CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 5 Februari 2010

NOTA SEJ TING 2 BAB 2

BAB 2
KEKAYAAN HASIL BUMI MENDORONG CAMPUR TANGAN BRITISH
2.1 Dasar Campur Tangan British di Negeri-Negeri Melayu Faktor-faktor British Melaksanakan Dasar Campur Tangan

• Dasar campur tangan British bermaksud British melibatkan diri secara langsung dalam pentadbiran di negeri-negeri Melayu selepas tahun 1874.
• Walaupun sebelum ini British menyatakan tidak mengamalkan dasar campur tangan, tetapi mereka telah mengambil Pulau Pinang, Singapura serta Melaka dan membentuk Negeri-Negeri Selat.
• Negeri-Negeri Selat telah menjalin hubungan dagang yang aktif dengan negeri-negeri Melayu.


Peta 1.1 Hubungan perdagangan negeri-negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat

Faktor-faktor campur tangan British di negeri-negeri Melayu ialah:-

1. Kekayaan Hasil Bumi
• Negeri-Negeri Melayu kaya dengan bijih timah, emas, bijih besi, dan arang batu.
2. Revolusi Perindustrian
• Revolusi Perindustrian menyebabkan British memerlukan bijih timah untuk perusahaan mengetin makanan.
• Negeri-Negeri Melayu yang kaya dengan bijih timah mesti dikuasai untuk mendapatkan bekalan bijih timah yang berterusan dan menjadi tempat memasarkan hasil keluaran kilang.
3. Penciptaan Kapal Wap dan Pembukaan Terusan Suez
• Penciptaan kapal wap dapat mempercepat perjalanan dan membawa muatan yang lebih banyak.
• Pembukaan Terusan Suez dapat memendekkan jarak perjalanan dari England ke Tanah Melayu.

4.Kebimbangan Campur Tangan Kuasa Eropah Lain

• British tidak akan membiarkan kuasa-kuasa lain campur tangan di Asia Tenggara.
• Belanda telah meluaskan kuasanya ke Indonesia, manakala Perancis menduduki IndoChina dan Sepanyol menduduki Filipina.

5. Pertukaran Kerajaan Mengubah Dasar British

• Pada tahun 1873, Parti Konservatif mengambil alih pucuk kepimpinan British daripada Parti Liberal. Kerajaan baru British telah menukar dasar tidak campur tangan kepada dasar campur tangan.

6. Desakan Pedagang Mempercepat Campur Tangan

• Keadaan huru-hara timbul akibat pertelingkahan di kalangan pembesar dan pergaduhan kongsi gelap. Pedagang Negeri-Negeri Selat mendesak British campur tangan dan melindungi kepentingan pelaburan mereka.
• Pada tahun 1873, seramai 243 orang pedagang Negeri-Negeri Selat menulis surat kepada Setiausaha Tanah Jaiahan British, Lord Kimberley bagi mendesak British campur tangan.

2.2 Keadaan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang Memberi Peluang Campur Tangan British
5. Ketidakstabilan di Perak
• Pada tahun 1848, Long Jaafar membawa masuk orang Cina untuk memajukan perlombongan bijih timah di Larut.
• Tercetusnya pergaduhan sesama orang Cina kerana kebanyakan mereka memasuki kongsi gelap yang bertentangan, sama ada Ghee Hin atau Hai San.
• Pergaduhan ini membawa kepada Perang Larut dan menjejaskan perusahaan bijih timah.
• Keadaan bertambah buruk apabila berlaku perebutan takhta di kalangan kerabat diraja kerana sistem pewarisan takhta tidak diamalkan sepenuhnya.
• Selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871, Raja Ismail (Raja Bendahara) telah dilantik sebagai sultan.
• Pelantikan itu ditentang oleh Raja Abdullah dan Raja Yusuf. Mengikut sistem pewarisan takhta, Raja Abdullah ialah Raja Muda yang sepatutnya ditabal menjadi sultan. Raja Yusuf pula pernah menjawat jawatan Raja Di Hilir tetapi diketepikan kerana tidak disukai pembesar Perak.
• Raja Abdullah meminta bantuan British.
• Andrew Clarke berunding dengan pembesar-pembesar Melayu dan kongsi gelap Cina untuk menamatkan kekacauan.
• Hasil rundingan telah membawa kepada termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Perjanjian ini menandakan bermulanya penguasaan secara langsung British dalam pentadbiran Tanah Melayu.

Perjanjian Pangkor 1874

Syarat-syarat Perjanjian ialah :-
h) Raja Abdullah diiktiraf sebagai Sultan Perak.
i) Raja Ismail diakui sebagai Raja Muda.
j) Sultan menerima seorang Residen British yang akan menjadi penasihat baginda.
k) Residen berkuasa ke atas pungutan cukai di Perak.
l) Residen, Penolong Residen, Sultan, dan pembesar dibayar gaji daripada hash negeri Perak.
m) Ngah Ibrahim kekal sebagai Menteri Larut dan menerima Penolong Residen.
n) Menteri Larut akan membiayai kos mengembalikan keamanan negeri.


















6. Selangor (Konflik Perang Saudara)
• Perang Klang yang berlaku semasa pemerintahan Sultan Abdul Samad memberi peluang kepada British mencampur tangan di Selangor.
• Daerah Klang yang kaya dengan bijih timah menjadi rebutan antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah.
• Pada mulanya daerah Klang berada di bawah kuasa Raja Sulaiman.
• Apabila Raja Sulaiman mangkat, daerah Klang tidak diserahkan kepada Raja Mahadi, iaitu putera Raja Sulaiman.
• Sebaliknya, daerah Klang diserahkan kepada Raja Abdullah.
• Perang Saudara yang dikenali sebagai Perang Klang berlaku apabila Raja Mahadi menyerang Raja Abdullah.
• Perang Saudara ini menjejaskan kegiatan perdagangan di Selangor.
• Sultan Abdul Samad telah melantik menantu baginda Tengku Kudin untuk mendamaikan kedua-dua pihak.
• Tengku Kudin ialah putera diraja Kedah.
• Tengku Kudin tidak diterima oleh pembesar Selangor kerana beliau dianggap bukan anak watan Selangor.
• British berpeluang campur tangan di Selangor apabila Tengku Kudin meminta bantuan British untuk menamatkan perang saudara di Selangor.
• Tengku Kudin berjaya menewaskan Raja Mahadi dan menamatkan Perang Klang dengan bantuan British.
• British cuba mendesak Sultan Abdul Samad supaya menerima Residen British tetapi tidak berjaya.
• Namun begitu, British terus menunggu peluang dan mencari alasan untuk menempatkan residennya di Selangor.
• Dua peristiwa yang berlaku di perairan Selangor telah memberi peluang kepada British untuk mendesak Sultan Abdul Samad menerima Residen British.
1873 - kapal dagang British dirompak oleh lanun berdekatan Langat
1874- rumah api yang dibina oleh British di Tanjung Rachado diserang.
• Pada tahun 1874, Selangor terpaksa menerima J.G. Davidson sebagai Residen dan Frank Swettenham sebagai Penolong Residen.
• Dengan itu, British mula berkuasa di Selangor





7. Perbalahan di Sungai Ujong, Negeri Sembilan

• British berpeluang mencampur tangan di Negeri Sembilan apabila pembesar tempatan di Sungai Ujong, iaitu Dato' Kelana Syed Abdul Rahman meminta bantuan British untuk mengukuhkan kedudukannya dalam perebutan kuasa di daerah Sungai Ujong.
• Dato' Kelana Syed Abdul Rahman yang telah dilantik menjadi pemerintah di daerah Sungai Ujong pada tahun 1872 telah dicabar oleh Dato' Bandar Kulop Tunggal.
• Perebutan kuasa antara mereka berlaku kerana masing-masing hendak menguasai pungutan cukai terhadap pedagang yang menggunakan Sungai Linggi, iaitu sebatang sungai dalam daerah Sungai Ujong.
• Sungai Linggi ialah jalan pengangkutan utama ke pelabuhan Melaka.
• Jadi pembesar yang menguasai Sungai Linggi akan memperoleh kekayaan.
• Dato' Kelana Syed Abdul Rahman telah bersetuju menerima perlindungan British pada tahun 1874.
• Perjanjian Dato Kelana dengan British:
a. Dato' Kelana diiktiraf sebagai pemerintah di daerah Sungai Ujong oleh British.
b. British mempunyai kuasa penuh dalam hal pengutipan cukai di Sungai Linggi.
c. P. J. Murray dilantik sebagai Residen British yang pertama di daerah Sungai Ujong.
• Dato' Bandar membantah pengutipan cukai di Sungai Linggi oleh British.
• Dato' Bandar telah ditewaskan oleh Dato' Kelana dengan bantuan tentera British.
• Dato' Bandar dibuang negeri ke Singapura.
• British meluaskan pengaruhnya di Negeri Sembilan dengan melantik Pegawai Majistret dan Pemungut Hasil di daerah Rembau, Jelebu dan Seri Menanti.
• Tugas Majistret dan Pemungut Hasil adalah untuk menguatkuasakan undang-undang British dan memungut cukai.


8. British bimbang pertapakan kuasa Eropah lain di Pahang

• Sultan Pahang, Sultan Ahmad. memajukan Pahang untuk menyekat perluasan pengaruh British.
• British cuba meluaskan pengaruhnya di Pahang kerana bimbang kemajuan Pahang akan menjejaskan kepentingan mereka di negeri-negeri Melayu yang lain.
• Pada tahun 1886, British menggunakan kaedah memujuk untuk memujuk Sultan Ahmad menerima Residen British tetapi gagal berbuat demikian.
• Pada tahun 1887, British dengan bantuan Sultan Abu Bakar dari Johor berjaya memujuk Sultan Ahmad menerima wakil British.
• Pada tahun 1888 British berpeluang untuk campur tangan secara langsung di Pahang apabila seorang warganegara British berbangsa Cina yang bernama Goh Hui ditemui mati di kawasan berdekatan istana Sultan Ahmad.

2.3 Residen Menggugat Kuasa Sultan dan Pembesar
• Campur tangan British telah menyebabkan pengenalan Sistem Residen di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
• British melantik seorang Residen bagi setiap negeri. Negeri-negeri ini diletakkan sebagai negeri naungan British.
• Keadaan ini telah menggugat kuasa sultan dan pembesar.

2.4 Pengukuhan Kuasa British melalui Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
• Sistem Residen di negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang mempunyai banyak kelemahan kerana tiada panduan yang jelas.
• Corak pentadbiran di ketiga-tiga negeri tersebut tidak seragam dan Residen menjadi terlalu berkuasa sehingga Gabenor Negeri-negeri Selat tidak berupaya mengawal kuasa Residen.
• Untuk mengatasi masalah ini, British telah menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah suatu pentadbiran yang dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Persekutuan 1896.
• Sebab-sebab pembentukan persekutuan ialah:
i. Menyamakan pentadbiran antara NNMB supaya sistem percukaian, sistem keadilan dan undang-undang diselaraskan dan diseraganikan.
ii. Menjimatkan perbelanjaan pentadbiran.
iii. Mengatasi masalah kewangan negeri Pahang.
iv. Memajukan sistem perhubungan antara negeri.
v. Mengawal kuasa Residen yang semakin bertambah.
vi. Memperkukuh pertahanan negeri daripada ancaman luar.

2.5 Pembentukan Persekutuan Mencabar Kewibawaan Sultan
• Kesan Pembentukan Persekutuan
a) Wujud kerjasama antara keempat¬-empat buah negeri.
b) Pelaburan asing bertambah terutama dalam sektor perlombongan dan penanaman getah.
c) Undang-undang kehakiman dapat diselaraskan.
d) Perkhidmatan pakar dapat dikongsi bersama.
e) Ketua-ketua jabatan di Kuala Lumpur lebih berkuasa dan pegawai tertinggi terdiri daripada orang British.
f) Residen Jeneral berkuasa penuh dalam menentukan dasar pentadbiran.
g) Sultan-sultan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu mendapati kuasa mereka semakin berkurangan. Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pihak British.
• British bersetuju menubuhkan Durbar atau Persidangan Raja-raja Melayu bagi mengatasi masalah tersebut pada tahun 1897.
• Persidangan Raja-raja Melayu atau Durbar Pertama berlangsung pada tahun 1897 di Kuala Kangsar. Ini adalah perintis ke arah Persidangan Raja-raja Melayu yang diadakan setiap tahun sekarang.
• Pada tahun 1903, Durbar Kedua diadakan di Kuala Lumpur.
• Dalam Durbar Kedua, Sultan Idris (Sultan Perak) telah mendesak agar:-
e) kuasa raja-raja Melayu dikembalikan.
f) bilangan pegawai Melayu dalam perkhidmatan kerajaan ditingkatkan.
g) pegawai Melayu dilantik ke jawatan yang lebih tinggi.
h) Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi.
• Kesan desakan Sultan Idris dalam Durbar Kedua:
d) Durbar digantikan dengan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1909.
e) Jawatan Residen Jeneral dimansuhkan dan digantikkan dengan jawatan Ketua Setiausaha.
f) British mengembalikan kuasa mentadbir kepada Majlis Mesyuarat Negeri.

1 ulasan: