CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Ahad, 7 Februari 2021

FAKTOR ASAS PENGGUBALAN DASAR LUAR MALAYSIA

 

NOTA TAMBAHAN Terangkan faktor-faktor/ Asas-asas penggubalan dasar-dasar luar Malaysia

Antara faktor penggubalan dasar-dasar luar Malaysia disebabkan oleh faktor Sejarah. Hal ini kerana semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka telah terjalin hubungan dengan negara luar seperti China, Arab, Siam dan juga negeri-negeri di Kepulauan Melayu. Hubungan luar ini lebih berbentuk hubungan perdagangan. Pada masa ini telah terjalin hubungan Melayu serumpun di Kepulauan Melayu termasuklah negara-negara yang ada pada hari ini dikenali sebagai Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel dan meneruskan hubungan diplomatik dengan Britain dan negara Komanwel lain seperti Australia dan New Zealand. Pada masa itu, ancaman komunis telah menggugat keselamatan negara Malaysia dan dengan ini mendorong Malaysia mengamalkan dasar luar yang pro-Barat dan antikomunis.

Selain itu, faktor ekonomi Malaysia merupakan negara yang mengamalkan pasaran bebas dan dengan ini menjalin hubungan baik dengan negara-negara lain di dunia dalam usaha memajukan ekonominya. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia masih mengharapkan pasaran dan juga modal dari Britian dan Amerika Syarikat. Menjelang tahun 1980-an, melalui Dasar Pandang ke Timur, pelaburan asing juga digalakkan dari negara-negara di Timur terutama Jepun dan Korea. Pada masa yang sama, Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara-negara yang sedang membangun dan juga negara-negara Islam bagi meningkatkan pasaran barangan keluaran Malaysia di samping mengadakan pelaburan di negara berkenaan.

Faktor politik turut mempengaruhi penggubalan dasar-dasar luar Malaysia. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, Malaysia berhak menentukan hala tuju masa hadapannnya sendiri berdasarkan prinsip-prinsip keamanan sejagat. Ini jelas terpapar dalam dasar luar Malaysia yang menekankan pemeliharaan kedaulatan negara-negara lain. Contohnya, dasar Malaysia yang menyokong Palestin bagi mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat. Malah, Malaysia juga berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memelihara keamanan dunia. Oleh itu, Malaysia tegas dengan pendiriannya menyokong semua resolusi yang telah diambil oleh PBB bagi mencapai dan mengekalkan keamanan dunia.

Di samping itu, faktor geografi telah menjadi asas penggubalan dasar-dasar luar Malaysia. Hal ini kerana Malaysia mempunyai kedudukan yang strategik di Asia Tenggara dan bersempadan dengan hampir kebanyakan negar di rantau ini seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei. Perairannya juga menjadi laluan utama kapal-kapal perdagangan di dunia. Justeru, keselamatan negara serantau akan mempengaruhi dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap keselamatam serta pertahanan Malaysia.

Akhir sekali, faktor demografi. Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara Islam sejajar dengan penduduknya yang majoriti beragama Islam. Dengan itu, Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel disebabkan dasar negara berkenaan yang menceroboh dan menindas peribumi Palestin.

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan budaya hidup dan agama masing-masing. Amalan konsep perpaduan dan sikap komited terhadap hak asasi manusia meneybabkan Malaysia menentang keras Dasar Apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan. Malaysia juga tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara berkenaan

sehinggalah undang-undang dasar apartheid itu dihapuskan oleh kerajaan Afrika Selatan. Oleh itu, faktor kepelbagaian kaum di negara ini amat mempengaruhi pembentukan dasar luar Malaysia.

berkaitan dengan isu-isu perdagangan, pelaburan dan pembangunan terutama di kalangan negara membangun. Dalam usaha mencapai matlamat dasar tersebut, Malaysia telah mengadakan hubungan yang lebih erat dengan negara-negara ASEAN seperti menyelesaikan krisis Vietnam dan Kampuchea.

Di samping itu, Dasar Pandang ke Timur telah diperkenalkan pada tahun 1982 dengan menggunakan Jepun dan Korea Selatan sebagai model bagi membangunkan negara Malaysia. Dasar ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil dan menerima pakai nilai-nilai yang baik seperti semangat mencintai negara, kesungguhan dalam pekerjaan dan etika pengurusan kerja yang baik.

Malaysia juga telah mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara-negara lain menerusi lawatan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad ke negara Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Dalam setiap siri lawatannya, misi perdagangan Malaysia akan turut serta dan menandatangani perjanjian perdagangan dua hala yang menguntungkan kedua-dua belah pihak. Beliau percaya Malaysia bukan sahaja harus menjalin hubungan politik dan perdagangan dengan negara maju malah dengan negara Dunia Ketiga juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan