Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan sains dan teknologi dalam membina tamadun manusia dan kekangannya dalam memajukan ekonomi negara.. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sejarah telah membuktikan bahawa sains dan teknologi telah wujud dalam kehidupan masyarakat tamadun terdahulu dan amat penting dalam membina kemajuan sesebuah bangsa. Gandingan sains dan teknologi itu terlalu kuat impaknya dalam kehidupan sosial manusia yang primitif, sains dan teknologi juga memainkan peranan penting sebagai salah satu sumber untuk meneruskan kehidupan.
Masyarakat pengembara primitif menjadikan sains dan teknologi sebagai panduan dalam aktiviti pemburuan yang merupakan mata pencarian utama mereka termasuk untuk mengesan jejak binatang. Selain itu, pemburu juga perlu bijak mengelak daripada binatan buruan tercium bau mereka dan harus memiliki sedikit ilmu anatomi binatang iaitu bahagian yang paling rawan untuk sasaran senjata. Walaupun agak terbatas perkembangan ilmu sains dan teknologi yang digunakan itu, namun perkembangannya cukup bernilai dan sesuai dengan keadaan masyarakat primitif tersebut. Sains dan teknologi juga turut diaplikasikan dalam pembuatan senjata untuk memburu seperti tombak, anak panah dan busur serta lembing. Senjata itu juga boleh ditajamkan dan diruncingkan dengan menerapkan ilmu sains dan teknologi. Bahan-bahan untuk membuat tombak, panah dan lembing serta binatang-binatang buruan itu pula adalah intipati dalam semula jadi manakala melatih diri untuk menjadi pemburu mahir dan berwibawa pula adalah terbit daripada kemampuan manusia.
Justeru, jelaslah bahawa kepentingan sains dan teknologi adalah amat penting dalam segenap aktiviti kehidupan manusia sekali gus merupakan fenomena sosial sejak dahulu kala lagi. Baik masyarakat primitive mahupun masyarakat moden hari ini, aktiviti kehidupan tidak boleh dipisahkan dengan sains dan teknologi. Bezanya ialah bagaimana sains dan teknologi itu diaplikasikan mengikut kesesuaian zaman dan kehidupan hari ini pastinya memerlukan sains dan teknologi yang lebih maju dan canggih. Keagungan sesebuah tamadun yang sedang dibina hari ini juga terletak sepenuhnya kepada sejauh mana tamadun berjaya mengaplikasikan sains dan teknologi dalam memudahkan kehidupan penduduknya. Selain sains dan teknologi, kemajuan sesebuah negara juga diukur pada kemampuan penduduknya memahami ilmu sains dan teknologi tersebut dengan meluas dan tinggi.
Petani-petani di Jepun amat mahir dalam mengaplikasikan konsep sains dan amalan pertanian mereka tidak hanya sekadar memahami apa itu kompos sebaliknya memiliki pemahaman yang tinggi mengenai ekosistem. Kebanyakan bahan bacaan di negara ini seperti majalah dan buku lebih banyak diterbitkan dengan medium yang lebih ringan seperti hiburan, sukan atau novel remaja. Justeru, bagi memastikan masyarakat di negara ini setaraf dengan penduduk di negara maju lain terutama Jepun, lebih banyak penulisan dengan tema sains dan teknologi diperlukan. Penulis tersebut pula tidak hanya mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan yang tinggi berkenaan sains dan teknologi malah berupaya membawa tema tersebut dalam masyarakat.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Utusan Melayu
Sains dan Teknologi Membina Tamadun Manusia, Jun 2005)
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2 (a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata intipati alam semula jadi. ( 2 markah]
(ii) Bagaimanakah sains dan teknologi membantu kehidupan masyarakat primitif dan moden?
[3 markah]
iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk menggalakkan masyarakat supaya
menggunakan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian? [4 markah]
Soalan 2 (b) Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Mariah seperti tertawa sendiri. Buku yang sekolah pinjamkan sebanyak lima belas buah itu, hanya sebahagian halaman sahaja sempat ditatapnya. Teks wajib seperti Sejarah Melayu itu pun belum selesai juga dibacanya.
“Kalau teks sejarah bangsa tidak habis , bagaimana kita mahu mengenal akar umbi kita’” leter Cikgu Zahari sambil menggelengkan kepalanya yang besar itu.
Mariah tidak membantah leteran Cikgu Zahari itu. Banyak membaca makin banyak pengetahuan yang diperoleh. Tetapi Cikgu Zahari tidak tahu hambatan waktu, lalu kepada Edah dia bergantung dan bernaung.
Mariah minta diri, berundur dengan tertib.
Aku menangkapnya di muka pintu.
“Pengetua panggil kau terima duit biasiswa.”
Mariah tersengih.
“Kau mahu duit tak?” Aku ulangi, cuba menggembirakan hatinya.
Ketika kami memanjat tangga pejabat, Bibah menampar bahuku dari belakang.
“Ada orang cari Mariah,” kata Bibah.
“Ada lelaki berkumis di sana.”
Mariah tertegun melihat pemuda itu.
Bibah mengheret Mariah turun tangga. Pemuda berkumis menghampiri Mariah.
(Antologi kerusi halaman 107-108)
(i) Apakah yang dimaksudkan oleh Cikgu Zahari mengenal akar umbi kita seperti yang terdapat dalam petikan?[3 markah]
(ii) Sekiranya anda Mariah, bagaimanakah tindakan anda untuk membaiki prestasi akademik anda?3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di ats dan dua pengajaran lagi daripada keseluruhan cerpen tersebut?
[3 markah]
Soalan 2 (c) Petikan Prosa Klasik
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka kata Saidah dengan tangisnya, “sebab pun hamba demikian ini daripada tiada hamba mahu memalingkan muka hamba daripada tuan hamba, yang niat hamba kepada Allah subhanahu wataala kepada siang dan malam dan hendak mati di bawah kadam tuan hamba juga. Daripada sangat belas hati hamba, maka hamba katakan rahsia ini kepada tuan hamba. Inilah hal saudara tuan hamba yang diharapkan itu. Hamba dapati afalnya itu selama ia diam pada kita di sini. Maka hari pun malamlah sudah, maka pada ketika awal dinihari tuan hamba pun tatkala tidur tiada sedarkan diri, tatkala itu hamba sakit perut hendak qada hajat, maka hamba pun pergi pada tempat buang air seni. Setelah sudah hamba buang air seni itu, maka hamba pun keluar hendak kembali. Maka dipegang oleh Sabor tangan hamba. Maka hamba pun hendak berteriak, maka dihunusnya jambiahnya hendak menikam; daripada hamba takutkan mati, maka hamba pun diamlah. Maka hendak dicabulinya hamba, maka hamba pun tiada mahu pula, daripada hamba takut akan Allah taala dan takut akan tuan hamba, malulah hamba, baiklah hamba mati dibunuhnya sekalipun, daripada derhaka akan tuan hamba”.
(i) Apakah maksud rangkai kata Hamba dapati afalnya berdasarkan petikan di atas?[2 markah]
(ii) Apakah yang diadukan oleh Saidah kepada Jibor?[ 3 markah]
(iii) Sekiranya anda Jibor, apakah tindakan-tindakan yang akan anda ambil terhadap Sabor selepas mendengar aduan Saidah?[3 markah]
Soalan 2 (d) Petikan Puisi
Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
SYAIR KELEBIHAN ILMU
Ilmu itulah gemala sakti, Bagi yang duka ia penghibur,
Sinarnya cerah cahaya sejati, Ia penerang bagi yang kabur,
Asal puncanya lamun didapati, Ialah kandil di dalam kubur,
Sukar bercerai sehinga mati. Lamun dengannya beramal subur.
Harganya tidak dapat dinilaikan, Ia penerang jalan ke syurga,
Sebuah dunia belinya bukan, Ia pemuas tekak yang dahaga,
Kuasanya besar sukat digunakan, Ialah sungai ialah telaga,
Di laut di darat di rimba di pekan. Laut yang luas ialah juga.
Masa seorang ialah taulan, Ialah alat sangat berguna,
Teman berbeka suluh berjalan, Idaman orang yang bijaksana,
Masa berhimpun ia pengenalan, Hamparnya luas amat saujana,
Hias penyata polan si polan. Tepinya ajal sempadannya fana.
Za’ba
Puisi Warisan, 1994.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
(i) Berikan maksud rangkai kata Ia penerang bagi yang kabur seperti dalam syair di atas.[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk melahirkan masyarakat berilmu?
3 markah]
(iii) Nyatakan 3 persoalan yang terdapat dalam syair di atas.[3 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan
(a) Tulis satu ayat daripada perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.
(i) lalu
(ii) berlalu
(iii) melalui
(iv) terlalu
(v) laluan
(vi) keterlaluan
[6 markah]
(b) Tukar ayat majmuk dalam petikan di bawah ini menjadi enam ayat tunggal tanpa mengubah maksud asalnya.
Ombak besar yang melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur itu dikenali sebagai fenomena “ekor naga”. Para nelayan tidak berani turun ke laut kerana bimbang nyawa mereka terancam. Kejadian tersebut menyebabkan jalan raya Kampung Pulau Tok Gajah dan Kampung Dasar Sabak ditenggelami air. [6 markah]
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat-ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(i) Majlis pelantikan pengawas yang berlangsung di perkarangan sekolah itu telah diresmikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Johor pada pukul 9.00 pagi.
(ii) Orang ramai membanjiri pusat membeli-belah yang baru dibuka itu kerana tidak mahu ketinggalan daripada memenangi hadiah sebagai pengunjong bertuah.
(iii) Walaupun sibuk sebagai akedemik, Amir Faris masih bersempat menabur bakti dalam aktiviti kemasyarakatan.
[6 markah]
(d) Dalam ayat-ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan kata atau istilah atau kesalahan bahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(i) Golongan remaja haruslah mempunyai ketahanan diri yang teguh demi untuk menangkis gejala negatif yang boleh memporakperandakan masa depan mereka.
(ii) Ahli korporat berpendapat yang anaknya juga patut dibenarkan melanjutkan pendidikannya ke seberang laut.
(iii) Rencana itu mengkhabarkan tentang kegigihan tiga orang belia mengusahakan ladang limau madu di Mersing.
[6 markah]
(e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.
(i) Sebaik-baik sahaja pihak mahkamah menjatuhkan hukuman mati mandatori kerana terlibat dengan pengedaran dadah, Lai Kin Sheng menitiskan air matanya penyesalan atas perbuatannya itu.
(i) Haji Rusli sentiasa menasihati anak bongsunya Razlan agar menjauhi najis dadah kerana mendatangkan pelbagai kesan buruk, namun langsung tidak dihiraukan oleh anaknya itu.
(ii) Cikgu Latifah mengingatkan anak-anak murid supaya tidak mudah jemu membuat latihan seperti yang diberikan oleh guru. Katanya, “sesuatu yang susah itu akan menjadi lebih mudah jika kita selalu mempraktikkannya.”
[6 markah]
Soalan 4 : Novel
[15 markah]
Jawab soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel-novel yang anda pelajari.
(i) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(ii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad
(a) Terdapat pelbagai peristiwa yang dipaparkan dalam sesebuah novel.
Huraikan dua peristiwa yang dianggap tidak munasabah dalam satu novel yang telah anda pelajari.
Mengapakah anda berpendapat demikian? [7 markah]
(b) Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan dua nilai kemasyarakatan dalam setiap novel itu. [8 markah]
SKEMA JAWAPAN
(Rumusan)
Pendahuluan / pengenalan [2 markah]
1. Petikan membincangkan kepentingan/faedah/kebaikan sains dan teknologi
dalam membina tamadun manusia. 2
2. Petikan membincangkan peranan sains dan teknologi dalam membina tamadun
manusia. 1
Isi tersurat [ 4- 12 markah]
1. Sebagai salah satu sumber untuk meneruskan kehidupan. 2
2. Masyarakat pengembara primitif menjadikan sains dan teknologi sebagai panduan. 2
3. Pemburu boleh mengelak daripada binatang buruan tercium bau mereka. 2
4. Pemburu boleh memiliki ilmu anatomi binatang. 2
5. Pemburu tahu menentukan bahagian yang paling rawan untuk sasaran senjata. 2
6. Turut diaplikasikan dalam pembuatan senjata untuk memburu. 2
7. Senjata-senjata boleh ditajam dan diruncingkan. 2
8. Boleh mengukur kemajuan sesebuah negara. 2
9. Petani boleh mengaplikasikan konsep sains dalam amalan pertanian. 2
Isi tersirat [ 4-12 markah]
1. Masyarakat masih menggunakan peralatan lama. 2
2. Masyarakat tidak mahu berubah. 2
3. Harga peralatan yang sangat mahal. 2
4. Kekurangan kepakaran untuk mengendalikannya. 2
5. Kos penyelenggaraan meningkat/tinggi 2
6. Masyarakat tidak mahir menggunakannya 2
7. Kesukaran mendapatkan pinjaman pembelian peralatan. 2
8. Masyarakat kekurangan wang/modal. 2
9. Institusi kewangan sukar memberi pinjaman. 2
Penutup [2 markah]
1. Kesimpulannya, kerajaan perlu menggalakkan penggunaan sains dan teknologi
dalam kehidupan supaya meningkatkan kemajuan negara. 2
2. Oleh itu/Tuntasnya/Intihanya semua pihak perlu memanfaatkan sains dan
teknologi dalam kehidupan seharian supaya kehidupan mereka lebih selesa. 2
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2 (a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata intipati alam semula jadi.
[2 markah]
Isi / kandungan yang bersumberkan alam semesta
(ii) Bagaimanakah sains dan teknologi membantu kehidupan masyarakat primitif dan moden?
[3 markah]
Menggunakan senjata untuk memburu [1m]
Memahami penggunaan dalam pemburuan [1m]
Masyarakat moden menggunakannya untuk teknologi pertanian [1m]
Masyarakat moden menggunakannya untuk memahami dan menjaga ekosistem [1m]
(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk menggalakkan masyarakat supaya
menggunakan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian?
[4 markah]
Kemudahan memberi pinjaman modal / kewangan [1m]
Pameran / karnival berkaitan sains dan teknologi kepada orang ramai [1m]
Ceramah / seminar berkaitan sains dan teknolog [1m]
Lawatan ke Pusat Sains Negara / Pusat Sains dan Teknologi [1m]
Pendedahan sains dan teknologi kepada pelajar sejak awal [1m]
Memperbanyak rancangan televisyen berkaitan sains dan teknologi [1m]
Menawarkan kursus-kursus di universiti berkaitan dengan sains dan teknologi [1m]
Kerajaan mengadakan minggu atau bulan sains dan teknologi [1m]
Soalan 2 (b) Petikan Cerpen
(i) Apakah yang dimaksudkan oleh Cikgu Zahari mengenal akar umbi kita seperti yang terdapat dalam petikan?
[3 markah]
• Mengetahui asal usul bangsa kita
• Mengetahui corak budaya masyarakat
• Mengetahui pemikiran masyarakat kita
• Mengetahui pemerintahan negara kita
(ii) Sekiranya anda Mariah, bagaimanakah tindakan anda untuk membaiki prestasi akademik anda?
[3 markah]
• Berjumpa dengan guru kaunseling – untuk menyelesaikan masalah keluarga
• Mengetahui cara belajar yang efektif.
• Sentiasa memotivasikan diri.
• Sentiasa berfikiran positif.
• Belajar secara berkumpulan.
• Menganggap ujian hidup sebagai perangsang
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan dua pengajaran lagi daripada keseluruhan cerpen tersebut?
[3 markah]
Dalam petikan
• Kita perlulah mendengar nasihat guru kerana guru merupakan orang yang berpengalaman daan sentiasa mengharapkan kejayaan anak-anak murid.
• Kita hendaklah selalu bersikap bersopan santun apabila berhadapan dengan guru.
Dalam Cerpen
• Kita haruslah menghormati kedua-dua ibu bapa kita – Mariah sentiasa menghormati bapanya
• Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan hidup - Mariah
• Kita hendaklah amanah dalam segala hal – Edah sentiasa menjaga rahsia Mariah
• Kita hendaklah saling membantu antara satu sama lain – Borhan bersedia membantu Mariah meneruskan pelajarannya.
• Kita haruslah sentiasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan – Mariah bersyukur dikurniakan badan yang sihat untuk menjaga bapanya.
Soalan 2 (c) Petikan Prosa Klasik
(iv) Apakah maksud rangkai kata Hamba dapati afalnya berdasarkan petikan di atas?
[2 markah]
Saidah sedar akan perangai / kelakuan / sikap / perbuatan Sabor
(v) Apakah yang diadukan oleh Saidah kepada Jibor?
[ 3 markah]
Saidah mengadu ketika dia hendak buang air di bilik air, tangannya dipegang oleh Sabor.
Saidah cuba menjerit tetapi Sabor mengancam untuk menikamnya dengan jambiah.
Sabor cuba mencabul kehormatan Saidah tetapi dia dapat mengelak kerana takut akan Allah dan suaminya
Saidah rela mati daripada dicabuli
(vi) Sekiranya anda Jibor, apakah tindakan-tindakan yang akan anda ambil terhadap Sabor selepas mendengar aduan Saidah?
[3 markah]
Menyiasat / menyelidik / mencari bukti terlebih dahulu
Bersemuka dan berbincang dari hati ke hati dengan Sabor
Mencari saksi yang boleh mengesahkan kejadian / peristiwa
Menggunakan orang tengah / tokoh agama / orang yang boleh dipercayai untuk meminta pandangan / nasihat untuk mengatasi masalah tersebut
Soalan 2 (d) Petikan Puisi
(iv) Berikan maksud rangkai kata Ia penerang bagi yang kabur seperti dalam syair di atas.
[2 markah]
• Ia penyuluh kepada yang kurang pandai
• Ia pembantu kepada yang kurang berilmu
• Penunjuk jalan
(v) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk melahirkan masyarakat berilmu?
[3 markah]
• Kerajaan mengadakan kempen membaca/menyemai budaya membaca
• Pihak sekolah mengadakan program budaya membaca
• Ibu bapa menggalakkan anak-anak ke perpustakaan
• Media massa mengadakan program-program pendidikan
• Pihak kerajaan dan swasta menubuhkan pusat-pusat pengajian tinggi
(vi) Nyatakan 3 persoalan yang terdapat dalam syair di atas.
[3 markah]
Persoalan tentang;
• Ilmu dituntut sepanjang hayat
• Ilmu menjadikan seseorang berjaya dalam hidup
• Ilmu sangat berharga/ tidak ternilai
• Ilmu sangat berkuasa/berpengaruh
• Ilmu menjadi panduan hidup manusia
• Orang berilmu dipandang tinggi dalam masyarakat
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan
(f) Tulis satu ayat daripada perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.
(i) lalu
melintas / sekali gus / sambil-sambil / boleh masuk / telus / lulus / yang sudah lepas / yang sudah berlaku / berdaya / hingga ke / sanggup / sesudah itu
(ii) berlalu
lepas / lampau / berjalan / berlepas
(iii) melalui
mengikuti / melintasi / menempuhi / melampau
(iv) terlalu
teramat sangat / terlampau / melampaui batas / berlebih-lebihan / perbuatan yang tidak disengajakan
(v) laluan
jalan yang dilalui / landasan / pergerakan
(vi) keterlaluan
hal yang berlebih-lebihan / keadaan yang melampau / teramat sangat / terlalu / melampau batas
[6 markah]
(g) Tukar ayat majmuk dalam petikan di bawah ini menjadi enam ayat tunggal tanpa mengubah maksud asalnya.
Ombak besar yang melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur itu dikenali sebagai fenomena “ekor naga”. Para nelayan tidak berani turun ke laut kerana bimbang nyawa mereka terancam. Kejadian tersebut menyebabkan jalan raya Kampung Pulau Tok Gajah dan Kampung Dasar Sabak ditenggelami air.
[6 markah]
1. Ombak besar melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur [1m]
2. Ombak besar itu dikenali sebagai fenomena “ekor naga” [1m]
3. Para nelayan tidak berani turun ke laut [1m]
4. Para nelayan bimbang nyawa mereka terancam [1m]
5. Kejadian tersebut menyebabkan jalan raya di Kampung Pulau Tok Gajah [1m]
6. Kejadian tersebut menyebabkan jalan raya di Kampung Dasar ditenggelami air [1m]
(h) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat-ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(iv) Majlis pelantikan pengawas yang berlangsung di perkarangan sekolah itu telah diresmikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Johor pada pukul 9.00 pagi.
a. perkarangan – pekarangan ; diresmikan – dirasmikan
(v) Orang ramai membanjiri pusat membeli-belah yang baru dibuka itu kerana tidak mahu ketinggalan daripada memenangi hadiah sebagai pengunjong bertuah.
Membeli-belah – beli-belah ; pengunjong - pengunjung
(vi) Walaupun sibuk sebagai akedemik, Amir Faris masih bersempat menabur bakti dalam aktiviti kemasyarakatan.
akedemik - akademik ; bersempat - sempat
[6 markah]
(i) Dalam ayat-ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan kata atau istilah atau kesalahan bahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(iv) Golongan remaja haruslah mempunyai ketahanan diri yang teguh demi untuk menangkis gejala negatif yang boleh memporakperandakan masa depan mereka.
a. demi untuk - demi / untuk ; memporakperandakan – menghancurkan / mengelapkan / menjejaskan
(v) Ahli korporat berpendapat yang anaknya juga patut dibenarkan melanjutkan pendidikannya ke seberang laut.
a. yang - bahawa ; pendidikannya - pelajarannya / pengajiannya
(vi) Rencana itu mengkhabarkan tentang kegigihan tiga orang belia mengusahakan ladang limau madu di Mersing.
a. Mengkhabarkan - mengisahkan / menceritakan ; tentang - digugurkan
[6 markah]
(j) Berdasarkan pernyataan yang berikut, berikan peribahasa yang paling sesuai bagi setiap situasi di bawah.
(j) Sebaik-baik sahaja pihak mahkamah menjatuhkan hukuman mati mandatori kerana terlibat dengan pengedaran dadah, Lai Kin Sheng menitiskan air matanya penyesalan atas perbuatannya itu.
a. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
b. Nasi sudah menjadi bubur
(iii) Haji Rusli sentiasa menasihati anak bongsunya Razlan agar menjauhi najis dadah kerana mendatangkan pelbagai kesan buruk, namun langsung tidak dihiraukan oleh anaknya itu.
Seperti hujan jatuh ke pasir
seperti mencurahkan air ke daun keladi
(iv) Cikgu Latifah mengingatkan anak-anak murid supaya tidak mudah jemu membuat latihan seperti yang diberikan oleh guru. Katanya, “sesuatu yang susah itu akan menjadi lebih mudah jika kita selalu mempraktikkannya.”
Alah bisa tegal biasa
[6 markah]
Soalan 4 : Novel
[15 markah]
[7 markah]
Di Hadapan Pulau
• Kapten Hebat sanggup memakan mokmeng hidup-hidup.
• Rugiah gadis yang selama ini bersopan santun dan berakhlak mulia telah berubah menjadi gadis liar setelah ditahan oleh askar Jepun selama empat hari.
• Peristiwa Syed Zuhri menjual batu akek yang kononnya mempunyai hikmat.
• Peristiwa Aziz dan Afidah, dua orang kanak-kanak yang mempunyai keberanian luar biasa menyusuri kubu lama yang penuh misteri untuk mencari makana, sedangkan orang dewasa pun dikatakan tidak berani pergi ke tempat itu.
• Peristiwa Aziz dan Afidah, yang boleh mengetahui kepulangan Dorani setelah dibebaskan oleh Jepun, sedangkan Dorani hanya pulang ke rumahnya setelah lewat malam.
Putera Gunung Tahan
• Terdapat perkara-perkara/benda-benda ajaib contohnya teropong terus, pohon beringin bercakap, dan burung pesuruhjaya.
• Dalam upacara majlis perkahwinan Tuan Robert daan gadis sakai – Tuan Robert terpaksa memanjat pokok kerana akur dengan budaya masyarakat Sakai.
• Peristiwa Tuan William dibawa oleh Kusina mengadap Ratu Bongsu di puncak Gunung Tahan dalam waktu yang sangat singkat.
• Peristiwa Ratu Bongsu yang mempunyai semangat patriotik yang begitu tinggi boleh jatuh hati terhadap bangsa penjajah.
• Peristiwa Ratu Bongsu yang boleh berkomunikasi dengan orang Bunian.
• Peristiwa Ratu Bongsu yang boleh tinggal di puncak Gunung Tahan dengan hanya ditemani orang-orang Bunian
(b) Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan dua nilai kemasyarakatan dalam setiap novel itu.
[8 markah]
Dalam novel Putera Gunung Tahan, terdapat latar masyarakat yang masih berpegang teguh kepada adat dan tradisi, contohnya Tuan Robert terpaksa menjalani majlis perkahwinannya dengan gadis sakai mengikut adapt istiadat kaum sakai. Novel Di Hadapan Pulau pula terdapat latar masyarakat yang runtuh moralnya. Contohnya Rosiah sanggup menjual maruah diri untuk mendapatkan makanan.
Dalam novel Putera Gunung Tahan, terdapat masyarakat Sakai, contohnya masyarakat Sakai yang tinggal dalam hutan belantara yang diberi nama Kampung Rimau Putih. Dalam novel Di Hadapan Pulau terdapat masyarakat yang terdiri pelbagai kaum atau keturunan. Contohnya masyarakat Melayu diwakili oleh Tuk Marzuki dan Aziz, masyarakat berketurunan Arab, diwakili Syed Fikri dan Syed Zuhri dan masyarakat keturunan Indonesia, diwakili oleh Soejono.
Dalam novel Putera Gunung Tahan, terdapat masyarakat yang mementingkan diri sendiri. Contohnya perempuan tua yang telah ditinggalkan seorang diri oleh rakan-rakannya di dalam hutan ketika hendak melahirkan anak. Dalam novel Di Hadapan Pulau terdapat masyarakat yang tolong menolong, contohnya Dorani, Zubir, dan Raihan bergotong-royong membina shelter untuk Mak Ketong
Tiada ulasan:
Catat Ulasan