CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 22 Januari 2010

PANDUAN MENGARANG 1

PANDUAN MENGARANG 1

Kertas 1 - Menulis karangan

Pendahuluan

Garis panduan serta perkara-perkara yang dibincangkan di bawah ini lahir daripada penelitian yang dibuat terhadap kesilapan-kesilapan serta kekurangan-kekurangan yang lazimnya terdapat dalam penulisan karangan para pelajar baik ketika membuat latihan di kelas mahupun ketika menjawab soalan peperiksaan. Saya akan membincangkan perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian dalam penulisan karangan, kesilapan-kesilapan yang lazimnya dilakukan pelajar ketika menulis karangan dan panduan-panduan yang saya rasa dapat membantu para pelajar memperbaiki kemahiran mereka dalam bidang ini.
Kelemahan-kelemahan serta kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam karangan yang berbentuk faktual dan perbincangan agak berbeza dengan yang selalunya didapati dalam karangan yang berbentuk naratif atau cerita. Dalam perbincangan ini, adakalanya saya berikan tumpuan khusus kepada kelemahan-kelemahan atau kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam karangan-karangan yang berbeza itu.




A) Sebelum Menulis

1. Pemilihan tajuk/soalan :
Tugas penting yang perlu dilakukan pelajar sebelum menulis sesebuah karangan ialah membuat pemilihan topik atau soalan yang sesuai dengan kebolehan serta kemahiran bahasanya. Perkara-perkara yang perlu diberi tumpuan sebelum membuat pemilihan ialah :

a) isi-isi serta contoh-contoh yang dapat difikirkan pada waktu pelajar sedang membuat pemilihan. Jika pelajar dapat memikirkan lebih banyak isi serta contoh-contoh untuk sesuatu soalan, maka itu merupakan indikasi yang paling baik bahawa pelajar seharusnya memilih soalan itu.

b) Rekomendasi guru berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan para pelajar sewaktu menulis karangan di sekolah, guru dapat memberikan panduan mengenai bentuk karangan yang lebih sesuai dijawab oleh mereka. Ada pelajar yang lebih mahir menangani karangan yang berbentuk perbincangan atau faktual manakala yang lain pula lebih berkebolehan menulis karangan yang berbentuk naratif atau cerita. Kelebihan dan kelemahan ini ada pada setiap orang. Dari itu, para pelajar harus tahu di mana letaknya kelebihan serta kelemahan mereka.

2) Perancangan :

Sesudah membuat pemilihan tajuk, maka pelajar seterusnya harus membuat perancangan. Ramai pelajar yang tidak merancang karangan yang ingin mereka tulis. Semua perancangan yang dibuat dibiarkan sahaja di minda. Akibatnya, pelajar mengalami masalah terlupa isi yang hendak ditulis atau terpengaruh dengan arus pemikiran pada waktu dia sedang menulis itu. Akibatnya, isi yang ditulis selalunya bukan sahaja berbeza daripada rancangan asal yang telah dibuat malah kadangkala pendekatan yang telah dipilih juga berubah. Jika ini berlaku, ia boleh menjejas prestasi karangan yang ditulis kerana pelajar mudah bingung dan kadangkala keliru sendiri. Panduan di bawah ini dapat menolong pelajar mengelakkan berlakunya masalah di atas:

• Pertama kita harus menganalisa soalan yang diberi untuk mengetahui apakah yang sebenarnya dikehendaki oleh soalan itu.

• Seterusnya, tuliskan isi-isi yang terfikir mengenai topik yang diberi dalam bentuk nota. Fikirkan sekali contoh-contoh yang boleh menguatkan isi-isi itu.

• Susun isi-isi tadi mengikut urutan kronologi atau golongan / sub-tajuk (contoh: baik / buruk) yang ingin disampaikan.

• Kemudian, ketepikan isi-isi yang kurang relevan.

• Perancangan yang telah dibuat ini jangan dibuang. Jika ditakdirkan pelajar kekurangan masa untuk menamatkan karangan dengan sempurna, bolehlah disertakan kertas perancangan ini bersama kertas jawapan. Para pemarkah akan mengambil kira nota perancangan ini dalam penilaian mereka.

B) Ketika Menulis

Perkara yang harus diberi perhatian semasa menulis ialah cara penyampaian isi yang telahpun pelajar fikirkan dan susun dalam bentuk nota. Ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian di sini:

a) Susunan / Penyampaian isi :
i) Setiap karangan yang ditulis perlulah mengikut pendekatan lazim yang diambil oleh setiap pengarang, iaitu ia didahulukan dengan pembukaan / pendahuluan, kemudian diikuti dengan isi / pendapat dan berakhir dengan penutup atau kesimpulan. Karangan yang baik haruslah mengandungi setiap komponen ini yang diberikan variasi yang wajar dengan tajuk yang diberi. Pembukaan yang samar-samar atau penutup yang mendadak akan memincangkan karangan yang ditulis.

Biarpun demikian, janganlah pula pelajar memberikan tumpuan yang terlalu panjang kepada pembukaan sesuatu karangan sehingga isi yang sepatutnya diberikan lebih penelitian tidak mendapat perhatian yang
sewajarnya.

ii)Pelajar perlu tahu cara penyampaian isi karangan yang berbentuk baik/buruk atau masalah/huraian yang baik. Pendekatan yang boleh diambil luas, namun, pelajar harus pastikan bahawa susunan isi yang dibuat adalah sistematik dan tidak mengelirukan.


Sebagai contoh, pelajar bolehlah menerangkan isi-isi yang menunjukkan kebaikan dahulu sebelum menerangkan isi-isi yang menunjukkan keburukan dalam menjawab karangan yang berbentuk baik/buruk. Dalam karangan masalah/huraian pula, bolehlah pelajar mengutarakan sesuatu masalah diikuti dengan huraiannya sebelum membincangkan masalah yang seterusnya.

iii) Isi yang telah disusun rapi perlu pula disampaikan dengan cara yang meyakinkan. Ia harus disertakan dengan contoh-contoh yang relevan untuk menguatkan serta menyokong pendapat / isi yang diketengahkan. Terdapat dua perkara yang harus pelajar elakkan iaitu (1) hanya memberi pendapat
atau isi dan terus berpindah kepada isi yang seterusnya, tanpa menjelaskan dengan terang apa yang dimaksudkan dengan isi yang sebelumnya dan (2) penggunaan statistik yang direka sendiri dan ketulenannya tidak mampu dibuktikan. Ini boleh menjejas nilai karangan yang ditulis sebagai sebuah karangan yang cetek.


b) Laras bahasa yang digunakan dalam penyampaian isi

Ramai pelajar yang ghairah ketika menulis karangan, lebih-lebih lagi dalam peperiksaan dan apabila topik yang keluar merupakan sesuatu yang mereka anggap menarik atau mudah. Bukan sahaja mereka tidak merancang isi-isi yang ingin dimuatkan, malah format serta laras bahasa yang sesuai juga tidak diberikan perhatian.

Para pelajar perlu menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan bentuk karangan yang dipilih. Misalnya, mereka harus elakkan daripada menggunakan gaya bahasa naratif ketika menjawab karangan berbentuk perbincangan atau faktual, (begitu juga ketika menulis surat kiriman rasmi). Penggunaan laras bahasa lisan perlu dielakkan sama sekali, biarpun dalam penggunaan dialog. Cuba rujuk kepada
contoh karangan di bawah ini:

Majalah hiburan banyak membawa kesan negatif kepada para remaja.
Beri pendapat kamu.

Aku dan teman-teman remajaku yang lain selalu bertemu di restoran makanan segera Mac Donalds sebelum kami menuju ke kedai buku The Popular Bookshop untuk mendapatkan majalah-majalah hiburan terkini yang kami gemari. Kami selalu berpakaian berjenama dan menggunakan bahan-bahan dandanan yang popular seperti yang selalunya diiklankan dalam majalah-majalah hiburan yang kami beli. Maznilah yang paling berani di antara kami. Dia akan berpakaian seperti artis-artis popular yang dipamerkan dalam majalah-majalah yang kami baca, pakaian-pakaian yang ketat dan memberahikan.

Cara hidup kami juga agak berbeza dengan remaja-remaja lain. Kami suka membaca ruangan gosip yang selalunya dimuatkan dalam majalah-majalah hiburan itu dan selalunya, cara hidup artis-artis popular yang kami sanjungi akan dibincangkan. Kami gemar meniru cara hidup mereka, saja kerana suka-suka dan untuk mendapatkan keseronokan. Kelab-kelab malam serta disko kami kunjungi kerana di situlah kami dapat merasakan nikmat yang sebenar seperti yang digambarkan dalam majalah-majalah hiburan yang kami baca.
Atas desakan teman-teman yang kami kenali semasa di disko dan kelab-kelab malam itu, kami bukan sahaja pernah merokok, malah mencuba pil ecstasy. Seronok juga rasanya. Namun, kami telah tertangkap pada suatu malam apabila disko yang kami kunjungi diperiksa polis. Aku dimasukkan ke rumah tumpangan budak-budak perempuan nakal manakala teman-temanku yang lain menghadapi nasib yang seburuk aku.
Aku setuju dengan topik di atas, bahawa majalah hiburan banyak membawa kesan negatif terhadap para remaja. Lihatlah apa yang telah berlaku kepada diriku serta rakan-rakanku. Akibat terlalu dipengaruhi oleh bahan-bahan bacaan yang terdapat dalam majalah hiburan yang aku gemari, aku kini terpaksa merempat di rumah kebajikan.


** Karangan di atas sebenarnya penuh dengan isi yang relevan untuk menjawab soalan yang diberi. Penulis ingin menjadikan dirinya serta rakan-rakan sebayanya sebagai bukti bahawa tajuk yang diberi sangat disetujuinya.

Dalam perenggan yang pertama, penulis ingin menyampaikan bahawa remaja yang gemar membaca majalah hiburan boleh terpengaruh dengan fesyen pakaian atau bahan-bahan dandanan serta barang-barangan berjenama yang selalunya dipamerkan ataupun diiklankan dalam majalah-majalah tersebut. Adakalanya, fesyen pakaian itu terlalu mendedahkan aurat dan amat memberahikan.
Perenggan kedua pula ingin menunjukkan bahawa bahan-bahan bacaan yang dimuatkan dalam majalah hiburan juga selalunya mengisahkan gaya hidup artis-artis popular yang jauh berbeza dengan cara hidup orang timur dan jika terpengaruh, remaja yang terlalu banyak membacanya mudah terikut-ikut dengan gaya hidup sedemikian. Perenggan ketiga pula cuba membutktikan bahawa tempat-tempat hiburan yang
selalunya diberikan tumpuan dalam majalah-majalah hiburan boleh menimbulkan masalah kepada remaja yang terbawa-bawa mahu mengunjunginya.

Perenggan keempat merupakan rumusan bahawa apa yang telah dibincangkan dalam perenggan I-3 membuktikan pendapatnya yang menyetujui pendapat seperti yang tertera dalam soalan.

Namun, cara penyampaiannya serta laras bahasa yang digunakan adalah tidak sesuai untuk menjawab soalan karangan yang berbentuk perbincangan ini. Ini tentunya akan menjejas markah yang akan diberikan untuk karangan yang ditulis bukan sahaja dari segi bahasa, malah juga isi kerana
gaya bahasa yang digunakan tidak dapat menyampaikan isi dengan cara yang jelas dan teratur


C) Sesudah Menulis
Terdapat ramai pelajar yang tidak memeriksa semula karangan yang telah mereka tulis. Ini dilakukan kerana mungkin pelajar itu malas atau tidak tahu apa yang harus diperiksa semula. Di bawah ini ada beberapa panduan yang boleh dipraktikkan:
• Beri tumpuan kepada kesilapan bahasa seperti
- penggunaan dua kata hubung
- penggunaan kata ganti yang tidak sesuai
- menggunakan saya dan aku secara tidak konsisten
- penggunaan tanda baca : noktah, koma,
- penggunaan frasa-frasa yang diulang-ulang
- penggunaan kata ganda / majmuk yang tidak sesuai
- penterjemahan langsung dari bahasa Inggeris
- kesilapan ejaan terutama sekali perkataan-perkataan yang berimbuhan:
- penggunaan perkataan / atau bentuk perkataan yang tidak sesuai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan