CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 13 April 2010

NOTA SEJ TING 2 : BAB 9

BAB 8 – KEBANGKITAN SEMANGAT KEBANGSAAN UNTUK MENGANGKAT MARTABAT BANGSA
- semangat kebangsaan dibangkitkan golongan intelektual melalui akhbar, majalah dan penulisan kreatif
- perjuangan semakin berkesan melalui penubuhan pertubuhan untuk perjuangkan hak dan kepentingan bangsa

8.1 Maksud Semangat Kebangsaan (Teks m/s: 199)
- semangat kebangsaan atau nasionalisme bermaksud perasaan cinta dan taat setia yang mendalam terhadap bangsa dan tanah air
- semangat berjuang menebus maruah bangsa
- semangat inilah mendorong kita berjuang membebaskan negara daripada British untuk membentuk negara merdeka dan berdaulat

8.2 Perkembangan Negara Luar Memberi Inspirasi Perjuangan
(Teks m/s: 199-202)
- awal kurun ke-20 berlaku gerakan kesedaran kebangsaan di Turki, Mesir, Jepun, China, Filipina, India dan Indonesia
- perkembangan ini memberi inspirasi kepada penduduk Tanah Melayu untuk menentang penjajahan British

a) Gerakan Kebangkitan Islam di Timur Tengah
- berlaku akhir kurun ke-19
- kebangkitan dosebabkan kuasa-kuasa Barat memecahbelahkan dan menguasai empayar Islam Turki Uthmaniyah
- pengaruh Barat di Turki mencetuskan Gerakan Pan-Islam iaitu gerakan untuk menyatukan seluruh umat Islam dan menentang penjajahan Barat
- gerakan ini mempengaruhi dan menyatukan umat Islam di negara-negara Timur Tengah, India dan Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu untuk menentang kuasa asing

b) Gerakan Pemulihan Islam Mesir
- gerakan ini turut mempengaruhi kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu
- tahun 1882 Mesir dijajah oleh British dan telah mencetuskan Gerakan Islah
- Gerakan Islah atau Gerakan Pemulihan Islam ialah gerakan menyeru orang Islam berpegang kepada ajaran Islam sebenar berdasarkan al-Quran dan Hadis juga menyeru umat Islam supaya bersatu menentang penjajahan Barat di negara Islam
- gerakan ini dipelopori Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh
- pengaruh gerakan ini disebarkan ke Tanah Melayu oleh pelajar yang menuntut di Mesir setelah kembali ke tanah air

c) Perang Rusia-Jepun
- tahun 1905 Jepun berjaya mengalahkan Rusia
- pertama kali dalam sejarah moden sebuah negara Asia berjaya mengalahkan kuasa Eropah
- kejayaan ini menyemarakkan semangat negara-negara Asia lain untuk menentang penjajahan Barat

d) Gerakan Kesedaran Kebangsaan China
- tahun 1911 berlaku Revolusi China yang dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen
- berjaya menumbangkan kerajaan Manchu dan menubuhkan sebuah negara republik China
- keadaan ini membangkitkan kesedaran rakyat Tanah Melayu untuk menentang British

e) Gerakan Kesedaran Kebangsaan Filipina
- Jose Rizal memimpin perjuangan rakyat Filipina menentang penjajahan Sepanyol
- Menubuhkan Liga Filipina untuk memajukan orang Filipina dan menuntut Sepanyol memberi layanan adil kepada rakyat

f) Gerakan Kesedaran Kebangsaan India
- gerakan dipimpin oleh Mahatma Gandhi
- tujuan untuk membebaskan India daripada penjajahan British

g) Gerakan Kesedaran Kebangsaan Indonesia
- Soekarno menubuhkan Parti Nasional Indonesia untuk membebaskan Indonesia daripada penjajahan Belanda

8.3 Gerakan Islah Mencetuskan Kesedaran Kebangsaan
(Teks m/s: 203-204)

(i) Latar belakang Gerakan Islah di Tanah Melayu
- awal kurun ke-20 semangat kebangsaan dibangkitkan oleh golongan pelajar berpendidikan di Universiti al-Azhar, Mesir
- tahun 1925 terdapat 80 orang pelajar dari Tanah Melayu di universiti ini
- mereka terpengaruh dengan idea pemulihan Islam oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh
- sekembali ke Tanah Melayu mereka memulakan Gerakan Islah di Tanah Melayu dan dikenali sebagai ‘Kaum Muda’
- tokoh penting seperti Sheikh Muhammad Thani bin Jalaluddin, Haji Abbas bin Muhammad Taha dan Syed Sheikh Ahmad al-Hadi

(ii) Penyebaran Idea Gerakan Islah
- idea pembaharuan ‘Kaum Muda’ disebarkan melalui majalah ‘Al-Imam’ (pemimpin) yang diterbitkan di Singapura tahun 1906
- tujuan diterbitkan adalah untuk;
“… mengingatkan mereka yang lalai dan menjagakan mereka yang tidur dan menunjukkan mereka yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebaikan …”
- majalah ini memberi kesan besar dalam perkembangan pemikiran orang Melayu
- orang Melayu mula sedar kepentingan pendidikan dan ekonomi mereka
- antara seruan Al-Imam ialah;
- menyeru orang Melayu berpegang kepada al-Quran dan Hadis
- tekankan pentingnya ilmu pengetahuan untuk mencapai kejayaan
- menitikberatkan pengetahuan sejarah kerana banyak iktibar yang boleh dipelajari
- menasihati ibu bapa supaya memberikan pendidikan sempurna kepada anak-anak
- menggesa kaum wanita diberi peluang mendapatkan pendidikan
- mengetepikan adat resam dan kepercayaan karut yang boleh menghalang kemajuan
- tahun 1908 majalah Al-Imam dihentikan penerbitannya dan diteruskan oleh akhbar lain seperti Neracha, Al-Ikhwan, Pengasuh dan Saudara
- Kaum Muda menubuhkan beberapa buah madrasah untuk menyebarkan idea dengan lebih berkesan seperti Madrasah al-Masyhur al-Islamiah di Pulau Pinang, Madrasah al-Diniah Kampung Lalang di Padang Rengas dan Madrasah Il-Ihya Assyariff, Gunung Semanggol di Perak

(iii) Tentangan Gerakan Islah
- idea pembaharuan Kaum Muda ditentang oleh ‘Kaum Tua’ melalui akhbar ‘Suara Benar’ dan ‘Lidah Benar’
- Kaum Tua terdiri daripada golongan ulama’ dan pegawai agama yang tidak menerima idea Islah Kaum Muda
- mereka berpegang kuat kepada adat dan agama Islam
- pertelingkahan antara mereka hanyalah perkara kecil yang tidak melibatkan perkara pokok dalam agama Islam

(iv) Tokoh Pelopor Gerakan Islah di Tanah Melayu

a) Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin
- lahir di Sumatera tahun 1869
- berpendidikan di Makkah dan di Universiti al-Azhar, Mesir
- menerbitkan majalah Al-Imam
- pernah dilantik sebagai Mufti Negeri Perak
b) Haji Abbas Muhammad Taha
- lahir di Singapura tahun 1885
- berpendidikan di Makkah
- pernah dilantik sebagai kadi di kawasan Tanjung Pagar, Singapura
- menerbitkan akhbar Neracha

c) Syed Sheikh al-Hadi
- lahir di Melaka tahun 1862
- mendapat pendidikan agama di Terengganu dan di Pulau Penyengat, Riau
- sering berkunjung ke Makkah dan Mesir
- mendalami idea perjuangan Syeikh Muhammad Abduh
- menerbitkan akhbar Al-Ikhwan dan Saudara

8.4 Intelektual Mematangkan Perjuangan
(Teks m/s: 205-206
- Gerakan Islah menimbulkan kesedaran di kalangan intelektual Melayu
- tahun 1930-an golongan intelektual ini menyemarakkan kesedaran kebangsaan

(i) Golongan Intelektual Pendidikan Melayu
- golongan ini lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak
- terdiri daripada guru-guru Melayu yang berperanan sebagai pemimpin masyarakat
- MPSI disifatkan sebagai ‘The Cradle of Malay Nationalism’
- Berganding bahu dengan golongan cerdik pandai agama untuk memajukan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan pendidikan
- Usaha ini menimbulkan kesedaran untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British
- Antara tokoh nasionalis ialah Harun Aminurrashid, Ibrahim Haji Yaacob dan Abdul Hadi Hassan

a) Harun Aminurrashid
- tokoh pejuang kebangsaan lepasan MPSI
- merupakan guru yang bersemangat kebangsaan
- penulis yang aktif mempelopori penulisan puisi bertemakan semangat kebangsaan


b) Abdul Hadi Hassan
- seorang pensyarah MPSI
- sentiasa menanamkan semangat cinta akan bangsa dan negara kepada para pelajarnya

(ii) Golongan Intelektual Pendidikan Inggeris
- berjuang menuntut hak orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pentadbiran
- menubuhkan persatuan dan bidang penulisan untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu
- antara tokoh-tokohnya ialah Raja Chulan, Mohammad Eunos Abdullah, Dato’ Onn Jaafar dan Ishak Haji Muhammad

a) Raja Chulan
- mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar
- tahun 1924 dilantik menjadi Ahli Majlis Perundangan Persekutuan
- menggesa British meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dan menambah peluang orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan

b) Mohammad Eunos Abdullah
- berpendidikan Inggeris di Raffles Institution, Singapura
- merupakan orang Melayu pertama dilantik sebagai Ahli Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat
- pernah bertugas sebagai Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu dan Lembaga Melayu
- tahun 1926 menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura

c) Dato’ Onn Jaafar
- berpendidikan Inggeris di England dan Kolej Melayu Kuala Kangsar
- pernah menjadi pengarang akhbar Warta Malaya, Lembaga Malaya dan Warta Ahad
- tahun 1936 dilantik sebagai Ahli Tidak Rasmi dalam Majlis Mesyuarat Negeri Johor

8.5 Perjuangan Naionalisme Melalui Mata Pena
(Teks m/s: 207-212)
- akhbar dan majalah merupakan media yang rapat dengan rakyat
- sesuai dijadikan saluran untuk melahirkan kesedaran kebangsaan
- melalui media idea tentang perjuangan kebangsaan dapat disalurkan untuk bacaan semua lapisan masyarakat

(i) Peranan Akhbar dan Majalah Melayu
- tahun 1930-an akhbar Melayu mula menyuarakan isu sosial, kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu
- akhbar berjaya menyemai semangat kebangsaan di kalangan masyarakat Melayu
- melalui serua-seruan akhbar orang Melayu menubuhkan persatuan untuk merintis pergerakan lebih tersusun
- antara peranan akhbar dalam membangkitkan semangat kebangsaan ialah;
- mengkritik dasar British yang tidak menguntungkan orang Melayu
- menyeru orang Melayu bersatu dan menghapuskan semangat kenegerian
- menuntut kedudukan yang lebih baik dalam bidang pentadbiran, ekonomi dan pendidikan
- antara akhbar yang berpengaruh sebelum Perang Dunia II ialah Warta Malaya (1930-1941) di Singapura, Majlis (1931-1941) di Kuala Lumpur dan Utusan Melayu (1939-1941) diterbitkan di Singapura
- akhbar-akhbar lain ialah;
- Lembaga Melayu (1914-1931) di Singapura
- Pengasuh (1918-1941) di Kota Bharu, Kelantan
- Majalah Guru (1924-1941) di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang
- Al-Ikhwan (1926-1931) di Pulau Pinang
- Saudara (1928-1941) di Pulau Pinang
- Fajar Sarawak (1930) di Sarawak

a) Akhbar Warta Malaya
- diterbitkan di Singapura
- pengarang pertamanya ialah Dato’ Onn Jaafar
- menyiarkan tentang keadaan sosioekonomi orang Melayu
- mendesak orang Melayu diberikan lebih banyak jawatan penting dalam perkhidmatan kerajaan

b) Akhbar Majlis
- diterbitkan di Kuala Lumpur
- pengarang pertamanya Abdul Rahim Kajai
- mendedahkan kelemahan dasar British yang mengancam kedudukan orang Melayu
- dianggap akhbar yang berani

c) Akhbar Utusan Melayu
- diterbitkan di Singapura
- pengarang pertamanya Abdul Rahim Kajai
- menggesa orang Melayu meningkatkan taraf ekonomi dan menubuhkan persatuan bagi memperjuangkan nasib bangsa dan tanah air

Tokoh Akhbar Melayu

a) Abdul Rahim Kajai
- seorang nasionalis yang berjuang melalui bidang kewartawanan
- digelar Bapa Kewartawanan Melayu
- menjadi Ketua Pengarang akhbar yang berpengaruh pada zamannya seperti Warta Malaya, Majlis dan Utusan Melayu

(ii)Kegiatan Persuratan di Kalangan Orang Cina dan India

a) Akhbar Orang Cina
- orang Cina terbitkan akhbar sebelum Perang Dunia II
- antaranya akhbar Lat Pau, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh dan Modern Daily News
- tahun 1881 akhbar Lat Pau diterbitkan
- melaporkan tentang kegiatan sosial dan ekonomi orang Cina di Tanah Melayu
- juga menyiarkan peristiwa yang berlaku di negara China
- terdapat juga akhbar berbahasa Melayu yang diterbitkan oleh masyarakat Cina Peranakan (Baba dan Nyonya)
- antaranya akhbar Surat Khabar Peranakan, Bintang Timor, Khabar Uchapan Baru dan Bintang Pra Pranakan
- tahun 1884 akhbar Bintang Timor diterbitkan dan merupakan satu-satunya akhbar berbahasa Melayu yang berani melaporkan berita pemberontakan Dato’ Bahaman di Pahang
- tahun 1930 diterbitkan akhbar Bintang Pranakan yang membicarakan hal ehwal masyarakat Cina peranakan yang menunjukkan taat setia kepada British sebagai pemerintah Tanah Melayu

b) Akhbar Orang India
- diterbitkan akhbar Ulaga Nesan, Tamil Nesan dan Tamil Murasa
- pada 24 September 1924 akhbar Tamil Nesan diterbitkan di Kuala Lumpur
- melaporkan berita tentang kegiatan sosial dan ekonomi orang India di Tanah Melayu
- juga peristiwa yang berlaku di negara India
- terdapat juga akhbar berbahasa Melayu diterbitkan oleh masyarakat Jawi Peranakan
- antaranya Jawi Peranakan, Sekola Melayu, Taman Pengetahuan dan Tanjung Penagri
- tahun 1888 akhbar Sekola Melayu diterbitkan dan dijadikan bahan rujukan di sekolah Melayu

Kesedaran Kebangsaan Melalui Penulisan Kreatif
- semangat kebangsaan dibangkitkan melalui karya kreatif seperti puisi, novel dan cerpen
- karya kreatif menjadi saluran untuk menyuarakan perjuangan orang Melayu oleh golongan guru, penulis dan wartawan

(i) Penulisan Puisi
- sebelum Perang Dunia II banyak puisi bertemakan semangat kebangsaan dan disiar dalam akhbar dan majalah
- tujuan untuk menyuburkan perasaan cinta akan bangsa dan negara, menyeru rakyat merebut peluang ekonomi dan mempertahan maruah bangsa
- antaranya:
- puisi oleh Harun Aminurrashid seperti Tenaga Kaumku, Mempertahankan Hak Kita dan Perwira Melayu
- Abdul Samad Ahmad menulis puisi Serunai Pujangga, Kapal Tiada Nakhoda dan Hari Kejatuhan Kita
- Muhammad Yusuf Harun menulis puisi Dunia Yang Fana dan Di Lautan Seberang
- puisi lainnya seperti Bangkitlah oleh Omar Mustaffa, Seruan Kebangsaan oleh Melati Pahang, Sedarlah oleh Mahmud Ahmadi dan Di Tengah Segara oleh Muhammad Yasin Maamor


(ii) Penulisan Novel dan Cerpen
- melaluinya kesedaran kebangsaan dapat disampaikan kepada masyarakat lebih berkesan
- karya-karya sastera ini bertemakan semangat perjuangan, nasib bangsa dan semangat cintakan tanah air
- tema ini menimbulkan kesedaran di kalangan orang Melayu
- antara penulis cerpen yang terkenal ialah Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Shamsuddin Salleh
- cerpen yang terkenal seperti Cerita Awang Putat oleh Abdul Rahim Kajai, Rumah Besar Tiang Sebatang oleh Ishak Haji Muhammad, Di Sini Kita Bukannya Orang Dagang dan Siasat Yang Tiada Diminta oleh Shamsuddin Salleh
- manakala novel pula seperti Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh al-Hadi, Iakah Salmah? Oleh Ahmad Rashid Talu, Melor Kuala Lumpur oleh Harun Aminnurrashid, Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila oleh Ishak Haji Muhammad, Mari Kita Berjuang oleh Abdullah Sidek dan Melati Kota Bahru oleh Abdul Kadir Adabi

8.6 Kesepakatan Menjamin Keutuhan Perjuangan
(Teks m/s: 213-219)

- pertubuhan berperanan penting dalam gerakan kesedaran kebangsaan
- pertubuhan di peringkat awal bersifat kenegerian serta memperjuangkan kepentingan ekonomi dan sosial
- menjadi pendorong kepada kemunculan penubuhan bersifat pertubuhan

(i) Kemunculan Pertubuhan Melayu
- golongan wartawan dan akhbar menimbulkan kesedaran politik orang Melayu dan mendorong menubuhkan pertubuhan untuk perjuangkan hak dan kepentingan mereka
- antaranya;

a) Kesatuan Melayu Singapura (KMS)
- menjadi peransang kepada pemimpin di negeri-negeri Melayu
- diasaskan tahun 1926 oleh Mohammad Eunos Abdullah
- dianggotai golongan bangsawan, kakitangan kerajaan, wartawan dan peniaga
- tujuan penubuhan adalah untuk;
- menggalakkan ahli berperanan lebih besar dalam politik dan pentadbiran
- perjuangkan kemajuan orang Melayu dalam bidang pendidikan
- menjadi wakil Melayu berurusan dengan British bagi hal berkaitan dengan hak dan kepentingan orang Melayu
- akhir tahun 1930-an banyak persatuan bersifat kenegerian ditubuhkan seperti Persatuan Melayu Perak (1937), Persatuan Melayu Pahang (1938), Persatuan Melayu Selangor (1938), Persatuan Melayu Negeri Sembilan (1938), Persatuan Melayu Pulau Pinang (1937) dan Persatuan Melayu Kelantan (1939)
- lain-lain persatuan seperti Persatuan Melayu Melaka (1937), Persatuan Melayu Serawak (1939) dan Persatuan Melayu Johor (1939)
- tujuan penubuhan untuk meningkatkan ekonomi dan sosial orang Melayu
- dianggotai cerdik pandai Melayu yang berpendidikan Inggeris dan berkhidmat dengan British
- perjuangan bersifat sederhana
- menunjukkan taat setia yang kuat kepada Raja-Raja Melayu dan bekerjasama dengan British
- mendesak British memberi lebih banyak peluang kepada orang Melayu dalam pentadbiran kerajaan

b) Persatuan Melayu Selangor
- dipimpin oleh Tengku Ismail bin Tengku Muhammad Yassin
- memperjuangkan;
- mendesak lebih ramai pegawai Melayu dalam kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri
- keanggotaan askar Melayu
- menubuhkan angkatan laut dan udara Tanah Melayu

c) Kongres Melayu Se-Tanah Melayu
- tahun 1939 kongres yang pertama diadakan di Kuala Lumpur
- dianjurkan bersama oleh Kesatuan Melayu Singapura dan Persatuan Melayu Selangor
- tujuan untuk mewujudkan perpaduan kebangsaan di kalangan orang Melayu
- berjaya menghimpunkan wakil daripada semua persatuan Melayu untuk berbincang memajukan bangsa Melayu
- tahun 1940 kongres kedua diadakan di Singapura
- berjaya menarik lebih banyak penyertaan persatuan Melayu termasuk dari Sarawak dan Brunei
- menyarankan semua persatuan Melayu memajukan orang Melayu di negeri masing-masing
- kongres ketiga tidak dapat diadakan kerana Jepun telah menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941

d) Persaudaraan Sahabat Pena
- nama penuhnya ialah Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM)
- ditubuhkan tahun 1934
- dikendalikan oleh akhbar Saudara yang menyediakan ruangan untuk ahli-ahlinya menulis dan mengemukakan pendapat
- cogan kata mereka ialah ‘Hidup Bahasa Hidup Bangsa’
- menggalakkan ahli-ahlinya dari Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah bertukar pendapat
- tujuan untuk meningkatkan semangat dan kesedaran kebangsaan di kalangan mereka
- pada November 1934 mengadakan persidangan di peringkat kebangsaan yang pertama di Taiping, Perak
- berjaya menghimpunkan ahli dari seluruh Tanah Melayu
- semangat kenegerian dapat dipecahkan dan konsep kebangsaan Melayu mula terbentuk
- persidangan seterusnya diadakan di Pulau Pinang, Singapura, Ipoh dan Seremban

e) Kesatuan Melayu Muda (KMM)
- ditubuhkan tahun 1938 di Kuala Lumpur
- merupakan pertubuhan Melayu bersifat politik yang pertama di Tanah Melayu
- dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakob
- pemimpin yang lain seperti Mustapha Hussain dan Ahmad Boestamam
- tujuan untuk menanamkan semangat perpaduan dan kesedaran di kalangan orang Melayu dan mempertahankan hak
- berjuang membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British
- bercita-cita menyatukan Tanah Melayu dengan Indonesia untuk mewujudkan Melayu Raya
- kebanyakan anggotanya terdiri daripada guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI)
- perjuangan KMM bercorak radikal kerana mengamalkan dasar tidak bekerjasama dan menyuarakan pertentangan secara terbuka terhadap British
- mengadakan pakatan sulit dengan Jepun untuk menentang British
- akhbar Warta Malaya digunakan untuk membangkitkan perasaan anti British dan memperjuangkan cita-cita KMM
- tahun 1941 Ibrahim Haji Yaacob dan 150 anggota KMM ditangkap oleh British dan dipenjarakan di Singapura
- mereka dibebaskan semasa pendudukan Jepun
- tahun 1942 KMM diharamkan oleh Jepun

(ii)Pertubuhan Orang Cina dan India
- sebelum Perang Dunia II orang Cina dan India di Tanah Melayu lebih menumpukan perhatian kepada keadaan yang berlaku di negara asal
a) Pertubuhan Orang Cina
- awal kurun ke-20 terdapat beberapa pertubuhan orang Cina di Tanah Melayu seperti Hsing Chong Hui dan Chung Ho Tang
- menumpukan perhatian kepada negara China
- terdapat juga orang Cina yang memberi perhatian kepada politik tempatan terutama oleh orang-orang Cina yang lahir di Negeri-Negeri Selat atau Cina Peranakan yang menjadi warganegara British
- tahun 1900 Persatuan Orang Cina Peranakan British telah ditubuhkan oleh orang Cina Peranakan yang berpendidikan Inggeris
- antara tokoh-tokohnya ialah Tan Jiak Kim, Lim Boon Keng, Song Ong Siang dan Seah Liang Seah
- presiden pertama persatuan ini ialah Tan Jiak Kim
- antara pengasas utama persatuan ini ialah Lim Boon Keng
- tujuan penubuhannya untuk melindungi kepentingan orang Cina Peranakan di Negeri-Negeri Selat
- selain itu menggalakkan orang Cina Peranakan memperoleh pendidikan tinggi dan teknikal
- mereka juga menunjukkan taat setia kepada British
- antara tokoh golongan ini ialah Tan Cheng Lock

(i) Tan Cheng Lock
- lahir di Melaka
- berpendidikan Inggeris di Sekolah Tinggi Melaka dan Raffles Institution di Singapura
- tahun 1923-1934 telah dilantik sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat

b) Pertubuhan Orang India
- terpengaruh dengan gerakan kebangsaan di negara asal sebelum Perang Dunia II
- tubuhkan persatuan dengan tujuan melindungi kepentingan orang India di Tanah Melayu
- awal kurun ke-20 golongan cerdik pandai India yang berpendidikan Inggeris menubuhkan persatuan India di bandar-bandar utama seperti Taiping, Kuala Lumpur, Melaka, Klang, Seremban dan Pulau Pinang
- menjadi perintis kepada pembentukan pertubuhan yang menyatukan orang India di Tanah Melayu
- tahun 1039 Persatuan India Pusat Tanah Melayu ditubuhkan
- dipimpin oleh A.M.Soosay
- merupakan gabungan 12 buah persatuan India dan 4 dewan perniagaan India
- tujuan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan orang India di Tanah Melayu

1 ulasan: