CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 16 Januari 2010

latihan komsas set 3

PEMAHAMAN KOMSAS SET 3

Soalan 31-35

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Pilih jawapan yang paling sesuai.


SEORANG GURU TUA

Guruku yang baik
masih lagi mengajar
sedang aku kini sudah besar
dulu wajahnya muda
kini rambut memutih kepala
ada anak-anak muridnya
sudah menjadi menteri
dan ada anak-anak muridnya
kini memegang jawatan tinggi
tidak kurang pula
bergelar usahawan berjaya.

Guruku yang baik
masih di situ
masih memandu kereta lama
masih menuju sekolah yang sama
tiada keletihan jemu
dari air mukanya
tiada kedengaran bosan
dari suara bibirnya
dia gigih menggenggam
tanggungjawab yang diamanahkan.

Seorang guru tua
dia masih di situ
berdiri sebagai guru
menabur jasa-jasa
dialah pendidik bangsa.

(Dipetik dariapada antologi Sehijuau Warna Daun,
Tinkatan 1, Dewan Bahasa dan Pustaka

31 Mesej penyajak seperti yang terdapat dalam rangkap ke-3 ialah
A guru perlu dihormati dan disayangi.
B pengorbanan guru tidak ternilai.
C pengorbanan guru mendidik anak bangsa.
D pengorbanan dan jasa guru sebagai pendidik bangsa perlu dihargai.

32 Dalam rangkap pertama penyajak menggambarkan keadaan gurunya
A Masih mengajar walaupun rambutnya telah beruban, malah ada antara muridnya yang telah pun berjaya.
B Masih mengajar di sekolah yang sama walaupun sudah tua.
C Masih tabah menjalankan tugasnya setiap hari.
D Gurunya baik dan rajin bekerja.

33 Nilai berikut tidak terdapat dalam sajak Seorang Guru Tua
A Mengenang jasa.
B Baik hati.
C Amanah.
D Bertanggungjawab.

34 Penggunaan perkataan masih yang terdapat dalam rangkap kedua merupakan gaya bahasa
A sinkof.
B inversi.
C epifora.
D anafora.

35 Yang berikut merupakan persoalan dalam sajak kecuali
A semangat mendidik tidak pernah luntur dalam jiwa guru.
B jasa guru harus dikenang dan dihargai.
C profesion keguruan sangat suci dan murni.
D guru berpuas hati melihat anak-anak muridnya berjaya.
Soalan 36- 40

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya. Pilih jawapan yang paling sesuai.


Maka Tun Tuah pun melompat naik ke atas peseban lalu ia menyembah betara Majapahit dan sujud pada kaki raja Melaka. Maka oleh raja Melaka diciumnya kepala Tun Tuah. Maka segala raja-raja dan segala ceteria, perdana menteri, hulubalang, sekaliannya banyak mati dan luka atas peseban itu dan di bawah peseban. Maka bangkai pun terlalu banyak dibawa oleh orang pulang ke rumahnya. Maka bangkai Taming Sari pun ditarik oranglah alu digantungkannya di tengah peseban itu. Maka keris Taming Sari itu dipersembahkannya oleh Tun Tuah pada Seri Betara.
Maka dilihat oleh Seri Betara keris itu, maka titah Seri Betara, “Adapun keris ini anugerah kitalah pada Kiai Tuah itu. Kita pintalah kepada ratu Melaka hendak gelar; bukan kita pinta menjadi hamba kita. Dalam pada iu pun, lamun suka anak kita ratu Melaka.” Maka sembah raja Melaka, “Daulat Tuanku Paduka Betara, patik persembahkanlah; selang patik hamba ke bawah duli; mana titah patik junjung.” Maka Tun Tuah pun dianugerah persalin selengkapnya. Maka titah ratu Majapahit, “Adapun Kiai Tuah ini kita gelar Laksamana.” Maka laksamana pun berdatang sembah, “Daulat Tuanku Andeka Betara.” Maka titah Seri Betara, “Adapun anak sungai kita Jemaja itu anugerah kitalah kepada laksamana, putus datang kepada anak cucu laksamana.” Maka Adipati Jemaja pun menghadap. Maka kata Patih Gajah Mada,“Ya Adipati Jemaja, pergilah tuan hamba pada laksamana.” Maka sembah Adipati Jemaja, “Daulat Tuanku Andeka Betara, mana titah patik junjung.”
Maka ratu Melaka pun bermohonlah kepada Seri Betara lalu pulang ke istananya diiringkan oleh laksamana dan segala pegawai dan pertuanan, dan Adipati Jemaja ada mengikut laksamana dengan segala orang Jemaja. Maka laksamana pun terlalu sukacita hatinya kerana beroleh keris Taming Sari itu; di dalam hatinya: “Keris aku sebilah ini sepuluh buah anak sungai Jemaja tiada kutukarkan.”


(Dipetik daripada prosa tradisional “Hang Tuah Mengalahkan Taming Sari”,
dalam antologi Anak Bumi Tercinta, DBP 2001)









36 ”Peseban” dalam petikan di atas bermaksud
A gelanggang.
B dewan.
C balai raya.
D balai penghadapan.

37 Apakah peristiwa yang berlaku sebelum cerita di atas ?
A Hang Jebat bertikam dengan Taming Sari.
B Hang Tuah bertikam dengan Taming Sari.
C Hang Tuah melawat Majapahit kerana mengiring Sultan Melaka.
D Hang Tuah memang suka bertikam dengan orang ramai ketika melawat Majapahit.

38 Latar masyarakat dalam cerita di atas kecuali
A masyarakat yang taat akan perintah raja.
B masyarakat Jawa di Majapahit.
C golongan bangsawan.
D golongan pahlawan.

39 Nilai yang tidak terdapat dalam diri Hang Tuah ialah
A keberanian.
B berbudi bahasa.
C kebijaksanaan.
D culas.

40 Apakah kesudahan cerita Hang Tuah Mengalahkan Taming Sari?
A Hang Tuah beroleh keris Taming Sari.
B Hang Tuah mendapat gelaran laksamana.
C Hang Tuah berjaya membunuh Taming Sari.
D Mayat Taming Sari digantung di Peseban.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan