- Peranan
Ibu Bapa dalam Melahirkan Keluarga Bahagia
Keluarga
ialah satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah,
perkahwinan atau penjagaan di mana para anggotanya tinggal di suatu tempat di
bawah suatu atap dalam keadaan saling bergantungan. Keluarga merupakan suatu
institusi yang amat penting daripada sesebuah masyarakat. Daripada keluarga,
wujudnya sifat kasih-sayang di antara manusia. Rumah tangga yang bahagia dapat
melahirkan insan yang akan berjaya di dunia serta akhirat. Seseorang yang
dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa berasa dirinya
dihargai. Tidak lupa juga, dirinya akan sentiasa diberikan sokongan moral dalam
apa-apa jua perkara yang dilakukannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu
bapa merupakan tonggak kepada keluarga yang bahagia. Sekiranya mereka tidak
menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Tuhan, pasti sahaja rumah
tangga akan berpecah-belah seterusnya keluarga bahagia tidak dapat diwujudkan.
Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam melahirkan keluarga bahagia?
Antara
peranan ibu bapa dalam melahirkan keluarga bahagia ialah ibu bapa perlulah
menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana, ibu bapa
akan menjadi model ikutan kepada anak-anak. Hal ini bermaksud segala tingkah
laku ibu bapa akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh yang demikian ibu bapa
perlulah sentiasa menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Sebagai
contoh, ibu bapa tidak bergaduh di hadapan anak-anak, bercakap dengan
lemah-lembut dengan anak-anak dan saling menghormati antara satu sama lain.
Kesannya, mereka akan mengikuti perkara baik yang telah dilakukan oleh ibu bapa
mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Namun begitu,
sekiranya ibu bapa menunjukkan sikap negatif kepada anak-anak seperti sentiasa
bertengkar, maki hamun serta penderaan anak-anak pasti akan merasa kesannya
juga. Mereka akan cuba untuk pulang lewat ke rumah atau melepak bersama-sama
rakan sehingga lewat malam. Pada dasarnya, ibu bapa seharusnya menunjukkan
sikap yang baik kepada anak-anak supaya kehidupan anak-anak menjadi lebih
bahagia.
Selain
itu, ibu bapa perlulah mencurahkan kasih-sayang kepada anak-anak. Hal ini
dikatakan demikian kerana, anak-anak merupakan kurnian Tuhan yang tidak
ternilai. Naluri mereka mudah untuk memberontak tetapi anak-anak mula membentuk
keyakinan kepada persekitaran mereka. Dalam konteks ini ibu bapa perlulah
mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sebagai contoh, ibu
bapa tidak terlalu mengejar kemewahan dengan bekerja sehingga lewat maam
sehingga tiada masa untuk diluangkan bersama dengan anak-anak. Seballiknya, ibu
bapa hendaklah membawa anak-anak makan angin di destinasi-destinasi yang
menarik di dalam mahupun luar negara. Hal ini menyebabkan anak-anak merasakan
diri mereka dihargai dan disayangi . Tambahan pula, perkembangan emosional dan
fizikal mereka tidak akan terbantut. Anak-anak akan patuh kepada nasihat yang
diberikan oleh ibu bapa mereka. Mereka tidak akan mudah memberontak. Tegasnya
di sini, sebelum nasi menjadi bubur ibu bapa perlulah memberikan kasih-sayang
kepada anak-anak dengan secukupnya supaya mereka tidak akan melakukan perkara
yang akan merugikan diri mereka sendiri.
Seterusnya,
ibu bapa perlulah memberikan didikan agama dan moral yang sempurna
kepada anak-anak. Hal ini disebabkan oleh agama merupakan tunjang atau asas
keperibadian anak-anak. Misalnya, ibu bapa memastikan anak-anak mereka
memperoleh didikan yang sewajarnya. Dalam hal ini didikan agama dan pemupukan
nilai ketimuran haruslah bermula dari peringkat akar umbi bak kata pepatah
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa bertanggungjawab untuk melatih
anak-anak dengan budaya hidup beragama Islam serta menghantar anak-anak
mengikuti kelas-kelas pengajian agama. Usaha ini menyebabkan terbentuknya
kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Anak-anak juga akan sentiasa sopan
dan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesame adik-beradik.
Kurang pergaduhan yang akan berlaku akibat daripada sifat ketidakpuasan hati
mahupun salah faham. Jelaslah bahawa, didikan agama dan moral dapat mewujudkan
keluarga yang harmoni serta sentiasa bekerjasama.
Akhir
sekali, ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak
mereka. Hal ini membawa konotasi bahawa anak-anak yang kurang kebajikan
biasanya cenderung untuk menjadi anak-anak yang nakal dan kurang berdisiplin.
Oleh sebab itu, ibu bapa perlu menyediakan keprerluan asas anak-anak bagi
menjamin keselesaan kepada mereka. Contohnya, tempat tinggal yang kondusif,
pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlulah
disediakan oleh ibu bapa. Di samping itu, ibu bapa juga perluah menyediakan
bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Pada masa yang
sama, ibu bapa mengetahui perkembangan pelajaran anak-anak di sekolah dan
meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Hal ini dapat merangsang
perkembangan diri yang seimbang kepda anak-anak. Sejajar dengan itu, anak-anak
akan lebih suka meluangkan masa bersama dengan keluarga dan duduk di rumah.
Secara ringkasnya, ibu bapa perluah memberikan keperluan asas kepada anak-anak
supaya anak-anak berasa selesa.
Kesimpulannya,
keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap
individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan
yang berkesan sejak kecil lagi. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia
berkorban dan bertolak ansur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan
keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya keluarga bahagia merupakan asas
pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Pembentukan
masyarakat yang penyayang akan dapat direalisasikan apabila setiap anggota
keluarga memainkan peranan mereka masing-masing untuk membentuk keluarga
bahagia kerana Rumahku Syurgaku.
Salam Cikgu. Mohon izin untuk dikongsi dengan anak didik saya ya cikgu
BalasPadam