CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 31 Mac 2010

teknik penulisan karangan

Teknik Penulisan Karangan
Perenggan Pendahuluan
Pelajar-pelajar digalakkan untuk menulis dua ayat sahaja dalam perenggan ini dan setiap ayat itu terdiri daripada lima belas patah perkataan. Ayat yang perlu ditulis ialah:
A1 = Pernyataan tentang tema karangan ( idea utama atau isu secara am sahaja )
A2 = Isu semasa tentang tema karangan
Contoh:
(A1) Kemalangan jalan raya di negara ini bukan sahaja menyebabkan kematian dan kecederaan, tetapi menyebabkan kerugian harta benda. Statistik menunjukkan jumlah kemalangan menunjukkan peningkatan ketara sejak akhir-akhir ini. (A2) Walaupun pelbagai kempen dan operasi dijalankan, tetapi kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat, terutamanya pada musim perayaan.
(43 patah perkataan)
Contoh saya
Pemandu mabuk
Kemalangan banyak berlaku disebabkan oleh sikap pemandu yang mabuk . Situasi ini sering berlaku apabila ada pemandu yang minum minuman keras lalu memandu di jalan raya . Kesan tindakan mereka menyebabkan mereka mudah hilang kawalan semasa memandu. Lebih-lebih lagi pengaruh alkohol sangat memberi kesan kepada kewarasan akal fikiran untuk bertindak balas.

Keadaan jalan raya.
Jalan raya yang sempit , licin , berlubang memudahkan kemalangan jalan raya.


Perenggan Isi
Untuk memudahkan pelajar-pelajar menulis perenggan isi, maka dicadangkan supaya perenggan tersebut ditulis dengan menggunakan tiga ayat sahaja, iaitu:

A1 = Isi utama: menjawab soalan apa? (ialah / adalah / merupakan)
A2 = Huraian tentang isi utama: menjawab soalan mengapa? (kerana / sebab)
A3 = Huraian tentang isi utama: menjawab soalan bagaimana? (dengan itu / dengan cara)

Contoh:
(A1) Salah satu punca kemalangan jalan raya berlaku di negara ini ialah sikap pengguna jalan raya yang memandu kenderaan atau menunggang motosikal melebihi had laju yang ditetapkan. (A2) Biasanya, mereka berbuat demikian kerana hendak mengejar masa dan mahu tiba ke destinasi mereka dalam masa yang singkat dan mereka menganggap “Masa Itu Emas”. (A3) Dengan itu, mereka memecut sesuka hati dan memotong kenderaan lain walaupun di tempat yang tidak selamat sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
(65 patah perkataan)




Perenggan Kesimpulan
Pelajar-pelajar dikehendaki menulis perenggan ini dengan dua ayat sahaja.
A1 = Kesimpulan atau rumusan tentang isi karangan.
A2 = Saranan atau Cadangan dan harapan penulis tentang isu yang dibincangkan.
Contoh
(A1) Memang “malang tidak berbau”, tetapi kemalangan jalan raya dapat dikurangkan jika semua orang berhati-hati ketika di jalan raya. (A2) Semua pihak perlu mengambil langkah (saranan @ cadangan) untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam kemalangan jalan raya (harapan).

(28 patah perkataan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan