CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Khamis, 17 September 2015

KARANGAN SPM - MINGGU SUAI KENAL






              Anda telah dipilih untuk memasuki salah sebuah sekolah berasrama penuh. Pada minggu pertama kedatangan anda, pihak sekolah telah mengadakan “Minggu Suai Kenal” untuk pelajar-pelajar baru. Ceritakan  pengalaman anda sepanjang aktiviti ini dijalankan .

           Inilah yang dikatakan berkat ketabahan kerana selepas kejayaan saya dalam peperiksaan PMR, saya telah diterima masuk ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Kajang, Selangor. Pada tanggal 3 Januari 2000, saya bersama-sama pelajar-pelajar baru yang lain menjejakkan kaki ke sekolah tersebut untuk mendaftarkan diri. Selepas mendaftar, kami diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Minggu Suai Kenal. Melalui taklimat tersebut, kami diberitahu bahawa mulai hari ini “Minggu Suai Kenal” akan diadakan selama seminggu kepada pelajar-pelajar baru.

           Selepas taklimat itu, pelajar-pelajar baru telah dibawa ke asrama dan ditempatkan di Blok A asrama berkenaan. Kami dibahagikan kepada empat orang untuk sebuah bilik. Di sinilah kami mengambil kesempatan berkenalan dengan rakan sebilik masing-masing. Pelajar-pelajar ini datang dari pelbagai sekolah agama yang terdapat di pelusuk negeri sama ada dari Semenanjung, mahupun dari Sabah dan Sarawak.

           Acara rasmi “Minggu Suai Kenal” bermula pada malam hari pertama. Dalam majlis itu, kami diperkenalkan dengan ahli-ahli jawatankuasa “Minggu Suai Kenal” iaitu abang-abang dan kakak-kakak kami, pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam.

           Kemudian kami diberi beberapa taklimat khususnya berkenaan dengan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang minggu ini nanti. Sementara itu, tuan pengetua memberikan ucapan yang berkaitan dengan perkembangan sekolah, peraturan-peraturan dan disiplin, serta beberapa program dan matlamat sekolah ini kepada kami semua. Akhirnya beliau merasmikan “Minggu Suai Kenal” tersebut.

           Pada keesokkan harinya, kami terpaksa bangun awal, iaitu pada pukul 5.00 pagi. Ini merupakan satu kejutan bagi saya kerana tidak pernah dalam hidup saya bangun seawal begini. Kami bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh. Sebelum itu kami terpaksa mengejutkan rakan-rakan sebilik atau rakan-rakan di bilik berdekatan yang mungkin masih lagi diulit mimpi. Selepas menunaikan solat, kami mengikuti kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Mustafa Abu Bakar. Pada ketika inilah timbul rasa keinsafan dalam diri masing-masing yang sebelum ini belum bersedia menghadapi cabaran hidup.
           Selapas solat Subuh dan bersarapan, kami mengikuti kegiatan yang dinamakan “Majlis Silaturahim”. Dalam majlis itu, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dalam setiap kumpulan kami dikehendaki memperkenalkan diri masing-masing. Saya dengan perasaan sedikit gementar cuba memberanikan diri untuk memperkenalkan diri kepada kawan-kawan sekumpulan. Kegiatan begini telah memberi peluang kepada saya untuk bergaul dengan lebih mesra dengan kawan-kawan baru di samping menghilangkan perasaan segan dan kekok apabila berhadapan dengan orang lain.

           Pada sebelah petang, kami diwajibkan menyertai permainan atau sukan di padang. Di samping itu, ada antara kami yang mengikuti senam robik dan latihan kawat. Aktiviti seperti ini dapat mendisiplinkan diri serta menjadikan tubuh lebih sihat.

           Pada sebelah malam pula, kami mengikuti ceramah yang bertajuk “Bahaya Merokok”. Ceramah sebegini telah menyedarkan bahawa remaja seperti kami terdedah kepada aktiviti-aktiviti yang kurang sihat.

           Begitulah aktiviti yang diadakan pada tiap-tiap hari dan malam sepanjang minggu itu. Kami didedahkan dengan kuliah Subuh, kegiatan berkumpulan, permainan atau sukan sebegini serta ceramah berbentuk motivasi. Melalui aktiviti-aktiviti, kami merasakan bahawa aktiviti itu telah menjalin kemesraan antara kami. Kami juga dapat mendisiplinkan diri dengan aktiviti yang bermanfaat. Semua aktiviti yang dijalankan akan menjadi kenangan yang tidak dapat kami lupakan sepanjang mengikuti “Malam Suai Kenal” itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan