CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Ahad, 7 Februari 2021

PERANAN MALAYSIA MENANGANI KONFLIK

 

Jelaskan peranan Malaysia dalam memastikan keamanan dunia terpelihara. @ Bukti Malaysia mementingkan pemeliharaan keamanan dunia

Peranan Malaysia dalam memastikan keamanan dunia terpelihara ialah berjaya menyelesaikan konflik serantau dan antarabangsa. Malaysia menggunakan meja rundingan sebagai jalan penyelesaian sesuatu konflik. Contohnya, melalui rundingan, Malaysia berjaya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Selain itu, Malaysia bekerjasama dengan negara-negara jiran melalui platform ASEAN telah berjaya menguruskan konflik di peringkat serantau secara aman. Buktinya, Malaysia berjaya menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina. Misi diplomasi ini berakhir dengan termeterainya proses damai antara bangsa Moro dengan kerajaan Filipina. Kesannya, Malaysia mendapat pujian antarabangsa atas kejayaan usaha ini.

Malaysia juga sentiasa menyokong usaha PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara. Malaysia telah bersama dengan PBB dengan menghantar pasukan pemerhati dan pengaman di beberapa buah negara yang dilanda krisis. Antaranya ialah pasukan pemerhati ke sempadan Iran-Iraq dan Kampuchea serta menjadi pasukan pengaman di Namibia dan Bosnia. Jelasnya, Malaysia berpegang teguh pada prinsip dan Piagam PBB.

Seterusnya, Malaysia sejak sekian lama, terus memperjuangkan nasib rakyat di bumi Palestin yang ditindas dan dizalimi regim Israel. Isu penindasan ini sering disuarakan oleh pemimpin negara di sidang mesyuarat PBB. Antara kejayaan negara Malaysia dalam isu ini ialah Resolusi 2334 Majlis Keselamatan mengenai penempatan haram Israel diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB dalam tempoh 36 tahun.

Sebenarnya, banyak lagi bukti yang menunjukkan Malaysia berperanan dalam memastikan keamanan dunia sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa. Peringkat serantau seperti pembentukan kerajaan Demokratik Campuran Kampuchea, pelaksanaan demokrasi di Myammar dan menyelesaikan isu politik di Acheh. Manakala pada peringkat antarabangsa pula, krisis Iran-Iraq, menamatkan perang saudara di Congo dan menentang Dasar Aparteid di Afrika Selatan. Kesimpulannya, biarpun negara kita Malaysia bersaiz kecil namun tidak menghalang untuk kita membantu negara besar yang menghadapi konflik.

Malaysia juga lantang bersuara di PBB menentang dasar apartied yang diamalkan di Afrika Selatan. Iaitu dasar kerajaan Afrika Selatan yang membezakan taraf penduduk Afrika Selatan mengikut warna kulit. Orang kulit putih diberi banyak keistimewaan, manakala orang kulit hitam dianggap rendah. Malaysia tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara berkenaan sehinggalah undang-undang dasar apartied ini dihapuskan oleh kerajaan Afrika Selatan. Semua manusia setaraf dan mempunyai hak asasi masing-masing.

Malaysia juga mengambil pendirian teguh terhadap usaha-usaha memerangi gejala penyalah gunaan dadah. Hasil daripada usul Malaysia, satu persidangan antarabangsa diadakan di Vienna Austria pada Jun 1987 dan Perdana Menteri Malaysia dipilih menjadi Yang Dipertua persidangan. Pemillihan ini menunjukkan bahawa negara luar secara tidak lansung menerima ketegasan Malaysia dalam usaha mencegah penyalah gunaan dan pengedaran najis dadah seperti menjalankan hukuman mati kepada pesalah.

Di samping itu, Malaysia juga telah bekerjsama dan menyertai beberapa agensi di bawah PBB. Contohnya, kerjasama dalam bidang pengeluaran makanan di bawah agensi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), kerjasama dalam bidang kesihatan dan perubatan di bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Malaysia juga pernah dipilih menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1965, 1989 dan 1999. Wakil Malaysia ke PBB, Tan Sri Razali Ismail menjadi Pengerusi Perhimpunan Agung PBB dan beliau dilantik sebagai wakil khas PBB untuk menyelesaikan konflik politik negara Myanmar. Misi beliau adalah untuk meredakan ketegangan di antara kerajaan Myanmar dan penyokong Aung San Suu Kyi.

Malaysia juga berpendirian tegas dalam mendesak PBB menjalankan usaha menyelesaikan masalah Palestin dengan menganjurkan Persidangan Antarabangsa tentang Palestin di Kuala Lumpur. Malaysia juga memberi sokongan kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan semula tanah air mereka daripada Israel.

(ii) ASEAN

Antara peranan Malaysia dalam mewujudkan keamanan dunia ialah melalui pengisytiharan negara-negara ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Satu deklarasi bersama telah ditandatangani oleh semua negara anggota yang dikenali sebagai Deklarasi Kuala Lumpur.Tujuan utama ZOPFAN adalah untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan politik di rantau Asia Tenggara, tidak bersekongkol dengan mana-mana blok Barat atau blok Timur bagi mengelakkan campur tangan kuasa-kuasa besar. Dasar ini juga, adalah untuk mengelakkan sebarang konflik yang lebih besar, mengelakkan kuasa-kuasa besar mengambil kesempatan serta terlibat dalam kancah peperangan. Seandainya konsep ini sentiasa dipraktikkan oleh negara-negara yang terlibat, pastinya keamanan dan kesejahteraan akan terus dapat dinikmati secara bersama.

Malaysia bersama negara ASEAN berusaha untuk mengatasi pencerobohan Vietnam ke atas Kemboja pada tahun 1978 dan menjatuhkan kerajaan Khmer Rouge. ASEAN telah berusaha mengatasi masalah ini dengan mengadakan satu mesyuarat bagi membentuk kerajaan Demokratik Campuran Kampuchea di bawah pimpinan Putera Norodom Sihanouk. Vietnam telah bersetuju dengan cadangan berkenaan dan mesyuarat telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1982.

Malaysia menyertai mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada tahun 1984 telah memutuskan bahawa ASEAN ialah Zon Bebas Senjata Nuklear. Ini bermakna rantau ini

tidak akan membenarkan mana-mana kapal menggunakan perairan dan kemudahan pelabuhannya untuk mengangkut bahan atau senjata nuklear. Pengisytiharan ini menunjukkan kepada dunia akan komitmen negara-negara anggota ASEAN terhadap konsep ZOPFAN. Konsep ini perlu diteruskan demi keamanan sejagat serta mengelakkan ASEAN menjadi zon perlumbaan senjata nuklear, yang boleh mengancam keselamatan bersama.

Menjelang tahun 1970-an dasar luar Malaysia mula berubah kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara. Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara berfahaman komunis seperti China, Jerman Timur, Korea Utara, Vietnam Utara dan Mongolia. Malaysia juga telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Vietnam pada tahun 1976. Malah Malaysia bekerjasama dengan negara serantau bagi mengatasi masalah pelarian Vietnam. Hal ini telah terbukti dapat mensejahterakan hubungan dalam kalangan negara jiran, terutamanya negara serumpun.

Malaysia juga mengemukan idea melalui ASEAN untuk meluaskan skop kerjasama ekonomi melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan. Idea ini dikemukan oleh Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad dinamakan Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC). Namun idea ini ditentang oleh negara-negara maju terutamanya Amerika Syarikat. Kerjasama secara tidak rasmi tetap diteruskan melalui konsep ASEAN + 3. Konsep ASEAN + 3 merujuk kerjasama yang diwujudkan antara negara-negara ASEAN dengan negara-negara timur seperti China, Jepun dan Korea. Langkah ini mengimbangi penguasaan ekonomi oleh negara-negara maju. rantau Asia Tenggara dan mengelakkan campurtangan kuasa-kuasa besar serta tanpa memihak blok barat atau komunis.

Dari segi dasar luar negara, Malaysia melaksanakan dasar luar yang bebas, berprinsip dan pragmatik serta berasaskan nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan. Kesemua ini untuk melindungi kedaultan dan kepentingan negara serta menyumbang ke arah masyarakat dunia yang adil dan saksama demi mewujudkan keamanan dunia. Malahan dalam krisis tuntutan bertindih dengan negara jiran atau tuntutan wilayah di Laut China Selatan, Malaysia lebih mengutamakan rundingan dalam penyelesaian masalah ini.

Tuntasnya, Dasar luar Malaysia yang mengutamakan kesejahteraan dan keamanan serantau dunia telah meningkatkan kesan postif kepada negara. Dasar luar yang dinamik ini perlu agar Malaysia dapat bersedia menangani cabaran semasa yang dihadapi dalam era globalisasi.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan perutusan tahunan pada Perhimpunan Agung PBB ke-75 berkata, PBB telah berjaya dalam mempromosi pembangunan sosial dan ekonomi, namun pada masa sama mengakui PBB gagal dalam aspek keselamatan bagi menghindari peperangan dan konflik dunia.

Malaysia telah menghantar pegawai tentera di bawah PBB menyertai pasukan pemerhati dalam usaha tersebut.

Seterusnya, Malaysia memberikan sokongan kuat kepada perjuangan rakyat Palestin dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) untuk membebaskan negara mereka daripada rejim Israel. Malaysia telah menjadi tuan rumah bagi Persidangan Keserantauan Asia berkaitan Palestin di Kuala Lumpur pada tahun 1983. Negara kita Malaysia menyokong hak rakyat Palestin bagi menentukan nasib sendiri termasuk mempunyai sebuah negara yang merdeka.

Di samping itu, Malaysia turut menyokong perjuangan Mujahidin Afghanistan terhadap Rejim Kabul yang dibantu Kesatuan Rusia sejak tahun 1979. Malaysia membenarkan muhajidin Afghanistan membuka pejabat perwakilan di kuala Lumpur pada tahun 1984.

Dalam bidang pendidikan dan pembangunan ekonomi, Malaysia turut membuka peluang kepada pelajar dari negara OIC untuk belajar di Universiti Islam Antarabangsa. Kemudahan biasiswa turut disediakan kepada para pelajar tersebut. Malaysia turut aktif membangunkan ekonomi negara anggota OIC dengan menyokong segala aktiviti Bank Pembangunan Islam (IsDB) untuk membantu krisis ekonomi di negara Islam.

i         ii. NAM

Peranan Malaysia dalam Pergerakan Negara-negara Tanpa Pihak (NAM) dalam usaha menangani konflik dunia ialah penyertaan dalam NAM membuktikan Malaysia mengubah dasar daripada probarat kepada dasar yang neutral, aman bebas dan berkecuali. Sejak menyertai NAM, Malaysia lantang menyuarakan pelbagai isu dan konflik terutamanya yang melibatkan anggota NAM.

Malaysia telah menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak NAM kali ke-13 pada tahun 2003. Dalam sidang tersebut, Malaysia dan anggota NAM menyatakan sikap terhadap isu Palestin serta serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq sebagai satu pencerobohan kuasa besar terhadap negara kecil.

Selain itu, sebagai anggota NAM, Malaysia lantang menyuarakan isu pencerobohan terhadap hak asasi manusia dan negara lain. Malaysia menyuarakan isu Aparteid yang berlaku di Afrika Selatan. Malaysia bersetuju agar tekanan politik dan ekonomi dikenakan kepada Afrika Selatan bagi menangani isu tersebut.

Seterusnya dalam Sidang Kemuncak NAM di Indonesia (1992), Malaysia membangkitkan isu Bosnia dan Herzegovina yang ditekan oleh Serbia. Usaha ini telah membawa kepada penggantungan keanggotaan Yugoslavia sebagai anggota NAM. Malaysia juga turut menerima sejumlah pelarian Bosnia dan Herzegovina sebagai usaha menangani konfik tersebut.

Kesimpulannya, Malaysia memainkan peranan yang berkesan sejak menyertai NAM. Nama Malaysia telah dipandang tinggi dan dihormati dunia.

i         iii. Komannwel

Peranan Malaysia dalam Komanwel dalam usaha menangani konflik dunia ialah memperjuangkan hak asasi manusia, kerjasama ekonomi dan pembangunan sosial serta terlibat dalam mengetengahkan isu global melalui Komanwel.

Melalui Komanwel, Malaysia lantang menentang dasar Aparteid iaitu dasar pemisahan antara kaum kulit putih dengan kaum kulit hitam di Afrika Selatan. Penentangan Malaysia ini kerana dasar ini menyalahgunakan hak asasi manusia dengan membezakan

hak seseorang berdasarkan warna kulit. Ketegasan Malaysia menyuarakan isu ini dalam komanwel menyebabkan Afrika Selatan menarik diri daripada Komanwel.

Malaysia turut terlibat dalam kerjasama pertahanan melalui perjanjian yang ditandatangani antara Britain dan Tanah Melayu pada tahun 1957. Perjanjian ini membolehkan Britain dan negara Komanwel yang lain membantu Malaysia memastikan keselamatan negara terutamanya daripada ancaman komunis.

Bagi menghadapi krisis atau konflik yang melibatkan ekonomi, Malaysia menyertai Rancangan Colombo iaitu rancangan pembangunan ekonomi dan sosial di bawah Komanwel. Melalui rancangan ini, negara-negara anggota dibantu khidmat nasihat dan latihan untuk menangani masalah kemiskinan dalam kalangan negara anggota.

Seterusnya dalam aspek ekonominya juga, Malaysia menjadikan negara komanwel rakan dagang Malaysia yang utama. Komoditi utama diekport ke negara anggota, kadar cukai yang dikenakan lebih rendah dan pelbagai kemudahan kredit dan dana turut disediakan melalui Komanwel.

Selain itu, penganjuran Sukan Komanwel turut dilihat sebagai satu usaha menangani konflik dunia. Penyertaan Malaysia dalam sukan ini mampu mengeratkan hubungan antara negara anggota.

Jelasnya, penyertaan Malaysia dalam Komanwel membawa manfaat yang besar dalam menghadapi krisis dan konflik dunia sama ada aspek politik, ekonomi mahupun sosial.

i         iv. Negara-Negara Selatan

Peranan Malaysia dalam Negara-Negara Selatan dalam usaha menangani konflik dunia lebih dilihat dalam aspek ekonomi. Matlamat Malaysia dan semua negara dalam kumpulan ini adalah mengurangkan pergantungan kepada negara maju dalam pemasaran bahan mentah. Hal yang demikan, pergantungan kepada negara maju akan membawa kepada syarat perdagangan yang tidak adil.

Selain itu, Malaysia dan negara-negara kumpulan ini berharap harga eksport bahan bahan mentah dapat diatasi dengan meningkatkan kerjasama ekonomi dan teknikal dalam kalangan negara anggota tanpa bergantung kepada negara maju.

Seterusnya, Malaysia memainkan peranan penting dalam menubuhkan Suruhanjaya Selatan-Selatan kerana idea penubuhannya daripada Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa Sidang Kemuncak NAM di Zambabwe pada tahun 1987. Strateginya dengan menubuhkan kumpulan 15 atau G15.Sidang kemuncak G15 yang pertama telah berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 1990.

Penubuhan G15 ini telah membawa kepada beberapa projek yang bertujuan mengatasi konflik ekonomi antara negara maju dengan negara Dunia Ketiga. Antara projeknya ialah kerjasama dalam bidang sains dan teknologi serta penubuhan Pusat Pertukaran Data Pelaburan Perdagangan dan Teknologi (SITTDEC). Di samping itu, penubuhan GSTP dan penubuhan kemudahan kredit dan mekanisme kewangan pembiayaan perdagangan.

Kesimpulannya, peranan Malaysia dalam Kumpulan Negara-Negara Selatan ini amat penting bagi membantu negara-negara anggota dalam meningkatkan ekonomi negara masing-masing tanpa bergantung dengan negara maju yang turut menimbulkan konflik dalam bidang ekonomi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan