CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 22 Januari 2010

rumusan spm 4

Praktis 15

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha yang dijalankan untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak negara kita merdeka, semua pihak termasuk golongan istimewa atau OKU turut terlibat dalam pembangunan negara. Kerajaan berasa bangga dengan golongan ini kerana berpandangan positif dan berkeyakinan bahawa hak dan kehidupan mereka dapat diubah sekiranya mereka berusaha dan diberi peluang untuk memajukan diri. Bagi golongan yang sempurna, peluang mendapat pekerjaan merupakan sesuatu yang lumrah, tetapi bukan kepada OKU. Hal ini merupakan suatu anugerah yang amat bermakna buat mereka.
Walaupun peratus OKU di negara ini kecil, namun kerajaan tidak ingin melihat mereka dipinggirkan. Mereka diberi hak persamaan mendapat peluang melalui penyediaan pelbagai kemudahan agar dapat memanfaatkan kehidupan. Penyediaan kemudahan ini diharap dapat menjadikan golongan OKU lebih proaktif dan menggunakan peluang ini untuk memajukan diri. Selain itu, kerajaan turut menubuhkan lebih banyak pusat kemudahan komuniti bagi OKU dalam RMK-9. pusat itu menawarkan khidmat setempat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif bagi OKU.
Akta OKU akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya hidup bermaruah dan mempunyai harga diri. Akta itu akan memberikan hak kepada mereka untuk diterima oleh masyarakat dengan meningkatkan akses pendidikan dan latihan vokasional , pekerjaan, persekitaran, dan bergerak bebas . selain itu, program mengintegrasikan OKU dalam masyarakat bertujuan membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal akan terus dipergiatkan. Golongan OKU tidak seharusnya menjadikan kepelbagaian kemudahan ini sebagai alasan untuk berusaha dan hanya mengharapkan bantuan pihak lain.
Kerajaan urut menyediakan peluang yang luas kepada OKU untuk memberikan khidmat bakti mereka kepada negara. Hal ini terbukti di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988, satu peratus peluang pekerjaan diperuntukkan kepada OKU. Sehingga kini pelbagai jenis pekerjaan dijawat oleh golongan istimewa ini. Pemberian peruntukan berbentuk geran berjumlah RM 200 ribu turut memberikan peluang kepada OKU dalam bidang sukan. Bukan itu sahaja, pelbagai sektor termasuk swasta turut menyediakan latihan yang banyak serta peluang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan agar mereka mampu berdikari dan tidak bergantung pada pihak tertentu sahaja. Beberapa pihak telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan unit khas di Kementerian Pembangunan Usahawan untuk membantu golongan OKU terlibat dalam bidang perniagaan. Unit ini perlu juga menggubal kurikulum khas dengan memasukkan elemen keusahawanan pada peringkat kursus dan latihan vokasional. Secara tidak langsung langkah ini dapat memberikan kemudahan dan pendedahan kepada bakal-bakal usahawan kelak. Malah unit ini turut disarankan supaya memperkenalkan skim bantuan modal oleh institusi kewangan kepada individu yang kurang upaya.
Kesimpulannya , kehadiran golongan OKU dalam masyarakat tidak harus dipandang serong atau disisihkan dalam masyarakat. Kementerian Pelajaran turut memperluaskan bantuan elaun khas dan insentif kepada pelatih dan pelajar OKU. Kita harus menerima mereka sama seperti manusia normal yang lain. Golongan ini tidak mengharapkan simpati tetapi menagih peluang supaya dapat hidup berdikari.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Sumbangan Orang Kurang Upaya kepada Negara”, oleh Samat Buang, Dewan Siswa, Ogos 2006.)


(i) Berikan maksud rangkai kata meningkatkan akses pendidikan.(2m)

(ii) Nyatakan peranan unit khas yang telah dicadangkan penubuhannya.(3m)

(iii) Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan untuk membantu rakan anda yanng kurang upaya (OKU)?(4m)

LATIHAN 16

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang masalah-masalah untuk memperkasakan Bahasa Melayu di Malaysia dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

“Bahasa Jiwa Bangsa” ialah nadi nadi falsafah perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Lahirnya institusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada 22 Jun 1956 hasil perjuangan rakyat memberikan nadi kepada bangsa Malaysia dalam mengharungi jalinan hubungan pelbagai kaum. Sempenan sambutan jubli emasnya pada tahun ini, DBP perlu memikirkan suatu kaedah dalam usaha memastikan kewibawaan bahasa Melayu terus mendapat pembelaan.
Usaha DBP bertambah getir apabila kerajaan memutuskan penggunaan bahasa Inggeris dalam mengajarkan subjek Sains dan Matematik. Perkembangan ini sebenarnya menyisihkan bahasa Melayu. Hal ini jika tidak ditangani secara bijaksana akan melenyapkan identiti bangsa yang berperadaban dan maju dalam acuan budaya tersendiri. Kedudukan bahasa Melayu menjelang 2020 juga masih samar dan kian terpinggir dalam konteks ilmu pengetahuan, kebudayaan tinggi, dan minda bangsa Malaysia. Kita tidak dapat lari dari masalah ini dan perlu berganding bahu dalam menangani permasalahan yang ada.
Persoalan yang timbul ialah mampukah bahasa Melayu mencorakkan identiti bangsa mengikut acuan budaya kita sendiri. Sinergi antara kementerian dituntut dan merupakan langkah penting untuk memperkasakan bahasa kebangsaan. Gandingan mantap ini diharap mampu memberikan kesan yang besar terhadap kedudukan bahasa Melayu. Aspek pemantauan perlu dikaji dan diperkemas agar bersesuaian mengikut kehendak semasa. Hal ini berikutan berlakunya kecelaruan bahasa dalam media penyiaran yang perlu dibendung kerana pengaruhnya amat berkesan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Perkembangan bidang penyiaran di negara kita amat menakjubkan apabila pihak penaja menunjukkan minat memperkenalkan produk mereka. Wujudnya kebimbangan apabila banyak syarikat yang menggunakan bahasa lain dalam mempromosikan iklan mereka. Tindakan ini seolah-olah meminggirkan bahasa kebangsaan dan perlu ditangani segera. Penggunaan bahasa rojak dan bahasa ringkas turut menjadi kegilaan masyarakat. Penggunaan kata-kata singkat ini bukan sahaja merosakkan bahasa malah sukar difahami maksudnya.
Cadangan Kementerian Penerangan Malaysia supaya memperkenalkan Anugerah Tokoh Bahasa dalam pelbagai kategori dalam akhbar tempatan baru-baru ini patut dipuji. Begitu juga dengan tertubuhnya Dewan Industri Buku Malaysia berupaya menyuntik semangat baharu kepada industri penerbitan bahasa Melayu. Malahan, perdebatan ahli dewan dalam persidangan Dewan Rakyat dan Parlimen turut menekankan penggunaan bahasa Melayu memberikan gambaran hala tuju kerajaan memelihara bahasa Melayu hingga akar umbi.
Namun, segala-galanya bergantung pada kesedaran dan keyakinan terhadap bahasa kebangsaan sendiri. Para pemimpin dan rakyat mempunyai pengaruh yang besar dalam pembangunan bangsa dan negara. Sikap individu yang membanggakan bahasa asing perlu ditangani segera. Tiada salahnya mempelajari bahasa lain jika tidak menolak bahasa kebangsaan sendiri. Bangsa Malaysia perlu disemai dengan keyakinan dan kesetiaan terhadap bahasanya.

(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “ Keperkasaan Bahasa Melayu di Tangan Penggunanya”, oleh Padillah Haji Ali, Dewan Masyarakat, Jun 2006.)



(i) Berikan maksud rangkai kata memberikan gambaran hala tuju.(2m)
(ii) Nyatakan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam mendaulatkan bahasa Melayu. (3m)
(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang perlu dilaksanakan bagi menyedarkan rakyat tentang kepentingan bahasa Melayu ? (4m)


LATIHAN 17

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mengawal disiplin dalam kalangan pelajar sekolah dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada masa kini kebanyakan masalah disiplin yang berlaku di sekolah bukanlah masalah serius sehingga dikategorikan sebagai kes jenayah. Namun begitu, masalah ini tetap memberikan kesan yang negatif terhadap suasana dan persekitaran sekolah. Gary D. Gottfredson dan Denise C. Gottfredson dari Universiti John Hopkins, mendapati masalah disiplin yang tercetus di Amerika Syarikat berpunca daripada peraturan disiplin yang dikeluarkan kurang jelas. Malah saiz setiap kelas yang besar turut menyukarkan kawalan disiplin dilaksanakan secara berkesan.
Guru seharusnya berupaya mengawal tingkah laku pelajar yang menimbulkan kekacauan. Peraturan dan tindakan yang akan dilaksanakan jika berlakunya perlanggaran sesuatu peraturan perlu diperjelaskan kepada staf, pelajar, dan ibu bapa. Adalah wajar sekiranya peraturan dan tindakan-tindakan itu diingatkan kepada pelajar dari semasa ke semasa. Dengan hal yang demikian diharapkan pelajar akan lebih menghormati peraturan disiplin secara konsisten. Selain itu, pihak sekolah hendaklah memberikan peluang kepada pelajar untuk membela diri juga. Malah, pihak sekolah tidak sepatutnya mengambil tindakan terburu-buru sebelum melaksanakan tindakannya.
Ganjaran sosial seperti senyuman, pujian, hadiah, pengiktirafan, dan sebagainya berkesan untuk meningkatkan tingkah laku positif yang diharapkan. Kajian menunjukkan pelajar yang tidak suka ke sekolah biasanya tidak berjaya dalam akademik malah tidak mempunyai cita-cita yang jelas. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah perlu melihat disiplin sebagai peluang untuk mengajar pelajar tentang amalan hidup bermasyarakat. Hal ini termasuklah mewujudkan prosedur terperinci tentang tindakan untuk mengurangkan masalah disiplin tingkah laku. Slogan Kepimpinan Melalui Teladan perlu juga diaplikasikan dalam menangani masalah disiplin. Bahagian pentadbiran sekolah melalui pengurusan yang berkesan perlu mencontohi “role model” serta mengamalkan ketelusan dalam pengurusan.
Pentadbir yang bersifat dinamik dan cemerlang perlu melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memastikan tahap disiplin sekolah terkawal. Melalui amalan ketelusan dalam pengurusan yang dilaksanakan, mereka perlu meninjau dan memantau apa-apa juga masalah sambil menegur sapa sesama guru, pekerja sekolah, dan pelajar. Pentadbir perlu menunjukkan sikap prihatin terhadap hal ehwal pelajar. Selain itu, pentadbir sekolah yang berkaliber perlu sanggup menjalankan tindakan yang sewajarnya terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin. Bagi menjamin kesahan tindakan, peraturan disiplin sekolah yang diwujudkan hendaklah tidak bercanggah dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pihak sekolah tidak sepatutnya mengetepikan pendapat pihak lain yang berada dalam organisasi kerana mereka mungkin memiliki input yang bernas dan relevan.
Pihak sekolah perlu menyedari bahawa tujuan utama meningkatkan tahap disiplin sekolah adalah untuk meningkatkan prestasi akademik di sekolah tersebut. Selain itu, disiplin yang dikenakan dapat melatih pelajar menjadi lebih bertanggungjawab dalam apa-apa perkara dan tindakan yang dilakukan oleh mereka.

(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “ Disiplin Sekolah Masa Kini”, oleh A. Waty M. Noor. Pendidik, Juli 2006.)

(i) Berikan maksud rangkai kata mewujudkan prosedur terperinci.(2m)
(ii) Nyatakan sebab penjaga kerap menyalahkan pihak sekolah apabila berlakunya kesalahan disiplin. (3m)
(iii) Pada pendapat anda, mengapakah pelajar kerap melakukan kesalahan disiplin di sekolah ? 4m)









LATIHAN 18

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca projek perumahan terbengkalai di Malaysia dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Projek perumahan antara agenda besar pembangunan negara ini sejak merdeka. Namun, disebabkan kerajaan menghadapi kekangan kewangan bagi menampung kos pembinaan, pemaju swasta dipelawa untuk melibatkan diri dalam projek perumahan ini. Walaupun rancangan ini dipacu dengan bersungguh-sungguh oleh kerajaan, sektor ini juga mempunyai pelbagai masalah yang membebankan negara. Statistik menunjukkan terdapat 227 buah projek perumahan yang terbengkalai di Semenanjung pada tahun 2004. secara tidak langsung banyak keluhan kedengaran berikutan projek perumahan yang terbengkalai seterusnya memberikan impak kepada pelbagai pihak.
Kegagalan pemaju untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan kerana kegawatan ekonomi yang melanda negara memburukkan fenomena ini. Secara ringkasnya, kegawatan ekonomi mempunyai pertalian yang rapat dan memberikan kesan besar dalam sektor perumahan negara. Pihak bank dan pembiaya kewangan tidak akan meluluskan pemaju yang dibebani hutang menyebabkan situasi ini menjadi lebih menyukarkan. Di samping itu, bank akan mengenakan kadar faedah yang tinggi daripada biasa kepada pemaju yang kurang memberikan masalah kepada mereka bagi menampung kos pendapatan mereka pada zaman kegawatan ekonomi yang melanda.
Begitu juga dengan pemaju, kesukaran mendapatkan pinjaman menyebabkan mereka akan menanggung kerugian berlipat ganda. Sekiranya pinjaman mereka diluluskan, pemaju akan berdepan dengan dilema kekurangan pembeli kesan tindakan yang sama dikenakan oleh pihak bank dan institusi kewangan . secara tidak langsung, kegiatan ekonomi yang lembap menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan pembinaan dan pembeli terpaksa menanggung kos sendiri. Kos ini termasuklah kos pengangkutan, kos bahan api, kos bahan binaan, dan sebagainya. Kerajaan seharusnya berusaha menyediakan bantuan kewangan kepada para pemaju. Malah, pemaju perlu mengikuti kursus pengurusan kewangan dan keusahawanan. Penubuhan tribunal untuk mengkaji masalah projek terbengkalai juga berupaya menangani masalah ini dari terus berlarutan.
Kegagalan pemaju untuk menguruskan kewangan dan projek perumahan mereka dengan berkesan, cekap, dan berhemat turut menjadi faktor penyumbang permasalahan ini. Malah, kekurangan pengalaman dalam menguruskan kewangan memburukkan keadaan. Hal ini dibuktikan melalui kesalahan membuat anggaran kos keseluruhan dengan tepat. Kerajaan perlu membuat kerangka kerja yang mampu menangani permasalahan ini. Antaranya termasuklah menyediakan bantuan kewangan bagi membantu kontraktor bermasalah. Seterusnya, golongan terbabit perlu mengikuti kursus pengurusan kewangan dan keusahawanan supaya mereka mendapat pengalaman mengurus tadbir kewangan syarikat dengan baik. Penubuhan tribunal untuk menyelesaikan masalah antara pemaju dan pembeli perlu disegerakan. Secara tidak langsung akan memberikan maklumat yang jelas tentang kedudukan sesuatu projek perumahan terbengkalai.
Pihak-pihak yang berkaitan diharapkan berusaha menangani kemelut ini dengan bijaksana. Malah, terdapat juga berbagai-bagai-bagai kerenah birokrasi dan prosedur ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mengheret sesebuah projek perumahan itu ke kancah masalah terbengkalai ini. Hal ini berlaku kerana masing-masing ingin menunjukkan kuasa dan pengaruh.

(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “ Projek Perumahan Terbengkalai”, oleh Nuarrual Hilal Md. Dahlan, Dewan Masyarakat, Mei 2006)

(i) Berikan maksud rangkai kata berusaha menangani kemelut.(2m)
(ii) Nyatakan usaha-usaha kerajaan menangani masalah projek perumahan terbengkalai. (3m)
(iii) Pada pendapat anda, apakah tindakan yang perlu dilaksanakan kepada pemaju yang ingkar menyiapkan projek perumahan mereka mengikut jadual yang dipersetujui ? (4m)


LATIHAN 19

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang ciri-ciri pembentukan identiti negara-negara ASEAN dan masalah-masalahnya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak penubuhannya, ASEAN atau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Association of Southeast Asians Nations) mencuba membentuk integrasi bersifat serantau dalam kalangan anggotanya. Ada juga pihak yang beranggapan bahawa sudah tiba masanya ASEAN mengikut jejak langkah Kesatuan Ekonomi Eropah (EU) dalam usaha melahirkan perkongsian dan budaya bersama. Namun , sejauh manakah negara ASEAN mampu bekerjasama menjalin ikatan yang kukuh untuk membangunkan kerjasama ekonomi, sosial, dan budaya secara bersama. Tidak hairanlah persidangan yang dianjurkan saban tahun diharapkan mampu menjana idea dan mengekalkan keharmonian dalam anggota ASEAN sendiri.
Kejayaan ASEAN mengekalkan hubungan baik harus dipuji. Persetujuan bersama melalui perundingan menjadi asas keteguhan hubungan sesama negara anggota ASEAN dalam proses melahirkan hubungan yang mesra. Hubungan ini terus menjadi asas sebarang tindak balas yang bersifat rundingan termasuk meneruskan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara anggota. Malaysia yang merupakan sebahagian anggota pertubuhan itu dilihat mampu menjadi model dalam komuniti ASEAN. Hal ini kerana dasar negara yang mengamalkan demokratik menjadi elemen utama dalam mengukuhkan pertubuhan ini.
Universiti ASEAN sepatutnya sudah ditubuhkan dan menjadi pemangkin kepada perubahan identiti masyarakat serantau.
Modul pendidikan yang realistik dan futuristik untuk masyarakat serantau bertunjangkan konsep pembangunan komuniti seharusnya diaplikasikan. Malah, proses pembangunan komuniti dan modal insan yang efisien perlu dalam memajukan ekonomi negara serantau. ASEAN perlu terus mendukung hasrat dan matlamatnya untuk bersaing dengan kuasa besar yang lain. Aspek pendidikan rohani dan jasmani juga berupaya membantu mengembangkan jaringan antara komuniti nasional dengan serantau.
Sejak awal penubuhannya, pengenalan konsep Kawasan Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) dilihat mampu mengekalkan hubungan anggotanya. Sikap saling memahami dan bertoleransi dalam segala hal merupakan inspirasi ASEAN. Dalam sesetengah hal, pertubuhan ini berupaya menangani masalah besar bertunjangkan falsafah kematangan dalam komunikasi berbanding dengan negara-negara maju. Pelbagai pihak mengharapkan agar ASEAN terus berdaya saing dan mampu berperanan sebagai pertubuhan yang mantap. Kepelbagaian etnik dan budaya ekoran salasilah masyarakatnya menjadi identiti an kayu pengukur kejayaan ASEAN.
Seterusnya, ASEAN telah merangka dan berusaha melaksanakan konsep identiti serantau yang merangkumi aspek politik dan budaya yang dijana berteraskan revolusi budaya. Kerjasama strategik dalam bidang ekonomi khususnya mampu memberikan manfaat. Secara tidak langsung tahap ekonomi anggota ASEAN dapat ditingkatkan. Sidang kemuncak yang saban tahun diadakan telah memberikan peluang kepada semua anggota menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing.

(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “ Pembentukan Identiti ASEAN”, oleh Sivamuruhan Pandian, Dewan Masyarakat, Februari 2006)

(i) Berikan maksud rangkai kata melahirkan perkongsian.(2m)

(ii) Nyatakan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan untuk memajukan negara-negara ASEAN. (3m)

(iii) Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang dapat dilaksanakan untuk membantu negara-negara miskin di dunia ini. (4m)


LATIHAN 20

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang sebab-sebab kekurangan gula di negara ini dan cara-cara menanganinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Semut mati kerana gula. Manusia turut menderita kerana gula, malah ada yang mati kerananya. Oleh sebab pengambilan gula yang berlebihan, kira-kira 1.6 juta rakyat Malaysia dikesan menghidap penyakit diabetes. Namun, hal ini tidak memberikan kesedaran kepada mereka. Kos perubatan yang ditanggung oleh kerajaan juga semakin meningkat untuk menampung kos penyakit ini. Kekurangan bekalan gula agak ketara di pasaran runcit sejak April 2006 terutamanya di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang , Perlis, Kelantan, dan Terengganu. Harga gula di pasaran dunia menunjukkan trend peningkatan sejak Februari yang lalu dan sedang menuju ke paras yang tinggi dalam tempoh 25 tahun.
Kebakaran ladang tebu di Australia dikatakan memberi kesan kekurangan bekalan gula. Hal ini ditambah pula dengan pengurangan pengeluaran gula dari Kesatuan Eropah (EU) menyebabkan masalah ini kian meruncing. Perkembangan bidang bioteknologi juga menyebabkan berlakunya peningkatan penggunaan gula mentah di Brazil untuk membuat etanol (bahan bakar kenderaan). Perkembangan ini memberikan kesan kerana negara EU, Australia, dan Brazil merupakan pengeluar utama gula mentah dunia yang berasaskan tebu dan bit . senario ini menyebabkan harga gula di pasaran meningkat ke RM 2000 satu tan metrik. Oleh sebab harga di pasaran dikawal oleh kerajaan, maka harganya jauh lebih murah berbanding dengan negara-negara jiran.
Harga gula yang murah di pasaran tempatan mendorong aktiviti manipulasi seperti menyekat pengedaran, menyorok, dan menyeludup dalam kalangan pembekal. Harga gula yang rendah juga mendorong industri besar yang berintensif gula mengalih pembeliannya daripada pasaran terbuka ke pasaran tempatan yang dilindungi oleh kerajaan untuk kepentingan pengguna. Hal ini menyumbang kepada kekurangan bekalan gula di pasaran untuk penggunaan isi rumah. Pembelian panik dalam kalangan pengguna memburukkan keadaan pasaran. Ada pihak yang beranggapan bahawa hal ini berlaku kerana tindakan manipulasi pihak pemborong, khususnya kes sorok gula yang bertujuan untuk memberikan tekanan kepada kerajaan untuk menaikkan harga tersebut. Hal ini demikian kerana harga gula tidak disemak semenjak 10 tahun yang lalu berbanding dengan harga minyak petrol dan diesel.
Seperti industri gula, industri berasaskan bahan keperluan lain juga pernah berhadapan dengan kekurangan bekalan. Namun masalah ini dapat diatasi oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna dengan membuat pemantauan harga barangan di seluruh negara. Malah pihak kementerian juga bertindak mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menyorok dan menyeludup barang keperluan. Bantuan dan subsidi diharapkan juga mampu mengawal kenaikan harga. Masalah yang sama juga turut berlaku apabila ada sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa tindakan menyorok dan kegiatan penyeludupan gula ke negara jiran menjadikan situasi ini semakin sukar untuk dibendung. Manakala pihak pemborong pula menyalahkan permintaan tinggi pihak industri untuk membeli barang keperluan asas itu daripada pemborong dan pengeluar hingga menjejaskan penggunaan isi rumah.
Aktiviti manipulasi bekalan dalam bentuk menyekat pengedaran, menyorok, dan menyeludup bekalan gula akan terus berlaku selagi perbezaan harga gula di pasaran tempatan dan dunia wujud. Dasar Pertanian Negara dan RMK-9 perlu memberikan komitmen dalam usaha menangani masalah ini dengan memberikan keutamaan kepada para pengguna.


(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Kekecohan Krisis Gula: Tanaman Tebu Terus Terbiar”, oleh Abdul Rahim Anuar, Dewan Masyarakat, November, 2006)

(i) Berikan maksud rangkai kata aktiviti manipulasi bekalan. (2m)
(ii) Nyatakan usaha-usaha kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan bahan keperluan negara. (3m)
(iii) Pada pendapat anda, apakah kesan kenaikan harga gula khususnya kepada para pengguna ? (4m)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan