CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 22 Januari 2010

PANDUAN MENGARANG 2

PANDUAN MENGARANG 2

D) Kelemahan-kelemahan umum dalam penulisan karangan :

Ketika menulis karangan, ramai pelajar gagal merujuk kepada soalan. Mereka hanya membaca topik yang diberi sekali sahaja, membuat kesimpulan dan terus menjawab. Adakalanya, tafsiran mereka salah atau mereka terkeluar daripada landasan yang seharusnya mereka ikuti. Inilah yang menyebabkan berlakunya penyelewengan dalam penulisan mereka. Dari itu, para pelajar harus sentiasa merujuk kepada topik yang diberi sepanjang mereka menulis untuk memastikan isi-isi serta ayat-ayat yang digubah untuk menyampaikan isi-isi itu sesuai dengan kehendak soalan.

Satu lagi kelemahan yang terdapat dalam penulisan karangan pelajar (terutama sekali ketika menjawab karangan berbentuk faktual atau perbincangan) ialah penggunaan ayat-ayat yang terlalu umum dan kebenarannya boleh dipertikaikan. Sebagai contoh, lihat ayat-ayat di bawah ini:
1. Semua remaja hari ini gemar membaca majalah hiburan.

2. Remaja yang gemar membeli barangan yang berjenama adalah remaja yang nakal dan menganggotai kumpulan samseng remaja.

Pendekatan yang sedemikian akan memberikan gambaran kepada pemarkah bahawa
pelajar tidak berfikir panjang ketika menulis, belum matang fikiran dan kurang teliti menggunakan perkataan. Ini akan menjejas nilai karangan tadi dari segi pemarkahan impression.
Berikutan dengan kelemahan ini ialah teknik pemerengganan yang lemah dan kurang
tepat. Masih ramai pelajar yang memulakan perenggan yang baru secara sewenang-wenangnya, adakalanya mengikut bilangan ayat yang telah ditulis atau apabila mereka rasa sudah cukup panjangnya sesuatu perenggan itu. Lazimnya, perenggan yang baru dimulakan jika berlaku:

1. peralihan dari satu isi kepada satu isi yang baru
2. perubahan kepada situasi yang dibincangkan
3. perubahan kepada pendekatan (baik lawan buruk)
4. dialog antara dua atau lebih orang setiap dialog yang berbeza penuturnya dimulakan
dengan perenggan yang baru


Menjawab karangan Naratif / Cerita tanpa persediaan yang betul:



Rata-rata, ramai pelajar gemar menjawab soalan karangan yang berbentuk cerita atau naratif. Pada sangkaan mereka, soalan bentuk ini lebih mudah, tidak perlu banyak memikirkan tentang isi yang perlu ditulis dan risiko karangan yang ditulis menyeleweng daripada kehendak soalan amat tipis. Laras bahasa yang diperlukan juga mudah kerana ia sama seperti yang digunakan dalam buku-buku cerita serta majalah-majalah yang mereka gemari.

Pendapat sedemikian boleh membawa padah, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan pelajar menjurus kepada sikap sambil lewa dan kurang berhati-hati. Sebenarnya, soalan yang berbentuk sedemikian memerlukan perancangan yang rapi juga. Adakalanya, kehendak soalan ini lebih susah daripada soalan karangan yang berbentuk faktual atau perbincangan.



Cuba kita lihat contoh di bawah ini.

Pelajar dikehendaki menulis karangan yang berakhir dengan .........
Begitulah nasib yang menimpa dirinya. Perasaan tamak dan dengkinya itu akhirnya
memakan dirinya sendiri.


Perkataan-perkataan yang condong dan digelapkan merupakan penentu batasan serta tema yang perlu ada dalam cerita yang harus dikarang. Jika cerita yang disampaikan gagal menimbulkan perkara-perkara yang telahpun ditentukan dalam soalan, maka pelajar boleh dianggap sebagai telah menyeleweng atau tidak dapat menjawab soalan seperti yang dikehendaki.
Cerita yang diharapkan dapat dikarang pelajar harus berkisar kepada seseorang yang mempunyai sifat-sifat tamak dan dengki. Sifat-sifat ini pula merupakan kelemahannya yang akhirnya menyebabkan dirinya menderita.
Namun, ramai pelajar yang hanya menyentuh tentang sifat tamak watak utama sahaja. Sifat dengkinya hanya disebut tetapi tidak diberi penekanan yang sewajarnya. Ada pula yang tersilap tafsir dan menerangkan bagaimana sifat tamak dan dengki watak utama membawa padah kepada keluarganya atau orang-orang yang disayanginya, bukan terhadap watak utama itu sendiri. Ini adalah contoh-contoh yang menunjukkan kesilapan-kesilapan besar yang mungkin dilakukan oleh pelajar yang menjawab soalan-soalan berbentuk cerita atau naratif .

Seterusnya, ada juga pelajar yang tidak mempunyai penguasaan bahasa yang baik, kurang membaca dan kurang pengetahuan mengenai ciri-ciri penulisan cerpen yang baik yang juga ingin menjawab soalan yang berbentuk sedemikian. Hasil karangan yang ditulis sudah tentu akan mengandungi kekurangan kekurangan dari segi isi, gaya dan bahasa.

Pelajar perlu tahu bahawa karangan berbentuk cerita ini mempunyai ciri-cirinya tersendiri. Ia memerlukan:

 plot yang dirancang dan disusun rapi, menarik,unik dan asli/original, dan tidak membosankan
 pengenalan watak-watak utama secara teratur; tidak mendadak dan tidak mengelirukan,
 masalah atau saspens (climax) dan berakhir dengan suatu penyelesaian (anti-climax) yang menarik dan bukan sekadar mengambil jalan keluar yang mudah sahaja. Sebagai contoh, plot yang baik serta saspens yang menarik akan hancur jika pelajar mengakhiri ceritanya dengan mengatakan bahawa watak utamanya hanya bermimpi. Cerita yang berkesudahan dengan mimpi merupakan jalan mudah yang diambil pelajar setelah dia sendiri keliru dengan urutan cerita yang ingin disampaikan atau dia sudah kebuntuan idea.
 Selain keperluan mekanis yang dibincangkan di atas, laras bahasa yang sesuai, bebas dari penggunaan bahasa lisan serta teknik pemerengganan yang baik juga amat diperlukan dalam penulisan karangan yang berbentuk cerita atau naratif agar cerita yang disampaikan bukan sahaja lancar, malah menarik dan berkesan.


Antara kelemahan-kelemahan bahasa yang terdapat dalam karangan berbentuk cerita yang ditulis pelajar selain yang telah dibincangkan sebelum ini ialah:

 kelemahan dalam kemahiran tanda baca, lebih-lebih lagi ketika mereka menggunakan dialog dalam karangan itu
 penggunaan bahasa lisan yang keterlaluan dan tidak sesuai (biarpun dalam bentuk dialog atau tulisan)
 penggunaan bahasa yang berbunga-bunga untuk menerangkan keadaan sekeliling atau (setting) yang tidak terkawal sehingga hilang tumpuan terhadap isi yang seharusnya diberikan penekanan.


Dari itu, para pelajar haruslah berhati-hati ketika membuat pilihan bentuk karangan yang ingin mereka tulis. Ia harus sesuai dengan kebolehan serta penguasaan bahasa Melayu mereka. Mereka bolehlah merujuk kepada guru darjah yang telah banyak memarkah karangan yang mereka tulis di sekolah untuk memberikan nasihat yang wajar mengenai perkara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan