadian demi kejadian lumba motosikal ini turut disiarkan oleh media massa menerusi pelbagai program mereka. Sememangnya, ada pelbagai tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak dalam menangani isu yang semakin menular ini.

Sebenarnya tindakan yang paling penting dalam menyelesaikan kemelut sosial ini ialah ibu bapa memainkan peranan mereka dengan lebih efektif. Dalam mendidik anak, ibu bapa harus bijak dan berupaya untuk mengawasi tingkah laku anak mereka dengan berkesan terutama anak yang sudah mencapai umur remaja. Ibu bapa perlu mengenakan satu tahap disiplin dan dalam masa yang sama menyayangi anak mereka dengan sepenuh hatinya untuk memberi satu perasaan disayangi dalam diri anak mereka. Justeru, ibu bapa menjadi benteng pertama dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang melanda remaja kita ini.

Langkah susulan ialah pihak kerajaan membuat lebih banyak sekatan jalan raya di kawasan-kawasan berisiko tinggi untu berlakunya perlumbaan motosikal ini. Tindakan pihak polis yang lebih proaktif menyebabkan remaja berfikir dua kali sebelum terlibat dalam tindakan negatif ini kerana menyedari tindakan mereka sudah dihidu oleh pihak berkuasa awal-awal lagi. Pihak polis juga perlu membuat pengumuman awal tentang hasrat mereka mengadakan sekatan jalan raya untuk memberi amaran awal kepada remaja supaya tidak melakukan tindakan bodoh dengan membuat perlumbaan motosikal di situ. Maka, tindakan pantas dan bijak pihak kerajaan terutama pihak polis menyebabkan remaja tidak berani melakukan aktiviti sumbang ini.

Selain itu, tindakan menaikkan had umur untuk memiliki lesen motosikal boleh menghalang kejadian lumba motosikal ini dengan lebih berkesan. Had umur yang lebih tinggi ini menyebabkan semua remaja yang menunggang motosikal tidak perlu diperiksa kerana sudah pasti mereka tidak memiliki lesen motosikal. Keadaan ini menyebabkan pihak polis mudah untuk memantau isu perlumbaan motosikal ini dengan lebih menyeluruh. Jelaslah, kemelut yang melanda negara ini mampu diatasi dengan berkesan jika umur yang dibenarkan untuk menunggang motosikal ini ditingkatkan.

Kempen kesedaran turut perlu dilaksanakan dalam menangani kemelut yang melanda kalangan remaja kita ini. Penjelasan mengenai impak buruk lumba haram diperincikan dalam kempen itu untuk memberi kesedaran yang jitu kepada remaja. Dalam masa yang sama kempen ini turut menjelaskan tindakan undang-undang yang boleh dihadapi oleh remaja yang didapati bersalah terbabit dalam kegiatan lumba haram. Jelaslah, kempen yang begitu mudah tetapi efektif berupaya menghalang gejala sosial ini daripada menular dalam jiwa remaja kita jika dilaksanakan dengan baik.

Kesimpulannya, semua langkah di atas harus dijalankan secara bersistematik jika mahu melihat kejayaan membasmi gejala luma haram ini. Tindakan tegas pihak berkuasa terutama polis dalam penguatkuasaan undang-undang dilihat sebagai jalan yang paling penting. Kegagalan menangani isu ini boleh menyebabkan remaja kita terjebak dalam pelbagai masalah sosial yang lain terutamana penyalahgunaan dadah dan hubungan sosial yang bebas. Tindakan kita hendaklah berterusan dan bersungguh-sungguh seperti peribahasa “menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan” jika masalah ini hendak diatasi.
Karangan 8
Karangan Aktiviti kokurikulum berperanan untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin
Aktiviti kokurikulum berperanan untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin.Berikan pendapat anda tentang perkara tersebut
Aktiviti kokurikulum merujuk aktiviti yang luar darjah yang melibatkan aktviti yang berpersatuan, lasak dan mungkin kemahiran tertentu. Kegiatan luar darjah ini berupaya untuk memberikan satu pperspektif baru kepada pelajar dalam menjalani kehidupan mereka di sekolah dan luar sekolah. Kelebihan kegiatan ini turut dipaparkan di dalam pelbagai media massa di negara ini yang membuktikan manfaat menyertainya. Jadi, pembabitan pelajar dalam kegiatan ini memang membawa pelbagai impak positif dalam kehidupan mereka.

Sebenarnya, aktiviti kokurikulum memberikan pelajar satu keyakinan diri yang hakiki menerusi pembabitan mereka dalam setiap aktiviti kokurikulum yang dijalankan itu. Keyakinan diri ini timbul kerana setiap kali berjaya melaksanakan sesuatu tugasan itu mereka akan menimba pengalaman yang memberi mereka satu jangkaan awal apabila melakukan aktiviti lain pula. Sudah pasti perasaan ini memudahkan mereka untuk menjalani kehidupan selepas sekolah yang lebih mencabar suasananya. Maka, penglibatan kokurikulum memang memberi manfaat kepada seseorang pelajar itu.

Selain itu, pelajar yang melibatkan diri dalam kokurikulum turut memiliki tahap disiplin diri yang tinggi dalam diri mereka. Pemilikan disiplin yang tinggi ini terhasil kerana semua aktiviti kokurikulum memerlukan seseorang pelajar itu mematuhi beberapa peraturan tertentu yang meliputii pakaian seragam, aktiviti, masa berlatih dan tempoh akhir untuk menyiapkan sesuatu projek itu. Semua aktiviti ini hanya boleh dilakukan jika seseorang pelajar itu mempunyai disiplin yang tinggi kerana masa untuk belajar dan beraktivti hanya boleh diseimbangkan menerusi satu disiplin yang tinggi. Oleh itu, pelajar yang melibatkan diri mereka secara aktif dalam aktiviti ini akan mempunyai satu sikap mementingkan disiplin yang tinggi.

Malah, pembabitan pelajar dalam kokurikulum menghasilkan pelajar yang berhati mulia dan baik. Rasa hormat kepada ibu bapa, guru dan rakan sebaya terhasil kerana setiap aktiviti kokurikulum menekankan aspek menghormati orang lain. Kekerapan melakukan aktivit ini secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai kesopanan yang jitu dalam diri mereka. Jelaslah, kokurikulum mampu membentuk pelajar menjadi pelajar yang memiliki ciri-ciri sopan yang tinggi.

Mungkin satu impak positif kegiatan kokurikulum yang baik ialah aktiviti ini memberikan pelajar satu sikap bersaing yang tinggi. Sikap persaingan positif ini menyebabkan pelajar tidak gentar untuk menghadapi setiap cabaran yang mendatang. Mereka seolah-olah sudah lali untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan dalam aspek alam persekolahan atau kehidupan biasa mereka. Justeru,

Konklusinya, pelajar yang melibatkan diri mereka dalam aktiviti kokurikulum akan berjaya memiliki satu personaliti yang berkualiti tinggi. Semua ciri yang diutarakan di dalam hujah ini akan membantu mereka untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan yang besar ini. Cuma pelajar yang sebegini lebih mudah untuk menyelesaikan masalah mereka itu. Slogan 'pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa” sesuai menjadi pedoman kita dalam aspek ini.

Karangan 9
Kestabilan politik tentukan sektor pelancongan kita?
Industri pelancongan akan terjejas akibat daripada ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kalangan negara di dunia.
Bincangkan penyataan di atas.
Industri pelancongan memang menjadi satu sektor ekonomi yang sering menerima perhatian pelbagai pihak. keadaan ini timbul kerana sektor ini dikatakan mudah mendatangkan keuntungan ekonomi kepada sesebuah negara itu. banyak negara telah memberikan perhatian kepada sektor ini tetapi keadaan ketidakstabilan politik telah menyebabkan sektor ini tidak berkembang. Jadi, memang ada impak yang timbul jika negara itu tidak memilliki kestabilan politik.

Impak yang ketara ialah industri pelancongan itu akan terjejas. Jumlah ppeancong yang melawat ke negara it akan berkurang setahun demi setahun sepanjang ketidakstabilan poltik itu berlaku. Kekurangan jumlah pelancong ini berkait dengan keselamatan pelancong yang tidak boleh dijamin. keeselamatannya. Pendapatan negara daripada sumber pelancongan turut merosot. Jadi, ketidakstabilan politik memang membawa impak buruk terhadap sektor pelancongan negara.

Selain itu, pelaburan dalam sektor pelancongan berkurangan. keadaan politik yang tidak stabil menyebabkan pelabur takut untuk melabur d negara itu. Pelaburan di negara-negara yang berisiko tinggi ni dianggap tidak membawa kentungan. situasi ini turut menyyebabkan pelabur tempatan kekurangan modal untuk melaksanakan sesuatu projek pelancongan pula. Lantaran itu, pelabur asing in akan memilih negara lain yang lebih stabil politiknya.
Keadaan politik yang tidak stabil turut menyebabkan pembangunan negara menjadi perlahan. Pembinaan prasarana untuk pelancong semakin berkurangan. Keadaan prasarana yang sedia ada pula semakin dibiarkan begitu sahaja. Keadaan ini menyebabkan semua aktiviiti pembangunan yang dirancang akan terganggu. Oleh itu, kestabilan politik memang penting untuk memastikan pembangunan berjalan lancar.
Malah, imej negara turut terjejas kerana ketidakstabilanpolitik ini. Ramai pelancong tidak lagi suka datang ke sini atau memberitahu kawan-kawan mereka tentang keindahan negara kerana imej yang sudah terjejas itu. Lama-kelamaan, imej yang tidak dijaga ini akan membawa lebih banyak kemusnahan imej. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.
Konklusinya, sektor pelancongan dan politik berkait rapat. Semua pihak perlu melakuan sesuatu supaya keadaan ini tidak berlarutan terutama ketika negara sedang dlanda kemeseletan ekonomi. Mungkin semua pihak harus merenung dan melihat tindakan yang boleh mereka lakukan demi memastikan sektor pelancongan negara terus berkembang.
Karangan 10
Karangan Bencana Alam....Punca-punca dan usaha-usaha mengatasinya
Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.
Nyatakan punca-punca dan usaha-usaha menangani masalah ini.
Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Sudah pasti langkah yang paling penting dilakukan ialah kerajaan mengetatkan peraturan berkaitan dengan alam sekitar dengan lebih baik. Hukuman yang berat harus dikenakan kepada pesalah-pesalah alam sekitar supaya perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain. Kerajaan harus menjalankan satu usaha pemeriksaan yang holistik tanpa mengecualikan sesiapa jua dalam pemeriksaan ini. Jika kerajaan tegas dalam hal ini, sudah pasti masalah ini mampu diselesaikan dengan mudah.

Malahan, kempen kesedaran terutama kepada generasi muda harus dilaksanakan. Kempen yang dijalankan itu haruslah sesuai dengan minat dan diri remaja kerana merekalah yang bakal menghuni negara ini serta mampu menyelesaikan masalah ini. Kempen yang dijalankan secara terancang mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang menghargai alamnya lebih baik daripada generasi terdahulu. Jelaslah, kempen yang berkesan mampu menangani isu ini dengan lebih baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan