CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 29 Disember 2010

SEJ T 6 campurtangan Ing di Pahang

Campur Tangan British di Pahang 1888

Pengenalan

Pahang merupakan sebahagian dari Melaka semasa keagungan Kesultanan Melayu Melaka. Apabila Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511, Kerajaan Melayu Melaka berpindah ke Johor dan Pahang turut bernaung di bawah Johor. Seorang Bendahara telah dilantik untuk memerintah Pahang sebagai wakil Sultan Johor. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah melemahkan Kesultanan Johor kerana ianya terbahagi dua. Kesempatan ini telah digunakan oleh Bendahara Ali untuk membebaskan Pahang dari Johor pada tahun 1853. Pada tahun 1857, Bendahara Ali meninggal dunia dan pentadbiran di Pahang diserahkan kepada Wan Mutahir dan Wan Ahmad pula dianugerahkan Endau dan Kuantan tetapi Wan Mutahir tidak menunaikan wasiat Bendahara Ali. Keadaan ini telah menyebabkan Perang Saudara (1857-1863) sehinggalah British berkesempatan campur tangan.

Perang Saudara 1857-1863

Pada tahun 1853, Bendahara Ali mengambil kesempatan untuk membebaskan Pahang dari Johor apabila Johor menjadi lemah. Sebelum dia meninggal dunia, Bendahara Ali berundur ke Lami di Sungai Pahang Tua. Mengikut wasiatnya yang bertarikh 25 Mei 1856, pentadbiran Pahang akan diserahkan kepada putera Wan Mutahir dan Wan Ahmad pula dianugerahkan kawasan Endau dan Kuantan.

Pada tahun 1857, Bendahara Ali meninggal dunia. Wan Mutahir yang dilantik sebagai Bendahara dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja enggan menyerahkan Endau dan Kuantan kepada Wan Ahmad sebagaimana yang diwasiatkan. Wan Ahmad yang diusir dari Pahang telah pergi ke Singapura untuk memohon bantuan British bagi mendapat kembali haknya. Gabenor Negeri-negeri Selat, Blandell enggan membantunya kerana ketika itu British mengamal dasar tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Wan Ahmad kemudiannya ke Terengganu dan membuat serangan ke atas Pahang melalui Kemaman.

Perang saudara Pahang bertambah hebat kerana Wan Ahmad dan Wan Mutahir mempunyai penyokong-penyokong yang menyokong mereka kerana sesuatu kepentingan. Sultan Mahmud Lingga yang diturunkan takhta oleh Belanda mendakwa beliau berasal dari keturunan raja-raja yang memerintah Johor (termasuk Pahang) pada abad ke-18. Beliau mahu membantu Wan Ahamd dengan tujuan mengembalikan pertuanannya ke atas Pahang. Apabila bapa saudaranya, Sultan Omar (Terengganu) enggan membantunya untuk membantu Wan Ahmad, beliau memohon bantuan Siam. Permohonannya dipersetujui oleh Siam kerana Siam bercita-cita untuk memperkuatkan pengaruhnya di Terengganu dan mengembangkan pengaruhnya ke Pahang. Pada tahun 1861, Sultan Mahmud Lingga berangkat ke Bangkok untuk memohon bantuan Siam. Pada Oktober 1862, Sultan Mahmud Lingga tiba di Terengganu dengan angkatan Siam untuk membantu Wan Ahmad menyerang Pahang. Kehadiran angkatan Siam membimbangkan British kerana menyedari Siam memang bercita-cita untuk mengembangkan pengaruhnya di seluruh Tanah Melayu. Kebimbangan British bertambah apabila tersebar khabar angin mengatakan bahawa angkatan Siam bukan sahaja membantu Wan Ahmad tetapi juga membantu Sultan Mahmud Lingga merampas takhta Terengganu dari bapa saudaranya, Sultan Omar. Siam mahu menggulingkan Sultan Omar kerana Sultan Omar tidak menerima pertuanan Siam ke atas Terengganu. British menghantar bantahan kepada Raja Mongkut di Siam menegaskan tindakan Siam bertentangan dengan Perjanjian Burney 1826. Gabenor Negeri-negeri Selat Cavenagh telah mengarahkan Sultan Mahmud Lingga dan Siam berundur dari Terengganu dan tidak melibatkan diri dalam Perang Saudara Pahang kerana bimbang penglibatan mereka akan memperhebatkan lagi Perang Saudara Pahang. Apabila arahannya tidak mendapat layanan, Cavenagh telah menghantar kapal perang ke Kuala Terengganu dan membedil Kuala Terengganu pada 4 November 1862. Akibatnya, Sultan Mahmud Lingga dan Siam kembali ke Bangkok. Tindakan British telah berjaya menghalang Sultan Mahmud Lingga dan Siam membabitkan diri dalam Perang Saudara Pahang.

Pada mulanya British tidak mahu melibatkan diri dalam Perang Saudara Pahang dan menganggapnya sebagai masalah dalam negeri Pahang. Selain itu, British mengamalkan dasar tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Walau bagaimanapun, British campur tangan dalam Perang Saudara Pahang untuk melindungi kepentingan British. Tujuan utamanya ialah untuk menyekat pengaruh Siam daripada merebak ke Pahang. Selain itu, ialah untuk menamatkan Perang Saudara supaya perhubungan antara Singapura dengan Pahang tidak terganggu. Walaupun British tidak mengamalkan polisi campur tangan di Negeri-negeri Melayu tetapi telah terdapat pedagang-pedagang British terlibat dalam perdagangan di Pahang. Mereka mendesak British supaya campur tangan bagi melindungi pelaburan dan kepentingan mereka. Desakan diterima kuat oleh British, Syarikat Patterson F. Simons yang menjalankan kegiatan perlombongan bijih timah di Kuantan. Mereka mendesak Perang Saudara Pahang telah menjejaskan pelaburan mereka.

Permohonan Wan Ahmad untuk mendapat bantuan Terengganu telah dipersetujui oleh Sultan Omar. Sultan Omar telah membenarkan Wan Ahmad menggunakan Kemaman sebagai pangkalan untuk menyerang Pahang. Selain itu, Wan Ahmad juda mendapat bantuan-bantuan lain dari Terengganu seperti senjata, makanan, tentera dan sebagainya. Semasa bermulanya serangan Wan Ahmad ke atas Pahang pada Disember 1857, Wan Mutahir telah memohon bantuan Johor. Permohonan Wan Mutahir dipersetujui oleh Temenggung Ibrahim kerana beliau bercita-cita untuk mengembalikan ketuanan Johor ke atas Pahang disebabkan sebelum 1853, Pahang merupakan sebahagian daripada Johor. Keinginan Temenggung Ibrahim untuk membantu Wan Mutahir juga kerana adanya hubungan kekeluargaan antara mereka di mana putera Wan Mutahir iaitu Tengku Koris telah berkahwin dengan puteri Temenggung Ibrahim, iaitu Cik Engku Besar. Hasrat Temenggung Ibrahim untuk membantu Wan Mutahir di haling oleh British yang bimbang penglibatan Johor memperhebtkan lagi Perang Saudara Pahang. Selepas Temenggung Ibrahim meninggal dunia pada tahun 1862, Temenggung Abu Bakar yang menggantikannya dengan sokongan British telah menghantar bantuan Johor kepada Wan Mutahir. Walau bagaimanapun, ketibaan tentera Johor terlewat kerana ketika itu hampir seluruh Pahang telah ditawan oleh Wan Ahmad.

Wan Ahmad berjaya menguasai Pahang pada Mei 1863 dan ditabalkan sebagai Bendahara dengan gelaran Bendahara Seri Wak Raja pada Pktober 1863. Antara tahun 1866-1868, terdapat beberapa percubaan menyerang Pahang oleh putera-putera Wan Mutahir, Wan Aman, Wan Da dan Wan Abdullah. Walau bagaimanapun, percubaan tersebut berjaya dihancurkan oleh Wan Ahmad. Pada tahun 1875, Gabenor Negeri-negeri Selat, William Jervois, telah melawat Pahang dan mendesak Wan Ahmad menerima seorang Residen British. Permintaan tersebut tidak dipersetujui oleh Wan Ahmad yang bimbang sistem Residen akan menjejaskan kewibawaan dan kekuasaannya. Pada tahun 1882, Wan Ahmad menggunakan gelaran Sultan.

Peristiwa selepas Perang Saudara 1857-1863

Walaupun Wan Ahmad menguasai seluruh Pahang tetapi masih mempunyai musuh di kalangan pembesar-pembesar yang enggan membayar cukai kepadanya. Hal ini menyebabkan Sultan Ahmad bercadang untuk menjual kawasan-kawasan di Hulu Pahang kepada saudagar-saudagar Jerman yang berada di Pahang.

Tindakan Sultan Ahmad itu amat membimbangkan British kerana mereka tidak mahu kuasa-kuasa Eropah yang lain bertapak di Negeri-negeri Melayu. Oleh itu, British cuba campur tangan secara langsung untuk mengekalkan pengaruh dan kepentingan mereka di Pahang. Hasilnya, Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-negeri Selat, telah menghantar Frank Swettenham ke Pahang pada tahun 1885. Beliau melaporkan tentang pentingnya untuk melantik seorang ejen British untuk menjaga kepentingan ekonomi British di Pahang.

Pada bulan Oktober 1887, Sir Frederick Weld berjaya memujuk Sultan Ahmad supaya menerima seorang ejen British. Hugh Clifford dilantik sebagai ejen British di Pahang.

Pada bulan Februari 1888, seorang warganegara Inggeris yang berbangsa Cina, Go Hui, telah terbunuh dekat Istana Pekan. Sultan Ahmad enggan bekerjasama dengan British untuk menyelesaikan perkara itu. Oleh itu, Sir Cecil Clementi Smith telah menggunakan kekerasan untuk memaksa Sultan Ahmad menerima seorang Residen untuk menasihati Sultan dan menjaga kepentingan ekonomi British di Pahang. Dengan itu, J.P. Rodger dilantik sebagai Residen Inggeris yang pertama di Pahang pada bulan Ogos 1888.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan