CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Ahad, 7 Februari 2021

SEJAUHMANA PBB BERJAYA SELESAI KONFLIK

 

SEJAUHMANAKAH PBB BERJAYA MENYELESAIKAN KONFLIK DUNIA PADA HARI INI?

 

Dalam tempoh 76 tahun penubuhan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah

berjaya mencapai kejayaan dalam menyelesaikan konflik dunia pada hari ini.

Antaranya PBB memainkan peranan menyelesaikan masalah kemerdekaan wilayah jajahan. Pada tahun 1960, PBB meluluskan pengisytiharan kemerdekaan kepada wilayah dan penduduk negara yang dijajah. Ini bertepatan dengan Piagam PBB iaitu negara-negara anggota PBB diamanahkan untuk mentadbir wilayah jajahan, memastikan penduduk wilayah mendapat layanan saksama, mendapat perlindungan daripada keganasan dan menggalakkan pemerintahan sendiri.

Pada tahun 1948, Majlis Perhimpunan Agung PBB menubuhkan jawatankuasa khas bagi

menangani isu dasar apartheid iaitu amalan mendiskriminasi kaum mengikut warna kulit. PBB telah menyarankan agar semua negara anggota PBB memutuskan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan. Pada 1963, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Pengisytiharan Pembasmian Segala Bentuk Diskriminasi Ras.

 

Majlis Keselamatan PBB pula memainkan peranan dalam menyelesaikan konflik

dengan aman. Antara kejayaannya ialah mengundurkan tentera Soviet Union dari utara Iran pada tahun 1946. Pada 1956, krisis Terusan Suez berjaya diselesaikan. Pada tahun 1960-1962, PBB menghantar pasukan pendamai ke wilayah Congo. Pasukan pengaman PBB Berjaya melakukan operasi di banyak negara termasuk Kemboja, Namibia dan Timor Leste. Manakala pada tahun 1964-1974, PBB memainkan peranan dalam mengawal persengketaan di Cyprus daripada merebak.

 

PBB berusaha mengawal perkembangan persenjataan moden yang mengancam

keselamatan dunia. PBB telah mengambil langkah untuk menyekat penggunaan senjata nuclear dan senjata kimia yang meninggalkan kesan buruk terhadap mangsa perang. PBB Berjaya mempengaruhi Soviet Union dan Amerika Syarikat agar mengundurkan peluru berpandu masing-masing dalam krisis di Cuba. PBB juga berjaya mempengaruhi pihak-pihak yang terlibat dalam peperangan Iran-Iraq untuk mencapai persetujuan gencatan senjata.

Kesimpulannya, PBB berjaya mengambil langkah-langkah berkesan bagi menangani

konflik yang melibatkan negara-negara anggota dan konflik dunia hari ini. Melalui agensi-agensi yang ditubuhkan, PBB mampu mempertahankan keamanan dan kesejahteraan masyarakat dunia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal menangani konflik dunia.

Buktikan pernyataan tersebut.

PBB dikatakan gagal menangani konflik dunia terutama dalam menegakkan undang-undang antarabangsa kepada negara yang melanggar hak asasi manusia melalui jenayah perang. Sebagai contohnya di rakyat Palestin sekarang menuntut hak mereka di tanah air sendiri. Namun mereka seperti tiada saluran mendapat keadilan malah PBB tidak bertindak tegas ke atas Israel yang menceroboh Palestin.

Majlis Keselamatan PBB dikatakan bertindak selektif terhadap negara yang melanggar hak asasi manusia sehingga menimbulkaan konflik dunia. Contohnya di Afganistan, beribu-ribu orang awam dibunuh melalui serangan dron begitu juga di Myanmar dengan isu penghapusan etnik Rohingya yang tidak diambil tindakan oleh PBB. Begitu juga warga Kashmir yang terus menjadi mangsa keganasan tentera India. Kuasa-kuasa besar Barat di belakang PBB lebih menumpukan kepada peluang pelaburan di Myanmar berbanding menangani kemelut keganasan etnik Rohingya .

PBB juga gagal menangani gejala Islamofobia (menakut-nakutkan orang ramai terhadap Islam) yang boleh mencetuskan konflik dunia. Contohnya kegagalan PBB menangani pembunuhan kejam di New Zealand memperlihatkan bahayanya budaya kebencian terhadap orang lain khususnya Islam. Sepatutnya PBB membincangkan isu keganasan dan mengeluarkan resolusi tegas terhadap mereka yang melanggar hak asasi yang boleh mengancam dunia selaras dengan misi penubuhan PBB. 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan