CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 20 Januari 2010

set bm spm

SET PERCUBAAN SPM SBP 2006


Soalan 1: Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan pencemaran air dan langkah mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Air menjadi sebahagian daripada keperluan hidup manusia khususnya untuk minuman, kebersihan, serta menjana sistem kesihatan. Sebahagian besar tubuh manusia terdiri daripada air. Tanpa air, manusia tidak dapat hidup di muka bumi ini. Selain manusia, air diperlukan oleh semua jenis hidupan di bumi. Hampir 70 peratus permukaan bumi diliputi air. Hal ini membuktikan bahawa air merupakan sumber mineral yang sangat bernilai dan berharga. Gaya hidup moden meletakkan wang ringgit mengatasi segala-galanya. Manusia sekarang begitu rakus mengejar keuntungan sehingga mengabaikan tanggungjawab mengekalkan sumber air yang bersih. Pencemaran air menjadi begitu ketara dan kritikal.

Kehadiran tapak pelupusan sampah yang berdekatan dengan sumber air menyebabkan pencemaran air di dalam perut bumi iaitu berlakunya peningkatan aras bahan ammonia dan bakteria. Hal ini bukan sahaja mencemarkan air tetapi turut memusnahkan hidupan di dalamnya seperti tumbuhan air dan ikan. Secara tidak langsung, pencemaran ini telah turut menyebabkan ketidakseimbangan sistem ekologi yang terdapat di dalam air.

Pencemaran air juga disebabkan oleh tumpahan minyak dan sisa domestik yang dialirkan ke dalam sumber air. Manusia yang menggunakan air yang tercemar akan mengalami cirit-birit serta dijangkiti pelbagai penyakit kulit. Penggunaan air yang dicemari oleh bahan logam berat pada tempoh yang lama menyebabkan pelbagai penyakit kronik seperti alzeimer, kerosakan hati, dan kegagalan buah pinggang berfungsi. Kehadiran bahan pencemaran yang tinggi di dalam air seperti merkuri dan plumbum yang berpunca daripada pembuangan sisa toksik daripada kilang akan mengakibatkan perubahan genetik sel dan merangsang barah.

Penerokaan tanah untuk projek pembangunan turut menjejaskan sumber air. Sungai dan tasik dijadikan tempat buangan untuk pelbagai bahan binaan. Akibatnya, sungai dan tasik menjadi kering-kontang. Secara tidak langsung, hal ini telah mencemarkan pemandangan yang sebelum ini menjadi daya tarikan pelancong.

Walaupun air yang dibekalkan di rumah sekarang telah dirawat, pengguna masih mendapat sumber air yang kotor. Bagi mendapatkan sumber air yang bersih, bukan tanggungjawab pihak berwajib atau badan tertentu semata-mata tetapi semua pihak perlu bertanggungjawab menjaga kualiti air yang bersih. Sayangilah dan hargailah sumber air di sekeliling kita demi masa depan generasi akan datang.


(Dipetik dan diubahsuai daripada
Tanggungjawab Menjaga Air oleh Dr. Siti Balkis Budin,
Dewan Masyarakat, Jun 2006)



Jawab semua soalan

Soalan 2(a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata rakus mengejar keuntungan.[2 markah]
(ii) Jelaskan punca-punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran air.[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang dapat dilakukan untuk mengatasi masalah
krisis air yang kerap berlaku di negara kita? [4 markah]

Soalan 2 (b) Petikan Prosa Moden

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Daneng tersengih. Sinar mentari yang gagah menguasai suasana tengah hari. Tetapi kepanasannya tidak terasa di bawah rendangan pohon gerutu pasir di tepi danau. Angin gunung yang sejuk bertiup perlahan-lahan mendakap tubuh mereka dalam kesegarannya.
”Daneng tak ingin menyambung pelajaran?” Terlontar soalan itu daripada mulut Jo.
”Tidak!” jawabnya setelah membisu seketika.
”Mengapa?”
”Saya tak ingin meninggalkan tempat ini.” Jawabnya terputus-putus.
”Bukankah merugikan? Kamu salah seorang pelajar yang mendapat keputusan baik dalam peperiksaan PMR di sekolah asrama pada tahun lepas. Bukankah merugikan jika tidak menyambung pelajaranmu?”
Daneng tersenyum sinis. ”Sudah saya dengar hujah ini berpuluh kali. Saya sudah bosan. Cikgu tak faham perasaan saya. Sebenarnya cikgu tak kenal Daneng.”
”Cikgu faham. Tetapi keputusan kamu mungkin bukan yang sebaik-baiknya. Kamu perlu melihat dari semua segi.”
”Perkara terbaik untuk saya ialah berada di sini. Di tempat ini, nenek moyang saya hidup dan bersemadi. Jiwa saya terikat pada pohon tualang. Pada bukit-bukit ini. Pada pohon-pohon ini. Menghidu keenakan udara jati tempat ini, satu kemestian. Memanjat pokok, mendaki gunung, menuruni lurah, memetik buah-buah hutan, memancing ikan, berjalan berkaki ayam. Inilah kehidupan bagi saya. Saya mendambakan kehidupan di hutan ini. Inilah Daneng, cikgu.” hujahnya.
Jo agak kagum dengan kepetahan tingkah ucapan anak didiknya itu. ”Saya faham perasaanmu itu,” ucap Jo sambil memicit bahu kiri Daneng.


(Dipetik daripada cerpen Lambaian Malar Hijau oleh
Saroja Theavy a/p Balakrishnan dalam antalogi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i) Mengapakah Daneng tidak mahu menyambung pelajarannya? [3 markah]

(i) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk meningkatkan tahap pendidikan
anak-anak Orang Asli? [3 markah]

(ii) Huraikan dua perwatakan Daneng daripada petikan dan satu perwatakan daripada keseluruhan cerpen. [3 markah]

Soalan 2 (c) Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Maka Laksamana pun lelah terdiri di atas talam itu. Maka Hang Jebat pun berbangkit lalu berdiri. Maka kata Hang Jebat, ”Hai Laksamana, apa perimu akan membunuh aku?” Maka Laksamana pun berkata, ”Hai Si Jebat, bahawa tiada dengan kuasaku membunuh engkau; bahawa Tuhanku yang amat kuasa membunuh engkau; Insya-Allah Taala, mati juga engkau dalam tanganku.” Maka kata Hang Jebat, ”Hai Laksamana, sungguh-sungguh rupanya engkau hendak membunuh aku!” Maka kata Laksamana, mengapakah maka tiada sungguh? Jika tiada engkau mati olehku, aku mati olehmu, maka sudahlah pekerjaan ini.” Maka Hang Jebat pun memekis katanya, ”Cih! Si Jebat dengan Si Tuah hulubalang raja Melaka mati tiada berguna! Jika Si Jebat dengan Si Tuah gerangan dititahkan raja Melaka menyerang negeri orang, aku dua orang itu pun alah.” Maka kata Laksamana, ”Sungguh seperti katamu itu; pada hatiku pun demikianlah. Sayang engkau berdosa. Jika lain daripada dosa ini, tiada engkau mati, barang tipunya dayaku pun kuperlepaskan juga engkau daripada mati.” Maka Hang Jepat pun menangis mendengar kata Laksamana demikian itu. Maka Laksamana pun menangis kasihan hatinya akan Hang Jebat. Maka kata Hang Jebat, ”Aku pun kerana melihat engkau dibunuh oleh Bendahara tiada dengan dosanya; sebab itulah maka sakit hatiku. Akan istimewa aku pula orang permainan tiada akan dibunuhnya, kerana raja itu membunuh tiada dengan periksanya.


(Dipetik daripada Pertarungan Tuah Dengan Jebat,
dalam antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah yang dimaksudkan oleh Hang Tuah apabila beliau mengatakan
” .......maka sudahlah pekerjaan ini”?2 markah]
(ii) Mengapakah Hang Jebat menangis apabila mendengar kata-kata Laksamana?
2 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan oleh Hang Tuah apabila mengetahui bahawa Hang Jebat menderhaka kerana ingin membela kematiannya?
[4 markah]


2(d) Petikan Puisi

Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pantun Enam Kerat

Ular tedung jangan dipermudah,
Bisanya dapat membawa maut,
Jika tak maut merana juga;
Berhujan berpanas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.

Kuda liar berkeliling kota,
Kota terbuat dari kayu,
Tempat berkawal lasykar Feringgi;
Kami mendengar khabar berita,
Bunga kembang sudahpun layu,
Gugur ke bumi tak harum lagi.

Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah sekah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi.

Permatang Budi, 1991
Antologi Kerusi,
Dewan Bahasa dan Pustaka


(i) Terangkan maksud rangkap ketiga pantun di atas[3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah akibatnya jika terlalu menurut kata hati? [3 markah]
(iii) Berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam pantun ini.[3 markah]

Soalan 3: Pengetahuan dan kefahaman tentang tatabahasa bahasa Melayu

[30 markah]
Jawab semua soalan

(a) Tulis ayat bagi setiap kata dalam pasangan kata di bawah ini supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan kata nama.

i. malar - balar
ii. padat - sendat
iii. paras - laras
[6 markah]

(b) Analisis petikan berikut. Namakan tiga jenis ayat yang terdapat dalam petikan dan tulis semula ayat-ayat tersebut.

Januari ialah bulan yang sibuk bagi warga sekolah, kerana musim persekolahan kembali dibuka. Selain pelajar, ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah turut merasakan kesibukannya. Apakah azam para pelajar apabila bermulanya tahun baru? Jangan dibiarkan impian hanya tinggal impian tanpa sebarang usaha untuk merealisasikannya. Sebenarnya hanya pelajar yang tahu akan keinginan mereka dalam hidup. Mulakan langkah untuk mencapai kejayaan dari sekarang.

[6 markah]



(c) Dalam ayat-ayat di bawah terdapat dua penggunaan ejaan dan imbuhan yang salah. Kenal pasti kesalahan-kesalahan tersebut dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.


i. Usaha untuk memperkasa Bahasa Melayu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari seluruh pelusuk tanah air.

ii. Pengedar cakera padat cetak rompak yang semakin berleluasa patut dibenteras sehingga peringkat antarabangsa.

iii. Dalam pertandingan kawad kaki sekolah-sekolah di daerah Seremban, pasukan Kadet Bomba Sekolah Dato’ Abdul Razak telah memperolehi tempat pertama.


. [6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.


i. Sejak dari mula dia belajar di universiti, pak ciknya yang tinggal di Kuala Lumpur itulah yang membiayai bayaran pengajiannya.

ii. Semua kambing peliharaan Pak Meor lari berkejaran bila hujan turun secara tiba-tiba.

iii. Ahli Kelab Rekreasi dan Kembara Kolej Tunku Kurshiah telah muncul juara dalam
ekspedisi mengharung Gua Niah. [6 markah]

(e) Teliti peribahasa di bawah ini, kemudian berikan maksud peribahasa tersebut.

i. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
ii. Kalah jadi abu, menang jadi arang
iii. Biar putih tulang, jangan putih mata
iv. Ibarat ayam, tiada kais tiada makan
v. Mencurah garam ke laut
vi. Di mana ada gula, di situ ada semut

[6 markah]

Soalan 4 : Novel

[15 markah]


Jawab kedua-dua soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel yang pernah anda pelajari.

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh
(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusof
(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah
(vii) Julia karya Abu Hassan Morad
(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad

(a) Terdapat pelbagai teknik plot yang digunakan oleh pengarang dalam novelnya.
Antaranya ialah teknik suspens. Huraikan dua peristiwa yang menggunakan teknik suspens dalam satu novel yang telah anda pelajari.
Apakah kesan unsur suspens tersebut terhadap pembaca?
[7 markah]

(b) Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu persoalan dalam setiap novel dengan memberikan contoh yang sesuai.
[8 markah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan