CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 22 Januari 2010

PANDUAN MENGARANG 3

PANDUAN MENGARANG 3

Kriteria Pemarkahan

Selain perkara-perkara yang telah dibincangkan di atas, pelajar juga harus sedar bahawa antara kriteria atau ciri-ciri yang diambil kira ketika pemarkah memberi markah kepada sesebuah karangan ialah penguasaan kosa kata serta keberanian pelajar mempelbagaikan teknik persembahannya, serta kebolehannya menggunakan perkataan-perkataan yang jitu untuk menerangkan sesuatu keadaan atau perkara dengan jelas. Ini termasuklah penggunaan perkataan-perkataan yang tidak lazim digunakan, simpulan bahasa serta peribahasa. Kriteria-kriteria ini akan mendedahkan kepada para pemarkah sama ada pelajar telahpun mencapai penguasaan bahasa seperti yang diharapkan ada pada seorang pelajar peringkat GCE O atau belum.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah, menulis karangan yang tidak mengandungi kesilapan bahasa sekalipun tidak akan menjamin markah yang tinggi jika tahap bahasa yang digunakan tidak sesuai dengan tahap penguasaan bahasa seperti yang diharapkan ada pada seorang pelajar menengah 4 ekspres atau 5 normal. Pelajar perlulah menggunakan ayat-ayat yang bervariasi, ayat-ayat majmuk yang diselang-selikan dengan ayat-ayat tunggal, menggunakan simpulan bahasa atau peribahasa yang sesuai dan perkataan-perkataan yang tepat dan dapat menyampaikan makna dengan khusus dan jelas.


Penutup

Diharapkan, perbincangan yang dilakukan mengenai ciri-ciri penulisan karangan dan kelemahan-kelemahan lazim yang dikupas serta panduan-panduan yang diberi dapat membantu para pelajar membaiki mutu karangan yang mereka tulis. Saya akan cuba mengumpul lebih banyak lagi nota serta contoh-contoh yang relevan untuk disertakan dalam nota ini di masa hadapan. Saya berharap guru-guru yang menggunakan nota ini dapat memberikan komen yang membina atau menyertakan Perkara-perkara (nota-nota yang mereka simpan) mengenai topik perbincangan ini agar usaha membantu para pelajar memperbaiki kemahiran penulisan karangan mereka dapat diteruskan dan ditingkatkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan