Ahad, 13 Disember 2009

latihan ringkasan

Latihan 1.
Bahagian A (i) : ringkasan
{20 markah}

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut tulis sebuah rumusan tentang kepentingan menghayati Rukun Negara. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kerajaan disaran melancarkan Kempen Penghayatan Rukun Negara kerana penghayatan terhadap Rukun Negara semakin terhakis dalam jiwa rakyat Malaysia. Malah jika ditanya generasi muda sekarang sudah pasti ada antara mereka yang tidak mengetahui kandungan prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan rakyat negara ini sejak 35 tahun yang lalu. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak ingat untuk melafazkan Rukun Negara kerana beranggapan tidak penting disebabkan negara sudah aman dan makmur. Keadaan ini menyebabkan generasi sekarang seakan-akan hilang jati diri mereka dan mudah terpengaruh dengan budaya asing.

Penghayatan Rukun Negara amat penting kepada masyarakat negara ini. Hampir lima dekad negara mencapai kemerdekaan dan segala dugaan yang dilalui telah membina tapak yang menjadi asas keharmonian dan perpaduan kaum. Rukun Negara menjadi panduan bagi rakyat memupuk semangat setia kawan dan kecemerlangan hidup bermasyarakat serta bernegara. Selain itu Rukun Negara bermatlamat membentuk masyarakat yang adil dan saksama supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama-sama.

Prinsip Rukun Negara sebenarnya berkait rapat antara satu sama lain. Kepercayaan kepada Tuhan antara lain menerapkan bahawa kepercayaan beragama boleh mengukuhkan ikatan semua bangsa seterusnya memantapkan institusi negara kerana rakyatnya mempunyai pegangan hidup. Tahap kesetiaan yang tinggi diberikan kepada raja dan negara pula amat bersesuaian kerana raja ialah lambang perpaduan negara. Keluhuran perlembagaan pula ialah sumber perundangan negara yang tertinggi dan harus diterima, dipatuhi serta dipertahankan oleh rakyat. Kedaulatan undang-undang pula memberi keadilan kepada setiap rakyat di negara ini kerana dijamin oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Prinsip kesopanan dan kesusilaan mementingkan perlakuan yang sopan dalam kalangan rakyat untuk menjaga hubungan baik masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sehubungan dengan itu rakyat harus sedar Rukun Negara mampu menerapkan amalan menghormati undang-undang dalam kalangan masyarakat pelbagai agama dan budaya di negara ini. Langkah kerajaan melancarkan kempen tersebut amat tepat bagi mengingatkan rakyat supaya menghormati sensitiviti kaum agar keamanan dan keharmonian negara dapat terus dipelihara.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Kepentingan
Menghayati Rukun Negara’ Mohd Izranuddin Jelani
- Fokus, April 2006)




Soalan Bahagian A (ii) : Pemahaman
{10 markah}

Berdasarkan petikan bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata setia kawan? [2 markah]

2. Mengapakah kerajaan disaran supaya mengadakan kempen Penghayatan Rukun Negara? [4 markah]

3. Pada pendapat anda, bagaimana caranya untuk menyedarkan masyarakat supaya menghayati Rukun Negara? [4 markah]



Latihan 2.

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut tulis sebuah ringkasan tentang kesan peningkatan suhu bumi. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Peningkatan suhu bumi dikaitkan dengan perubahan iklim global semakin mendapat perhatian pelbagai pihak berikutan banyak bencana besar di luar jangkaan melanda seluruh dunia. Akibat fenomena ini hujan lebat akan turun pada jangka masa yang agak lama. Hal ini akan menyebabkan banjir yang luar biasa melanda di kawasan-kawasan tertentu. Banjir besar di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini dikaitkan dengan fenomena ini.

Sebaliknya pada masa-masa tertentu kemarau akan berlaku di sesetengah tempat. Kajian oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati kemarau telah meningkat sebanyak 30% sejak awal tahun 70-an. Kesannya, bekalan air di seluruh negara pasti akan terjejas. Di Malaysia, Jabatan Meteorologi telah memberi amaran kepada semua pihak agar bersedia menerima keadaan ini.

Selain itu, berlaku juga peningkatan aras laut yang agak luar biasa. Aras laut dunia semakin meningkat pada purata satu hingga dua milimeter setahun sepanjang 100 tahun kebelakangan ini. Peningkatan aras laut mengancam kawasan rendah dan pantai. Para saintis mendapati keadaan yang tidak menentu itu boleh dikaitkan dengan penghasilan gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana. Taufan luar biasa yang berlaku di seluruh dunia kini merupakan akibat gejala ini. Ribut pada hari ini semakin banyak berlaku dan semakin ganas. Misalnya taufan yang melanda Filipina, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Kesan suhu yang meningkat juga akan menyebabkan fenomena pencairan ais. Kajian saintis menunjukkan dalam tempoh 30 tahun lebih 259 hektar ais di seluruh kutub telah hilang. Peningkatan suhu yang mendadak memudahkan wabak penyakit berbahaya tersebar dengan meluas. Kita melihat penyakit yang dibawa oleh nyamuk seperti demam denggi semakin meningkat di negara kita. Kesan fenomena cuaca yang sebegini juga akan menjejaskan psikologi manusia. Jiwa dan emosi manusia akan mudah tertekan. Hal ini boleh menyebabkan meningkatnya kes jenayah yang melibatkan perlakuan yang agresif, seperti bunuh, buli dan dera.

(Dipetik dan disesuaikan daripada ‘Fenomena Pemanasan Global’ Berita Harian, 17 Februari 2007)




Berdasarkan petikan bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata semakin ganas? [2 markah]

2. Berdasarkan petikan, nyatakan dua punca berlakunya peningkatan suhu bumi.
[4 markah]

3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan peningkatan suhu bumi? [4 markah]

Latihan 3

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab perubatan tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan pengguna. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Pendapat bahawa perubatan moden merupakan penawar terbaik untuk setiap jenis penyakit adalah tidak tepat. Hal ini terbukti apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa 80 peratus penduduk dunia bergantung pada perubatan tradisional. Kerana miskin mereka tidak berupaya untuk membeli makanan, apatah lagi bagi mendapatkan rawatan moden.

Belakangan ini, minat masyarakat dunia terhadap perubatan tradisional berasaskan herba semakin bertambah malah herba dianggap sebagai pelengkap kepada perubatan moden.Para penyelidik mengakui bahawa kesedaran tentang kesan sampingan ubat-ubatan moden semakin meningkat. Rakyat di negara kita pula semakin banyak menghidap penyakit kronik seperti barah dan AIDS sedangkan perubatan moden masih gagal menemukan penawarnya. Keadaan seperti ini, ditambah dengan kos perubatan yang semakin tinggi menyebabkan pesakit beralih kepada perubatan berasaskan herba. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba ini sewajarnya dikomersialkan dan dijual pada harga yang rendah supaya mampu dibeli oleh pengguna.

Walau bagaimanapun , kita masih memerlukan perubatan moden kerana bukan semua penyakit boleh dicegah atau disembuhkan melalui perubatan tradisional. Perubatan tradisional hanyalah untuk mengisi kekosongan yang ada dalam perubatan moden. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba dalam perubatan tradisional ini perlu dikaji dan dibangunkan dengan keupayaan sains dan teknologi supaya benar-banar berkesan. Kini, kajian bioteknologi mengenai ubat-ubatan ini giat dijalankan di kebanyakan negara di dunia. Di Malaysia pula, perubatan tradisional berasaskan herba diamalkan sejak zaman-berzaman seperti dalam rawatan resdung, rawatan kecantikan dan rawatan selepas bersalin.

Satu fakta yang jelas ialah bukan semua ubat moden yang diambil oleh pesakit akan masuk ke dalam sistem tubuh. Oleh sebab itu, walaupun dua orang pesakit menghidapi penyakit yang sama, ubat yang serupa tidak akan memberikan kesan yang sama kepada mereka. Selain itu, ubat-ubatan moden hanya merawat penyakit itu sahaja, sedangkan ubat-ubatan tradisional mampu mengesan dan merawat punca penyakit tersebut. Keadaan ini menyebabkan pesakit yang mengambil ubat-ubatan moden perlu bergantung pada ubat-ubatan tersebut sehingga akhir usia.

(Dipetik dan diubahsuai daripada ‘Herba Pelengkap
Kepada Perubatan Moden’, Berita Harian,
16 April 2006)


Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkai kata mengisi kekosongan. [ 2 markah ]
2. Apakah yang perlu dilakukan untuk memajukan perubatan tradisional? [ 4 markah ]
3. Pada pendapat anda, mengapakah semakin ramai rakyat negara kita menghidap penyakit kronik ? [ 4 markah ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan