CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 12 Disember 2009

model karangan cikgu azman mahat 4

Karangan 16
Pendidikan telah menjadi kritikan masyarakat dan sektor ini memang merupakan satu isu sensitif.
Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor pendidikan.
Bidang pendidikan dianggap bidang sensitif negara kerana bidang ini mampu mengubah senario politik dan sosial negara kita. Bilangan generasi muda yang terlibat dalam bidang ini turut menjadikan pendidikan satu isu yang harus ditangani dengan bijak tetapi pantas. Kejayaan negara mengubah bidang pendidikan ini dalam menangani cabaran globalisasi pasti akan mendatangkan kejayaan kepada rakyat dan negara kita secara keseluruhannya. Cuma ketika ini bidang yang dianggap murni suatu masa dahulu sedang menghadapi saat gentingnya.
Masalah yang paling kritikal sedang dihadapi oleh bidang pendidikan ialah pelajarnya yang dikatakan tidak berdisiplin. Saban hari kita didedahkan melalui media massa masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Kes guru dipukul, gejala jenayah pelajar, sikap ponteng pelajar, dan budaya buli semuanya menjurus betapa seriusnya masalah ini. Keadaan ini turut menyebabkan bidang pendidikan menjadi mangsa sasaran kritikan masyarakat yang mahu perkara ini diatasi seberapa segera.
Bidang pendidikan turut mengalami masalah kekurangan guru terutama guru lelaki dan di kawasan pedalaman. Kurangnya guru lelaki sering dikaitkan dengan rendahnya tangga gaji yang diberikan kepada guru. Lelaki yang sering dianggap ketua keluarga akan mencari kerjaya lain yang menjanjikan gaji lebih lumayan. Manakala, guru lelaki yang kecil jumlahnya pula dihantar ke kawasan pedalaman tetapi masih belum cukup untuk menampung keperluan kawasan pedalaman. Situasi ini dibebankan lagi dengan budaya keguruan yang dianggap lebih bercorak kewanitaan akibat kurangnya guru lelaki.
Tambahan pula, ada sekolah yang masih kekurangan kemudahan seperti komputer dan bangunan yang sesuai. Keadaan ini menjejaskan peluang pelajar untuk memperoleh pendidikan yang baik. Mereka belajar dalam keadaan tidak selesa dan ini sudah pasti akan menjejaskan pencapaian mereka dalam peperiksaan. Kalau sekolah tidak lengkap kemudahannya, bagaimana guru hendak menjalankan tugasnya? Inilah isu yang menghantui bidang pendidikan ini.
Malah, isu sekolah dianggap bukan faktor integrasi masyarakat turut menjadi persoalan utama kini. Konsep Sekolah Wawasan yang cuba diketengahkan mendapat bantahan pelbagai pihak lantaran bimbang hilangnya budaya kaum tertentu. Malah, sekolah biasa pula sering menyaksikan pelajar-pelajarnya berinteraksi mengikut kaum dan bukannya bercampur. Semua ini menghasilkan satu generasi pelajar yang tidak memahami budaya masyarakat lain. Sekolah seharusnya mendidik mereka bukannya memisahkan mereka mengikut kaum.
Selain itu, isu pelajar berlumba-lumba untuk mengaut jumlah A yang banyak dalam peperiksaan turut menjadi satu kemelut baru dalam pendidikan. Ramai yang menganggap sekolah menjadi tempat untuk menghafal bukannya memberi pendidikan yang holistik kepada pelajarnya. Kesannya, pelajar yang ada kini tidak mampu berfikir secara kritis atau menyelesaikan masalah yang di luar batasan soalan peperiksaan yang ditanya kepada mereka. Pelajar ketiadaan kepandaian emosional yang penting daam era globalisasi ini.
Kesimpulannya, pendidikan harus diberi lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan tahap pendidikan negara. Guru-guru harus diberi lebih banyak ruang untuk kreatif dalam pengajaran mereka. Guru harus diberi lebih banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui kursus dan program pendidikan jarak jauh. Guru harus diberi insentif kewangan yang lebih setimpal dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Guru sumber inspirasi generasi muda.
Karangan 17
Karangan Warga Emas Harus Disayangi
Warga tua semakin ramai di negara ini ekoran tahap kesihatan negara yang semakin baik. Cuma jumlah yang banyak ini telah menimbulkan pelbagai masalah pula.
Nyatakan langkah-langkah yang patut dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan warga tua semakin baik.

Warga emas merupakan golongan yang semakin ramai di negara ini kerana tahap kesihatan negara yang semakin baik. Jadi tidak hairanlah kalau kita sering ternampak warga emas ini. Namun, keadaan ini turut menyebabkan kita terdesak untuk mencari jalan membantu golongan ini semakin ramai supaya mereka mampu menikmati kehidupan dengan lebih baik. Apakah langkah-langkah yang mampu kita lakukan dalam isu ini?
Kerajaan seharusnya memberi mereka lebih banyak insentif dalam menjalani kehidupan harian. Tambang separuh harga untuk pengangkutan awam negara merupakan satu langkah awal. Begitu juga dengan pengangkutan udara dan kereta api. Dalam perkhidmatan kesihatan, kerajaan seharusnya memberikan potongan harga atau rawatan percuma kepada golongan ini dalam penyakit-penyakit tertentu. Maka, langkah ini mampu memberi keselesaan hidup kepada warga emas ini.

Malah, kerajaan harus menyediakan lebih banyak rumah khas untuk warga tua ini. Rumah yang dibina mestilah sesuai dengan mereka yang memerlukan kawasan yang luas, berhampiran taman, laut atau dilengkapi kemudahan kesihatan yang lengkap. Rumah yang disediakan ini harus secara percuma dan didiami oleh beberapa warga tua yang lain untuk menjadikan suasana di rumah itu lebih ceria dan menarik. Reka bentuk rumah tersebut haruslah moden dan tidak nampak membosankan.

Selain itu, kerajaan harus mengadakan satu majlis khas atau tarikh untuk warga emas ini. Pada hari yang sudah diumumkan cuti umum itu, kerajaan perlulah mengadakan pelbagai aktiviti yang bercorak warga emas. Aktiviti beramah mesra dengan generasi muda harus dijalankan terutama untuk memberi kesedaran betapa warga emas dan muda saling memerlukan antara mereka. Interaksi ini turut memberi remaja satu peluang mendengar pengalaman yang dialami oleh warga emas.

Lantaran itu, kerajaan perlu mengadakan program bercorak ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada warga emas ini. Pendapatan itu pula boleh disalurkan untuk kepentingan warga tersebut. Semua aktiviti yang dijalankan mestilah bersesuaian dengan keadaan fizikal warga emas. Langkah ini turut menjadikan kehidupan mereka lebih menarik dan tidak membosankan. Warga emas turut berpeluang untuk menggunakan idea mereka ke arah sesuatu yang lebih bermakna.

Jadi, warga emas seharusnya dibelai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Warga emas mempunyai satu pengalaman yang mampu dipelajari oleh semua orang. Warga emas mampu memberi nasihat dan pandangan terhadap sesuatu perkara yang berlaku kerana mereka telah mengalami semua perkara yang bakal dialami oleh masyarakat. Kita harus menjaga warga emas setelah mereka menjaga kita selama ini.
Karangan 18
Kehadiran pendatang asing telah membawa pelbagai masalah kepada rakyat di negara ini. Cuma kesan-kesan ini turut menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai pendatang asing ini.
Jelaskan kesan-kesan baik dan buruk yang timbul daripada kehadiran pendatang asing ini.
Tenaga kerja asing memang telah menjadi satu isu yang hangat diperkatakan kini. Ada masyarakat yang menganggap pekerja asing ini penting dan ada yang menganggap mereka sebagai pengacau yang harus dibuang jauh. Keadaan ini diburukkan dengan isu ini turut dimainkan oleh media massa yang memang menangguk di air keruh. Jadi, adakah pekerja asing hanya membawa kesan buruk atau memang ada hikmah disebalik kehadiran pekerja luar negara ini?
Sememangnya kehadiran pekerja asing ini sama ada sah atau secara haram mampu memenuhi keperluan sumber tenaga buruh negara yang memuncak. Dalam proses mencapai sebuah negara maju, Malaysia mengalami perkembangan ekonomi yang tinggi sehingga menyebabkan pasaran buruhnya memerlukan pekerja yang ramai. Dalam masa yang sama penduduk tempatan tidak meminati sektor pekerjaan tertentu yang kritikal seperti perladangan dan pekerja asing datang memenuhinya.
Malah, kehadiran pekerja asing itu turut menjadikan pekerja tempatan satu saingan yang menarik. Persaingan ini menyebabkan pekerja tempatan berasa mereka harus meningkatkan kemampuan diri mereka sebaik mungkin agar tidak diganti oleh pekerja asing ini. Pekerja tempatan akan bekerja lebih baik, meningkatkan kemahiran mereka, mencari ilmu yang lebih sesuai dan tidak menimbulkan masalah seperti mogok. Jadi, keadaan persaingan seperti ini menyebabkan ekonomi negera diminati oleh pelabur asing.
Imej negara turut meningkatkan kerana sudah pasti masyarakat antarabangsa menyedari bahawa kebanjiran pekerja asing ini kerana ekonomi negara yang mantap dan berkembang. Negara dilihat sebagai sanggup berkongsi kekayaan dengan negara jirannya. Negara akan dilihat sebagai contoh negara yang maju dalam ekonominya. Negara akan dianggap mempunyai pemimpin dan rakyat yang bersatu dalam mencapai cita-cita negara. Bukankah ini satu pandangan yang kita harapkan daripada negara luar terhadap keupayaan negara kita?
Cuma, kehadiran pekerja asing terutama secara haram ini telah menyebabkan kadar jenayah di negara ini semakin meningkat. Ada pekerja asing yang datang ke sini tidak mempunyai pekerjaan untuk tempoh tertentu dan jenayah menjadi tempat untuk mereka memperoleh sedikit wang bagi membiayai kehidupan diri dan keluarga. Jadi, semakin ramai pekerja asing semakin tinggilah kebarangkalian untuk meningkatnya jenayah di negara kita. Sudah pasti kejadian jenayah ini akan menyukarkan kehidupan rakyat biasa.
Selain itu, pekerja asing yang bekerja di sini setiap bulan menghantar wang balik ke negara asal mereka. Keadaan ini menyebabkan wang itu tidak digunakan untuk membangunkan semula ekonomi negara secara efektif. Sebaliknya, wang negara digunakan untuk menjana ekonomi negara asal pekerja asing itu. Wang negara digunakan untuk membiayai kehidupan keluarga pekerja asing itu. Jadi, keadaan ini tidak sihat terutama untuk jangka masa panjang atau ketika negara dalam kegawatan ekonomi.
Kesimpulannya, pekerja asing ini boleh memusnahkan dan menyelamatkan negara. Mungkin jawapannya bukan kepada jumlah pekerja asing tetapi cara mengawal kedatangan mereka, cara menentukan sektor pekerjaan untuk mereka dan mungkin tempoh bekerja untuk mereka di negara ini. Ringkasnya, masalah ini akan terus menghantui kita buat sekian lama
Karangan 19
Peternakan ikan air tawar mula mendapat perhatian terutama masyarakat desa. Kejayaan demi kejayaan yang dipamerkan oleh pihak media massa telah memberi satu dimensi baru terhadap industri ini.
Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh penternak ikan air tawar.
Penternakan ikan air tawar merujuk ikan yang dibela di kawasan sungai dengan menggunakan kolam-kolam khas. Industri ini sudah mendapat perhatian masyarakat terutama penduduk kampung kerana mampu menghasilkan pulangan yang lumayan kepada mereka. Namun, industri ini turut memiliki pelbagai masalah yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya.
Secara amnya, masyarakat kita masih menganggap ikan air tawar bukanlah satu sumber daging yang utama. Masyarakat kita masih melihat daging lembu dan ikan laut lebih sesuai dengan cita rasa mereka. Keadaan ini menyebabkan permintaan ikan air tawar masih rendah jika dibandingkan dengan jenis-jenis daging yang lain. Kurangnya minat masyarakat menyebabkan industri ini masih kecil dan mempunyai ruang untuk berkembang. Jadi, masyarakat masih menunggu dan melihat kebaikan yang mampu diberikan oleh ikan air tawar kepada mereka.
Kemelut di atas sering dikaitkan dengan kegagalan kempen ikan air tawar. Masyarakat masih keliru dan tidak memahami zat yang mampu diberikan oleh ikan air tawar kerana tiadanya kempen yang dijalankan terutama oleh pihak kerajaan melelaui Kementerian Pertanian. Ketiadaan maklumat dan penerangan menyebabkan permintaan ikan air tawar masih gagal untuk bersaing dengan daging-daging yang lain. Ironinya, pengusaha ikan air tawar yang terpaksa mencari sendiri pasaran untuk mereka terutama di luar negara berbanding di dalam negara sendiri.
Malah, kesukaran untuk memulakan projek ternakan ikan air tawar turut menghantui pengusaha industri ini. Mereka terpaksa menunggu masa yang lama untuk menukarkan tanah mereka menjadi kolam kerana ikan air tawar yang agak sensitif dengan keadaan tanah dan air kolam. Semua ini memerlukan penggunaan bahan kimia yang agak mahal dan sudah pasti kos permulaan yang tinggi diperlukan untuk membuka sebuah kolam ikan sahaja. Oleh itu, pihak kerajaan melalui bank-bank tertentu haruslah lebih terbuka untuk menerima kertas cadangan pengusaha ikan air tawar ini untuk meringankan beban mereka.

Kesimpulannya, kemelut yang melanda industri penternakan ikan air tawar ini memerlukan kerjasama dan tindakan yang drastik. Kerajaan perlulah bertindak awal dengan memberikan pelbagai insentif kepada pengusaha industri ini seperti memudahkan urusan penukaran jenis tanah untuk ternakan ikan air tawar. Pengusaha pula harus lebih positif dengan berusaha sendiri mencari pasaran-pasaran baru atau teknik masakan terbaru untuk menarik minat masyarakat memakan ikan air tawar. Mungkin satu pameran mengenai ikan air tawar harus dilakukan oleh kerajaan?
Karangan 20

Negara kita memiliki banyak rangkaian media cetak. Akhbar, majalah dan jurnal dikatakan menjadi sasaran utama rakyat negara ini yang memang ketandusan maklumat.
Pada pendapat anda, apakah peranan-peranan yang mampu dimainkan oleh media cetak di negara ini.
Media cetak sering dikaitkan dengan akhbar, majalah dan jurnal di negara ini. Negara kita pula memang boleh dianggap mempunyai penerbitan media cetak yang semakin meningkat saban tahun walaupun jumlah itu boleh ditingkatkan dengan lebih drastik dalam tempoh mendatang ini kerana sikap masyarakat yang suka membawa dan mencari informasi sudah mula kelihatan. Jadi, media cetak di negara ini memiliki peranan-peranan besar yang mampu membentuk satu masyarakat negara yang berkualiti mindanya.
Sumbangan utama media cetak di negara ini ialah media cetak menjadi sumber maklumat kepada masyarakat kita. Saban hari media cetak menyiarkan pelbagai perkara yang berlaku di negara ini dan semua berita atau maklumat ini menjadikan masyarakat kita mengetahui semua perkara yang berlaku, sedang, dan bakal terjadi di negara ini. Sikap berlumba-lumba media cetak untuk mendapatkan maklumat terkini turut menyebabkan masyarakat sering mendapat maklumat lebih awal mengenai sesuatu perkara.
Selain itu, kelebihan media cetak ialah media ini mampu menghasilkan analisis berita yang lebih kritis berbanding media yang lain. Situasi ini wujud kerana ciri media cetak yang berlandaskan penulisan mampu menghasilkan satu penulisan kritis yang menyebabkan pembaca mampu melihat sesuatu peristiwa yang berlaku itu dengan lebih mendalam. Media cetak mengupas semua isu yang berlaku daripada pelbagai sudut sehingga menyebabkan fenomena yang berlaku itu difahami oleh amsyarakat. Jelaslah, media cetak mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang memiliki minda yang kritis apabila membicarakan sesuatu topik.
Malahan, media cetak turut menyiarkan cerita-cerita yang mampu dijadikan pengajaran. Berita-berita jenayah, isu keluarga, projek pembangunan dan kejayaan individu tertentu sudah pasti menjadi tatapan masyarakat kita. Pembacaan mereka terhadap berita-berita jenis ini memberi satu pengajaran secara tersirat kepada pembaca yang seterusnya menyebabkan berlakunya satu perubahan diri dan minda mereka terhadap perkara tersebut. Oleh itu, pembacaan bahan media cetak memberikan pembaca satu pengajaran yang mampu membawa kebaikan.
Secara tuntasnya, media cetak di negara ini memang mempunyai peranan yang penting dalam memastikan negara terus mampu bersaing dalam era yang penuh persaingan ini. Ruang untuk media cetak berkembang turut wujud kerana media cetak dianggap lebih murah berbanding jenis media yang lain. Cuma ada sedikit kebimbangan dengan kewujudan bahan media cetak yang lebih mengutamakan isu-isu gosip atau sensasi daripada berita-berita yang benar-benar berlaku di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan