sumber : Raniza Abdullah SMKSP
Praktis 6
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan punca PIBG gagal memajukan sekolah . Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah organ penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah. Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar kearah meningkatkan akses, aktiviti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif, berwibawa serta bertaraf global.
Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa keahlian badan ini hendaklah terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. Institusi ini boleh bertindak melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer, penyediaan jalur lebar School Net ke sekolah, pusat sumber yang mapan dan kemudahan sukan dan rekreasi yang mantap.
PIBG bertanggungjawab melahirkan produk generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang. Di samping itu, PIBG juga perlu bertindak sebagai entiti utama membolehkan kelompok ibu bapa dan guru berkongsi dan bertukar-tukar pendapat serta maklumat mengenai pendidikan semasa dan kaedah meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum pelajar.
PIBG juga dilihat mampu bertindak sebagai peneraju serta pencetus kejayaan pelajar dalam peperiksaan awam yang diduduki, di samping faktor dalaman dan luaran lain yang menjadi asas kepada kejayaan mereka. Persoalannya , sejauh manakah PIBG telah berjaya menentukan hala tuju dan misi sekolah agar terus berada pada landasan yang betul.
Bagi sekolah yang peratusan kelulusan rendah atau gagal mengekalkan prestasi kecemerlangan sekolah, maka PIBG dan pihak sekolah perlu melakukan sesuatu bagi menaikkan imej, identiti dan menjaga nama baik sekolah agar tidak dipandang rendah. Mungkin lebih banyak kelas tambahan perlu diadakan dengan memanggil guru pakar memberikan latihan serta memperbanyak kursus motivasi kepada pelajar yang lemah dan kurang potensi.
Medium pembelajaran berasaskan akses internet hendaklah digalakkan kerana pelajar boleh mengaplikasikannya sebagai sumber rujukan tambahan yang tiada di dalam bilik darjah , buku teks dan rujukan lain.
Di samping itu, PIBG perlu mencari formula mujarab dan berkesan bagi menangani masalah sosial pelajar sekolah yang semakin parah dan serius. Masalah ponteng sekolah, merokok, penagihan dan dan pornografi, melakukan seks bebas dan pelbagai bentuk jenayah seperti mencuri, mencabul dan membuli hendaklah dibanteras secara bijak dan berhemah agar perkara ini tidak terus berlarutan.
Banyak juga portal dan blog pendidikan yang berfaedah kepada pelajar dan guru untuk diterokai, sama ada produk tempatan atau luar negara . Pelajar mudah memahami apa-apa yang telah dipelajari oleh mereka menerusi program multimedia dan internet yang membolehkan mereka mengulang kaji pada bila-bila masa. Oleh hal yang demikian, PIBG perlu memikirkan tentang perlunya penyediaan kemudahan kafe siber di setiap sekolah. PIBG juga hendaklah mampu memandu sekolah sebaris dengan kelompok sekolah bestari dan berpotensi dikategorikan di dalam sekolah kluster dan kelompok sekolah cemerlang (KSC) seperti yang diumumkan baru-baru ini.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana“Tingkatkan Peranan PIBG “, Utusan Malaysia, Julai 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata mencari formula mujarab ? 2 markah]
(ii) Nyatakan kebaikan penyediaan kefe siber di sekolah. [3 markah ]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah PIBG boleh membantu pihak sekolah mengumpul dana untuk memajukan sekolah ? [4 markah]
Praktis 7
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi dan kesannya jika masalah ini tidak dibendung. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Masalah buang bayi bukan perkara baru, masalah ini telah berakar umbi sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Sedihnya, kekerapannya sekarang begitu ketara. Seks bebas, pergaulan tanpa batasan dan kealpaan ibu bapa menyumbang kepada permasalahan besar ini terus berlaku. Setiap orang yang tersentuh hati melihat fenomena tidak berhati perut ini perlu bangkit, sedar dan insaf. Kita ada tanggungjawab untuk disempurnakan.
Kita perlu memastikan ibu bapa, pihak sekolah dan mereka yang pakar dalam bidang-bidang berkaitan yang menjurus ke arah berlakunya penyakit sosial yang kejam ini mengambil serius akan perbuatan ini. Masyarakat perlu melihat hubungan luar nikah sebagai suatu yang serius dan perlu dibendung. Ibu bapa dan masyarakat perlu menjauhkan anak-anak remaja kita dan kaum wanita dan lelaki daripada berada di persekitaran yang menjurus ke arah tersebut. Hubungan sosial lelaki dan perempuan dan persahabatan tanpa batasan antara kedua-dua pihak perlu dipantau setiap masa.
Tindakan kerajaan Selangor mengharamkan dan menutup rumah urut sebagai satu langkah yang bijak. Tindakan tersebut secara tidak langsung menghalang tumbuhnya rumah sedemikian dengan lebih banyak dan menjadi tempat yang disalahgunakan ke arah kegiatan maksiat. Pengetahuan agama memang perlu bagi membanteras bencana sosial ini daripada terus berleluasa. Ramaja perlu ada asas pendidikan agama supaya boleh bertindak rasional jika menghadapi kebuntuan dalam membuat keputusan terhadap masalah-masalah kritikal. Sememangnya tidak dinafikan bahawa wanita yang mengandung tanpa suami menghadapi tekanan dan hilang pertimbangan dalam mencari keputusan dalam menentukan kelahiran bayi yang dikandungnya. Perasaan malu dalam dirinya terhadap ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan jiran amat tebal. Tambahan pula apabila pasangan lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab. Menyedari dirinya yang keseorangan, mereka mengambil jalan mudah membuang bayi yang dilahirkan di tempat-tempat awam.
Sehubungan itu, masyarakat perlu mengamalkan konsep bantu-membantu dan tegur-menegur antara satu sama lain. Gejala ini juga dikaitkan dengan isu filem lucah yang perlu dibendung dengan serius. Begitu juga dengan internet, sudah sampai masanya, satu pakatan bersepadu digerakkan untuk membanteras gejala tidak sihat ini daripada digunakan tanpa kawalan. Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (KEWAJA) akan terus mengambil wanita-wanita yang mengandung tanpa nikah ini untuk tinggal di sini bagi menjamin kebajikan mereka sepanjang mengandung. KEWAJA akan memastikan setelah bayi dilahirkan, anak itu tidak dibuang sebaliknya diuruskan dengan baik untuk dijadikan anak angkat.
Kaunselor juga patut turun padang memberikan nasihat dan bimbingan untuk mereka melalui trauma ini dalam suasana yang tenang dan aman. Jawatankuasa Bertindak di taman-taman perlu diwujudkan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral di kawasan bandar . Jika masyarakat tidak bertindak sekarang, jangan menyesal sekiranya isu buang bayi ini bertukar menjadi bencana sosial yang dahsyat pada masa hadapan. Jangan biarkan air mata kita menitis lagi apabila melihat jasad bayi yang tidak berdosa dijumpai di tempat awam dan di tempat-tempat yang menjijikkan.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana “Suatu Bencana Gejala Sosial “, Utusan Malaysia, Mac 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata satu pakatan bersepadu digerakkan ? [2 markah]
(ii) Mengapakah wanita yang mengandung tanpa suami sanggup membuang bayi mereka ? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah untuk mengawal anak-anak daripada melayari perkara-perkara negatif daripada internet ? [4 markah]
Praktis 8
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang punca-punca kemerosotan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat dan cara-cara mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Maksud hakiki semangat kejiranan ialah jiran tetangga hidup berbaik-baik, bertolak ansur, dan bekerjasama antara satu sama lain. Secara mudah, masyarakat yang mempunyai semangat kejiranan boleh difahamkan sebagai suatu masyarakat yang hidup berlandaskan perasaan kasih sayang dan amalan bergotong-royong sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama, atau pangkat.
“Kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar” merupakan suatu pepatah yang popular dalam masyarakat Melayu. Berdasarkan maksud pepatah tersebut, masyarakat sepatutnya hidup bermuafakat dan mempunyai semangat kejiranan. Semangat muhibah dan bersatu padu diperlukan untuk menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial.
Sesungguhnya , semangat kejiranan semakin pudar dalam kalangan masyarakat kita. Hubungan kemasyarakatan yang semakin renggang ini ada kaitannya dengan sikap masyarakat yang lebih cenderung untuk hidup bersendirian tanpa gangguan orang lain. Malahan terdapat tanggapan bahawa kemewahan yang dikecapi sudah memadai bagi mereka untuk menjalani kehidupan tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Bukan itu sahaja, keuntungan dan wang ringgit kelihatan begitu agung di depan mata mereka dan apabila seseorang menghadapi kesusahan, mereka bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan berasa begitu sukar untuk menghulurkan bantuan. Mereka enggan menyahut seruan kerajaan kerana mereka beranggapan bahawa menghadiri gotong-royong ataupun kempen kemasyarakatan membazirkan masa dan tiada faedahnya.
Selain itu, aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kejiranan juga semakin berkurangan. Hal ini berlaku kerana kemasyarakatan kini lebih mengutamakan sikap keakuan dan enggan mempedulikan perkara lain yang tiada kaitan dengan mereka. Mereka khuatir untuk memikul tanggungjawab ataupun diminta menghulurkan bantuan. Di samping itu, aktiviti kemasyarakatan seperti menjayakan majlis kenduri-kendara semakin dilupakan. Adat resam ini telah pupus mengikut peredaran masa dengan perkembangan dan pembangunan negara.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa masih terdapat segelintir masyarakat yang bersikap tidak endah terhadap rancangan kerajaan untuk menghidupkan semula semangat kejiranan. Oleh itu, kerajaan dengan bantuan pelbagai agensinya serta badan-badan bukan kerajaan mestilah memikirkan langkah efektif untuk memupuk semangat murni ini dalam kalangan masyarakat. Tanpa semangat kejiranan yang kukuh antara rakyat berbilang kaum seperti Malaysia, keamanan dan kesejahteraan tidak akan dapat terus dikecapi oleh anggota rakyat.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana “Semangat Kejiranan Ditelan Arus Pembangunan “, Dewan Siswa, Jun 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata semakin renggang ? 2 markah]
(ii) Apakah tanggapan umum masyarakat terhadap kepentingan semangat kejiranan ? [3 markah ]
(iii) Pada pendapat anda, apakah akibat yang bakal dihadapi oleh masyarakat sekiranya mereka mengabaikan semangat kejiranan ? [4 markah ]
Praktis 9
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang sebab-sebab manusia hari ini menjunjung nilai kebendaan dan usaha-usaha untuk mengikis sikap sedemikian. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Dewasa ini, kebolehan Negara kita untuk merealisasikan wawasan luhur negara yang sering diuar-uarkan oleh para pemimpin Negara tercabar berikutan sikap negatif yang ditunjukkan oleh rakyat sendiri. Memang tidak dapat dipertikaikan bahawa di bawah pimpinan kerajaan yang berwibawa, negara kita mengalami anjakan paradigma daripada sebuah negara mundur kepada sebuah negara maju. Kemelut sosial sering kali mencengkam kehidupan manusia. Manusia hari ini menjunjung nilai kebendaan dan menginjak kasih sayang. Mereka menjadi materialistik dan kurang prihatin akan isu-isu yang berlaku.
Keinginan manusia untuk memenuhi keperluan hidup masa ini merupakan faktor utama munculnya fenomena tersebut. Di bawah desakan inflasi, kos sara hidup semakin meningkat. Kos kehidupan yang begitu tinggi mendesak rakyat bekerja kuat untuk mendapat ganjaran yang lebih lumayan agar mereka dapat memenuhi keperluan hidup dan menikmati kemudahan yang bertaraf tinggi, lebih-lebih lagi ketika nilai mata wang negara semakin merosot berikutan masalah kegawatan ekonomi negara. Seandainya mereka Berjaya mengaut keuntungan yang tinggi, keadaan itu sekaligus menyebabkan mereka berasa megah dan menjadi materialistik.
Generasi muda yang baru sahaja menceburi bidang pekerjaan juga terpengaruh oleh ternd masyarakat moden yang begitu menjunjung nilai kebendaan dan mementingkan faktor keuntungan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa. Demi memenuhi sifat kebendaan, mereka bersikap dingin terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar mereka. Dalam keadaan ini, nilai kasih sayang yang begitu disanjung tinggi oleh masyarakat semakin ditinggalkan oleh mereka. Bukan itu sahaja, terdapat sebahagian daripada anggota masyarakat kita terpengaruh oleh budaya asing sehingga begitu sukar untuk mengikis sikap negatif tersebut. Budaya asing menimbulkan impak besar terhadap gaya hidup penduduk sehingga mereka semakin memandang remeh hubungan silaturahim sesame ahli keluarga dan masyarakat. Hari ini, budaya asing ini telah mengancam tradisi lama tersebut. Akhirnya, rakyat tidak lagi mementingkan kasih sayang sebaliknya bersikap taksub mengejar kebendaan.
Nilai-nilai agama dan nilai murni yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat kita semakin rapuh dalam kalangan generasi muda kita. Keadaan itu sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan rohaniah mereka sehingga begitu senang mereka terpengaruh oleh nilai kebendaan tanpa mempedulikan keluhuran nilai murni dalam kehidupan. Dalam keadaan sedemikian, jiwa kebendaan mereka kian terserlah oleh satu matlamat dalam fikiran mereka iaitu bekerja demi memperoleh ganjaran yang lumayan.
Pengikisan nilai kebendaan memerlukan komitmen dan kerjasama yang jitu daripada semua pihak agar masalah yang diibaratkan duri dalam daging ini dapat dibendung. Tiada penyakit yang tiada penawarnya. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha yang konkrit dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar kebudayaan timur yang mulia dapat terus mekar dalam kalangan anggota masyarakat kita.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana “Nilai Kebendaan Menjadi Sanjungan “, Dewan Masyarakat, April 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata mengalami anjakan paradigma ? 2 markah]
(ii) Bagaimanakan corak kehidupan seseorang membantu menyemai sifat dan sikap kebendaan pada dirinya? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah implikasi yang akan timbul seandainya anggota masyarakat kian berjiwa materialistik ? [4 markah]
Praktis 10
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang implikasi kes ragut terhadap masyarakat dan kepentingan untuk menangani gejala sosial tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kewujudan jenayah sosial yang kian berleluasa di negara ini sedikit sebanyak mendatangkan implikasi negatif terhadap kehidupan anggota masyarakat di negara ini. Nyawa manusia begitu senang diragut berikutan wujudnya penjenayah yang langsung tidak mengenal nilai etika dalam masyarakat kita. Setiap hari, media tempatan tidak henti-henti melaporkan berita tentang kematian atau kecederaan yang menimpa mengsa peragut yang bagaikan parasit tidak henti-henti mencengkam kehidupan kita.
Seandainya anggota masyarakat dahulu bebas bergerak dari suatu tempat ke tempat lain tanpa merisaukan keselamatan mereka, anggota masyarakat masa ini tidak lagi menikmati kebebasan sebegini. Setiap kali mereka keluar, mereka akan berasa bimbang terhadap kemungkinan diri mereka menjadi mangsa peragut yang gila akan wang. Selain itu, beg bukan lagi aksesori asas wanita memandangkan beglah sasaran peragut setiap kali mereka mendapati bahawa wanita yang menjinjing beg berjalan kaki keseorangan di jalanan. Apabila pergelutan wujud antara wanita dengan peragut, kaum wanitalah yang pada lazimnya dicederakan, malahan dalam sesetengah kes, mereka akan terus menjadi mangsa peragut yang tidak berperikemanusiaan.
Dalam pada itu wujud pula sesetengah kes ragut yang melibatkan pelancong asing sehingga menjejaskan imej negara pada pandangan mereka. Keselamatan pelancong asing perlu sentiasa kita utamakan agar sektor pelancongan negara dapat berkembang dengan mantap. Namun, kewujudan peragut seolah-olah membantutkan usaha kerajaan memajukan sektor pelancongan. Keyakinan anggota masyarakat terhadap keefisienan pasukan polis membanteras jenayah sosial turut terjejas seandainya jenayah kes ragut dibiarkan berterusan. Rungutan anggota masyarakat terhadap polis tempatan akan bertambah sehingga menjejaskan imej mereka. Dalam soal ini, pihak polis tempatan perlu mempergiat usaha mereka membanteras jenayah sosial demi mengembalikan maruah dan keyakinan anggota masyarakat terhadap mereka.
Pada lazimnya, peragut terdiri daripada parasit masyarakat yang gagal memikul tanggungjawab mereka sebagai anak watan yang sedia menyumbangkan tenaga meneruskan pembangunan negara. Sebahagian besar daripada mereka merupakan penganggur atau penagih dadah yang tidak berupaya untuk menyara hidup sendiri. Tidak kurang pula yang ingin mencari jalan mudah untuk memperoleh wang akibat daripada kemalasan mereka. Selagi sampah masyarakat ini dibiarkan terus wujud dalam masyarakat kita, selagi itulah ketenteraman sosial akan menjadi kos lepas yang begitu merugikan kita. Oleh itu, diharapkan berkat kesanggupan kita bahu-membahu membanteras jenayah sosial itu, kesejahteraan hidup akan terus kita nikmati.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana “Jenayah Ragut “, Berita Harian, Ogos 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata parasit masyarakat ? [2 markah]
(ii) Mengapakah amalan kaum wanita berubah berikutan wujudnya kes ragut ? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah yang harus dilakukan oleh pihak berkuasa demi membanteras jenayah ragut ? [4 markah]
Salam . .
BalasPadamBoleh cikgu tolong bagi saya jawapan rumusan praktis 11 ??
Tolong hantar di e-mail saya , kyo_tasuna@yahoo.com.my
Terima kasih .
jawapan praktis 11
BalasPadamkesan-kesan iklan kepada masyarakat dan langkah-langkah untuk mengatasinya .
kesan-kesan iklan kepada masyarakat dan langkah-langkah untuk mengatasinya .
1. menentukan corak perbelanjaan anggota masyarakat.
2. sebagai penyebar maklumat tentang sesuatu barangan atau perkhidmatan kepada pengguna. 3.merupakan suatu alat untuk menukarkan fikiran manusia
4. mempengaruhi corak perbelanjaan yang berlebihan dalam kalangan pengguna
5.Iklan turut akan menyalurkan maklumat yang palsu kepada pengguna.
6. kaum wanita turut dieksploitasikan dengan sewenang-wenangnya untuk menjadi alat pengusaha membuat lebih banyak keuntungan
7. kos iklan telah dikira dalam harga jualan barangan tersebut dan sebenarnya penggunalah pihak yang sedang membiayai kos iklan syarikat tersebut.
Ini memang sangat menakjuubkan dan sangat berguna kepada pelajar-pelajar menengah sekalian. Ini memang harus dipuji.
BalasPadamCikgu tolong bagi jawapan untuk soalan 10 secepat mungkin
BalasPadamTerima kasih
isi
PadamIndeks jenayah sosial meningkat
kematian atau kecederaan yang menimpa mangsa peragut
kebebasan bergerak individu dari suatu tempat ke tempat lain tanpa merisaukan keselamatan tidak dapat dicapai
kaum wanita terdedah kepada sasaran peragut
menjejaskan imej negara jika ianya melibatkan kes meragut kepada pelancong/ membantutkan usaha memajukan industri pelancongan
imej polis menjaga keselamatan negara terjejas/ kesfesienan tugas polis dipertikaikan
kepentingan menjaga ketenteraman
- Keadaan dalam negara aman/ dipercayai pelabur/ kedatangan pelancong
- Mengelakkan imej negara tercemar
- Keselamatan penduduk terjamin pada setiap masa
Terima kasih atas tips soalan diatas, harap boleh lawat blog saya ya... sipanjangcakap.blogspot.com
BalasPadamCg razak tlg berikan saya maksud parasit masyarakat
BalasPadamCikgu razak tolong saya .. apakah maksud meralisasikan wawasan negara
BalasPadamCkgu,boleh tak tolong saya...apakah ulasan demi memenuhi sifat kebendaan,mereka bersikap dingin terhadap peristiwa yang berlaku di sekitar mereka.
BalasPadam