CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 24 Julai 2015

pembelajaran koperatif



PEMBELAJARAN KOPERATIF 

Pembelajaran koperatif membawa maksud belajar bersama-sama dalam kumpulan kecil untuk mencapai sesuatu matlamat. Setiap kumpulan terdiri daripada 2 – 4 orang ahli. Kumpulan yang mengandungi 4 orang ahli adalah yang paling sesuai. Ciri yang paling penting dalam pembelajaran ini adalah kejayaan ahli-ahli kumpulan bergantung antara satu sama lain. Ahli-ahli kumpulan bekerjasama untuk mencapai tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja bagi diri sendiri malahan bagi setiap ahli dalam kumpulannya.

TUJUH PRINSIP ASAS DALAM PEMBELAJARAN KOPERATIF 
Pembelajaran koperatif berbeza daripada kerja kumpulan kerana ia mempunyai beberapa prinsip asas. Prinsip-prinsip itu adalah:

a)   Saling bergantungan positif (Positive Interdependence)
Setiap pelajar mesti merasa nasib mereka adalah serupa dan saling bergantung antara satu sama lain untuk mencapai sesuatu matlamat kumpulan. Setiap orang mesti mengambil berat tentang diri sendiri dan juga rakan lain dalam kumpulan dalam mencapai kejayaan. Terdapat beberapa cara untuk menstruktur saling bergantungan positif.

Antaranya ialah:

  •   tetapkan matlamat kumpulan yang jelas.
  •  Berikan ganjaran kepada ahli-ahli kumpulan.
  •  Bahagikan bahan sumber di antara ahli-ahli kumpulan.
  •  Berikan peranan sampingan kepada ahli-ahli kumpulan  

b. Interaksi Bersemuka (Face To Face Interaction ) 

Ahli-ahli kumpulan perlu duduk berdekatan dan berinteraksi di antara satu sama lain. Corak interaksi di antara ahli-ahli kumpulan akibat daripada saling pergantungan positif yang telah distrukturkan akan menggalakkan pembelajaran setiap ahli. Ini bermakna sebanyak mungkin peluang dan masa perlu diberikan kepada pelajar-pelajar untuk berinteraksi dalam kumpulan supaya mereka membantu, menggalak, dan seterusnya meningkatkan usaha di antara satu sama lain bagi mencapai tahap pembelajaran yang maksimum.

 c) Akauntibiliti Individu ( Individual Accountability)
Setiap ahli kumpulan mempunyai tanggungjawab untuk belajar. Kumpulan koperatif bukanlah hanya digunakan untuk mencapai matlamat kumpulan sahaja, tetapi juga bertujuan memastikan bahawa setiap ahli kumpulan akan menjadi individu yang berkebolehan. Ini bermakna setelah menyiapkan sesuatu tugasan kumpulan secara koperatif, setiap ahli kumpulan mesti berjaya menyiapkan tugasan yang berserupa secara bersendirian. Cara menstruktur akauntibiliti individu ialah:
-  Memberi ujian individu kepada semua pelajar.
-  Memilih secara rawak salah seorang daripada ahli untuk menerangkan jawapan kumpulan.
-  Memilih secara rawak satu salinan laporan daripada ahli-ahli kumpulan untuk digredkan.

      d) Penglibatan saksama 

Kemahiran-kemahiran koperatif untuk bergaul secara berkesan dengan individu lain tidak wujud secara automatik apabila ia diperlukan. Ahli-ahli setiap kumpulan mesti diajar dan juga didorong untuk menggunakan kemahiran-kemahiran koperatif yang perlu untuk mewujudkan kumpulan yang produktif.
Contoh-contoh kemahiran koperatif ialah:
-  Mengikut giliran untuk membuat kerja.
-  Memberi galakan kepada kumpulan.
Mendengar dengan teliti.
-  Menerangkan pendapat sendiri dengan jelas.
-  Mengkritik idea tanpa mengkritik orang yang memberi idea.


         e) Pemprosesan Kumpulan ( Group Processing ) 

Ia juga dikenali sebagai membuat refleksi. Proses interaksi dalam kumpulan membolehkan pergantungan dan penyelesaian masalah antara ahli kumpulan dijalankan dengan berkesan. Ini dapat dilihat di akhir perbincangan atau aktiviti pengajaran. Perlakuan yang baik harus diamalkan manakala kelemahan dalam kumpulan harus diperbaiki pada pengajaran yang akan datang. Proses ini memadai jika dilakukan sekali-sekala.

     f)Kemahiran sosial 

Setiap ahli kumpulan peulu mempunyai kemahiran sosialuntuk membolehkan kumpulan koperatif berjalan dengan jayanya. Kagan 91992) menghujahkan kepentingan kemahiran sosial sebagai yang berikut:
·        Lebih ramai pelajar lepasan sekolah yang gagal memperolehi kerja pertama kerana kekurangan kemahiran sosial daripada pelajar yang kekurangan kemahiran teknikal.
·        Pemerolehan kemahiran sosial adalah penting dalam kejayaanhidup hari ini.
·        Pelajar bukan sahaja perlu boleh menyelesaikan masalah, mereka juga perlu kemahiran sosial untuk pergi bekerja di tempat di mana saling kebergantungan dan kerja bersukan adalah amalan biasa.

       g)Interaksi serentak (IS)

IS berlaku bila mana bekerja atau terlibat secara serentak dalam kumpulan koperatif mereka. Dalam kelas tradisional, interaksi seperti perbincangan atau persembahan berlaku secara tersusun manakala dalam kelas koperatif, perbincangan boleh berlaku dalam setiap kumpulan pada masa yang sama. IS juga mempertingkatkan penglibatan aktif setiap murid dan mempertingkatkan potensi belajar setiap pelajar.


JENIS-JENIS MODEL PEMBELAJARAN KOPERATIF DAN STRATEGI-STRATEGIYANG DIGUNAKAN DALAM PEMBELAJARAN KOPERATIF
 
i.     Penyiasatan Berkelompok (Group Investigation)

Menurut Sharan & Hertz – Lazarowitz 1980; Sharan & Sharan, 1990, Group Investigation – GI / penyiasatan berkelompok ialah kaedah koperatif yang membolehkan murid merancang melakukan satu kursus pembelajaran. Ini termasuk mengenalpasti satu topik yang disiasat, merancang dan membolehkan penyiasatan serta menyediakan pesembahan terakhir. Ini bermakna penyiasatan berkelompok ialah satu kaedah pengajaran di dalam bilik darjah di mana para pelajar bekerja secara kolaboratif dalam kumpulan kecil untuk memeriksa, mengalami dan memahami topik kajian mereka.


ii) Team – Accelerated Instruction- Mathematics (TAI)

TAI ialah pendekatan menyeluruh kepada pembelajaran koperatif dalammatematik. TAI menyatukan pembelajaran koperatif dengan kebebasan bertindak secara individu iaitu membolehkan guru membentuk kelas matematik heterogenius untuk memberikan murid yang pencapaiannya rendah meningkatkan tahapnya dan mempercepatkan kurikulum biasa sama seperti murid yang tinggi pencapaiannya. Bahan-bahan TAI dapat menggantikan sepenuhnya buku teks dengan bahan yang direka istimewa spesifik untuk program. Dalam TAI, murid ditentukan kepada kumpulan heterogenius iaitu mereka yang mempunyai latar belakang yang berbeza.

                  iii)Student Team Achievement Division (STAD)
STAD ialah satu kaedah pembelajaran koperatif yang berasal dari Hopkins. Ianya adalah satu kaedah yang mudah dan praktikal. Dalam STAD, guru mengikut satu pusingan mengajar, kumpulan pembelajaran dan penilaian individu. Kumpulan akan memperolehi sijil atau apa-apa penghargaan kejayaan apabila melakukan perubahan berbanding masa lepas sebagai pengiktirafan.

                  iv)Learning Together (LT)- Belajar Bersama

Menurut Johnson & Johnson (1991), LT bermaksud gambaran oleh ahli kumpulan di dalam kumpul kecil heterogenius secara koperatif untuk saling menyempurnakan matlamat pembelajaran. Bersama-sama ahli kumpulan bekerja keras atas tugasan akademik yang sering melibatkan perancangan serta perpaduan hasil kumpulan. Kemahiran sosial, latihan dan cara memproses diperlukan. Kumpulan yang mencapai kriteria untuk kejayaan sempurna akan berkongsi ganjaran.

             v)Jigsaw

Jigsaw telah diperkenalkan oleh Elliot Aronson (1978) dan rakan-rakan. Ia ialah satu daripada model koperatif yang menjadikan pelajar pakar dengan aras yang mereka pelajari. Model ini hampir sama dengan Jigsaw Puzzle. Setiap ahli kumpulan menyumbangkan sekeping puzzle dengan berkongsi sebahagian maklumat yang mereka pelajari. Kunci idea dalam jigsaw ialah setiap pelajar dalam satu pasukan akan menjadi dalam bab tertentu dan bertanggungjawab mengajar apa yang telah mereka pelajari kepada rakan di dalam kumpulan.

         vi)Team – Games Tournament (TGT)

TGT telah dicipta oleh Robert Slavin. TGT mengandungi putaran biasa aktiviti pengajaran seperti berikut:

      a.Pengajaran
Guru perlu memberitahu pelajaran yang berkaitan. Ini boleh jadi dalam bentuk syarahan, demonstrasi dan pertunjukkan visual. Murid berbincang mengenai bahan yang disampaikan oleh guru. Kemudian mereka akan bekerja mengikut lembaran kerja yang disediakan oleh guru untuk menguasai konsep.


    b.Pertandingan
Murid-murid bermain permainan dalam pertandingan di atas meja. Setiap pertandingan, meja akan diwakili 3 atau 4 orang ahli dari setiap pasukan yang sama kebolehan akademik.

KESIMPULAN

Sememangnya pembelajaran koperatif ini memberi kesan yang baik dalam pembelajaran matematik. Ini kerana ia mendedahkan murid-murid berkomunikasi dan berkongsi segala apa yang diperolehi bersama.

strategi pengajaran




3.0     Strategi Pengajaran dan Pembelajaran dan Contoh Aplikasinya
Para pendidik perlu menjalankan kajian ke atas pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam merancang secara sistematik proses pengajaran dan pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran tajuk lukisan dua dimensi dengan Autodesk Computer Aided Design Releasa 14 ( ACAD R14) memerlukan strategi yang tertentu dan pendekatan yang boleh diterapkan dan digunakan ke dalam pengajaran dan pembelajaran agar matlamat dan objektif pengajaran tersebut boleh dicapai. Antara strategi dan pendekatan yang digunakan dalam pengajaran tajuk lukisan dua dimensi dengan perisian Autodesk Computer Aided Design Releasa 14 ( ACAD R14) ialah seperti berikut:
3.1    Penerangan Tertumpu
Kaedah ini membantu pelajar untuk belajar dengan lebih aktif dengan membentuk situasi atau memberikan penerangan tertumpu pada sesuatu topik yang menarik.Suasana pembelajaran dibina dalam keadaan untuk memupuk proses berfikir bagi membantu pelajar membina kemahiran berfikir yang berkesan dan membantu untuk menyelesaikan masalah dengan baik dan berfikir secara kritikal.Prinsip asas bagi kaedah ini ialah aktiviti pembelajaran dan pengajaran perlulah ditumpukan pada sesuatu topik yang mendatangkan minat kepada pelajar (Chen 2000).
      Bahan pengajaran perlu datang dari sumber yang dapat memberikan maklumat dengan banyak seperti perisian kursus.  Maddux et. Al (1997) ada menjelaskan bagaimana siri program yang disusun oleh Jasper Woodbury adalah satu program yang membina simulasi untuk meletakkan pelajar pada suasana masalah yang sebenar di mana mereka akan menyelesaikannya secara realistik dan bermakna. Kaedah ini sangat sesuai untuk digunakan bagi subtajuk yang melibatkan proses penghasilan objek dua(2) dimensi seperti pelan lantai dan tampak kerana terdapat masalah menarik yang ada hubungan terus dengan kerjaya pelajar.

3.2    Penglibatan aktif
Teknik ini menggalakkan pelajar untuk terlibat secara aktif  di dalam aktiviti pembelajaran seperti perbincangan terhadap sesuatu topik (D' Augustine 1973 ). Semua pelajar terlibat di dalam mengupas sesuatu konsep yang diajar. Melalui penglibatan secara aktif ini penekanan pembelajaran dapat diberikan kepada pemikiran konstruktif oleh semua pelajar, dengan aktiviti biasanya tertumpu kepada pembinaan konsep baru atau penguasaan kemahiran baru (Nik Azis 1992). Proses pemindahan dan penerimaan maklumat hanya akan berlaku melalui penglibatan pelajar secara aktif. Teknik ini sangat sesuai untuk digunakan apabila perbincangan dibuat dalam menjelaskan kaedah yang akan digunakan apabila terlibat dengan proses pembinaan yang melibatkan perintah untuk menggabungkan entiti yang kecil kepada satu komponen objek.

3.3    Eksposisi atau ' Direct Instruction '
Ini adalah satu kaedah di mana pensyarah akan menerangkan kandungan topik secara lisan atau dengan menggunakan alat bantu seperti LCD projektor dan perisian kursus.Pelajar akan mendengar dan merekodkan maklumat penting yang diterangkan oleh pensyarah sebelum memulakan aktiviti. Teknik ini juga dikenali dengan ‘systematic teaching’, ‘explicit teaching instruction’, ‘explicit teaching and active teaching’ (Husen 1970). Teknik ini juga menyampaikan maklumat dengan langkah yang sistematik dan di dalam proses penyampaian, langkah akan diambil bagi menguji kefahaman pelajar (Rosenshine 1986). Kaedah  penyampaian ini berpegang kepada teori tingkahlaku. Rosenshine (1986) ada menggariskan enam(6) fungsi pengajaran yang disusun mengikut urutan di dalam kaedah ini iaitu semakan harian, mempersembahkan maklumat baru, latihan dipandu, pembetulan dan tindakbalas, latihan kendiri serta semakan mingguan dan bulanan.
      Di dalam kaedah ini pensyarah banyak menerangkan isi pelajaran secara lisan atau dengan menggunakan alat bantu seperti audio visual. Pelajar akan mendengar dan merekod maklumat penting yang diterangkan oleh pensyarah sebelum melakukan sesuatu aktiviti. Pembelajaran dengan teknik ini akan memberikan penerangan, menghuraikan ide dan konsep yang akan digunakan dalam menggunakan perisian Autodesk Computer Aided Design Releasa 14 ( ACAD R14) sama ada dengan atau tanpa alat bantu mengajar. Selain daripada itu kaedah ini juga melibatkan demonstrasi cara menggunakan komputer untuk melaksanakan perintah-perintah yang dipelajari serta menerangkan langkah yang perlu diambil sekiranya terdapat masalah dalam melaksanakan sesuatu urutan arahan yang komplek. Ianya sesuai untuk mengajar pelajar menggunakan perintah yang komplek seperti chamfer, array dan mblock.Kaedah ini juga akan dapat menjimatkan masa pengajaran dan pengendalian aktiviti akan menjadi lebih kemas dan teratur. Kaedah ekposisi juga memerlukan perancangan yang teliti dari segi penggunaan alat bantu mengajar bagi mengelakkan rasa bosan di kalangan pelajar.

3.4        Tugasan yang pelbagai dan konsisten
Kemahiran menggunakan Autodesk Computer Aided Design Releasa 14 ( ACAD R14) melibatkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran. Untuk memantapkan kefahaman ini latihan yang mencukupi perlu diberikan kepada pelajar secara konsisten sehingga kemahiran dalam sesuatu tajuk itu dapat dikuasai oleh pelajar dengan sepenuhnya. Menurut D’Augustine (1973)  latihan yang mencukupi perlu dilakukan dari masa ke semasa sehingga semua kemahiran dalam sesuatu tajuk benar-benar telah dikuasai sepenuhnya.
      Bagi setiap tugasan yang diberikan kepada pelajar ganjaran yang sesuai perlu disediakan dan bagi subjek ini ganjaran yang sesuai untuk peringkat usia pelajar politeknik ialah markah diberi bagi setiap tugasan yang dibuat. Ianya adalah bersesuaian dengan teori Thorndike (1913) yang menyatakan proses pembelajaran yang baik memerlukan ganjaran dan latihan. Thorndike (1913) juga menjelaskan proses rangsangan dan tindakbalas yang berterusan ini akan memperkukuhkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Miller et.al (1960) pula telah memperkenalkan konsep TOTE (Test-Operate-Test-Exit) yang mana ianya akan memastikan objektif sesuatu tajuk yang diberi telah tercapai.  Teori ini juga menggalakkan tugasan yang berterusan sehingga sesuatu objektif pembelajaran itu tercapai. Latihan yang berterusan akan membina kemahiran yang mantap di dalam menyelesaikan masalah yang bersangkutan dengan kaedah penghasilan lukisan. Seterusnya perpindahan maklumat yang jitu akan berlaku bila mana latihan yang melibatkan sesuatu topik itu berjalan berterusan.

3.5    Pembelajaran koperatif
Kaedah pembelajaran koperatif adalah satu kaedah pembelajaran yang melibatkan kumpulan pelajar. Kaedah ini sangat sesuai bagi sesuatu kumpulan pelajar menyelesaikan projek menghasilkan lukisan dua(2) dimensi. Pelajar boleh berkomunikasi di antara satu dengan yang lain dengan menggunakan perkhidmatan Internet.Dengan ini pelajar tidak kekang oleh masa, jarak dan tempat untuk menyiapkan projek. Menurut Floyd (1991) pelajar yang belajar secara bekerjasama dalam satu kumpulan akan dapat belajar dengan lebih baik dan berupaya meningkatkan prestasi mereka. Manakala menurut Floyd (1991) pembelajaran koperatif boleh meningkatkan motivasi pelajar semasa perbincangan dalam kumpulan. Kaedah pembelajaran ini dikatakan lebih baik daripada kaedah pembelajaran tradisional kerana ianya lebih menyeronokkan dan dapat juga meningkatkan motivasi, akauntabiliti, tanggungjawab dan kesungguhan pelajar dalam melaksanakan sesuatu projek yang diberi. Pelajar akan menjadi lebih bertanggungjawab kerana mereka mempunyai matlamat pasukan yang perlu dicapai bersama. Kaedah ini juga akan dapat menjimatkan masa proses pembelajaran pelajar. Untuk mengaplikasikan kaedah ini pelajar akan diberikan projek kecil pada pertengahan semester yang melibatkan pelan lantai  dan butiran pintu serta tingkap. Pelajar akan  dibahagikan kepada kumpulan dan setiap kumpulan diminta untuk menghasilkan set persembahan lukisan yang mudah.

3.6    Pembelajaran kendiri
Kaedah pembelajaran ini berpusat kepada pelajar dimana pelajar akan lebih berdikari di dalam mendapatkan ilmu terhadap sesuatu tajuk. Menurut Rogers (1994) pembelajaran kendiri adalah sama dengan perubahan dan pembesaran seseorang. Rogers (1994) juga ada menyatakan secara semulajadi semua manusia mempunyai keinginan untuk belajar. Pada pandangan Rogers (1994) tugas pensyarah ialah bertindak sebagai fasalitator di dalam proses pembelajaran dimana tugas-tugas tersebut boleh digariskan seperti di bawah iaitu :
a.    Membina suasana pembelajaran yang positif.
b.    Menjelaskan maksud pelajar.
c.    Menyusun dan membina sumber maklumat.
d.    Menyeimbangkan di antara komponen kecerdasan dan emosi.
e.    Berkongsi perasaan dan pandangan dengan pelajar dan bukan cuba untuk menguasainya.
Teknik ini sangat sesuai untuk subtajuk yang mudah dikuasai oleh pelajar seperti perintah-perintah ‘view’ dan ‘drawing aid’ yang terdapat di dalam perisian Autodesk Computer Aided Design Release 14 ( ACAD R14).

3.7    Masteri
Teori ini mencadangkan fokus untuk sesuatu proses pembelajaran ialah masa yang diperlukan oleh pelajar yang berlainan untuk menguasai perkara yang dipelajari(Mastery 2000). Ianya agak berbeza dengan teknik pembelajaran secara tradisional dimana di dalam kaedah ini pelajar diberi jumlah masa yang sama untuk menguasai sesuatu tajuk tetapi fokus kepada keupayaan yang berbeza (Mastery 2000).  Di dalam suasana  pembelajaran masteri ini cabaran terletak kepada menyediakan masa yang cukup dan mengatur strategi-strategi pembelajaran untuk memastikan semua pelajar akan mencapai keupayaan yang sama (Levine 1985 ; Bloom 1981). Elemen-elemen penting untuk kaedah pembelajaran masteri ialah (Mastery 2000) :
a.    Menjelaskan secara spesifik kepada pelajar apa yang akan dipelajari dan menjelaskan
       bagaimana ianya akan dinilai.
b.    Membenarkan pelajar untuk belajar dengan kadar mereka sendiri.
c.    Memantau kemajuan pelajar dan menyediakan tindakbalas berserta dengan langkah 
d.    pemulihan yang sesuai.
e.    Menguji bagi memastikan kriteria pembelajaran akhir tercapai.
Kaedah ini sangat sesuai untuk digunakan bagi subtajuk yang mudah pada permulaan tajuk lukisan dua(2) dimensi kerana ada di antara pelajar yang terdapat di dalam kelas ini telah mahir dengan elemen tersebut. Pelajar yang mahir tentang literasi komputer akan dibenarkan untuk maju secara kendiri terutama bagi tajuk satu(1) iaitu berkenaan pengenalan kepada Autodesk Aided Design Release 14 (ACAD R14) yang menjelaskan tentang paparan skrin. Melalui kaedah ini pelajar yang mahir dengan prinsip menu boleh menguasai tajuk ini dengan mudah dan mampu untuk maju ke tajuk dua(2) dengan lebih cepat. 
 
3.8    Analisis
Teknik pengajaran ini memecahkan konsep kepada beberapa bahagian kecil mengikut langkah-langkah pengajaran. Dengan teknik ini pelajar akan mendapat kefahaman yang lebih mendalam terhadap sesuatu konsep. Pelajar tidak hanya mengetahui bagaimana sesuatu objek dua(2) dimensi seperti ‘rectangle’ itu dihasilkan dengan menggunakan perisian Autodesk Computer Aided Design Releasa 14 ( ACAD R14) , tetapi mereka akan dapat menjelaskan kenapa sesuatu prosedur itu dilakukan. Menurut Newell (1972) analisis kritikal dengan kaedah GPS akan membahagikan masalah keseluruhan kepada subkomponen dan setiap subkomponen itu tadi akan diselesaikan. Sebahagian dari prinsip asas penyelesaian masalah yang boleh dihubungkan dengan tajuk lukisan dua(2) dimensi ialah memecahkan objek besar kepada objek yang lebih kecil supaya dapat dijelaskan bagaimana objek tersebut dapat dihasilkan. Melalui kaedah ini pelajar akan dapat memahami proses pembentukan butiran tingkap dengan perintah block dengan lebih jelas. Dengan  ini pelajar akan dapat mencari jalan keluar sekiranya timbul masalah semasa menghasilkan lukisan butiran yang agak komplek dengan menggunakan perintah block.
 
3.9    Strategi pemetaan konsep
Di dalam kaedah ini pelajar membina perkaitan konsep secara grafik dan ini akan melibatkan pelajar dengan pemprosesan maklumat secara aktif. Kaedah ini selaras dengan teori pembelajaran konstruktivisme. Kaedah ini membantu pembelajaran dalam dua cara. Pertama, kaedah ini membantu pelajar menyedari dan mengawal proses kognitif yang dilalui dalam pembelajaran. Kedua, pelajar dibantu untuk menghasilkan rangka konsep yang terjalin di dalam sesuatu proses (Roth et al. 1993). Strategi ini juga membantu pelajar untuk mengkaji dan dapat membuat refleksi terhadap proses awal yang telah pelajari. Aktiviti menyusun dan mengintegrasikan maklumat dapat mengukuhkan ingatan pelajar. Strategi ini juga dapat membantu pelajar mempelajari konsep-konsep baru dengan lebih bermakna. Kesimpulannya kaedah ini dapat membantu pelajar untuk mengingat proses kerja yang komplek sebagai contoh dalam proses pembinaan pelan lantai ianya akan melibatkan penggunaan semula perintah draw, block dan layer. Melalui strategi ini kaedah baru yang dipelajari di dalam pembinaan pelan lantai iaitu perintah hatch dan text akan dapat mengukuhkan perintah terdahulu yang telah dipelajari oleh pelajar.
 
3.10            Perbincangan
Kaedah ini dapat meningkatkan interaksi harmoni di kalangan pelajar disamping dapat mengukuhkan apa yang telah dipelajari. Di samping itu kaedah ini akan dapat memupuk semangat setia kawan di kalangan pelajar. Pask (1975) ada menjelaskan melalui kaedah perbincangan pembelajaran akan berlaku berdasarkan perbincangan yang dibuat bagi tajuk yang tertentu untuk menjadikan kefahaman ke atas sesuatu tajuk itu lebih jelas. Pask (1975) seterusnya menjelaskan untuk mempelajari sesuatu tajuk pelajar perlu faham hubungan yang wujud di antara konsep di dalam sesuatu tajuk. Keupayaan yang wujud untuk menjelaskan sesuatu tajuk akan dapat membantu pelajar untuk memahami sesuatu perkara dengan lebih baik. Kaedah ini akan diaplikasikan untuk melibatkan pelajar dengan perbincangan pra persembahan projek akhir yang diberikan kepada pelajar. Apabila setiap kumpulan mempersembahkan proses yang telah dilalui untuk menghasilkan set lukisan tersebut maka perbincangan akan wujud di kalangan pelajar untuk memudahkan langkah kerja yang diambil semasa menyiapkan set tersebut. Perbincangan ini akan mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap perkara yang telah dipelajari sebelum ini.
 
3.11    Melalui Rujukan Terancang
Kaedah ini digunakan untuk melatih pelajar mendapatkan maklumat melalui aktiviti yang dirancang. Sumber Internet adalah sumber penting yang dapat membantu pelajar untuk mendapatkan maklumat tambahan terhadap topik yang dipelajari di dalam kelas. AutoDesk ada menyediakan laman web seperti http://autodesk.com/caduser  yang akan membantu pengguna Autodesk Computer Aided Design Releasa 14 ( ACAD R14) mendapatkan tip untuk menghasilkan lukisan dengan kaedah yang lebih cepat. Disamping itu pelajar juga boleh dilatih untuk mendapatkan maklumat tambahan dari CD-ROM yang terdapat di pasaran yang menjelaskan tentang penggunaan teknologi komputer di dalam menghasilkan lukisan. Strategi ini akan dapat digunakan dengan memberikan tugasan yang menjurus kepada pencarian maklumat dari Internet ataupun dari e-book yang berkaitan dengan Autodesk Computer Aided Design Releasa 14 ( ACAD R14).
 
4.0     Kesimpulan
Dalam mengajar lukisan dua(2) dimensi dengan perisian Autodesk Computer Aided Design Releasa 14 ( ACAD R14) pensyarah perlu mahir dan arif dalam strategi pengajaran dan pembelajaran dalam proses memupuk pelajar membina konsep dan menguasai kemahiran seterusnya dapat menyepadukan kemahiran ini dengan subjek lain. Pensyarah juga perlu menunjukkan sifat matang, berfikiran terbuka, kreatif, inovatif, konstruktif, rasional dan bijaksana (Nik Azis 1996). Strategi pengajaran yang berkesan akan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Kesimpulannya untuk berjaya dalam mendidik pelajar untuk subjek lukisan dua(2) dimensi dengan perisian Autodesk Computer Aided Design Releasa 14 ( ACAD R14) pensyarah perlu memahami isi kandungan kurikulum dan dapat menguasai teori pengajaran seterusnya kaedah mengajar dengan baik.