LATIHAN 21
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang halangan-halangan membangunkan industri bioteknologi di Malaysia dan implikasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan(RMK-9),Malaysia akan memberikan tumpuan dalam usaha membangunkan bioteknologi sebagai industri penting yang berpotensi menjana sumber kekayaan baharu. Dalam RMK-9,kerajaan akan memastikan pembangunan industri bioteknologi mampu berperanan sebagai peneraju baharu pertumbuhan ekonomi negara. Tumpuan akan diberikan pada penggunaan bioteknologi dalam pertanian, penjagaan kesihatan, aktiviti perindustrian, dan bioinfomatik. Kerajaan bertekad akan memberikan tumpuan serius dalam sektor ini dengan menambah baik rangka kawal selia pelaburan dan membangunkan prasarana yang berkaitan.
Ada kebimbangan dalam kalangan para cendekiawan berhubung dengan industri ini. Perhatian baru terhadap bioteknologi ada kaitan dengan sektor pembuatan yang menghadapi persaingan dari negara besar. Persoalannya, kemampuan kita bersaing dalam sektor yang masih baharu ini masih menjadi tanda tanya. Malah, persoalan kos untuk membina dam membangunkan industri bioteknologi bukannya kecil dan menuntut komitmen yang tinggi. Jika kita mampu menawarkan kos yang lebih murah berbanding dengan negara lain, hasrat untuk menjadi negara maju dalam industri ini akan termakbul. Maka untuk memberikan nilai tambah pada ekonomi secara berkala, kita terpaksa berhadapan dengan risiko yang tinggi.
Negara-negara luar seperti China, India malah Rusia mampu menawarkan pakej menarik dengan pelbagai insentif untuk memindahkan operasi syarikat asing yang berasaskan bioteknologi ke negara mereka. Justeru, pada waktu yang sama kita memerlukan bidang baharu yang boleh meletakkan negara sebagai pemain global. Oleh sebab industri ini masih baharu, kita masih kekurangan maklumat dan kepakaran untuk membangunkan industri ini. Pertumbuhan sektor ini sememangnya cukup besar. Bidang penjagaan kesihatan, farmaseutikal, dan bioinformatik adalah industri berbilion ringgit di dunia. Walaupun negara mempunyai 15000 spesies tumbuhan berbunga, 286 spesies mamalia, 150000 spesies haiwan tidak bertulang belakang, serta ribuan jenis flora dan fauna, kita masih kekurangan pusat-pusat kajian berfokus. Kegagalan menyediakan kemudahan ini akan membantutkan usaha memodenkan industri ini.
Kerajaan telah berusaha menyediakan platform untuk membangunkan industri bioteknologi secara berperingkat. Penubuhan Direktorat Bioteknologi Kebangsaan (Biotek) merupakan langkah awal. Malah, usaha-usaha melatih saintis dalam pelbagai bidang kepakaran turut dilaksanakan dengan bantuan universiti tempatan dan luar negara. Kajian penyelidikan, pembangunan, dan pengkomersialan turut dilaksanakan. Banyak bukti yang menunjukkan bahawa perniagaan sektor ini berisiko tinggi dan tidak menentu. Tambahan pula, pada masa ini negara masih kekurangan penyelidik yang terbabit dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sedangkan pada masa depan bidang ini amat bergantung pada tenaga penyelidik dan teknikal. Sektor ini membabitkan bidang biologi, sains kesihatan, dan pemakanan.
Bioteknologi menjanjikan harapan dan pulangan yang lumayan. Namun, perlu diingat jalan yang perlu diharungi masih berliku. Tanpa satu dasar yang jelas dan sokongan yang berterusan sektor bioteknologi tidak akan memberikan faedah kepada semua.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Usaha Membanngunkan Bioteknologi Berliku,” oleh Johan Jaafar, Berita Minggu , September, 2006)
(i) Berikan maksud rangkai kata menyediakan platform.(2m)
(ii) Nyatakan inisiatif kerajaan dalam membangunkan industri bioteknologi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). (3m)
(iii) Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu membangunkan industri bioteknologi di negara ini ? 4m)
LATIHAN 22
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan langkah-langkah untuk mengekalkan kemerdekaan tanah air. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Mulai tahun 1932, pihak tentera telah menguasai politik Jepun. Golongan tentera telah mendesak dasar luar yang agresif untuk mengatasi krisis kewangan, keperluan bahan mentah untuk industri, dan lain-lain lagi. Bagi menampung keperluan jangka panjang, Jepun terpaksa menyerang negara-negara Asia Tenggara lain termasuk Tanah Melayu yang kaya dengan sumber mentah yang begitu diperlukan oleh Jepun.
Antara kesan pendudukan Jepun ialah lahir kebencian yang tinggi dalam kalangan penduduk Tanah Melayu, lebih-lebih lagi kepada mereka yang pernah menempuhi pentadbiran kejam tentera Jepun. Ramai penduduk mengalami tekanan mental dan fizikal sebagai akibat tindakan tentera Jepun yang zalim serta melampaui batas kemanusiaan. Mereka membunuh rakyat khususnya orang Cina tanpa usul periksa, merogol, merampas harta benda, membakar rumah-rumah, dan sebagainya. Pendudukan Jepun telah mengakibatkan kesedaran politik yang lebih mendalam dan kebangkitan nasionalisme dalam kalangan penduduk Tanah Melayu, khasnya orang Melayu.
Selain itu, pendudukan Jepun telah menamatkan kepercayaan bahawa Inggeris tidak dapat dikalahkan. Sikap antipenjajahan dalam kalangan orang Melayu telah berkembang . pendudukan jepun juga telah mengakibatkan orang Cina dan India telah bertambah kukuh dengan perasaan kecinaan dan keindiaan mereka. Pihak Jepun telah menggalakkan orang India menumpukan perhatian kepada perjuangan pembebasan India daripada pemerintahan British. Pendudukan jepun telah membolehkan Parti Komunis Malaya (PKM) di Tanah Melayu muncul sebagai golongan politik yang teratur dan sangat kuat antara tahun 1945 – 1948. kezaliman Jepun juga membolehkan PKM mendapat sokongan , terutamanya daripada orang Cina.
Seterusnya , taraf kesihatan penduduk Tanah Melayu telah merosot. Kekurangan makanan dan ubat-ubatan telah menyebabkan penduduk Tanah Melayu lebih mudah terdedah kepada penyakit seperti beri-beri dan malaria. Hal ini demikian kerana ubat-ubatan telah dirampas oleh Jepun bagi merawat askar-askarnya. Semasa pemerintahan Jepun, sistem pendidikan masih diteruskan. Sistem pendidikan Jepun lebih menekankan semangat Jepun untuk menjadikan seseorang murid itu cergas, rajin, tegas, dan berani. Mulai pertengahan tahun 1944, boleh dikatakan semua sekolah telah merosot. Buku dan alat tulis sukar diperoleh dan banyak murid yang tidak bersekolah.
Di samping itu, beribu-ribu orang terutamanya orang tawanan perang tentera British, Australia dan lain-lain lagi serta orang awam telah dihantar ke negara Thai dan Myanmar untuk menjadi buruh membina landasan kereta api yang dikenali dengan Jalan Kereta Api Maut. Beribu-ribu orang terkorban dalam pembinaan landasan itu.
Pendudukan Jepun juga telah memberikan kesan terhadap ekonomi Tanah Melayu. Ekonomi dan taraf hidup penduduk Tanah Melayu telah merosot. Perusahaan bijih timah dan getah telah terbantut. Hal ini demikian kerana British telah memusnahkan peralatan melombong bijih timah dan loji-loji memproses getah sebelum berundur ke Singapura untuk mengelakkannya jatuh ke tangan Jepun. Pihak Jepun pula lebih menitikberatkan eksploitasi bahan-bahan yang berkurang di negara jepun seperti besi dan bauksit. Tanah Melayu turut mengalami kekurangan makanan seperti beras kerana sukar diimport dari negeri-negeri lain sebagai akibat peperangan. Penduduk Tanah Melayu terpaksa bergantung pada makanan lain seperti ubi kayu dan keledek. Dalam keadaan ekonomi yang sangat buruk ini, penduduk Tanah Melayu telah memulakan perusahaan tempatan memandangkan banyak barang tidak dapat diimport, misalnya mereka membuat minyak kelapa, gula kelapa, rokok daun, dan kain benang nanas.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada “Sebab dan Kesan Pendudukan Jepun Di Tanah Melayu”, Dewan Siswa, Februari 2003)
(i) Berikan maksud rangkai kata menitikberatkan eksploitasi bahan-bahan yang berkurang. (2 m)
(ii) Mengapakah banyak penduduk mengalami tekanan fizikal dan mental sewaktu pendudukan Jepun ? (3 m)
(iii) Kebelakangan ini generasi muda kurang menghayati semangat patriotisme . Nyatakan puncanya. (4 m)
LATIHAN 23
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kemaslahatan pendidikan sastera di sekolah dan cara-cara memartabatkan pendidikan sastera dalam kalangan masyarakat. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Langkah Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah membaca buku-buku sastera merupakan langkah terpuji dan wajar disanjung tinggi. Namun tidak dinafikan ada pandangan negatif yang beranggapan bahawa langkah sedemikian merupakan satu langkah terkebelakang. Saranan murni itu juga sering dituduh tidak relevan dan tidak sejajar dengan perkembangan semasa yang lebih cenderung mengarah kepada teknologi maklumat serta sains dan teknologi oleh sesetengah pihak. Apa yang jelas tanggapan ini begitu prejudis . kita tidak boleh menghitung sesuatu dari segi kebendaan semata-mata. Kita juga harus melihat dari perspektif falsafah, sejarah, kemanusiaan dan sebagainya serta fungsi lahirnya sastera itu sendiri. Hal ini demikian kerana sastera merupakan salah satu ilmu sosial terawal, selain bidang falsafah. Hal ini, pastinya akan turut mengetengahkan nilai-nilai positif yang dapat mendidik jiwa pembaca.
Sesungguhnya, langkah kementerian ini bukanlah menjadi satu kesalahan atau langkah ke belakang. Membaca karya puisi, cerpen, esei sastera, kritikan dan novel bukanlah membuang masa, tidak relevan atau merugikan. Sebaliknya, langkah tersebut banyak memberikan faedah dan pengajaran ilmu yang bersifat multidisiplin kepada para pelajar dan masyarakat. Langkah sedemikian juga, sedikit sebanyak akan menambah jumlah khalayak sastera. Sehubungan dengan itu, kekurangan pembaca sastera dapat diatasi. Karya-karya sastera dapat dijual dengan kadar yang memuaskan. Apabila pelajar membaca karya sastera, mereka tentu juga akan mengenali penulis-penulis tanah air seperti Usman Awang, A. Samad Said, Atondra, Arenawati, S. Othman Kelantan, Abdullah Hussin dan lain-lain. Secara langsung gejala hanya mengenali artis-artis tanah air dapat diimbangi. Hal ini demikian kerana apabila seseorang mengidolakan para penulis tanah air, sedikit sebanyak tradisi keilmuan dalam kalangan pelajar dapat dipupuk. Lebih penting dalam hal ini ialah tradisi pembacaan buku-buku yang menjurus kepada pembentukan aspek-aspek moral dan perilaku para pelajar .
Selain itu, tradisi penulisan yang diperlihatkan oleh para sasterawan dan karyawan ini dapat menjadi inspirasi kepada pelajar dalam proses keilmuan mereka. Dalam kalangan para pelajar yang membaca karya-karya sastera sudah pasti ada yang mempunyai bakat terpendam. Galakan untuk membaca karya sastera merupakan langkah awal untuk mereka menimba ilmu kesusasteraan dan penulisan . Dengan penekanan dalam membaca dan menghayati karya sastera, mereka menerbitkan azam dan iltizam untuk mencontohi penulis-penulis tempatan dalam usaha menghasilkan karya. Mungkin pada awal pembabitan dalam bidang penulisan, mereka akan berdepan dengan masalah mutu dalam melahirkan karya. Namun, hal yang sama pastinya turut dihadapi oleh penulis-penulis mapan pada awal pembabitan mereka. Dalam masalah ini, guru sastera mempunyai fungsi penting. Mereka perlu memberikan galakan positif dan lebih baik jika turut sama berkarya.
Guru-guru sastera menghasilkan karya sastera bukanlah sesuatu yang dianggap pelik, malah dianggap wajar memandangkan ilmu yang dimiliki oleh mereka perlu dipraktikkan dalam erti kata sebenar. Dari sini, mereka dapat menguji sejauh mana kemampuan mereka dan kesan positif kepada kerja mereka sebagai guru sastera. Adalah sesuatu yang sangat tepat, pembelajaran sastera dipraktikkan dengan membaca dan menghayati karya-karya sastera yang tersiar melalui media massa. Mereka dapat mengetahui ilmu kesusasteraan lebih jauh dan mampu menjadi pelajar yang berkebolehan dalam sastera, kritikan, esei dan sebagainya. Langkah mewajibkan kesusasteraan di sekolah bakal memberikan keuntungan kepada mereka. Pertambahan khalayak sastera seperti ini sudah tentu akan memberikan suntikan semangat kepada karyawan untuk mempelbagaikan gaya dan rentak sastera tanah air.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Pendidikan Sastera di Sekolah Langkah Bijak”, oleh Nordin Abdullah, Utusan Malaysia, 2004)
(i) Berikan maksud rangkai kata perspektif falsafah. (2m)
(ii) Apakah kebaikan yang diperoleh pelajar yang suka membaca karya-karya sastera? (3m)
(iii) Pada pendapat anda, mengapakah kedudukan sastera semakin terpinggir dalam kalangan masyarakat Malaysia? (4m)
LATIHAN 24
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah penanaman pokok herba dan usaha-usaha untuk memperkenalkan tanaman herba dalam kalangan generasi baharu. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
KOTA BAHARU : Kebanyakan generasi muda kini semakin lupa dan tidak mengenali pelbagai jenis pokok herba serta kepentingan khasiatnya kepada manusia, meskipun terdapat di sekeliling rumah. Menyedari hakikat ini, program penanaman pokok herba wajar dilaksanakan pada peringkat sekolah lagi supaya kesedaran terhadap kepentingannya terus subur dan terpelihara.
Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Baharu (SMKKB) dipilih sebagai tuan rumah bagi pelancaran program penanaman pokok herba jangka pendek di sekolah peringkat negeri, baru-baru ini. Program ini tajaan bersama wanita Inovatif Jaya Diri (Wijadi) Kelantan dan Jasben Plantation. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Salleh Mohd Hussein. Hadir sama Pengarah Pelajaran Kelantan, Che Aniha Datuk Ishak. Pengerusi Jawatankuasa program itu, yang juga Penolong Kanan kokurikulum SMKKB, Sarudin Ismail, berkata antara tujuan program tersebut dilaksanakan adalah untuk mewujudkan masyarakat yang sentiasa menjadikan herba sebagai amalan pemakanan harian.
Selain itu, tanaman herba juga bagi mengalih pandangan masyarakat supaya tidak bergantung pada ubat- ubatan moden yang banyak mempunyai kesan sampingan. Sebaliknya, dengan mengambil ubat-ubatan berasaskan herba dapat melahirkan masyarakat yang mengutamakan pencegahan sesuatu penyakit daripada merawatnya. Sarudin berkata, program itu juga bertujuan untuk memupuk generasi baharu supaya menghargai anugerah Tuhan yang mengurniakan pelbagai jenis pokok herba yang dapat mengawal dan merawat pelbagai jenis penyakit, selain memanfaatkan tumbuhan alam semula jadi dalam kehidupan harian. Program ini juga mampu melahirkan generasi yang mengenali dan menggunakan pokok herba untuk menjaga kesihatan. Sempena pelancaran itu, pelajar sekolah terbabit bergotong-royong menanam pokok herba itu di pekarangan sekolah, selain membuat landskap berasaskan pokok herba di persekitaran kawasan sekolah.
Ketika ini, lebih seratus pokok herba ditanam oleh pelajar di pekarangan sekolah itu yang benihnya disumbangkan oleh Jasben Plantation Sdn Bhd. ,sebuah syarikat pengusaha herba. Antara pokok herba sumbangannya ialah kenerak, lidah ular , barah hantu, misai kucing, kancing baju merah, kecubung, larak, mata ayam, dan mas cotek. Semua herba tersebut dapat dijadikan ubat- ubatan tradisional untuk mengubati pelbagai jenis termasuk kencing manis, darah tinggi, jantung, dan paru-paru berair. Diharapkan agar projek perintis tanaman herba yang dilaksanakan ini akan menjadi contoh kepada sekolah lain untuk mengadakan projek yang sama.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana”SMKKB
Tanam herba di sekolah” oleh Nasir Hassan, Berita Harian, 7 Ogos 2006)
(i) Berikan maksud rangkai kata mengutamakan pencegahan. (2m)
(ii) Mengapakah projek perintis tanaman herba di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Baharu dapat dijadikan contoh kepada sekolah lain? (3m)
(iii) Pada pendapat anda , bagaimanakah cara- cara mengkomersialkan produk tanaman herba dalam kalangan masyarakat desa? (4m)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan