Susun lapis masyarakat
Pengenalan
Corak pemerintahan dan pentadbiran di negeri-negeri Melayu telah mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakat. Setiap lapisan masyarakat mempunyai kedudukan dan fungsinya yang tersendiri. Secara umum, masyarakat Meleyu tradisional dapat dibahagikan kepada dua golongan utama iaitu golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Biasanya golongan yang memerintah ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan istimewa daripada golongan yang diperintah.
Golongan yang memerintah
1. Raja atau sultan
Raja atau sultan merupakan asas terpenting dalam susun lapis masyarakat Melayu tradisional. Baginda mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam piramid organisasi sosial. Baginda mempunyai kuasa dan wibawa yang paling tinggi bagi memerintah seluruh negeri dan jajahan taklukannya. Baginda dianggap sebagai dewa raja dan baginda merupakan tunggak menyatupadukan rakyat dan merupakan orang yang bertanggungjawab memelihara keamanan dan memajukan negeri. Seseorang raja dilantik melalui pertabalan di atas persetujuan semua pembesar dan biasanya putera sulong atau adik lelaki raja yang akan menggantikan raja yang mangkat.
2. Kerabat raja
Raja sebagai seorang pemimpin, maka dirinya serta keluarganya akan dihormati oleh masyarakat malah kadang-kala rasa penghormatan ini diseliputi oleh perasaan sakral yang tinggi. Mereka dianggap sebagai suci dan amat berbeza dengan golongan rakyat biasa. Mereka juga mempunyai hak-hak istimewa, namum hak mereka adalah tidak boleh melebihi hak istimewa seseorang sultan yang memerintah. Antara keistimewaan yang dinikmati oleh kerabat raja ialah mengguna payung berwarna kuning dan penggunaan bahasa dalaman.
3. Bangsawan dan pembesar
Bangsawan juga dikenali sebagai anak baik-baik. Mereka menggunakan bahasa dalaman untuk mengekalkan identiti mereka. Golongan bangsawan ini terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat raja. Mereka adalah berpengaruh di kalangan pemerintah dan pentadbir. Mereka bertanggungjawab mengandalikan jentera pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar pula merupakan golongan yang mempunyai kedudukan yang hampir sekali dengan sultan. Biasanya, golongan ini terdiri daripada bukan kerabat raja. Golongan ini akan dianugerahkan suatu kawasan yang menjadi pegangannya dan sumber pendapatannya di mana seseorang pembesar itu dibenarkan mengutip cukai dan mengawal tenaga manusianya. Biasanya mereka dilantik secara turun-temurun.
4. Golongan pemimpin agama
Pemimpin agama dan pendeta juga termasuk dalam golongan bangsawan. Mereka merupakan golongan cerdik pandai yang memegang jawatan mufti dan kadi. Terdapat juga pemimpin agama yang dianugerahkan gelaran kebesaran seeperti Maharaja Kadi, Dato’ Mufti Seri Utama dan Dato’ Mufti Imam Maharaja. Mereka menjadi penasihat raja dan kerajaan dalam hal-hal tentang hukum syarak dan selok-belok agama termasuk mengeluarkan fatwa tentang isu agama. Golongan ini merupakan pakar dalam hal-hal kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, adat-istiadat dan salasilah raja-raja. Mereka juga menjadi pakar perjuk kepada raja serta menjadi penulis dan perawi diraja. Biasanya, golongan ini berketurunan Arab. Di negeri-negeri Melayu lain, mereka memakai panggilan yang berlain-lain, contohnya di Terengganu, mereka dikenali sebagai Tokku dan memakai gelaran Engku atau Tuan.
Golongan yang diperintah
1. Rakyat biasa
Rakyat biasa terdiri daripada masyarakat pribumi yang bermastautin tetap dan bilangannya adalah ramai. Mereka selalu menjadi pengikut pembesar di peringkat pusat dan penyokong pentadbir di peringkat jajahan takluk. Mereka terdiri daripada pedagang dan peniaga. Mereka menjalankan perdagangan di pelabuhan. Selain itu, terdapat juga mereka yang menjadi buruh kasar dan tukang mahir dalam pembuatan alat perhiasan dan senjata. Rakyat biasa ini juga terlibat dalam kegiatan pertanian dan penangkapan ikan untuk sara diri.
2. Orang asing
Orang asing selalunya adalah orang bukan Melayu yang hanya mengunjungi Tanah Melayu untuk tujuan tertentu. Mereka terdiri daripada pedagang, perantau, mubaligh atau santeri. Secara amnya, orang asing ini dapat digolongkan kepada dua kumpulan iaitu orang yang menetap terus dan orang yang mengunjung sekali-sekala. Selain itu, terdapat juga masyarakat Tamil-Islam yang berdagang dan bergaul bebas dengan orang pribumi. Keadaan ini telah mendorong kepada kewujudan masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk ini dapat digolongkan kepada dua iaitu masyarakat asing yang menyerapkan diri ke dalam masyarakat pribumi dan masyarakat asing yang masih mengekalkan cara hidup dan identiti masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka tidak terlepas daripada undang-undang tempatan.
3. Hamba
Dalam masyarakat Melayu, golongan hamba menduduki susun lapis masyarakat yang paling bawah. Golongan ini dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu :
a. Hamba raja
Hamba raja terdiri daripada mereka yang menawarkan diri untuk menjadi hamba di istana. Mereka melakukan semua jenis pekerjaan dan taraf mereka juga lebih tinggi kalau dibandingkan dengan hamba yang lain. Terdapat juga bekas tahanan perang atau banduan yang menjadi hamba raja.
b. Hamba berhutang
Hamba berhutang ini terdiri daripada rakyat biasa yang gagal membayar hutang kepada pemiutang dalam jangka masa yang ditetapkan. Hamba ini juga disebut sebagai masuk hulun. Mereka yang menjadi hamba berhutang terpaksa bersama isteri dan anak-anaknya tinggal bersama si pemiutang dan bekerja sehingga hutang dibayar. Mereka boleh dijual kepada pembesar-pembesar lain. Walau bagaimanapun, mereka boleh menjadi rakyat biasa semula apabila ia setelah selesai berkhidmat kepada si pemiutang dalam tempoh yang dijanjikan.
c. Hamba biasa
Hamba biasa menjadi hamba seumur hidup kepada pemiliknya secara turun-temurun. Mereka dapat digolongkan kepada tiga jenis iaitu hamba abdi yang membuat kerja yang berat dan kasar. Dengan merupakan hamba yang dibeli dan biduanda yang merupakan orang suruhan yang selalunya dimiliki oleh raja.
Sistem perhambaan ini membawa makna bahawa pemilik hamba ini mempunyai taraf sosial yang tinggi dan secara langsung ia menyediakan bekalan sumber tenaga manusia bagi melaksanakan segala kerja.
Mobiliti sosial
Perbezaan antara kelas pemerintah dengan kelas diperintah adalah ditandai dengan aturan-aturan tertentu. Perkahwinan antara dua kelas ini adalah dilarang dan sesuatu yang hampir mustahil berlaku dalam masyarakat Melayu. Perumpamaan Melayu yang mengatakan “enggan sama enggan, pipit sama pipit” memperlihatkan bahawa terdapat dua jurang besar yang memisahkan mereka. Selain itu, adalah mustahil juga bagi seseorang dari rakyat biasa hendak mengangkat dirinya dalam kelas diperintah. Walau bagaimanapun, terdapat juga orang yang dapat mengangkat diri dari kelas diperintah kepada kelas pemerintah. Kesimpulannya, mobility sosial bagi masyarakat Melayu adalah terhad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan