- CARA-CARA /
LANGKAH-LANGKAH PENJAGAAN KESIHATAN
Kesihatan
amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang
sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak
dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga.
Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang
penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli ubat dan makanan kesihatan
untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk
makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang seperti “cendawan tumbuh selepas
hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa langkah
perlu diambil agar kesihatan kita terjamin.
Salah
satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah
dengan menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam
dan di luar rumah hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air
bertakung. Perkara ini akan dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen
penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut
seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya
Islam iaitu kempen “Jumpa Sampah Kutip” dan kempen “Memerangi LILATI
(lipas,lalat dan tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang
di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung
dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan
vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga
kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah
mencapai tahap kesihatan yang optimum.
Selain
itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan
kesihatan kita berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan,
seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali
setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras
gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan
dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan
dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah tinggi,
kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “Mencegah
lebih baik daripada mengubatinya”. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit
ini, keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti
peribahasa,“Cegah sebelum parah”. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada
dalam keadaan baik jika kita secara berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan
diri di hospital-hospital secara berjadual.
Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai
langkah menjaga kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan
seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan
pemakanan iaitu “What you are, is what you eat”. Boleh dikatakan seseorang yang
mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik.
Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan yang
berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan seseorang. Seseorang
individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan dan
keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih
kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih
jelas, seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk
mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman
bergas perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata,
langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan diet
makanan seimbang.
Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan
kegiatan riadah. Amalan riadah seperti berenang, jogging, menunggang
basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah Sains
Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul
Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit
dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan
riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan
penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan peribahasa, “Alah bisa tegal biasa.”
Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan
kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup
udara segar semasa melakukan senaman di taman-taman permainan serta dapat
mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat bekerja di pejabat.
Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara untuk
memperoleh kesihatan yang baik.
Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan
kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup
yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang
negatif ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan
dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan
merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam
masyarakat kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak Pada Rokok” giat
dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit
seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain.
Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat
berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah
kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen
“Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan oleh kerajaan.
Sebagai
kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam
hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan
yang baik. Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil
pemakanan seimbang dan melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin
dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang
berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan
dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, “Rakyat Sihat Negara
Sejahtera”.
Ayat cg powerrr.....
BalasPadamGempak;!!
Padam