CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Ahad, 13 Disember 2009

tip bm pmr

Panduan Umum Karangan BM PMR (Kertas 1 – Bahagian C – Respons Terbuka)


Pendahuluan

-keterangan ringkas perkara yang akan diberitahu dalam karangan.
-gambaran menyeluruh tentang perbincangan bahagian isi.
-perkara penting dalam pendahuluan- perlu ada ayat-ayat berikut:
A1. Kehendak soalan dikemukakan
A2. Isu yang berkaitan dengan soalan
A3. Keterangan isu yang berkaitan dengan kehendak soalan
A4. Hala tuju soalan-sebab/ faktor/ langkah/kesan
Contoh: (A1)Sejak kebelakangan ini isu pencemaran alam sekitar sering diperkatakan oleh masyarakat (A2) Pencemaran sumber air, tanah, dan udara oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan dunia ini seolah-olah semakin tidak selamat untuk didiami. (A3) Walaupun pelbagai langkah telah diambil, namun isu ini seolah-olah tidak pernah menemui noktah penyelesaiannya. (A4) Justeru, pelbagai langkah konkrit dan tidak bersifat hangat-hangat tahi ayam perlu digembleng untuk menangani isu lapuk ini daripada terus menghantui hidup rakyat Malaysia.

Jenis-jenis Pendahuluan

1. Pendapat tokoh-perlu releven dan bersandar dengan fakta yang kukuh.
Contoh: Bidang aeroangkasa di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah sejajar dengan langkah kerajaan menghantar rakyat negara ini ke angkasa lepas. Menurut Menteri Sains,
Teknologi, dan Inovasi, Dato’ Dr. Jamaluddin Jarjis...

2. Persoalan
Contoh: Isu Mat Rempit semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Mengapakah isu ini terjadi? Apakah pihak berkuasa, khususnya polis tidak berjaya dalam melaksanakan tanggungjawab mereka?

3. Definisi
-berikan takrif yang tepat/jelas terhadap pokok persoalan
Contoh: “Jenayah remaja” ditakrifkan sebagai perbuatan jenayah yang dilakukan oleh remaja yang di bawah usia lapan belas tahun.

4. Suasana
Contoh: Sebelum menghampiri simpang bertingkat itu, kami mendapati kesesakan lalu lintas yang agak teruk.

5. Peribahasa
Contoh: Masyarakat Melayu terkenal dengan kepelbagaian peribahasanya. Peribahasa seperti “sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula”, “ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras”...
6. Sejarah
Contoh: Kemerdekaan Malaysia mencatatkan kisah perjuangan rakyatnya yang panjang. Bermula dengan perjuangan yang dipelopori oleh Haji Abdul Rahman Limbong, Tuk Janggut sehinggalah diteruskan oleh Ustaz Abu Bakar Bakir dari Gunung Semanggol...

7. Isu Semasa
-perlu dikaitkan dengan isu semasa yang sedang berlaku (berkait dengan peristiwa)
Contoh: Peningkatan kadar tol lebuh raya baru-baru ini telah mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat di negara ini.

8.Gabungan – menggabungkan semua jenis pendahuluan di atas.



Pengembangan Isi
-komponen penting- mesti diolah dengan baik/ berkesan
-berdasarkan panduan:

1.Isi+Huraian+Contoh
(I+H+C)

2. 5W, 1H (What, When, Where, Why, Who, How/ Apa, Mengapa, Bagaimana, Bila, Siapa, Di mana)

3. IMPAK ( I – Isi/ Langkah, M – Mengapa/ Sebab, P – Proses/ Cara/ Bagaimana, A – Alibi/ Contoh, K – Kesan / Akibat)

4. PUNCA (P - Punca/ Isi, U – Ulasan/ Huraian, N – Narrate/ Bagaimana, C – Contoh/ Bukti, A – Akibat/ Kesan)

Teknik Pengembangan Isi
- A1. Isi pokok diuatarakan
-A2. Mengapa berlaku/ perkara yang mahu disampaikan.
-A3. Bagaimana perkara itu boleh berlaku
-A4. Huraian urutan peristiwa itu berlaku.
-A5. peleraian isu/ beralih kepada idea/ isi baru (melalui penanda wacana – sungguhpun, walaupun, namun begitu, di samping itu...)

Contoh Pengembangan Isi

1. Deduktif (I+H+C)
- Sebagai pengguna, kita mestilah membuat perancangan sebelum... Contohnya, apabila menjelang musim perayaan, masyarakat sering berbelanja...

2. Induktif (H+C+I)
- Wang yang banyak tidak bererti kaya dan wang yang sedikit tidak bererti miskin. Yang penting bukan jumlah wang... Jadi, jelaslah bahawa pengguna memainkan peranan yang penting untukmembantu negara mengatasi masalah inflasi

3.Deduktif-Induktif (I+H+C+I)
- Untuk mengatasi masalah inflasi...Contohnya, kerajaan perlu menghidupkan...Oleh itu, sekali lagi perlu ditegaskan bahawa kempen...

Penutup

-bahagian yang sering diabaikan.
-frasa/ ayat yang digunakan: kesimpulannya, sebagai kesimpulan, berdasarkan keterangan-keterangan tersebut, jelaslah bahawa, natijahnya, sekian terima kasih, kalau ada sumur di ladang...
-perkara penting dalam penutup:
-A1. Kesimpulan menyeluruh perbincangan
-A2. Cadangan/ saranan
-A3. Harapan tentang isu yang dibincangkan
-A4. Menyatakan pendirian tentang persoalan.

Contoh:
(A1) Pendek kata, sikap tidak peduli umat Islam terhadap isu-isu yang berlaku di sekitar mereka menyumbang terhadap peningkatan sumbang mahram dalam kalangan masyarakat hari ini.
(A2) Justeru, usaha-usaha pencegahan sama ada berbentuk pendidikan mahupun penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dilaksanakan secara menyeluruh. (A3) Sekiranya ia dapat dilaksanakan, bukanlah sesuatu yang mustahil isu ini dapat ditangani sepenuhnya. (A4) Sudah terang lagi bersuluh, pendidikan yang diringi penguatkuasaan undang-undang menyeluruh, mampu membentuk individu Muslim yang berjaya di dunia dan akhirat.

* gunakan ungkapan menarik, kata-kata hikmat, peribahasa, bidalan, perumpamaan, kias ibarat, pantun, simpulan bahasa, terjemahan hadis/ al qur’an yang bersesuaian, pandangan/ kata-kata tokoh dan sebagainya yang bersesuaian pada setiap perenggan – sekurang-kurangnya SATU pada setiap perenggan.


siri 1/ 2007
disediakan oleh: mohd shahir mohd shah









Teknik Penulisan Karangan
Perenggan Pendahuluan
Pelajar-pelajar digalakkan untuk menulis dua ayat sahaja dalam perenggan ini dan setiap ayat itu terdiri daripada lima belas patah perkataan. Ayat yang perlu ditulis ialah:
A1 = Pernyataan tentang tema karangan ( idea utama atau isu secara am sahaja )
A2 = Isu semasa tentang tema karangan
Contoh:
(A1) Kemalangan jalan raya di negara ini bukan sahaja menyebabkan kematian dan kecederaan, tetapi menyebabkan kerugian harta benda. Statistik menunjukkan jumlah kemalangan menunjukkan peningkatan ketara sejak akhir-akhir ini. (A2) Walaupun pelbagai kempen dan operasi dijalankan, tetapi kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat, terutamanya pada musim perayaan.
(43 patah perkataan)
Contoh saya
Pemandu mabuk
Kemalangan banyak berlaku disebabkan oleh sikap pemandu yang mabuk . Situasi ini sering berlaku apabila ada pemandu yang minum minuman keras lalu memandu di jalan raya . Kesan tindakan mereka menyebabkan mereka mudah hilang kawalan semasa memandu. Lebih-lebih lagi pengaruh alkohol sangat memberi kesan kepada kewarasan akal fikiran untuk bertindak balas.

Keadaan jalan raya.
Jalan raya yang sempit , licin , berlubang memudahkan kemalangan jalan raya.


Perenggan Isi
Untuk memudahkan pelajar-pelajar menulis perenggan isi, maka dicadangkan supaya perenggan tersebut ditulis dengan menggunakan tiga ayat sahaja, iaitu:

A1 = Isi utama: menjawab soalan apa? (ialah / adalah / merupakan)
A2 = Huraian tentang isi utama: menjawab soalan mengapa? (kerana / sebab)
A3 = Huraian tentang isi utama: menjawab soalan bagaimana? (dengan itu / dengan cara)

Contoh:
(A1) Salah satu punca kemalangan jalan raya berlaku di negara ini ialah sikap pengguna jalan raya yang memandu kenderaan atau menunggang motosikal melebihi had laju yang ditetapkan. (A2) Biasanya, mereka berbuat demikian kerana hendak mengejar masa dan mahu tiba ke destinasi mereka dalam masa yang singkat dan mereka menganggap “Masa Itu Emas”. (A3) Dengan itu, mereka memecut sesuka hati dan memotong kenderaan lain walaupun di tempat yang tidak selamat sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
(65 patah perkataan)


Perenggan Kesimpulan
Pelajar-pelajar dikehendaki menulis perenggan ini dengan dua ayat sahaja.
A1 = Kesimpulan atau rumusan tentang isi karangan.
A2 = Saranan atau Cadangan dan harapan penulis tentang isu yang dibincangkan.
Contoh
(A1) Memang “malang tidak berbau”, tetapi kemalangan jalan raya dapat dikurangkan jika semua orang berhati-hati ketika di jalan raya. (A2) Semua pihak perlu mengambil langkah (saranan @ cadangan) untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam kemalangan jalan raya (harapan).

(28 patah perkataan)

Rangka Karangan Jenis Laporan
Pengenalan
Negara kita banyak tempat yang bersejarah. Melalui peninggalan sejarah, kita dapat mengetahui keagungan dan kedaulatan sesuatu bangsa dan negara.
Isi-isi
o Mengekalkan nilai-nilai tradisi dan keagungan tamadun yang lampau
o membolehkan generasi muda mengenal, melihat dan menghayati keagungan sesuatu tamadun yang lampau
o Kepentingan dari segi pelancongan.
 menjadi salah satu destinasi pelancongan.
o Kepentingan dari segi pendidikan.
o memupuk minat pelajar untuk mempelajari sejarah
o menjadi salah satu tempat kajian tempatan sejarah
o Kepentingan dari segi arkeologi dan seni bina.
 membolehkan ahli arkeologi mengkaji warisan seni bina sesuatu bangsa
Penutup
Bangunan bersejarah patutlah dipelihara dan dipulih agar warisan bangsa tidak lenyap begitu sahaja.
Isi-isi

Memperketatkan undang-undang lalu lintas
o mengenakan kompaun maksimum RM300
o Membaiki jalan raya yang rosak
o meluruskan jalan yang bengkang-bengkok
o menurap jalan yang berlubang
Memasang papan tanda dan tanda-tanda amaran kawasan had laju
kawasan yang kerap berlaku kemalangan
Memperbanyak kempen keselamatan jalan raya menerusi media massa
mengadakan ceramah dan pameran
mengedarkan risalah
Penutup
Berharap agar segala cadangan tersebut dapat mengurangkan kemalangan jalan raya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan