CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 29 Disember 2010

SEJ T 6 campurtangan Ing di Negeri Sembilan

Campur Tangan British di Negeri Sembilan 1874

Pengenalan

Seperti negeri-negeri Melayu yang lain, kekacauan di Negeri Sembilan berlaku di antara tahun 1860-an dan 1870-an. Sebab utama yang menyebabkan kekacauan di Negeri Sembilan ialah peperangan yang berlaku di antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar di Sungai Ujong atas kepentingan lombong bijih timah. Selain itu, kekacauan juga berlaku di Sri Menanti, Rembau dan Jelebu. Kekacauan ini seterusnya mendorong British campur tangan sehingga akhirnya Negeri Sembilan diwujudkan atas penyatuan wilayah-wilayah tersebut.

Sungai Ujong

Sungai Ujong adalah salah sebuah daerah daripada sembilan buah daerah di Negeri Sembilan. Ia sangat kaya dengan bijih timah. Bijih timah menjadi punca pertelingkahan antara pembesar-pembesar Melayu. Mereka cuba mengenakan cukai ke atas bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Ujong.

Peperangan telah berlaku di antara 2 orang pembesar iaitu Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar. Punca perbalahan antara mereka ialah ke atas hak memungut cukai di kawasan perlombongan bijih timah. Kedua-dua pembesar itu telah mendirikan rumah tol untuk memungut cukai di sepanjang Sungai Linggi. Tindakan mereka menyebabkan saudagar-saudagar yang membawa bijih timah dari Sungai Linggi ke Melaka terpaksa membayar cukai kepada setiap rumah tol.

Permusuhan di antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar seterusnya menyebabkan perlombongan bijih timah terhenti dan perdagangan Negeri-negeri Selat dengan Sungai Ujong terancam. Malahan, kedudukan Dato’ Kelana terancam oleh Dato’ Bandar yang lebih berpengaruh di Sungai Ujong. Oleh itu, Dato’ Kelana meminta bantuan Inggeris untuk mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong. Sementara itu, saudagar-saudagar selat telah mengadu kepada Gabenor Sir Andrew Clarke tentang pengenaan cukai secara haram yang tidak menguntungkan mereka dan mendesak British supaya campur tangan di Sungai Ujong untuk melindungi kepentingan perdagangan mereka.

Pada bulan April 1874, Sir Andrew Clarke telah mengambil keputusan untuk memihak Dato’ Kelana. Beliau mengadakan satu mesyuarat dengan pembesar-pembesar di Singapura untuk mewujudkan pengaruh British dan menamatkan kekacauan di Sungai Ujong. Mesyuarat itu hanya dihadiri oleh Dato’ Kelana Abdul Rahman dan Dato’ Muda Linggi. Hasilnya, perjanjian ditandatangani di antara Dato’ Kelana dan Inggeris pada 21 April 1874. Melalui perjanjian ini:

a. Dato’ Kelana diisytiharkan sebagai pemerintah yang sah di Sungai Ujong. Beliau berjanji memerintah Sungai Ujong dengan adil.

b. Dato’ Kelana bersetuju memberi perlindungan kepada saudagar-saudagar British dan mengenakan cukai yang berpatutan.

c. Dato’ Kelana bersetuju juga menjaga kepentingan British di Sungai Ujong.

Dato’ Bandar membantah keras terhadap campur tangan British di Sungai Ujong dan enggan menerima perjanjian tersebut kerana beliau disisihkan daripada sebarang kuasa di Sungai Ujong. Seterusnya, Dato’ Bandar mencabar kekuasaan British.

Dato’ Kelana Abdul Rahman berasa bimbang akan keselamatan dan meminta perlindungan daripada Kerajaan British. Pada bulan Ogos 1874, Sir Andrew Clarke menghantar W.A. Pickering bersama satu pasukan tentera untuk melindungi Dato’ Kelana dan menjaga kepentingan perdagangan British di sana.

Dalam pertempuran yang meletus di antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar pada bulan November 1874, Dato’ Kelana berjaya menewaskan Dato’ Bandar dengan bantuan angkatan tentera British. Dato’ Bandar terpaksa berundur ke Kepayang.

Kedudukan Dato’ Kelana sebagai ketua Sungai Ujong terjamin dan British berpeluang meluaskan kuasanya dengan melantik seorang Penolong Residen, iaitu Kapten W.I. Thatham. Dato’ Bandar menandatangani satu perjanjian pada 16 Disember 1874 dan berjanji tidak akan campur tangan dalam hal-ehwal Sungai Ujong.

Sri Menanti

Pertelingkahan di antara Yamtuan Antah Seri Menanti dan pembesar-pembesar terutama Sungai Ujong memberi kesempatan untuk Inggeris campur tangan di Sri Menanti.

Pemerintah Sungai Ujong enggan mengakui Yamtuan Antah Sri Menanti sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Sir Frederick Weld telah mengadakan satu mesyuarat dengan Yamtuan Antah dan pembesar-pembesar Sri Menanti yang menentangnya. Walaupun Antah meminta perlantikan seorang Residen British tetapi permintaan itu tidak diterima oleh Sir Frederick Weld kerana beliau tidak mendapat sokongan semua pembesar Sri Menanti.

Oleh itu, Weld hanya melantik Martin Lister sebagai Pemungut dan Majistret di Kuala Pilah, Sri Menanti pada tahun 1885. Pada bulan April 1886, Yamtuan Antah dan pembesar-pembesar telah bersetuju menyerahkan hal-ehwal hubungan luar kepada Martin Lister.

Rembau

Sir Frederick Weld campur tangan di Rembau untuk menamatkan persengketaan di antara Haji Sahil iaitu Penghulu Rembau dan Syed Hamid atas perebutan gelaran Yamtuan Muda Tampin.

Sir Frederick Weld mengadakan satu mesyuarat dengan pembesar-pembesar Rembau di Melaka pada bulan Mac 1883. Dalam mesyuarat itu, pembesar-pembesar bersetuju melantik Serun Bin Sidin sebagai penghulu yang baru bagi Rembau kerana Haji Sahil gagal mentadbir Rembau dengan baik. Serun Bin Sidin dan pembesar-pembesar juga menandatangani satu persetiaan dengan pihak Inggeris dan bersetuju menerima dan mematuhi timbang-tara Inggeris dalam semua pergaduhan di antara mereka.

Pertelingkahan telah meletus antara Penghulu Serun dan pembesar-pembesar atas soal pungutan hasil. British campur tangan untuk menyelesaikan masalah itu pada 17 September 1887, Penghulu Serun dan pembesar-pembesar Rembau telah menantangani satu perjanjian menyerahkan kuasa memungut cukai kepada seorang pegawai British yang dikenali sebagai Pemungut Hasil dan Majistret.

Jelebu

British berpeluang campur tangan di Jelebu apabila tercetus satu pertelingkahan antara Yamtuan Muda dengan Penghulu Jelebu. Kedua-dua pihak meminta timbang-tara British untuk menyelesaikan persengketaan antara mereka.

Sir Frederick Weld telah menguruskan satu mesyuarat dengan kedua-dua pihak pada bulan Ogos 1883 untuk menentukan hak dan kuasa mereka. Residen Sungai Ujong dilantik untuk membantu mereka dalam hal-ehwal pentadbiran Jelebu.

Pada bulan Disember 1884, Yamtuan Muda Jelebu mangkat. Penghulu Jelebu meminta bantuan British untuk menghapuskan jawatan Yamtuan Muda. Sebagai balasan, beliau menandatangani satu perjanjian dengan British pada bulan September 1886.

Menurut perjanjian itu, Penghulu Jelebu menerima seorang pegawai British untuk mentadbir hasil dan keadilan di Jelebu.

Kesimpulan

Menjelang tahun 1888, kesemua negeri kecuali daerah Tampin telah menerima timbang-tara dan perlindungan Inggeris. Pada tahun 1889, menerusi usaha Gabenor Negeri-negeri Selat, iaitu Sir Cecil Clementi Smith, daerah Tampin dan Rembau bersetuju menyertai pergabungan Sri Menantidan menerima seorang Residen Inggeris. Martin Lister dilantik menjadi Residen Pertama.

Pada tahun 1885, Sungai Ujong dan Jelebu menyertai penggabungan tersebut. Dengan ini, pergabungan Sri Menanti yang meliputi semua negeri dikenali sebagai Negeri Sembilan. Yamtuan Antah Sri Menanti diakui sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Baginda dibantu dalam hal pentadbiran oleh Martin Lister.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan