Kedatangan Imigran
Pengenalan
Abad ke-19 adalah titik tolak penting dalam sejarah Tanah Melayu bukan sahaja mengalami perubahan politik, tetapi juga perubahan sosial dan ekonomi. Perubahan politik telah membawa kepada perubahan sosial. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah membawa kepada kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Selain orang Cina dan India, terdapat satu lagi kumpulan imigran di Tanah Melayu iaitu orang Indonesia yang datang dari Kalimantan, Jawa, Sumatera, Sulawesi, Riau dan lain-lain Kepulauan Indonesia.
Orang Indonesia
1. Pengenalan
Sebelum pemerintahan Inggeris, orang Indonesia telah berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka adalah orang Minangkabau, orang Bugis dan orang Jawa. Orang Minangkabau dari Sumatera Barat telah berhijrah secara beramai-ramai ke Negeri Sembilan pada abad ke-14. Orang Bugis dari Sulawesi Selatan telah datang ke Tanah Melayu dan menetap di Selangor, Perak dan Johor. Orang Jawa berhijrah ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20 untuk bekerja sebagai buruh di lading kopi, lading getah dan juga di lombong-lombong bijih timah. Pada penghujung abad ke-19, penghijrahan masuk orang Indonesia semakin meningkat. Hal ini disebabkan keperluan buruh dalam sektor penanaman padi dan kopi diikuti oleh perkembangan perusahaan bijih timah dan getah.
2. Sebab kedatangan
a. Faktor politik
Tekanan politik oleh pihak penjajah (Belanda) telah mendorong kemasukan orang-orang Indonesia ke Tanah Melayu. Sebagai contoh, orang Jawa telah dikenakan Sistem Kultur (1830-1870) atau Sistem Tanaman Paksa. Sistem ini telah menyebabkan rasa kurang senang orang-orang Jawa terhadap pemerintahan Belanda. Pertambahan penduduk Indonesia yang tinggi juga menyebabkan tanah pertanian di Jawa tidak cukup.
b. Faktor sosial
Penduduk di Indonesia terutamanya dari Pulau Jawa dan Sumatera telah bertambah dengan pesat. Pertambahan penduduk yang tidak seimbang dengan pertambahan keluasan tanah pertanian ataupun pengeluaran tanaman makanan telah menyebabkan kemiskinan dan kemerosotan taraf hidup para petani.
c. Faktor ekonomi
Peluang ekonomi seperti sektor pertanian iaitu getah, padi, kelapa dan lain-lain adalah pendorong utama kepada kemasukan orang-orang Indonesia ke Tanah Melayu. Kestabilan politik di Tanah Melayu adalah lebih baik jika dibandingkan dengan Indonesia juga merupakan faktor pendorong bagi kemasukan orang Indonesia. Galakan pembesar-pembesar tempatan untuk mengerjakan kawasan pertanian juga telah mendorong kepada lebih ramai kemasukan orang Indonesia ke Tanah Melayu. Sebagai contoh, Orang Kaya Bakar (Muar) telah menggunakan tenaga orang Indonesia untuk mengerjakan dusun buah-buahannya. Persamaan dengan orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari segi bahasa, agama, adat resam dan sebagainya telah menyebabkan mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Tanah Melayu.
3. Sumbangan
Orang Indonesia turut menyumbangkan tenaga dalam perusahaan getah dan bijih timah di samping dalam pertania seperti padi, kelapa, dusun buah-buahan dan sebagainya. Kecenderungan dalam mengusahakan pertanian yang sama dengan tempat asal mereka adalah pendorong kepada kedatangan orang Indonesia ke Tanah Melayu.
4. Cara kemasukan
Tidak ada satu sistem yang tertentu yang dilalui oleh orang Indonesia untuk datang ke Tanah Melayu di mana mereka berusaha sendiri untuk datang ke sini.
5. Komposisi penduduk orang Indonesia
a. Orang Jawa
Orang Jawa merupakan orang Melayu yang paling banyak berhijrah ke Tanah Melayu. Menjelang tahun 1930, terdapat 17000 orang Jawa di Tanah Melayu dan Singapura. Mereka bekerja sebagai buruh di lading kopi dan getah atau lombong bijih timah. Kebanyakan orang Jawa terdapat di negeri Johor, selangor dan Perak.
b. Orang Banjar
Orang Banjar berasal dari Daerah Banjarmasin. Mereka mengusahakan penanaman padi. Kebanyakan mereka mendiami kawasan-kawasan pinggir pantai dan lembah-lembah sungai di Perak, Selangor dan Johor. Pada tahun 1931, bilangan penduduk Banjar di Tanah Melayu ialah 45382 orang.
c. Orang Bugis
Orang Bugis berasal dari Pulau Sulawesi membuka petempatan di Selangor, Johor dan Perak. Mereka menjalankan kegiatan pertanian.
d. Orang Boyan
Orang Boyan berasal dari Pulau Boyan telah menetap di Bandar-bandar seperti Singapura, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Mereka mahir dalam pemeliharaan kuda lumba.
e. Orang Minangkabau
Orang Minangkabau dari Sumatera menetap di Negeri Sembilan. Kebanayakan mereka terlibat dalam kegiatan perniagaan dan pertanian.
6. Bilangan penduduk orang Indonesia
Pada tahun 1947, bilangan penduduk Indonesia di Tanah Melayu adalah lebih kurang 307150 orang. Daripada jumlah ini, 60% terdiri daripada orang Jawa. Pada tahun 1957 bilangan penduduk Melayu (termasuk orang Indonesia) ialah 2427834 orang iaitu 49.8% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu.
Orang Cina
1. Pengenalan
Sejak abad ke-15, orang Cina telah datang ke Tanah Melayu. Pembukaan Melaka dan hubungan perdagangan di antara Melaka dengan negara China menggalakkan kedatangan orang Cina. Penghijrahan orang Cina semakin bertambah menjelang awal abad ke-19. Orang Cina telah berhijrah ke Negeri-negeri Selat akibat perkembangan perdagangan di Pulau Pinang dan Singapura serta dasar pemerintahan British di Pulau Pinang dan Singapura yang longgar memudahkan lagi kemasukan imigran Cina. Orang Cina berhijrah ke Johor pada masa pemerintahan Temenggung Ibrahim (1825-1862) untuk membuka lading gambir dan lada hitam. Penghijrahan masuk orang Cina meningkat lagi pada pertengahan abad ke-19. Mereka berhijrah secara beramai-ramai untuk bekerja sebagai buruh di lombong bijih timah dan ladang lada hitam.
2. Sebab kedatangan
a. Faktor penolak
i. Sebab sosial dan ekonomi
Bencana alam seperti yang berlaku di China seperti kemarau, banjir dan sebagainya menyebabkan penderitaan yang teruk ke atas penduduknya. Pertanian yang menjadi nadi ekonomi China ketika itu tidak dapat dijalankan akibat bencana alam dan ini akhirnya berlaku kebuluran yang teruk akibat bekalan makanan yang tidak mencukupi. Pertambahan penduduk yang tidak seimbang dengan pembukaan tanah pertanian turut menyebabkan hasil pertanian tidak mencukupi. Sebagai contoh, penduduk Cina berjumlah 181 juta pada tahun 1751 telah bertambah menjadi 432 juta pada tahun 1851. Serentak dengan itu, Kerajaan Manchu mengenakan cukai yang tinggi untuk menanggung perbelanjaan pentadbirannya. Ramai petani tidak dapat membayar cukai dan terpaksa menjual tanahnya. Akibatnya, 60-90% daripada petani kehilangan tanah.
ii. Kekacauan dan korupsi politik di negara China
Keadaan politik di China yang tidak stabil telah menggalakkan kedatangan orang-orang Cina ke Tanah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China pada tahun 1644 mengamalkan dasar diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak puas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Salah satu pemberontakan yang terkenal ialah Pemberontakan Taiping (1850-1864). Pemberontakan ini dipimpin oleh Hung Hsiu-Chuan tetapi gagal menggulingkan Kerajaan Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebih tegas dan kejam untuk memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontakan. Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu.
b. Faktor penarik
i. Perkembangan ekonomi yang pesat di Tanah Melayu
Peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi menjayakan perusahaan bijih timah adalah salah satu faktor di samping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan Bandar terutamanya. Peluang untuk mengerjakan pertanian di bawah sistem Kangcu (Johor) menggalakkan lagi kedatangan orang-orang Cina. Di bawah sistem ini, mereka diberi tanah untuk mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam.
ii. Kestabilan politik
Kestabilan politik hasil daripada dasar pemerintahan British yang liberal menjadi salah satu faktor penarik. British juga menggalakkan kedatangan orang-orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya memandangkan keperluan tenaga buruh yang murah dan banyak. Pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 telah menjamin lagi kestabilan politik. Hal ini telah menjadi tarikan bagi kemasukan modal Eropah dalam sektor perlombongan bijih timah dan pertanian ladang. Keadaan ini mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan menarik minat orang Cina untuk datang ke Tanah Melayu.
3. Sumbangan
Kedatangan orang Cina telah menggalakkan perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu terutamanya di kawasan bijih timah yang penting seperti Larut, Lukut, Kinta, Lembah Klang dan Sungai Ujong. Buktinya berdasarkan kepada peningkatan eksport: pada 1850 – 6500 tan, 1890 – 15101 tan, 1900 – 43000 tan, 1905 – 57733 tan, 1937 – 77000 tan. Dari segi perniagaan pula, banyak kedai dibuka oleh orang-orang Cina terutamanya di Bandar-bandar yang terletak di kawasan perlombongan. Kegiatan penanaman lada hitam juga telah berkembang terutamanya melalui sistem Kangcu.
4. Cara kemasukan
a. Melalui sistem tiket kredit
Orang yang tidak mampu membayar tambang sendiri dibiayai secara hutang oleh seorang ejen. Mereka terikat dengan perjanjian untuk bekerja bagi suatu tempoh masa sehingga hutang mereka dijelaskan. Kumpulan imigran ini dikenali sebagai “singkheh” dan mereka menjadi bebas setelah habis mambayar hutang tambang perjalanan mereka.
b. Melalui cara persendirian
Orang Cina datang ke Tanah Melayu melalui bantuan rakan atau ahli keluarganya ataupun dengan perbelanjaan sendiri. Ramai yang masuk melalui cara ini apabila Kerajaan China memansuhkan undang-undang menyekat penghijrahan penduduk pada tahun 1897.
c. Melalui Sistem Kangcu
Sistem Kangcu diperkenalkan oleh Temenggung Ibrahim di Johor untuk menggalakkan orang Cina berpindah dan menetap kekal di Johor. Di bawah sistem Kangcu, orang Cina digalakkan masuk dan membuka ladang-ladang lada hitam, gambir, kopi, teh, sayur-sayuran dan bunga cengkih.
5. Komposisi penduduk orang Cina
a. Orang Hokkien
Orang Hokkien menjadi pedagang dan peniaga dan menetap di oelabuhan-pelabuhan yang penting seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.
b. Orang Kantonis dan Hakka
Orang Kantonis dan Hakka merupakan pelombong dan bertumpu di kawasan perlombongan bijih timah.
c. Orang Teochew
Orang Teochew menumpukan perhatian pada pertanian dan perdagangan. Mereka bekerja di ladang-ladang gambir, lada hitam dan tebu terutamanya di Johor dan Seberang Perai serta di kawasan Pantai Perak.
d. Orang Hailam
Orang Hailam bekerja sebagai orang gaji di rumah orang Barat sebelum Perang Dunia Pertama dan menjadi buruh di ladang getah serta membuka kedai-kedai minuman.
6. Bilangan penduduk orang Cina
Di antara kelompok-kelompok Cina tersebut, kelompok yang terbesar ialah Hokkien. Pada tahun 1921, 32.4% (380656) daripada jumlah penduduk Cina di Tanah Melayu (1174777) terdiri daripada orang Hokkien. Kumpulan yang kedua besar ialah Kantonis yang membentuk 28.3% (332307), diikuti oleh Hakka (18.6%), Teochew (11.1%), Hailam (5.9%) dan lain-lain (3.7%). Kemasukan orang Cina bertambah dengan pesat pada abad ke-20. Pada tahun 1941, orang Cina merupakan kaum terbesar di Tanah Melayu, mereka membentuk kira-kira 43% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu berbanding dengan orang Melayu yang merupakan 41% pada tahun tersebut. Menjelang tahun 1921, kira-kira 22% daripada jumlah orang Cina dilahirkan di Tanah Melayu. Namun selepas Perang Dunia Kedua iaitu pada tahun 1957, 74.7% daripada bilangan orang Cina dilahirkan di Tanah Melayu. Mereka membentuk 37.1% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu.
Orang India
1. Pengenalan
Orang India datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka dipercayai datang sebagai pedagang. Pedagang-pedagang India ini menggelarkan Tanah Melayu sebagai Suvarnabumi atau Tanah Emas. Orang India hanya berhijrah secara beramai-ramai pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 akibat perkembangan perusahaan getah yang telah meningkatkan keperluan tenaga buruh yang murah dan ramai. Pada awal abad ke-19, bilangan orang India yang berhijrah akibat pembukaan Pulau Pinang (1786) dan Singapura (1819). Selepas penubuhan Negeri-negeri Selat (1826), pihak British membawa masuk buruh-buruh dan banduan-banduan India untuk membina bangunan awam dan jalan raya di Negeri-negeri Selat. Keperluan buruh India meningkat berikutan perkembangan perusahaan getah. Hampir semua orang yang berhijrah masuk ke Tanah Melayu berasal dari India Selatan terutamanya dari wilayah Madras (Tamil Nadu) dan India Utara dari Punjab.
2. Sebab kedatangan
a. Faktor penolak – keadaan sosioekonomi di India
Bencana alam yang berterusan di India telah menimbulkan penderitaan yang teruk pada penduduk akibat hasil pertanian yang tidak mencukupi. Sebagai contoh, Dataran Tinggi Deccan dan India Selatan mengalami bencana alam seperti kemarau yang merosakkan tanaman. Hal ini mengakibatkan kira-kira 30 peristiwa kebuluran pada pertengahan abad ke-19. Penindasan oleh tuan tanah juga menyebabkan orang India semakin menderita. Walaupun India sebuah negara yang luas, namun bukan semua rakyatnya mempunyai tanah. Jika dibandingkan dengan petani-petani di Tanah Melayu, walaupun miskin, mereka masih mempunyai tanah sendiri untuk diusahakan. Kebanyakan petani di India terpaksa mengusahakan tanah yang dipunyai oleh tuan-tuan tanah yang mengenakan cukai yang tinggi. Sebagai contoh, terdapat tuan tanah yang mengalami 80% daripada hasil tanaman sebagai bayaran sewa. Pertambahan penduduk yang tinggi menyebabkan taraf hidup orang India semakin teruk, contohnya pada tahun 1845, penduduk India berjumlah 131 juta dan meningkat kepada 390 juta pada tahun 1941. Penindasan kasta yang teruk di India juga mendorong orang India datang ke Tanah Melayu. Mengikut Arasaratnam dalam bukunya Indians in Malaysia and Singapore, lebih 1/3 daripada jumlah orang India yang berhijrah dari India Selatan ke Tanah Melayu pada tahun 1931 adalah dari kasta-kasta rendah. Kasta tertinggi ialah Brahmin, kedua Kastranya, ketiga Vaisya dan akhir sekali Sundra.
b. Faktor penarik
i. Perkembangan perusahaan getah
Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam sektor pertanian telah menggalakkan kedatangan orang-orang India ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh dalam sektor pertanian di Tanah Melayu seperti getah, tebu, kopi dan sebagainya adalah faktor utama kemasukan orang India.
ii. Galakan daripada Kerajaan British
Dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya. Di samping itu, peluang pekerjaan bagi golongan menengah di Tanah Melayu turut dipenuhi oleh orang India seperti kerani, guru, doktor dan lain-lain. Orang India seperti kerani, guru, doktor dan lain-lain. Pada tahun 1920-an kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang-orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara Kerajaan British di Tanah Melayu dan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan orang India di Tanah Melayu. Kejayaan orang-orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemasukan lebih ramai orang India.
3. Sumbangan
Kemasukan orang-orang India telah menyebabkan pembukaan lebih banyak kawasan getah. Buktinya pada 1897 – 345 ekar, 1900 – 46 ribu ekar, 1905 – 48 ribu ekar, 1906 – 85 ribu ekar, 1909 – 200 ribu ekar, 1911 – 1 juta ekar, 1914 – 1.5 juta ekar, 1918 – 2.5 juta ekar dan 1940 – 3.5 juta ekar. Di samping dalam perusahaan getah orang India juga telah menyumbangkan tenaga professional seperti guru, doctor, kerana dan lain-lain lagi.
4. Kemasukan
a. Sistem buruh kontrak
Sistem buruh kontrak telah diperkenalkan sejak tahun 1820 bagi mengambil buruh-buruh India untuk bekerja di ladang tebu dan kopi. Di bawah sistem ini, pemilik sesebuah ladang getah akan membuat pesanan bagi buruh-buruh melalui seorang ejen di India. Ejen ini akan pergi ke kampung-kampung dan mengumpulkan buruh-buruh India yang ingin datang ke Tanah Melayu. Tambang pelayaran buruh-buruh itu akan dibiayai oleh majikan-majikan yang membuat pesanan tersebut. Setibanya di Tanah Melayu, buruh-buruh itu diserahkan kepada majikan. Mereka perlu menandatangani satu kontrak untuk bekerja dengan majikan itu selama 5 tahun dengan suatu gaji yang ditetapkan. Pekerja-pekerja ini biasanya dilayani dengan teruk. Mereka dipaksa bekerja selama 9-10 jam sehari dan 6 hari seminggu. Gaji mereka rendah dan jika pekerja jatuh sakit, dia tidak mendapat gaji. Di samping itu, mereka juga terpaksa membayar sebahagian daripada gaji mereka untuk menjelaskan tambang perjalanan. Pada tahun 1910, sistem ini dihapuskan.
b. Sistem Kangani
Sistem ini diperkenalkan pada tahun 1898. Sistem ini, majikan yang ingin mendapat buruh dari India akan menghantar seorang Kangani atau mandur dari ladangnya ke India. Kangani ini akan balik ke kampung halamannya di India dan mengumpulkan saudara mara, sahabat ataupun penduduk sekampungnya yang ingin berhijrahke Tanah Melayu. Kangani ini akan membayar tambang dan lain-lain perbelanjaan bagi buruh-buruh sehingga ketibaan mereka di ladang majikan. Di ladang, buruh-buruh bekerja di bawah jagaan Kangani yang mereka kenal dan dilayan dengan baik. Pada tahun 1907, Tabung Imigrasi diwujudkan oleh Negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk membiayai kos pengambilan buruh India. Melalui tabung ini, majikan dikehendaki membayar kos pelayaran serta $5 setahun bagi setiap buruh India. Sistem Kangani juga mempunyai kelemahannya. Tiap-tiap kangani dibiayai mengikut bilangan pekerja yang diambil. Oleh itu, sesetengah daripada mereka cuba memperoleh seberapa ramai pekerja yang boleh dari India. Lama-kelamaan, mereka juga menjadi ejen sistem kontrak. Pada tahun 1938, sistem ini diberhentikan akibat zaman kemelesetan ekonomi yang menyebabkan permintaan buruh dikurangkan.
5. Komposisi penduduk orang India
a. Orang Tamil
Golongan Tamil membentuk 82% daripada jumlah penduduk India di Tanah Melayu pada tahun 1931. Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh di estet-estet getah dan kelapa sawit. Sebilangan kecil orang Tamil juga berkhidmat dalam jabatan-jabatan kerajaan.
b. Orang Malayali
Orang Malayali membentuk kira-kira 6% daripada jumlah penduduk India di Tanah Melayu pada tahun 1931. Kebanyakan mereka bekerja di estet getah dan dalam perkhidmatan kerajaan sebagai kerani dan profesional.
c. Orang Telugu
Orang Telugu merupakan kira-kira 5% daripada jumlah penduduk India di Tanah Melayu pada tahun 1931 dan bekerja sebagai buruh di estet.
d. Orang India Utara
Kumpulan etnik ini terdiri daripada Punjabi (Sikh), Benggali, Sindhi, Gujerati, Parsis dan Marwaris. Kebanyakan mereka terlibat dalam perniagaan. Orang Sikh berkhidmat sebagai pegawai keselamatan dan pasukan polis.
6. Bilangan penduduk orang India
Jumlah orang India di Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1911 ialah 172465 orang dan di seluruh Tanah Melayu ialah 267159 orang. Pada tahun 1921, jumlah ini meningkat kepada 305219 di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan 470099 di Tanah Melayu. Pada tahun 1931, jumlah penduduk India di Tanah Melayu ialah 621847. Pada tahun 1921, 12% daripada penduduk India dilahirkan di Tanah Melayu dan pada tahun 1957, 62.1% yang lahir di Tanah Melayu. Pada tahun 1957 juga, bilangan orang India di Tanah Melayu ialah 695985 orang (11% daripada penduduk Tanah Melayu).