Hubungan Inggeris dengan Negeri-negeri Melayu Naungan Siam 1826-1863
Pengenalan
Walaupun Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memberi peluang kepada Inggeris untuk meluaskan pengaruhnya di Negeri-negeri Melayu, tetapi Inggeris di India tidak berbuat demikian. Dalam perjanjian tersebut, ternyatalah bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah di dalam lingkungan pengaruh British. Tetapi, Siam telah berusaha untuk menjadikan dirinya sebagai “tuan” ke atas negeri-negeri Melayu. Keadaan ini telah menimbulkan huru-hara dan pegawai-pegawai Negeri-negeri Selat telah mengambil tindakan tanpa restu dari India untuk mengatasinya.
Hubungan British dengan Siam dan Kedah sebelum 1824
Pada awal abad ke-19, negeri Siam menjadi kuat semula di bawah pemerintahan Dinasti Chakri. Raja Chakri, iaitu Raja Rama I telah memindahkan ibu negerinya dari Ayuthia ke Bangkok (1783) dan ingin menegakkan semula kuasanya ke atas negeri-negeri Melayu seperti Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Negeri-negeri tersebut tidak menghantar bunga emas ke Siam sejak Siam berperang dengan Burma pada tahun 1760-an. Selepas kemusnahan ibu negerinya, iaitu Ayuthia oleh Burma pada tahun 1767, Siam telah dapat mengawal jajahan takluknya di Negeri-negeri Melayu Utara.
Pada tahun 1816, Kedah diarah oleh Kerajaan Siam supaya menyerang negeri Perak kerana gagal menghantar bunga emas kepadanya. Sultan Ahmad Tajuddin dengan berat hati telah menyerang Perak. Sultan Perak disingkirkan dan sebagai ganti, dilantik pula Raja Muda manjadi sultan yang disifatkan sebagai wakil pemerintah Siam di Perak.
Sungguhpun Sultan Ahmad telah memenuhi kehendak Siam, namun Siam masih curiga dan tidak puas hati terhadap baginda. Ini disebabkan sultan telah berusaha untuk membebaskan Kedah dari cengkaman Siam. Dalam hal ini, Siam menuduh sultan telah bersuhabat dengan Burma. Sebelum itu, kecurigaan Siam terhadap Kedah telah pun wujud apabila bekas sultan (Sultan Abdullah Muharam Syah) menyerahkan Pulau Pinang kepada pihak British tanpa pengetahuan Siam. Berhubung dengan perkara-perkara di atas, Sultan Ahmad telah diarahkan ke Bangkok tetapi baginda enggan berbuat demikian kerana dapat menjangkakan hukuman yang akan di terima.
Keengganan Sultan Ahmad itu telah menimbulkan kemarahan Siam. Oleh itu, pada tahun 1821, Kerajaan Siam mengarahkan Gabenor Ligor iaitu Nakhon Si Thammarat menyerang Kedah. Sultan meminta bantuan dari Inggeris. Malangnya, pihak Inggeris di Pulau Pinang atas arahan dari Kerajaan India tidak dapat memberi bantuan ketenteraan kepada baginda.
Pihak British berusaha mengelakkan terjadinya perselisihan dengan Siam walaupun pendudukan Siam ke atas negeri Kedah menimbulkan kebimbangan kepadanya. British bimbang, bekalan makanan yang diperlukan dari Kedah akan terjejas di samping perdagangan British di Pulau Pinang terganggu.
British benar-benar dalam keadaan yang serba salah. Di satu pihak, British inginkan persahabatan dengan Siam dan di pihak yang lain, British tidak mahu merosakkan hubungannya dengan sultan Kedah kerana ia sedikit sebanyak akan menjatuhkan imej British di mata Negeri-negeri Melayu yang lain. Oleh itu, dari segi jangka panjang, British harus meneruskan hubungan baik dengan sultan Kedah.
Oleh itu, pihak British menghantar perwakilan John Crowford ke Bangkok pada tahun 1822 bagi mengadakan perjanjian persahabatan dan perdagangan. Dalam rundingan ini, John Crowford meminta Kerajaan Siam melantik semula sultan Kedah yang telah diturunkan takhta. Cadangan beliau ditolak. Walau bagaimanapun, John Crowford berjaya memperolehi maklumat penting mengenai Siam dan juga kelemahan-kelemahan tentera Siam.
Persetiaan Awal dengan Raja Ligor, 1825
Pada tahun 1825, Kerajaan India atas desakan Gabenor Fullerton bersetuju menghantar satu perwakilan ke Bangkok untuk memulihkan hubungan perdagangan dengan Siam. Kapten Henry Burney dilantik untuk mengetuai perwakilan tersebut.
Akan tetapi, Gabenor Fullerton mengarahkan Kapten Burney untuk menemui Raja Ligor bagi mewujudkan hubungan damai dan untuk merintis jalan bagi perwakilan Inggeris ke Bangkok.
Apabila Kapten Burney tiba di Ligor, beliau mendapati bahawa tentera laut Raja Ligor sudah bersiap sedia untuk menyerang Selangor dan Perak. Burney memberi amaran kepada Raja Ligor bahawa sekiranya beliau menyerang Perak atau Selangor, maka British akan campur tangan.
Oleh sebab Raja Ligor menyedari bahawa pihak British tidak lagi mengikuti dasar pro-Siam, maka beliau bersetuju menandatangani perjanjian sementara pada 31 Julai 1825 dengan Kapten Burney untuk mengelakkan tindakan perang ke atas Siam. Syarat-syarat Perjanjian Awal ini ialah:
a. Raja Ligor tidak akan menyerang Perak dan Selangor.
b. Raja Ligor memberi peluang kepada Perak dan Selangor untuk membuat keputusan sama ada hendak menghantar bunga emas atau tidak.
c. Raja Ligor bersetuju menemani Kapten Burney mengadap Raja Siam di Bangkok.
d. Inggeris bersetuju tidak akan campur tangan dalam negeri Kedah.
e. Sultan Kedah dibenarkan kembali ke Kedah. Sultan hendaklah menghantar “bunga emas” setiap tiga tahun dan membayar sebanyak $4000 tiap-tiap tahun sebagai jajahan takluk Siam.
Setelah perjanjian itu dihantar ke India untuk mendapatkan pengesahan, Gabenor Fullerton menghantar John Anderson ke Perak dan Selangor untuk memulihkan hubungan kedua-dua negeri ini dan Sungai Bernam dijadikan sempadan.
Perjanjian Burney, 1826
Perjanjian sementara yang ditandatangani oleh Burney dengan Raja Ligor mendapat pengesahan dari Kerajaan India. Dengan itu, Kapten Burney sekali lagi dihantar (pada bulan Disember 1825) ke Siam lagi bagi mendapatkan pengiktirafan perjanjian tersebut. Sesungguhnya, Kapten Burney dihantar ke Bangkok dengan tujuan berikut:
a. Untuk menjamin bahawa British tidak berniat buruk terhadap Siam dan ingin mengukuhkan hubungan perdagangan dan persahabatan dengannya.
b. Beliau dikehendaki merundingkan pemulihan takhta Kerajaan Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin.
c. Memastikan Perak dan Selangor serta negeri-negeri Melayu yang lain terpelihara.
Sungguhpun keadaan ini agak sulit tetapi dengan kebijaksanaan dan diplomasi, akhirnya Burney berjaya mendapat tolak ansur dari pidak Siam setalah rundingan-rundingan berjalan selama 6 bulan. Kejayaan ini juga adalah atas kerjasama yang diberikan oleh Raja Ligor dan pegawai-pegawai Siam yang besifat sederhana. Akhirnya, pada 20 Jun 1826, satu perjanjian telah ditandatangani iaitu Perjanjian Burney.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan