Carta / graf
Dengan menggunakan data dalam petikan di bawah, lukiskan sebuah graf yang sesuai untuk memperlihatkan turun naik perubahan nilai pelaburan asing di Malaysia dari tahun 2003 hingga anggaran tahun 2007.
Pada amnya pelaburan asing di Malaysia masih diperlukan. Namun begitu, pada tahun 2007 dianggarkan trend nilai pelaburan asing semakin berkurangan di Malaysia. Hal ini bukan petanda yang negatif. Sebaliknya, Malaysia semakin berupaya menceburi bidang-bidang yang memerlukan pelabur asing. Malah, pada masa ini kita melabur pula di negara-negara dunia ketiga.
Jepun masih rakan pelaburan utama Malaysia. Pelaburan Jepun di Malaysia terus meningkat kecuali anggaran pada tahun 2007. Selain industri kereta, sektor elektrik dan elektronik juga banyak diceburi oleh usahawan Jepun di Malaysia. Setiap tahun, suntikan pelaburan baru sentiasa dilakukan oleh pelabur Jepun. Pada tahun 2003, nilai pelaburan Jepun ialah sebanyak RM715.1 juta. Kemudian, angka ini terus meningkat menjadi RM1222.9 juta pada tahun 2004, RM2590 juta pada tahun 2005 dan RM4345.6 juta pada tahun 2006. Namun, anggaran nilai pelaburan pada tahun 2007 merosot sebanyak RM166.7 juta berbanding dengan nilai pelaburan pada tahun sebelumnya.
Hong Kong bukanlah pelabur yang penting kepada Malaysia. Namun begitu, pelaburan dalam barangan elektronik seperti jam dan jam tangan membolehkan rakyat Malaysia menceburi bidang ini dan memajukan bidang elektronik di negara kita. Pada tahun 2003, nilai pelaburan Hong Kong ialah sebanyak RM299.1 juta. Angka ini kemudiannya merosot sedikit menjadi RM298.0 juta pada tahun yang berikutnya. Bermula pada tahun 2005 hingga tahun 2007 angka pelaburan masing-masing ialah sebanyak RM345.6 juta, RM345.9 juta dan anggaran RM312.4 juta.
Singapura memang tidak terpisah dari Malaysia dari segi sosiobudaya dan ekonomi. Pelaburan Singapura banyak tertumpu di Johor. Pada tahun 2003, nilai pelaburan Singapura ialah sebanyak RM345.7 juta dan meningkat kepada RM367.8 juta pada tahun 2004. Pada tahun 2005 pelaburan meningkat sebanyak RM89.0 juta berbanding dengan tahun sebelumnya. Untuk dua tahun yang berikutnya, nilai pelaburan masing-masing ialah sebanyak RM550.5 juta dan anggaran RM432.7 juta.
Industri yang diceburi oleh pelabur Taiwan ialah industri besi, komponen motosikal, basikal dan kereta. Nilai pelaburan Taiwan ialah sebanyak RM345.4 juta, RM987.4 juta dan RM478.6 juta untuk tiga tahun pertama. Pada tahun 2006, nilai pelaburan mencatatkan RM556.7 juta dan nilainya dianggarkan akan merosot sebanyak RM109.9 juta pada tahun 2007.
Korea Selatan amat berjaya menghasilkan telefon, peti sejuk dan barangan elektrik yang terkenal di peringkat antarabangsa. Kereta jenama Kia yang berasal dari Korea Selatan juga kini dihasilkan di Malaysia. Nilai pelaburan Korea Selatan ialah sebanyak RM997.8 juta pada tahun 2003, RM978.8 juta pada tahun 2004 dan RM772.9 juta pada tahun 2005. Nilai pelaburan sebanyak RM760.3 juta dan anggaran RM678.9 juta masing-masing dicatatkan pada tahun 2006 dan 2007.
Afrika Selatan secara rasminya mula melabur di Malaysia pada tahun 2005 dengan nilai pelaburannya sebanyak RM905.4 juta. Pelaburannya terus meningkat masing-masing menjadi RM1083.3 juta dan dianggarkan sebanyak RM1234.3 juta pada tahun 2006 dan 2007.
Sumber : Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Laporan Ekonomi Malaysia, 2006/2007)
Jawapan : GRAF GARISAN KOMPAUN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan