CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 29 Disember 2010

SEJ T 6 campurtangan Ing di Perak

Campur Tangan British di Perak 1874

Pengenalan

Seperti Negeri-negeri Melayu yang lain, kekacauan-kekacauan di Perak juga berlaku pada tahun 1860-an dan 1870-an. Kekacauan-kekacauan tersebut ialah lanjutan dari kekacauan yang berlaku sebelumnya. Di antara kekacauan-kekacauan itu ialah perebutan takhta, pergaduhan di antara pembesar dan pergaduhan di antara pelombong Cina. Pada mulanya, British tidak mengambil langkah untuk menamatkan kekacauan-kekacauan tersebut kerana sebelum tahun 1874, British tidak mengamalkan dasar campur tangan dalam hal-hal Negeri-negeri Melayu. Walau bagaimanapun, kekacauan-kekacauan berikut dijadikan alasan oleh British untuk campur tangan di Perak selepas tahun 1874. Selepas tahun 1874, berlaku lagi satu kekacauan iaitu Perang Perak 1875.

Perebutan takhta kerajaan di Perak 1871-1874

Sistem mewarisi takhta di Perak adalah berbeza dari negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Sebelum dilantik menjadi Sultan, seseorang itu perlu menjadi Raja di Hilir, Raja Bendahara dan Raja Muda. Selepas kemangkatan Sultan, Raja Muda dilantik sebagai Sultan, Raja Bendahara sebagai Raja Muda, Raja di Hilir sebagai Raja Bendahara dan putera Sultan yang sedang memerintah akan dilantik sebagai Raja di Hilir. Sejak tahun 1850-an, sistem ini mula tidak diikuti sepenuhnya sehingga melemahkan kesultanan dan hampir-hampir mencetuskan Perang Saudara. Terdapat juga pembesar-pembesar yang amat berpengaruh kerana kekayaan mereka akibat penglibatan mereka dalam perlombongan bijih timah. Sebagai contoh, Ngah Ibrahim yang dilantik sebagai Menteri Larut.

Kedudukan dalam pemerintahan Perak 1850-an adalah seperti berikut:

· Sultan Abdullah Muhammad Syah sebagai Sultan

· Raja Jaafar sebagai Raja Muda

· Raja Ali sebagai Raja Bendahara

· Raja Yusof sebagai Raja di Hilir

Selepas kemangkatan Sultan Abdullah Muhammad Syah pada tahun 1857, Raja Jaafar dilantik sebagai Sultan dan Raja Ali sebagai Raja Muda. Raja Yusof dikekalkan sebagai Raja di Hilir kerana Sultan Jaafar telah melantik Raja Ismail sebagai Raja Bendahara. Perlantikan Raja Ismail bukan sahaja mendapat tentangan Raja Yusof, tetapi juga pembesar-pembesar Perak kerana Raja Ismail berasal dari keturunan Siak (Sumatera). Untuk mengelakkan berlakunya kekacauan, Raja Jaafar berjanji bahawa kedudukan Raja Ismail akan dikekalkan sebagai Raja Bendahara. Baginda tidak akan dilantik sebagai Raja Muda atau Sultan. Selepas kemangkatan Sultan Jaafar pada tahun 1865, Raja Ali dilantik sebagai Sultan. Baginda telah melantik putera Sultan Jaafar, iaitu Raja Abdullah sebagai Raja Muda dengan mengekalkan Raja Ismail sebagai Raja Bendahara dan Raja Yusof sebagai Raja di Hilir. Perlantikan Raja Abdullah sebagai Raja Muda telah mendapat tentangan Raja Yusof, Raja Ismail dan pembesar-pembesar Perak. Keadaan di Perak semakin runcing apabila Sultan Ali mangkat pada tahun 1871 kerana Raja Abdullah, Raja Ismail dan Raja Yusof menuntut takhta Perak dan masing-masing menganggap berhak ke atas takhta tersebut. Dalam upacara pengebumian Sultan Ali di Sayong pada tahun 1871, pembesar-pembesar Perak telah melantik Raja Ismail sebagai Sultan kerana Raja Abdullah (Raja Muda) tidak menghadiri upacara tersebut. Di antara pembesar yang memainkan peranan penting di atas perlantikan Raja Ismail sebagai Sultan ialah Ngah Ibrahim kerana beliau mengharapkan Raja Ismail akan melantiknya sebagai Raja Bendahara, sebagai anak tangga ke arah takhta Perak.

Perlantikan Raja Ismail sebagai Sultan telah mendapat tentangan dari Raja Abdullah, Raja Yusof dan pembesar-pembesar Hilir Perak. Raja Abdullah telah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan dan melantik Raja Yusof sebagai Raja Muda dalam usaha mendapatkan sokongan. Setelah usahanya untuk mendapatkan takhta Perak gagal, Raja Abdullah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, iaitu Sir Andrew Clarke pada 31 Disember 1873 dan 9 Januari 1974 memohon bantuan British dalam usaha mendapatkan takhta Perak.

Pertelingkahan antara kongsi-kongsi gelap

Larut ialah daerah yang terpencil. Ia tidak mempunyai ketua daerah, hanya seorang pemimpin bernama Panglima Bukit Gantang. Pada tahun 1848, bijih timah dijumpai di Larut. Long Jaafar, seorang pemimpin kecil keturunan Panglima Bukit Gantang telah menguruskan sendiri perusahaan bijih timah. Lombong bijih timah telah dibuka. Untuk menguruskan lombong bijih timah itu, maka Long Jaafar telah mengambil orang-orang Cina untuk bekerja sebagai buruh. Akhirnya, Long Jaafar menjadi kaya raya hasil dari cukai bijih timah.

Dengan adanya pembukaan lombong bijih timah dan galakan dari Long Jaafar, ramai orang Cina dari Pulau Pinang telah datang ke Larut. Orang-orang Cina yang datang ke Larut terdiri daripada suku Khek dan kemudiannya diikuti oleh suku Kongfu.

Kehadiran mereka menyebabkan munculnya kongsi gelap Cina seperti suku Khek yang tinggal di Kelian Pauh membentuk kumpulan Go Kwan (5 daerah) sementara suku Kongfu yang tinggal di Kelian Baharu (Kamunting) membentuk kumpulan Si Kwan (4 daerah). Kumpulan Go Kwan telah bergabung dengan Kongsi Hai San sementara Si Kwan bergabung dengan Ghee Hin. Kedua-dua kumpulan ini sering melakukan pertempuran kerana ingin menguasai kawasan-kawasan penting dari segi ekonomi seperti kawasan lombong bijih.

1. Perang Larut Pertama 1861

Pertempuran yang pertama ini berpunca atas perkara pengaliran air ke kawasan lombong kepunyaan kongsi Ghee Hin. Mereka telah berjumpa dengan kawasan tanah yang kaya dengan bijih timah dan telah mengusahakannya. Keadaan ini telah menimbulkan rasa iri hati kepada kongsi Hai San. Akibatnya, mereka menyekat pengaliran air yang diperlukan oleh Ghee Hin untuk kawasan perlombongan bijih timah itu. Ghee Hin telah membantah terhadap Hai San dan akhirnya telah mencetuskan satu pertempuran yang hebat. Puak Hai San yang bilangannya lebih ramai menyerang Ghee Hin di Kelian Bharu. Kongsi Ghee Hin telah dikalahkan dengan mengalami kehilangan nyawa dan harta benda yang besar. Mereka telah berundur ke Permatang dan setengahnya ke Pulau Pinang. Memandangkan kejayaan Hai San, Ngah Ibrahim telah menyebelah mereka.

Kongsi Ghee Hin yang kebanyakannya adalah rakyat Inggeris telah membuat aduan kepada Gabenor. Seterusnya, Gabenor telah campur tangan. Hasil dari kajian yang dibuat, Gabenor menyalahkan Sultan Jaafar. Sebab itulah baginda dikehendaki membayar kembali semua ganti rugi sebanyak $17000. Malangnya, Sultan tidak berupaya untuk membayarnya. Setelah diadakan perundingan, Ngah Ibrahim sanggup menyelesaikannya. Sebagai membalah jasa Ngah Ibrahim, maka beliau telah diberi gelaran “Orang Kaya Menteri Seri Paduka Tuan” pada tahun 1863.

2. Perang Larut Kedua 1865

Pertempuran yang kedua berpunca daripada perselisihan akibat judi yang terjadi di Kelian Pauh pada bulan Jun 1865. Akibatnya kongsi Hai San telah merampas kedai-kedai kepunyaan Ghee Hin dan membunuh beberapa orang tahanan Ghee Hin. Peristiwa ini menyebabkan Ghee Hin ingin membalas dendam. Pada mulanya mereka berjaya mengalahkan Hai San tetapi selepas menerima bantuan dari Ngah Ibrahim, Hai San telah berjaya menyerang balas. Beberapa orang anggota Ghee Hin telah melarikan diri ke Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan. Ketua Ghee Hin iaitu So Ah Chiang telah ditangkap dan dibunuh dalam percubaan melarikan diri itu. Dikatakan hanya 1000 orang dari 2000 orang anggota Ghee Hin telah cuba melarikan diri.

Hai San juga telah meminta bantuan dari Pulau Pinang dan ini menyebabkan pertempuran merebak ke sana. Pertempuran telah menjadi selama 10 hari dalam bulan Ogos. Di Pulau Pinang, Hai San telah mendapat bantuan dari kongsi Toh Poh Kong yang menjadi musuh Ghee Hin.

Oleh sebab pertempuran telah menjadi semakin serius kerana penglibatan orang-orang Melayu, Gabenor terpaksa campur tangan. Kedua-dua pihak dikenakan denda sebanyak $5000.

3. Perang Larut Ketiga 1872-1873

Sungguhpun pertempuran telah reda, namun sikap permusuhan kedua-duanya masih terus menjadi. Kongsi Ghee Hin secara bersembunyi telah melakukan persiapan untuk menentang kongsi Hai San. Akhirnya pertempuran tidak dapat dielakkan.

Perselisihan telah terjadi berpunca adanya hubungan sulit antara ketua Ghee Hin dengan isteri kepada ketua Hai San. Kedua-duanya ditangkap oleh anggota Hai San lalu dibunuh. Menggunakan peluang ini, Ghee Hin yang telah mempersiapkan diri ingin menuntut bela. Ghee Hin telah melakukan serangan mengejut ke atas Hai San menyebabkan Hai San dapat dikalahkan. Tetapi selepas melengkapkan diri mereka maka dalam bulan September 1872, Hai San telah melakukan serangan balas. Hai San telah mendapat bantuan dari Ngah Ibrahim. Pertempuran yang berlaku telah menyebabkan kira-kira 3000 orang Cina mati terbunuh dan ramai lagi yang cedera.

Anggota Ghee Hin yang telah dikalahkan telah berazam untuk menebus kembali malu mereka. Mereka telah membina kubu pertahanan di Simpang yang dianggap penting untuk mengepung Larut. Dengan menggunakan bot-bot ronda, Ghee Hin telah melakukan serangan dan rompakan sesuka hati. Tujuan mereka adalah untuk menjejaskan kedudukan Hai San. Tindakan Ghee Hin itu telah menimbulkan kebimbangan kepada Inggeris. Pihak Inggeris telah menghantar 2 kapal perang ke Sungai Larut iaitu H.M.S. Thalia dan Midge.

Gabenor Sir Harry Ord telah mengambil keputusan membantu Ngah Ibrahim untuk mengatasi kekacauan di Larut. Raja Ismail gagal untuk berbuat demikian. Ketika kapal perang Thalia dan Midge menjalankan rondaan, kedua-duanya telah dibedil. Akibatnya, Thalia dan Midge bertindak balas tetapi Ghee Hin masih terus mengadakan pertempuran. Oleh sebab ingin membalas dendam terhadap Ngah Ibrahim, Ghee Hin telah menyerang rumah beliau di Pulau Pinang.

Untuk menentang Ghee Hin selanjutnya, maka Kapten Speedy bersama-sama dengan kira-kira 100 askar sepoi tiba di Larut. Kapten Speedy telah diambil bertugas di Larut oleh Ngah Ibrahim. Pada penghujung bulan November 1873, Speedy memulakan serangan ke atas Matang, kubu pertahanan Ghee Hin. Tetapi Ghee Hin telah mempertahankannya dengan berani sehingga di akhir peperangan.

Perang Larut ini telah menjejaskan kegiatan melombong bijih timah dan perdagangan timah dengan Negeri-negeri Selat. Keadaan ini telah mendorong British campur tangan bagi menyelesaikan kekacauan ini.

Peranan Sir Andrew Clarke

Pada 4 November 1873, Sir Andrew Clarke telah mengambil alih jawatan Gabenor Negeri-negeri Selat dari Sir Harry Ord. Dari segi umur, beliau lebih muda dari Ord tetapi beliau mempunyai pandangan dan bersikap agresif. Dengan lain perkataan, beliau suka bertindak segera dari membuat kajian dan tinjauan yang berlarut-larutan.

Mengenai peristiwa di Larut, Clarke tidak setuju sikap pegawai-pegawai Inggeris yang lebih menyokong kongsi Hai San. Bagi beliau, sikap ini hendaklah diubah memandangkan pertempuran yang terjadi adalah melibatkan kedua-dua kumpulan dan juga pembesar-pembesar Melayu. Oleh itu, penyelesaian hendaklah dibuat dengan melibatkan semua pihak.

Tindakan Clarke tanpa berunding dengan Pejabat Tanah Jajahan mengenai dasar untuk campur tangan di Perak dan Negeri-negeri Melayu lainnya memandangkan adanya berita-berita yang mengatakan kedua-dua kumpulan yang terlibat sanggup menamatkan pergaduhan mereka. Selain itu, Clarke memang sedar adanya perubahan sikap Kerajaan Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu disebabkan adanya ancaman dari Jerman.

Keyakinan Clarke bahawa pertempuran Ghee Hin dan Hai San akan dapat diselesaikan adalah berdasarkan keterangan yang diperolehi dari W.A. Pickering. Pada 2 atau 3 Januati 1874, Pickering yang fasih dalam pelbagai loghat Cina pergi ke Pulau Pinang untuk mencari jalan penyelesaian. Dua hari kemudian, Pickering mendapat persetujuan dari kedua-dua pihak untuk menamatkan pertempuran. Di samping itu, Frank Swettenham juga diamanahkan dengan tugas mendapatkan pembesar-pembesar Melayu Perak supaya menghadiri persidangan di Pangkor pada 14 Januari 1874.

Pada 7 Januari 1874, Clarke mengarahkan pula Kapten Dunlop supaya mengaturkan pertemuan pembesar-pembesar Melayu yang terlibat. Dalam pertemuan tersebut, Raja Ismail dan Raja Yusof tidak hadir. Yang hadir ialah Raja Abdullah, pembesar Hilir Perak, pemimpin Ghee Hin dan Hai San. Persidangan ini berada di kapal Clarke yang bernama H.M.S. Pluto.

Dengan ini, persidangan ini menghasilkan 2 dokumen yang berlainan dengan pemimpin Cina dan pembesar Melayu, iaitu Perjanjian Pangkor dam Perjanjian Orang Cina pada 20 Januari 1874.

Perjanjian Pangkor 1874

Perjanjian Pangkor telah ditandatangani pada 20 Januari 1874. Isi kandunagn perjanjian ini ini dapat dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu mengenai takhta Kerajaan Perak dan mengenai orang Cina.

1. Mengenai takhta Kerajaan Perak

a. Raja Abdullah diakui sebagai Sultan Perak.

b. Raja Ismail dilantik menjadi Raja Muda. Beliau diberi sebuah wilayah dan wang bersara sebanyak $1000 sebulan.

c. Segala perlantikan yang disertai dengan alat-alat kerajaan yang dibuat semasa Bendahara Ismail menjadi Pemangku Sultan yang sah.

d. Sultan akan menerima seorang Residen Inggeris yang nasihatnya mesti diminta dan diikuti dalam setiap perkara kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.

e. Semua pungutan dan kawalan cukai serta pertandingan am mestilah dijalankan di atas nama Sultan.

f. Pungutan dan pengawalan terhadap semua cukai-cukai dan pentadbiran negeri dijalankan dengan berpandukan kepada nasihat-nasihat Residen dan penolongnya.

g. Menteri akan terus berkuasa tetapi beliau tidaklah diakui sebagai pemerintah yang merdeka di Larut.

h. Menteri Larut ini juga dikehendaki menerima seorang Penolong Residen untuk menasihati beliau dalam urusan pentadbiran Larut.

i. Gaji Residen dan penolongnya ditentukan oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat dan dibayar oleh Sultan.

j. Gaji-gaji Residen, Penolong Residen, Sultan, Bendahara, Menteri Larut dan pembesar-pembesar atau pegawai-pegawai lain ditetapkan oleh satu senarai awam (civil test).

k. Perjanjian mengenai penyerahan wilayah Dinding dan Pulau Pangkor kepada Inggeris yang telah menimbulkan kekeliruan itu diperbetulkan.

l. Apabila keamanan dapat dipulihkan semula di Perak, kegiatan-kegiatan melombong hendaklah dimulakan semula. Ganti rugi mengenai kerosakan jentera dan lain-lain akan dibayar dan tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh pegawai-pegawai Inggeris adalah muktamad.

2. Mengenai orang Cina

a. Bahawa kedua-dua pihak hendaklah meletakkan senjata dan memusnahkan kubu-kubu mereka.

b. Bahawa satu suruhanjaya yang terdiri daripada pegawai-pegawai British dan 2 orang wakil Cina, akan menyelesaikan semua tuntutan terhadap lombong-lombong itu dan urusan-urusan di Larut pada masa akan datang akan dijaga oleh seorang Residen Inggeris.

c. Bahawa mereka hendaklah mengikut janji sebanyak $50000 untuk menjaga keamanan dan menuruti syarat-syarat perjanjian itu.

Kesimpulan

Berdasarkan Perjanjian Pangkor, Clarke telah mencadangkan supaya J.W.W. Birch dilantik sebagai Residen Inggeris di Perak. Birch memulakan tugasnya sebagai Residen agak lambat iaitu dalam bulan November 1874 sedangkan Kapten Speedy yang dilantik sebagai penolongnya telah memulakan tugasnya di Larut sejak bulan Januari. Kelewatan Birch menjalankan tugasnya kerana menunggu persetujuan dari Pejabat Tanah Jajahan London.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan