- Ciri-ciri Masyarakat Penyayang
Lain hulu lain parang, lain dahulu lain
sekarang. Kebanyakan masyarakat dewasa ini kurang menunjukkan sikap saling
menyayangi antara satu sama lain berbanding dengan masyarakat zaman
silam. Mereka tidak sedar bahawa nilai tersebut penting diamalkan oleh setiap
insan untuk membentuk satu masyarakat harmoni. Oleh sebab kesibukan bekerja dan
kemajuan dunia yang mementingkan kecanggihan teknologi sahaja, nilai tersebut
makin diabaikan oleh masyarakat. Persoalannya, apakah ciri-ciri masyarakat
penyayang ?
Tidak dapat dinafikan masyarakat
penyayang ialah sekumpulan manusia yang menunjukkan kasih sayang sesama
mereka. Hal ini kerana mereka tidak mementingkan diri sendiri sahaja bagai
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tetapi prihatin terhadap
masyarakat sekeliling juga. Mereka selalu prihatin dengan situasi masyarakat
sekeliling dan sudi menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami
kesusahan. Contohnya, pertolongan diberi kepada mangsa banjir dan mangsa
kebakaran. Tegasnya, salah satu ciri masyarakat penyayang adalah dengan saling
menyayangi antara satu sama lain dan mempunyai sikap mengambil berat
terhadap makhluk yang lain.
Selain itu, sikap sayang akan
alam sekitar juga merupakan sifat masyarakat penyayang. Hal ini
dikatakan sedemikian kerana alam sekitar juga merupakan satu ciptaan Tuhan yang
perlu dihargai dan dipelihara seperti manusia. Sudah terang lagi bersuluh,
masyarakat penyayang merupakan golongan yang sentiasa melestarikan kebersihan
alam sekitar. Sebagai contoh, gotong-royong kerap dilakukan, sampah-sarap tidak
dibuang merata-rata dan hutan tidak ditebang secara sesuka hati . Amalan-amalan
tersebut menunjukkan ciri masyarakat penyayang kerana kegiatan itu dapat
mengelakkan pencemaran alam sekitar. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang bukan
sahaja prihatin terhadap insan tetapi juga terhadap segala ciptaan Tuhan
seperti alam sekitar.
Akhir
sekali, ciri-ciri masyarakat penyayang adalah dengan menyayangi dan
menghargai haiwan. Segelintir masyarakat tidak memandang haiwan sebagai
organisma hidup dan sering mengabaikan atau mendera binatang-binatang tersebut.
Namun masyarakat penyayang tidak membuat demikian tetapi akan menjaga haiwan
dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, mereka
akan membawa binatang peliharaan untuk mendapat rawatan yang sepatutnya dan
akan memberi makanan kepada haiwan liar yang kelaparan. Intihanya, sayang akan
haiwan juga merupakan satu ciri mustahak yang dipupuk dalam kalangan masyarakat
penyayang.
Kesimpulannya, masyarakat
penyayang bukan sekadar menyayangi sesama manusia sahaja tetapi sikap kasih
sayang juga ditunjukkan kepada alam sekitar dan haiwan. Dengan adanya sikap
kasih sayang ini, keadaan harmoni dan perpaduan dapat diwujudkan antara
masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak harus bekerjasama bagai aur
dengan tebing menggembleng kudrat untuk membentuk masyarakat yang penyayang.
Hal ini bukan sahaja untuk kebaikan kestabilan negara tetapi juga dapat
memanfaatkan masayarakat diri sendiri.
Tq saya ada idea macam mana nak jawap SPM
BalasPadamGoodluck untuk kita berdua
Padam