CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 23 Mac 2010

latihan

Isu : globalisasi


"… Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) dan sasarannya dengan lapan matlamat terhasil daripada Deklarasi Milenium. Antaranya termasuklah memperbaik kesihatan ibu bersalin, membasmi kemiskinan dan kebuluran, mengurangkan mortaliti kanak-kanak, mencapai pendidikan rendah yang universal, menyediakan alam sekitar yang mampan, meningkatkan kesaksamaan gender dan perkongsian global. Tujuan utamanya adalah untuk memperkukuhkan keamanan dan hak asasi manusia…"

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Shahrina Ahmad Sharkawi, "Matlamat Pembangunan Milenium dan Hak Asasi Manusia", Dewan Masyarakat, Jun 2005)

(i) Apakah tujuan utama Pembangunan Milenium yang diwujudkan daripada Deklarasi Milenium.

(ii) Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan bagaimanakah kemiskinan dan kebuluran di negara miskin dapat diatasi.

Jawapan Contoh:

(i) Pembangunan Milenium mempunyai matlamat untuk memastikan keamanan dunia dan hak asasi manusia terjamin serta tidak mengabaikan kemanusiaan dalam mengejar pembangunan.

(ii) Kemiskinan dan kebuluran di negara miskin boleh diatasi melalui bantuan daripada negara maju. Sebagai contoh bantuan makanan dan keperluan harian. Di samping itu, kutipan tabung khususnya oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga dapat membantu rakyat yang miskin dan kebuluran. Kutipan tersebut boleh disalurkan melalui pemerintah agar perbelanjaan kepada rakyat dapat diagihkan secara saksama.



Soalan 2

Isu : Tsunami

"… tsunami berlaku akbat terdapat aktiviti zon gunung berapi sepanjang 32, 500 kilometer mengelilingi Lautan Pasifik. Ombak bermula dengan ketinggian 15 meter. Kesan malapetaka tsunami adalah sangat dahsyat sehingga ada kerajaan mengisytiharkan perintah darurat…"

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Mustafa, "Bencana Alam", Berita Harian,
31 Disember 2004)
(i) Bagaimanakah tsunami berlaku?

(ii) Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, nyatakan kesan sekiranya Tsunami melanda masyarakat tempatan.


Jawapan Contoh:

(i) Tsunami berlaku apabila aktiviti akif gunung berapi atau gempa bumi yang menyebabkan ombak besar terhasil secara laju menghala ke daratan.

(ii) Kesan yang pertama ialah ramai orang akan terkorban dan berlakunya kerosakan harta benda akibat ombak besar dengan arus laut yang amat deras. Ombak tersebut juga akan merosakkan dan menghanyutkan apa-apa sahaja. Kedua ialah manusia akan mengalami trauma. Mereka akan teringat peristiwa yang amat dahsyat apatah lagi ramai keluarga dan rakan yang terkorban.

Soalan 3
Isu : teknologi nuklear


"Teknologi nuklear merupakan satu teknolgi baru. Salah satu bahan yang dihasilkan melalui tenaga nuklear adalah radiosotop yang digunakan dalam industri pertanian dan perubatan. Salah satu masalah yang wujud akibat teknologi ini ialah pembuangan sisa radioaktif yang dikeluarkan oleh reaktor atau nuklear. Pembuangan sisa radioaktif yang tidak terancang mengancam manusia …"

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Utusan Malaysia, Oktober 2004)
(i) Apakah yang dimaksudkan dengan radiosotop?

(ii) Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan ancaman yang dihadapi oleh manusia akibat pembuangan sisa radioaktif


Jawapan Contoh:

(i) Radiosotop ialah bahan yang terhasil daripada nuklear dan digunakan dalam bidang prubatan dan pertanian.

(ii) Pembuangan sisa radioaktif telah mengakibat penyakit dalam darah, penyakit kulit dan keguguran kandungan. Terdapat juga kes yang kronik hingga menyebabkan kematian. Di samping itu, pembuangan tersebut menyebabkan sungai tercemar. Pencemaran tersebut menjejaskan kandungan air dan memupuskan habitat akuatik serta mencemarkan sumber air minuman manusia

Soalan 4

Isu : perubatan tradisional


"… Dalam mengubati dan merawat sesetengah penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan kanser, ubat-ubat tradisional masih menjadi pilihan. Ubat-ubat tradisional dibuat daripada akar-akar kayu yang terdapat di dalam hutan negara kita. Di samping itu, tanaman herba yang juga terdapat di hutan Malaysia berguna untuk mengubati penyakit yang tidak dapat dipulihkan melalui perubatan moden…"

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Dewan
Masyarakat, November 2001)

(i) Apakah yang dimaksudkan dengan ubat-ubatan tradisional?

(ii) Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan kelebihan ubat-ubatan tradisional.


Jawapan Contoh:

(i) Ubat-ubatan tradisional merupakan hasilan daripada akar-akar kayu dan tanaman herba yang diproses untuk dijadikan ubat.

(ii) Kelebihan yang pertama ialah sebagai alternatif kepada ubat-ubatan moden. Pesakit yang gagal disembuhkan melalui perubatan moden mempunyai pilihan lain untuk menyembuhkannya. Kedua ialah ubat-ubatan tradisional mempunyai kurang kesan sampingan. Hal ini adalah kerana ubat tersebut dihasilkan tanpa melalui pemprosesan penggunaan bahan kimia.


Soalan 4

Isu yuran persekolahan

"… Masalah yuran dan bebanan persekolahan yang tinggi merupakan fenomena yang timbul di Malaysia setiap kali sesi persekolahan baru bermula. Secara purata ibu bapa atau penjaga membelanjakan sebanyak RM1,610 setahun untuk pelajar sekolah menengah. Kebanyakan ibu bapa menanggung lebih daripada seorang anak yang bersekolah. Ibu bapa bimbang dengan kenaikan yuran tersebut memandangkan mereka terpaksa membelanjakan satu per tiga daripada pendapatan mereka untuk persekolahan anak-anak mereka…"

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada H. Osman Rani, "Hasil Kajian Beban Kos Persekolahan", Utusan Malaysia, 6 Januari 2006)


(i) Mengapakah ibu bapa bimbang dengan kenaikan yuran sekolah?

(ii) Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, nyatakan cara-cara bekesan untuk mengatasi isu bayaran yuran yang tinggi bagi keluarga berpendapatan rendah.


Contoh Jawapan.

(i) Ibu bapa agak risau dengan yuran sekolah yang semakin tinggi kerana tidak mampu membayar kadar baru tersebut.

(ii) Isu bayaran yuran yang semakin tinggi dapat diatasi jika pihak sekolah mengurangkan kadar yuran dan mengutip bayaran yang penting sahaja. Dengan cara ini, bebanan ibu bapa semakin kurang terutamanya bagi yang berpendapatan rendah. Mereka juga boleh mendapatkan pinjaman daripada pihak tertentu seperti Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG). Pinjaman boleh dibayar secara ansuran bulanan.


Soalan 5
Isu : pembangunan modal insan


"…. Rancangan Malaysia Kesembilan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan yang dilihat boleh membawa keseimbangan ke atas pembangunan ekonomi negara melalui Dasar Sosial Negara. Modal insan yang gemilang adalah individu yang berbekalkan ilmu, adab, dan kemahiran. Keperibadian unggul ini akan dihormati, disegani, dan dijadikan idola dan kualiti ini nescaya akan memudahkan usaha kerajaan untuk menjadi satu bangsa yang maju…"
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Sivamurugan Pandian, " Modal Insan," Utusan Malaysia, 12 Januari 2006)

(i) Nyatakan dengan jelas maksud modal insan gemilang?

(ii) Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan tujuan kerajaan cuba melahirkan modal insan gemilang.


Contoh Jawapan:

(i) Modal insan gemilang bermaksud individu yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

(ii) Tujuan utama kerajaan melahirkan modal insan yang gemilang adalah untuk mengekalkan perpaduan negara. Individu yang berilmu akan berfikiran secara rasional sebelum melakukan sebarang tindakan yang menggugat kaum lain. Modal insan gemilang juga boleh melahirkan masyarakat yang bermoral. Masyarakat yang bermoral akan menaikkan imej negara tanpa menjejaskan pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan