CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Isnin, 19 April 2010

CONTOH HURAIAN ELEMEN 2

Hasil Kajian

1 Perayaan Tradisi:
1.1. Nama perayaan/Nama lain

Hari Raya Aidilfitri (bahasa Arab: عيد الفطر‎; 'Ayd al-Fiṭr; "perayaan fitrah") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah dan Hari Lebaran. Ia merupakan antara salah satu daripada perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.


1.2. Pihak/Etnik/Kaum yang terlibat

Di Malaysia pihak yang terlibat dalam perayaan ini ialah orang Islam . Kaum Melayu merupakan kaum majoriti yang menyambut perayaan ini di samping kaum lain seperti India Muslim , Cina Muslimdan golongan mualaf ( orang yang memeluk Islam daripada kaum lain ). Namun begitu di negara ini sambutan terhadap Hari Raya Puasa telah diangkat ke peringkat kebangsaan yang dinamakan Sambutan Hari Raya Peringkat Kebangsaan. Dalam majlis sebesar ini ramai tetamu yang bukan Islam turut sama dijemput dalam memeriahkan sambutan ini .

1.3. Tarikh/Tempoh masa dirayakan

Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab(kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.Kira-kira 20 tapak melihat anak bulan menempatkan pegawai khas telah disediakan .
Bagi umat Islam ia dirayakan mengikut kalender Hijrah iaitu pada bulan Syawal mulai 1 haribulan dan berakhir setelah munculnya bulan Zulkaedah.

1.4. Tujuan perayaan

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat. Tujuan ianya disambut ialah :

a. sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.
 Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.
 Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.
2 Latar Belakang:
2.1. Sejarah/Asal usul perayaan
Umat Islam sejak daripada zaman Nabi Muhammad merayakan aidilfitri setelah berpuasa dan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta beramal mengikut syariat sepanjang bulan ramdhan

2.2. Upacara khusus dalam perayaan
Amalan khusus pada hari raya kebanyakannya terfokus kepada sembahyang sunat hari raya yang dilakukan kebanyakkannya oleh jemaah lelaki. Ianya dilakukan bermula dengan takbir beramai-ramai , sembahyang sunat hari raya dua rakaat dan diikuti dengan khutbah khas hari raya.



2.3. Individu yang mengetuai upacara khusus

Sembahyang hari raya diketuai oleh Imam tiap-tiap masjid yang dilantik oleh kerajaan negeri.

2.4. Tempat khusus sambutan dijalankan

Sembahyang hari raya diadakan di masjid seluruh negara. Bagi Hari Raya peringkat Kebangsaan sesuatu tempat dipilih untuk dirayakan secara bersama dengan lain-lain penganut agama. Bagi kebanyakan orang Melayu , mereka akan pulang ke kampung pada musim perayaan untuk berhari raya bersama ahli keluarga dan sanak-saudara.

3 Persiapan Sambutan Perayaan:

3.1. Sebelum
Masyarakat beragama Islam terutama orang Melayu menjadikan Hari Raya Puasa sebagai sebuah sambutan yang besar bagi mereka berbanding dengan Hari Raya Aidil Ahda yang disambut secara lebih sederhana . Ini kerana ianya disambut selama sebulan. Antara perkara yang diberi perhatian sebelum menyambut Hari Raya ialah :

3.1.1. bulan ramadhan

Ramadhan , terjemahan harfiah: "panas terik") (biasa digelar "Ramadan Al-Mubarak") adalah merupakan bulan yang ke-9 dan bulan paling suci di dalam kalendar Islam. Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Pada bulan ini umat Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Qur'an yang bermaksud:

“ Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu... ”
— surah Al-Baqarah, ayat 185

Penentuan awal Ramadan
Takwim Hijrah didasarkan pada orbit bulan mengelilingi bumi dan awal setiap bulan ditetapkan saat terjadinya hilal (bulan sabit). Kaedah penentuan saat terjadinya hilal yang digunakan ketika ini ada dua, iaitu kaedah penglihatan dengan mata kasar ("rukyah") dan kaedah perhitungan astronomi ("hisab").

Sesetengah negara menggunakan rukyah sahaja manakala sesetengah yang lain menggunakan nisab sahaja . Dunia Melayu terutamanya di Indonesia dan Malaysia amnya menggunakan kedua-dua kaedah sekaligus .

3.1.2. Lailatul Qadar

Lailatul Qadar (malam ketetapan), adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadan. Malam ini dikatakan dalam al-Qur'an pada surah Al-Qadr, lebih baik daripada seribu bulan . Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa riwayat, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, tepatnya pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29. Malah ada sebahagian ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam 24 Ramadan. Walaubagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Sebahagian Muslim biasanya berusaha tidak melewatkan malam ini dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.

3.1.3. Amalan sewaktu Ramadhan

Umat Islam digalakkan membanyakkan ibadah pada bulan Ramadan kerana ganjarannya digandakan pada bulan ini.Antara yang wajib ialah berpuasa dan berzakat sementara yang disunatkan ialah membanyakkan bersedekah , membaca al quran , menghidupkan malam dengan qiamulail , qatam quran dan sebagainya


3.1.4. berpuasa di bulan ramadhan

Ramadhan ialah satu bulan dimana semua umat Islam berpuasa, bermula dari subuh hingga ke maghrib.Selain dari larangan terhadap makan dan minum, umat Islam juga dilarang memasukkan sesuatu kedalam rongga, merokok, dan melakukan hubungan seks di waktu siang.Hanya mereka yang benar-benar uzur sahaja diizinkan untuk tidak berpuasa. . Di negara ini
ibadah puasa diajar termasuk kepada anak-anak kecil. Walaupun tidak dapat menghabiskannya sehari penuh , kanak-kanak ini dibolehkan berbuka pada tengah hari ( puasa sekerat hari ) sebagai satu bentuk latihan apabila mereka sudah baligh nanti.

Orang Islam disunatkan bersahur sebelum berpuasa . Sahur (makan sebelum fajar) membezakan puasa orang Islam dan puasa lain. Semasa berbuka puasa (iftar), disunatkan pula berbuka dengan makanan atau minuman manis serta tidak berlebih-lebihan. Disunatkan juga untuk menjamu orang lain berbuka puasa.

Pada malam harinya, setelah solat Isyak, umat Islam melanjutkan ibadahnya dengan melaksanakan solat Tarawih, solat khusus yang hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjama'ah di masjid-masjid. Di sesetengah tempat, sebelum pelaksanaan solat tarawih, diadakan ceramah singkat atau tazkirah untuk menasihati para jama'ah tentang hal-hal keagamaan.

3.1.5. mambayar zakat

Ibadah zakat, iaitu bersedekah sebahagian dari harta kepada pihak-pihak yang tertentu adalah juga rukun Islam seperti puasa. Zakat fitrah yang dikeluarkan pada bulan Ramadhan adalah bertujuan menyucikan harta dan rohani dari kemungkaran. Ia mesti ditunaikan sebelum akhir Ramadhan

Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa bermula . Di negeri Johor ianya bernilai RM 5.50 setiap orang . Bagi keluarga yang memiliki 3 orang ahli ia perlu membayar sebanyak RM 16.50

3.1.6. malam tujuh likur

MALAM tujuh likur yang menjadi sebahagian daripada budaya setempat pada setiap Ramadan di negara ini . Daripada sudut agama , malam tujuh likur sering dikaitkan dengan Lailatulqadar iaitu detik keemasan untuk individu Muslim merebut syurga apabila malaikat dan Jibril akan turun ke bumi untuk mengaminkan doa orang yang bersembahyang, bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah.

Di sesetengah kampung lazimnya beberapa rumah berhampiran akan bersatu tenaga menyediakan juadah seperti dodol dan meminta bantuan kanak-kanak untuk menumbuk gula mahupun tepung menggunakan lesung kaki selain bergilir-gilir mengacau kerana ia mengambil masa panjang untuk dimasak,” katanya.

Tradisi memasang panjut atau pelita raya di kawasan sekeliling rumah juga diadakan .Ianya dikatakan bagi membantu mereka yang menuju ke surau atau masjid bagi menunaikan tarawih kerana suasana pada malam terlalu gelap dan mungkin membahayakan keselamatan. Orang kampung memasang panjut sepanjang Ramadan sebenarnya sebagai simbol meraikan bulan mulia itu dan menjadi penyeri setiap rumah kerana pada masa dahulu tiada kemudahan elektrik seperti hari ini.


3.1.7.kad raya

Kad raya biasanya dihantar kepada beberapa pihak sebagai satu cara mengucapkan salam lebaran kepada orang tersayang , ibu bapa , kenalan dan sanak saudara terdekat. Ianya melahirkan rasa gembira dan sekaligus mengucapkan selamat Hari Raya dan memohon maaf zahir dan bathin atas segala salah dan silap sepanjang hubungan ini berlangsung. Pada masa sekarang ianya dibuat dalam bentuk kad raya yang boleh diemailkan , sms , mms dan sebagainya.

3.1.8. lagu raya
Bagi masyarakat Melayu hari raya tidak akan lengkap dengan lagu raya. Radio akan mula memutarkan lagu raya sepanjang seminggu sebelum hari raya tiba. Suasana ini meningkatkan kemeriahan pra sambutan . Lagu raya yang sangat berkesan kepada ramai orang Melayu ialah Dendang Perantau oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Ini diikuti dengan lagu-lagu nyanyian Saloma( Selamat Hari Raya ) , Sanisah Huri ( Aidilfitri ) , Sudirman ( dari jauh ku mohon maaf ), S Jibeng ( Musafir di Aidilfitri ) dan lain-lainnya. Kebanyakan nada lagu raya berkisarkan melankolik iaitu kesedihan terhadap perpisahan semasa sambutan hari raya.


3.1.9. malam raya

Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid sambil memuji kebesaran Allah. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah antara terbenamnya matahari(hari terakhir bulan Ramadan) sehingga solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah. Hari raya disambut pada pagi hingga malam.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa:
“Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat.”
Bagi para ibu bapa pada malam tersebut mereka sibuk membuat persiapan terakhir untuk menyambut ketibaan hari lebaran. Tugasan utama biasanya berkisar memasang langsir , menghias rumah , memasak ketupat , lodeh dan sebagainya.

3.2. Semasa

3.2.1. Pagi Aidilfitri – solat sunat hari raya


Solat Sunat Hari Raya merupakan solat sunat yang didirikan secara berjemaah (biasanya di masjid) pada awal pagi Hari Raya Aidilfitri . Solat Hari Raya Aidil Fitri hukumnya adalah sunat muakkad yang mana sangat-sangat dianjurkan kerana Rasulullah SAW.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat Aidiladha. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakar menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Berlainan pula, solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.

Kita juga disunatkan mandi dan membersihkan diri (niat mandi sunat Hari Raya). Disunatkan membersihkan diri dengan mencukur buku-bulu pada tubuh, memotong kuku, menghilangkan bau-bau yang tidak menyenangkan dari badan dan pakaian dan memakai wangi-wangian.

Selain itu sisunatkan makan dahulu sebelum solat sunat Aidilfitri (afdhal makan tamar dengan bilangan ganjil) jika tidak sempat makan di rumah, maka makan di jalanan dan sebagainya supaya dapat membezakan Aidilfitri dengan hari sebelumnya yang diwajibkan berpuasa.

Selain itu disunatkan memakai pakaian yang paling bagus, walaupun bukan berwarna putih kerana tujuannya untuk menzahirkan nikmat. Disunatkan juga membawa anak-anak yang sudah mumayyiz untuk solat sunat Hari Raya.

Solat Sunat Hari Raya mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir lima kali pada rakat kedua, yang mana dibaca tasbih diantara takbir-takbir tersebut. Dan apabila selesai takbir dan tasbih, barulah diteruskan solat seperti biasa.


3.1.2.- takbir

Takbir ialah menyebut dan melaungkan kalimah Allahu Akbar, اyang bermaksud "Tuhan itu Besar" atau "Tuhan Maha Besar," Pernyataan ini adalah pernyataan bagi mengagungkan Tuhan dan dijadikan sebagai salah satu zikir harian dan munajat bagi masyarakat Islam. Pada kebiasaannya akan dimulakan dengan takbir dari masjid-masjid, yang telahpun berlanjutan dari malam sebelumnya.
Di masjid ia ianya dikendalikan oleh kalangan jemaah yang mahir melaungkan takbir dan diikuti oleh para jemaah yang lain secara nyaring.

3.2.2. bersalam-salaman

Selepas mengerjakan solat sunat Aidilfitri, pada kebiasannya para jemaah akan saling bersalam-salaman di samping bermaaf-maafan . Bagi sesebuah keluarga akan berkumpul untuk bersalaman dan meminta maaf antara satu sama lain. Anak-anak akan meminta maaf dari ibu bapa, manakala ibu bapa akan meminta maaf dari datuk dan nenek.Ianya ialah suatu bentuk budaya yang diterima dalam masyarakat Melayu sebagai salah satu pengisian penting sempena hari lebaran.

3.2.3. juadah hari raya

Pada kebiasaannya juadah yang dihidangkan ialah ketupat , nasi himpit , lemang , berlaukan lodeh , serunding daging , kuah kacang , ayam masak kari , XXXXXX
Begitu juga kuih raya akan disediakan di atas meja untuk dijamah oleh para tetamu. Kuih raya paling popular ialah bahulu , kek , bangkit , batang buruk , wajik , dodol , sarang semut ,kuih tat ,
Kuih moden ialah almond london , kek lapis,

3.2.4.kunjung-mengunjung

Menjelang tengahari, semua sanak saudara dan jiran sekampung akan kunjung-mengunjung antara satu sama lain untuk ‘beraya’ atau adat berziarah. Ucapan ‘selamat hari raya ‘ bersilih ganti dan kemaafan dipohon, menandakan kesalahan lalu telah dilupakan.

3.2.5. duit raya
Kanak-kanak biasanya akan membuat kumpulan lain untuk berziarah, samada ke rumah jiran, saudara atau rakan-rakan , dimana tradisi memberi ‘duit raya’ memeriahkan lagi suasana.

3.2.6. Pakaian
Baju Melayu adalah pakaian tradisi kaum Melayu yang dipakai oleh kaum lelaki di Malaysia pada Hari Raya. Pakaian ini dilengkapi dengan songkok dan lilitan songket di bahagian pinggang. Pakaian yang menjadi kebiasaan kaum wanita pula ialah Baju kurung dan Baju kebaya.


3.3. Selepas

3.3.1. puasa enam
Apabila hari lebaran disambut ada sesetengah umat Islam memulakan puasa sunat pada hari raya kedua sebanyak enam hari. Tidaklah disyaratkan ialanya berturutan .Terdapat pelbagai fadhilat hasil berpuasa enam iaitu pahalanya seolah-olah sama seperti puasa sepanjang tahun.

3.3.2. rumah terbuka

Rumah-rumah terbuka akan diadakan pada Hari Raya itu sendiri ataupun sepanjang bulan Syawal. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang pulang ke bandar setelah cuti tamat. Biasanya minggu pertama hari raya,jalan akan dipenuhi dengan kereta dan menyebabkan jalan sesak.Pada masa inilah peluang diambil sempena cuti hari raya kunjung mengunjung antara sanak saudara dapat direalitikan . Amalan berkunjung ke rumah saudara mara terdekat merupakan satu amalan yang sangat dititiberatkan sepanjang hari perayaan ini.


3.4. Peraturan/Pantang-larang/Amalan sampingan
Sesuai dengan nama ianya bersifat keagamaan , maka sudah semestinya amalan berpuasa dan sambutan hari raya tidak terkeluar daripada tuntutan agama. Contohnya tidak boleh bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim , meminum minuman yang memabukkan dan sebagainya.

kesan perayaan
Pilih 4 saya cadangkan
1. kekeluargaan - ikatan kekeluargaan bertambah baik / amalan berziarah / bermaaf-maafan / dah lama tidak berjumpa / melepas rindu

2. perpaduan
- perayaan disambut bersama - tidak kira bangsa dan agama
- kunjung mengunjung - sesama jiran / rumah kakitangan
- sambutan peringkat kebangsaan - meriah .. semua rakyat malaysia terlibat

3. pelancongan
- pelancong ingin melihat keunikan yang terdapat di negara ini
- cara perayaan disambut/ dilaksanakan
- juadah hari raya - keistimewaan tersendiri

4. peluang perniagaan
- buka bazar ramadhan - peluang berniaga terbuka luas di seluruh negara -rezeki bulan puasa melimpah ruah
- kunjungan bertali arus - menjual pelbagai juadah berbuka
- jualan sempena hari raya oleh pasar raya - lipat ganda keuntungan
- pendapatan sampingan - berniaga songkok , baju , tempahan menjahit baju dan langsir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan