CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 24 Februari 2010

MODUL HIKMAH 8

MODUL 9 (DRAMA)
(Soalan 31 hingga Soalan 35)

DRAMA : JERAT (TINGKATAN 1)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
UJANG: Inilah Bukit Tinggi tu yang aku katakan pada kamu dulu.
KUDIN: Sekarang kita dah sampai, apa ditunggu lagi Ujang! Mulakan saja, aku dan tak
sabar ni!
LAMIN: Aku seramlah!
UJANG: Apa kau ni. Lamin! Kau ni penakut sangat. Kau kata kau ada teman.
KUDIN: Dahlah tu, sekarang ni bukan masa nak bergurau lagi!
UJANG: Betul juga kata kau tu Kudin. Sekarang, beri tali-tali tu padaku.
KUDIN: (menghulurkan tali) Nah!
UJANG: Lamin, berikan parang tu padaku. Aku nak pasang perangkap ni!
LAMIN: Apa? Sarang?
UJANG: Bukan saranglah, parang!
KUDIN: Lamin, kau ni apalah. Bagi parang tu pada Ujang!
LAMIN: (Mengeluarkan parang dari dalam beg) Nah! Hanya parang kontot saja!
UJANG: Kontot pun kontotlah. Janji boleh guna, sudah.
KUDIN: Ujang, kau buatlah dulu dengan Lamin. Aku nak pergi buang air kecil sekejap!
UJANG: Pergilah, tapi jangan lam-lama. Kawasan ni banyak puaka tau!
KUDIN: Apa? Ada puaka? Ah, tak usah kau nak takutkan aku Ujang!
UJANG: Aku cakap betul ni Kudin!
KUDIN: (Mendekati Lamin) Lamin! Beri pisau tu pada aku!
LAMIN: Aku tak risau pun!
KUDIN: Pisaulah! Bukan risau! Hai, sejak bila kau jadi pekak ni?
LAMIN: Kau nak buat apa dengan pisau ni?
KUDIN: Saja. Sebagai teman!
UJANG: Tadi kau kata kau nak pergi buang air kecil. Kenapa tak pergi lagi?
KUDIN: Yalah, aku pergi ni!
Kudin berlalu dan meninggalkan Lamin bersama Ujang.
UJANG: (sambil memasang jerat) Kalau kau nak belajar memasang jerat ni, belajar pada aku saja, Lamin!
LAMIN: Kau belajar dari siapa, Ujang?
UJANG: Ayahku seorang pemburu. Jadi aku belajar daripada dia. Aku pernah ikut dia memikat burung dan menjerat binatang. Tak kira binatang apa pun!
LAMIN: Ayah kau memang pandai tak semacam ayahku. Ayahku dah tak mahu lagi menjerat. Katanya kesian kepada binatang!
UJANG: Aku pun kesian juga. Tapi....yang kita nak jerat ni pelanduk! Kita tidak boleh kesian kerana itu makanan kita!
LAMIN: Kalau bukan pelanduk yang kena, macam mana?
UJANG: Itu kira nasiblah!
LAMIN: Kalau pelanduk tu mati, macam mana pula?
UJANG: Melepaslah kita!

(Dipetik daripada drama Jerat,
Antologi Sehijau Warna Daun, Tingkatan 1, DBP)




1.Bagaimanakah Ujang tahu menjerat binatang?
A. Mempelajarinya daripada ayahnya.
B. Mempelajarinya daripada pengalaman
C. Mempelajarinya melalui buku dan majalah
D. Mempelajarinya ketika menyertai persatuan pengakap

2. Berdasarkan petikan, frasa parang kontot sesuai digantikan dengan
A. parang kecil
B. parang bulat
C. parang tumpul
D parang pendek

3.Di manakah Ujang menjerat pelanduk?
A. Di kebun ayak Kudin.
B. DI hutan Bukit Tinggi
C. Di belakang rumahnya
D Di hutan hujung kampung

4. Persoalan yang terdapat dalam petikan drama di atas ialah
A. tanggungjawab memelihara alam sekitar
B. keindahan persekitaran ciptaan Tuhan
C. sikap menganiaya binatang
D. permuafakatan dan semangat setia kawan

5. Apakah klimaks drama ’Jerat’?
A. Ujang terkena jerat yang dipasangnya
B. Lamin mengikut Ujang dan Kudin menjerat pelanduk
C. Lamin belajar menjerat daripada Ujang
D. Ujang insaf atas kejadian yang menimpa dirinya.



DRAMA : ANGIN (TINGKATAN 2)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

ANGIN : (Berlagak sama) Wahai Matahari, jangan kau bercakap sembarangan. Kau pun tahu , bukankah aku ini menjadi pujaan manusia pada masa kini ? Manusia mengatakan suaraku merdu, belaianku lembut dan mesra malah mengkhayalkan. Tidak macam kau yang dibenci oleh mereka (mencemikkan mukanya). Mereka kata kau menyebabkan mereka kepanasan ! Mereka juga mendakwa sampai berpeluh-peluh apabila kau muncul. Memanglah kamu ni suka sangat menyusahkan orang lain.

MATAHARI : (Ketawa kuat dan panjang-panjang) Angin! Angin!Sungguh lancang mulutmu. Tidak ubah seganas tingkah lakumu. Kau juga jangan lupa bahawa kau menyebabkan manusia marah ! Dan mengutukmu ! Kata mereka, kau binasakan segala yang tertegak di muka bumi sampai menyembah tanah (Mengejek) Itukah yang kamu katakana lembut dan mesra? (Mendabik dada)Tapi... .aku juga banyak memberi jasa kepada manusia. Jika aku tiada,manusia hidup meraba-raba dalam kegelapan. (Ketawa lagi) Dan bagaimana pakaian mereka hendak kering di jemuran ?

ANGIN : (Tersenyum lebar) Kau ketinggalan zaman rupanya. (Ketawa besar)Bukankah zaman sekarang orang pakai washing machine yang boleh mengeringkan terus pakaian? (Mengejek)Dan apa perlunya kau itu lagi ?

MATAHARI : (Marah bukan main) Cis! Angin. Kau pun apa kurangnya? Kau seperti lupa bahawa zaman sekarang tidak perlu ada kau lagi. Untuk mendinginkan tubuh manusia, mereka telah mencipta kipas angin dan penyaman udara !

ANGIN : Ahhhhhhhhhh, bagaimana kalau penyaman udara mereka rosak? (Mengejek sinis) Tentu mereka akan memanggil aku. "Wahai Angin, datanglah kau! Duhai Angin berhembuslah.....(Tersenyum lebar)Datanglah bertiup sepoi-sepoi bahasa agar kami merasa nikmatnya......"

MATAHARI : Kau hanya berangan-angan Angin! (Mengejek jijik) Kau juga lupa jika pakaian mereka lembap, mereka juga akan memanggil aku kau tahu? (Menyindir) Lalu mereka pun berkata dan merayu kepadaku, "Wahai Matahari, muncullah segera engkau untuk mengeringkan pakaianku. Muncullah Matahari, Matahariku tersayang!"

ANGIN : (Gelak-gelak mengejek) Nampaknya antara kita.. .tidak ada siapa pun yang mahu mengalah. Kita. perlu beradu nasib. Aku cadangkan, satu pertandingan yang khusus perlu dilangsungkan. Dan kita mesti memanggil saksi-saksi serta panel hakim bagi penentuan. (Tersenyum lebar).

(Dipetik daripada Drama Angin,
Antologi Seuntai Kata untuk Dirasa, Tingkatan 2, DBP )

1 Mengapakah Matahari ketawa kuat dan panjang-panjang ?

A kerana Matahari suka ketawa
B kerana Matahari berasa geli hati mendengar pujian Angin
C kerana Matahari berasa dirinya lebih hebat apabila ketawa
D kerana Matahari berasa lucu mendengar Angin bersikap ambil bakul angkat sendiri.

2 Watak Angin dan Matahari jelas digambarkan sebagai watak yang ..........

A baik hati
B bongkak
C iri hati
D bertanggungjawab

3 Apakah persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang ?

A Pentingnya rasa hormat dan menyedari bahawa setiap kejadian Tuhan ada kelebihan dan kekurangannya
B Pentingnya muafakat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi
C Pentingnya menunjuk-nunjuk kehebatan supaya disegani orang lain
D pentingnya beradu tenaga demi menegak kebenaran

4 Pada pendapat anda ,kenapakah Angin mencadangkan agar diadakan satu pertandingan ?

A kerana pertandingan amat menyeronokkan
B kerana berasa yakin dia lebih kuat
C kerana masing-masing tidak mahu mengalah
D kerana ada tawaran hadiah yang lumayan

5 Berdasarkan petikan tersebut pengajaran yang didapati daripada drama ini ialah....

A kita patut menyokong Angin kerana tanpa angin kita akan kepanasan
B kita patut menyokong Matahari kerana tanpa matahari kita akan kesejukan
C kita mesti bersyukur kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri
D kita patut bersatu padu dan mengelakkan pergaduhan yang tidak ada kebaikannya.





DRAMA : ADIK BERJASA (TINGKATAN 3)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

AHMAD : (Setelah berfikir.) Perkara seperti ini mesti dilaporkan kepada pihak polis.
PAK KAMIS : Ayah fikir pun begitu, Murad. Yang ayah hirankan, buat kamu begitu
berani tu? Buat sesuatu kerja tak mahu berfikir dulu.
AHMAD : Ini maknanya tak ada beban batu digalas. Tak ada kerja cari kerja.
Sekarang macam mana?
MURAD : (Sedih tetapi bersemangat.) Sebenarnya kami mempunyai tujuan yang
baik.
AHMAD : Aku faham, Murad. Untuk menyelamatkan anak si jutawan itu tak kata tak
baik. Tapi soalnya, bolehkah kamu budak-budak mentah melakukannya?
Itu kerja orang dewasa, kerja polis.
MURAD : Tapi saya belum putus asa, Bang Mat. Masih ada jalan lagi.
PAK KAMIS : Sekurang-kurangnya kawan-kawan kau tu, mesti nak diselamatkan juga.
MURAD : Saya faham, ayah. Kawan-kawan saya si Hassan dan si Nazim itu mesti
diselamatkan. Anak jutawan itu juga mesti diselamatkan. Dan komplot
jahat itu pula mesti dihapuskan.
AHMAD : Soalnya, macam mana? Macam mana nak selamatkan mereka?
PAK KAMIS : Ya, macam mana nak selamatkan mereka? Cuma satu jalan saja dengan
melaporkan hal ini kepada pihak polis.
MURAD : Untuk melaporkan kepada pihak polis memang boleh, ayah. Tapi
kedudukan anak jutawan itu dalam bahaya. Setahu saya kalau mereka
tahu polis turut serta, penjahat-penjahat itu akan membunuh anak jutawan itu.
AHMAD : Habis, kalau tidak diberitahu kepada polis, macam mana? Ada jalan yang
lain?
MURAD : Saya ada rancangan lain, Bang Mat. Kawan-kawan saya dan anak
jutawan itu boleh diselamatkan pada waktu malam.
PAK KAMIS : Pada waktu malam, macam mana?
MURAD : Dengan menyeludup masuk ke dalam gua itu, kita akan dapat
menyelamatkan mereka. Pada waktu malam tentu penjahat-penjahat itu
tidur.
PAK KAMIS : Takkan mereka tidur semua. Tentu ada yang mengawal.
AHMAD : Silap-silap diri sendiri yang kena tangkap.

(Dipetik daripada drama Adik Berjasa, Antologi
Anak Bumi Tercinta, Tingkatan 3, DBP)



1. Berdasarkan petikan di atas, siapakah yang ingin diselamatkan?
A. Anak si Jutawan
B. Hassan dan Nazim
C. Kawan-kawan Murad
D. Anak si Jutawan dan kawan-kawan Murad



2.



Gaya bahasa dalam petikan di atas ialah
A. Metafora
B. Personifikasi
C. Peribahasa
D. Simile

3. Berdasarkan petikan di atas, semua nilai terdapat dalam diri Murad kecuali
A. bersemangat tinggi
B. berhati batu
C. gigih berusaha
D. bertanggung jawab

4. Kedudukan anak jutawan itu dalam bahaya jika
A. penjahat-penjahat itu membunuh anak jutawan
B. Pak Kamis melaporkan hal itu kepada pihak polis
C. Murad tidak datang menyelamatkannya
D. Polis turut serta dalam usaha untuk menyelamatkannya

5. Peristiwa manakah yang menunjukkan kemuncak cerita dalam Adik Berjasa?
A. Tawanan dapat diselamatkan dan penjahat dapat diberkas oleh polis
B. Ahmad mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan bekerja untuk menyara keluarga
C. Murad dan kawan-kawannya mengambil keputusan menyelamatkan anak jutawan yang diculik
D. Murad mendapat ganjaran sebanyak RM100 ribu dan abangnya dapat meneruskan persekolahannya



DRAMA : PENUNGGU PUSAKA (TINGKATAN 2)


Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya.

Peguam : (Sambil keluar melalui pintu besar) Jumpa lagi Encik Sulung.
Sulung : Ya. Terima kasih banyak-banyak, tuan.
Kesan Bunyi : Enjin kereta dihidupkan dan kereta menderum pergi.
Lambak : (Membentak tiba-tiba) Saya tak setuju! Saya tak setuju!
Siti : Saya juga tak setuju! Pembahagian ini tak adil. Wasiat itu tak
betul! Tak boleh pakai.
Sulung : Eh, apa hal ni? Tiba-tiba saja tak setuju, tak adil!
Mak Teh : Ini wasiat! Kamu nak main-mainkan wasiat orang yang dah
mati ya?
Lambak : Ini mesti ada sesiapa yang dah pengaruh arwah ayah! Wasiat
itu bukan arwah yang membuatnya. Mesti ada orang lain!
Siti : Kenapa awak semua dapat berekar-ekar, sedang kami dapat
setengah ekar seorang? Adil ke macam tu? Patut ke?
Mak Teh : Hei, Lambak, Siti! Kau sedar tak kau tu siapa?
Lambak : Kami sedar kami hanya anak tiri pada arwah ayah. Tapi arwah tu
dah anggap kami macam anak sendiri, macam anak kandung!
dan arwah juga dah berjanji nak beri sekurang-kurangnya dua
ekar seorang kepada kami.
Siti : Arwah juga dah janji nak berikan rumah ini kepada saya. Tapi
kenapa Ana pula yang dapat?
Ana : Eh, tengoklah muka tu sikit. Tak sedar diri. Beri betis nak paha.
Itu nasib baik orang nak beri. Kalau arwah tak wasiatkan apa-apa
untuk kau orang, apa nak kata? Kau orang nak tuntut daripada siapa?
Siti : Kau cakap bak-baik sikit. Ana! Nanti aku.....
Mak The : Sudah! Kalau kau orang hendak tanah yang setengah ekar tu
ambil. Kalau tak mahu, pulangkan saja kepada Sulung, habis
cerita.
(Dipetik daripada drama Penunggu Pusaka
oleh Zakaria Ariffin)

1 Mengapakah Lambak tidak berpuas hati dengan wasiat ayah tirinya?
A. Dia tidak mendapat rumah pusaka itu.
B. Ayah tiriya memungkiri janjinya.
C. Dia tidak mendapat apa-apa.
D. Dia hanya mendapat setengah ekar tanah.

2 Mengapa Ana menyindir Siti?
A. Sikap Siti tidak disukai oleh Ana.
B. Siti tidak menghormati wasiat ayahnya.
C. Siti tidak berpuas hati dengan bahagian yang diperoleh daripada ayah
tirinya.
D. Siti mendapat setengah ekar tanah walaupun dia anak tiri.
3 Pengajaran daripada wasiat Anjang bin Kotot dalam petikan drama ini ialah
A Kita mestilah menjaga nama baik keluarga..
B Kita hendaklah bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.
C Kita perlulah mengamalkan sikap jujur dalam kehidupan.
D Kita haruslah sentiasa hidup dengan aman, tanpa dendam dan benci.

4 Berikut menunjukkan perwatakan Lambak, kecuali .................
A abang kepada siti
B anak tiri Anjang Kotot
C abang angkat kepada Ana
D seorang yang tamak haloba

5 Apakah kesudahan drama Penunggu Pusaka?
A Lambak gagal membeli tanah pusaka milik Busu, Alang dan Ana.
B Alang menjualkan tanah pusaka miliknya kepada Lambak.
C Busu berjanji akan menjual tanah pusaka miliknya kepada Lambak.
D Lambak dan Siti berjaya membeli harta pusaka peninggalan Anjang bin
Kotot.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan