CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Ahad, 13 Disember 2009

MODUL KOMSAS 2

MODUL 12 (PUISI TRADISIONAL)
(Soalan 36 hingga Soalan 40)

A. Baca pantun di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Pantun Nasib

Jemur padi di tengah padang,
Anak ayam disambar helang,
Apa malang nasibnya badan,
Burung di tangan disambar orang.

Seri Mesing lagu Melayu,
Mari dikarang zaman dahulu,
Duduk termenung menongkat dagu,
Mengenang nasib dagang piatu.

Pukul gendang kulit biawak,
Sedikit tidak berdentum lagi,
Di mana badan hendak dibawa,
Sedikit tidak beruntung lagi.

Dari Jawa ke Bangkahulu,
Membeli keris di Inderagiri,
Kawan ketawa ramai selalu,
Kawan menangis seorang diri.

Pantai Lukut luas terbentang,
Teluknya penuh batu karang,
Ibarat melukut di tepi gantang,
Masuk tak penuh keluar tak kurang.

(Dipetik daripada Antologi Anak Bumi Tercinta
Tingkatan 3, DBP)


36 Perkataan “burung” dalam rangkap pertama pantun di atas melambangkan.....
A saudara terdekat
B isteri ditinggalkan
C binatang peliharaan
D orang yang dikasihi

37 Mengapakah dikatakan seorang perantau selalu mengenangkan nasibnya ?
A tiada saudara mara
B tiada tempat mengadu
C tidak dihiraukan orang lain
D tidak mempunyai tempat tinggal



38 Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penulis dalam pantun di atas ?
A orang yang merantau sentiasa dipandang hina
B termenung dapat menenangkan perasaan seseorang
C lumrah manusia mengalami kegagalan dalam hidup
D nasib malang seseorang disebabkan perbuatannya sendiri.

39 Baris yang berikut merupakan unsur alam dalam puisi di atas, kecuali
A Seri Mersing lagu Melayu
B Anak ayam disambar helang
C Jemur padi di tengah padang
D Teluknya penuh berbatu karang

40 Yang manakah bukan nilai daripada pantun di atas ?
A Berhati-hati memilih rakan
B Hidup ini penuh cabaran
C Pandai membawa diri
D Membalas budi baik


SET 2

B. Soalan 36 hingga soalan 40
Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

SYAIR MENYAMBUT PELAJARAN

Anakku sayang salahmu nyata,
Dalam pelajaran bertutur kata,
Duduk menulis kalam di lata,
Kembali kepada sekalian pendeta.

Kerana pelajaran beratur pangkatnya,
Jangan dicampur yang bukan masanya,
Kerja demikian besar salahnya,
Faham tak lekat dalam keduanya.

Pendengaran pasti menjadi haru,
Yang ditulis pun tentu keliru,
Laksana menumbuk beralas nyiru,
Berasnya luluh antah menderu.

Ilmu lisan tatkala disyarahkan,
Sekalian anggota wajib satukan,
Ke hati semuanya kamu kumpulkan,
Barulah pendengaran dapat difahamkan.

Semasa mendengar orang berkata,
Tangan menulis pula serta,
Telinga diasingkan daripada mata,
Mustahillah faham terangnya nyata.

(Dipetik daripada Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa,


36. Rangkap kedua syair Menyambut Pelajaran bermaksud
A. pelajaran mempunyai pelbagai peringkat dan tidak boleh dicampuradukkan.
B. semasa belajar hendaklah duduk secara beratur supaya pengajaran guru mudah difahami.
C. seseorang yang mempunyai banyak ilmudan pelajaran sudah tentu akan mudah naik pangkat.
D. masa yang sesuai untuk belajar adalah semasa masih muda kerana mudah mengingat segala ilmu yang diajar oleh guru.



37. laksana menumbuk beralas nyiru


Frasa di atas merupakan gaya bahasa
A. simile
B. metafora
C. peribahasa
D. personifikasi

38. Pelajaran yang diberi oleh guru akan mudah difahami sekiranya perkara-perkara
yang berikut diikuti, kecuali
A. mencatat segala isi yang disampaikan
B. mendengar apa-apa yang diajar dengan teliti
C. tidak berbual-bual semasa guru sedang mengajar
D. berbincang dengan rakan semasa pelajaran disampaikan

39. Mesej yang terdapat dalam Syair Menyambut Pelajaran ialah
A. murid mesti tekun belajar
B. belajar pada saat-saat akhir
C. mengulang kaji pelajaran pada setiap masa
D. rajin belajar untuk menghadapi peperiksaan

40. Apakah tema Syair Menyambut Pelajaran?
A. Ilmu pedoman hidup
B. Adab menuntut ilmu
C. Adab menghormati guru
D. Tatacara lulus cemerlang



SET 3
C. Soalan 36 hingga soalan 40
Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Pantun budi

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali,
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Bunga cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang,
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas budi terbuang.

Anak beruk di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari,
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.

Antologi Anak Bumi Tercinta
DBP 2001




36. Bagaimanakah keadaan orang yang berbudi?
A. Hidupnya menjadi senang-lenang
B. Namanya akan menjadi sebutan
C. Hidupnya senantiasa dijunjung
D. Hidupnya penuh dengan kenangan

37. Mengapakah budi bahasa kian luntur pada zaman ini?
A. Kebanyakan masyarakat terlalu sibuk bekerja
B. sesetengah orang tidak pernah diajar hidup berbudi
C. masyarakat hanya mengikut peredaran zaman
D. masyarakat terlalu mementingkan kekayaan


38. Apakah maksud rangkap ketiga Pantun Budi

A. Manusia lebih menghargai orang berduit
B. Dunia memandang orang yang mempunyai emas
C. Emas boleh menyebabkan seseorang itu terbuang
D. Masyarakat memandang orang yang mempunyai emas

39. Yang berikut keterangan yang tepat mengenai bentuk pantun di atas kecuali
A. rima akhir ialah a-b-a-b
B. mengandungi empat rangkap
C. setiap baris boleh berdiri sendiri
D. setiap rangkap mengandungi empat baris

40. Berikut merupakan pengajaran yang diperoleh menerusi ”Pantun Budi” kecuali
A. biarlah hidup kita miskin, tetapi kita perlu berbudi
B. hidup kita perlu berbudi kerana amalan itu akan dipandang mulia
C. kita hendaklah membuat jasa kerana orang yang berjasa akan dikenang
D. kita perlu menerima orang yang mengutamakan wang ringgit berbanding budi.


SET 4

D. Soalan 36 hingga soalan 40
Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Pantun Peribahasa

Buat bangsal di Pulau Daik,
Menahan taut sambil mengilau,
Kalau asal benih yang baik,
Jatuh ke laut menjadi pulau.

Hendak layari perahu payar,
Angin berpuput di Laut India,
Takkan lari gunung dikejar,
Hilang kabut nampaklah ia.

Hendak belayar ke Teluk Betung,
Sambil mencuba jatuhkan pukat,
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.


Antologi Anak Bumi Tercinta
DBP 2001

36. Dalam rangkap kedua, penyair menyatakan
A. tidak akan mampu mengejar gunung
B. jika sudah menjadi hak, pasti akan dapat
C. sesuatu yang menjadi hak pasti sukar diperoleh
D. sesuatu yang dicari dengan tekun, pasti akan didapati

37. Baris ”Bulat manusia kerana muafakat ” ialah
A. manusia akan menjadi bulat jika bermuafakat
B. muafakat amat penting jika inginkan perpaduan
C. muafakat menjadikan masyarakat bersatu padu
D. perpaduan dalam masyarakat akan wujud jika ada kerjasama

38. Bagaimanakah sifat orang yang baik
A. baik tutur katanya apabila merantau di tempat orang
B. baik tingkah laku dan pekertinya walau di mana-mana sahaja berada
C. senantiasa membantu kawan-kawannya
D. melakukan kebaikan untuk memperoleh pujian


39. bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat

Perkataan kerana merupakan gaya bahasa
A. responsi
B. metafora
C. anafora
D. epifora

40. Nilai murni yang terdapat dalam rangkap kedua ialah
A. sabar
B. tekun
C. simpati
D. bertolak ansur


SET 5. Soalan 36 hingga soalan 40
Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.



SYAIR YATIM NESTAPA

Asmara Dewa lalu memandang
Dilihatnya seekor rupa binatang
Matanya seperti damar sebatang
Cahayanya tidak dapat ditentang.

Puteri pun takut tidak terhingga
“wahai adinda diamlah juga”
Kepada fikir kakanda menyangka
Inilah gerangan namanya naga

“marilah adinda kita ini lari
Kalau ditangkap kita ke marai
Takutnya kakanda tidak terperi
Memandang rupanya sangat ngeri

Asmara Dewa tersenyum lalu berkata
“sangatlah malu rasanya cita
Seteru sudah bertentang mata
memberi aib nama yang leta

“Jikalau sudah janji di situ
Matilah kita sudah tertentu
Kitapun anak yatim piatu
Biarlah dimakan naga itu

Puteri pun tidak berkata-kata
Sangatlah benar pada cita
Daripada hidup dengan bercinta
Baiklah mati serta merta

Dewa berjalan dihampirinya
Naga yang besar didekatinya
Setelah naga mencium baunya
Kepala diangkat ternganga mulutnya

Naga melihat budak berdua
Lalulah marah rupanya dia
Bernafaslah ia mengeluarkan hawa
Serta membesarkan matanya kedua

Bertempik ia seperti guruh
Suaranya besar amatlah gemuruh
Air laut menjadi keruh
Daun kayu sampaikan luruh

Ia memandang sambil menentang
Katanya “Hai budak dari mana datang?
Berani sungguh engkau ini datang
Sekali kutelan kedua pun hilang

Antologi Anak Bumi Tercinta
DBP 2001

36. Apakah perasaan Puteri apabila berhadapan dengan naga
A. berasa takut
B. berasa kagum
C. berasa bimbang
D. berasa gembira

37. daripada hidup dengan bercinta
Baiklah mati serta merta

Berikan maksud rangkai kata di atas
A. mati dengan serta merta akibat kecewa
B. lebih baik bercinta daripada mati cepat
C. lebih baik mati daripada hidup dalam penderitaan
D. mati serta merta setelah kehilangan orang yang dicintai

38. Pernyataan berikut ada kaitan dengan kisah yang terdapat dalam ”Syair Yatim Nestapa” kecuali
A. Asmara Dewa mengajak adiknya lari sebelum ditangkap naga
B. Naga berjaya membunuh adik Asmara Dewa dengan hembusan api
C. Naga marah apabila melihat Asmara Dewa lalu menghembuskan api
D. Asmara Dewa memujuk adiknya yang ketakutan apabila melihat naga

39. Nyatakan perwatakan kakanda Asmara Dewa berdasarkan rangkap ketiga
A. Berani
B. Pemalu
C. Pengecut
D. Sangat sensitif

40.Nyatakan tema syair
A. Kasih sayang dua beradik
B. Suka duka hidup anak yatim piatu
C. Pertarungan antara manusia dengan naga
D. Keberanian dua beradik menempuh cabaran hidup



SET 6

G. Soalan 36 hingga soalan 40
Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.


Syair Cintai Alam Sekitar

Aduhai adikku kakak berpesan,
Kelak dirimu jadikan panduan,
Cintailah keindahan jaga kebersihan,
Persekitaran indah tiada pencemaran

Kempen kebersihan bersama dihayati,
Udara nyaman pasti dinikmati,
Sihat badan wajah berseri
Negara aman hidup harmoni

Jadilah warga bertimbang rasa,
Kepada alam membuat jasa,
Tanah dan tumbuhan dipelihara,
Kerosakan tiada bumi sejahtera,

Air sungai mengalir damai,
Ombak berlagu memukul pantai,
Unggas bernyanyi suasana permai,
Di hari minggu kita bersantai,

Jerebu berleluasa melanda negara,
Kebakaran dan kilang punca angkara,
Lapisan ozon semakin derita,
Tanamkan kesedaran atasi segera,

Amalan meludah membuang sampah,
Mengotorkan sekitar mesti ditegah,
Menghisap rokok menagih dadah,
Perbuatan yang buruk perlu dicegah,

Balak ditebang sesuka hati,
Tanah runtuh disana sini,
Rancang pembangunan dengan teliti,
Wujudkan keseragaman pentingkan kualiti,

Pelbagai bungaan menghias taman,
Dapat dilihat sepanjang jalan,
Indah pemandangan destinasi pelancongan,
Majukan negara tingkatkan pendapatan,

Wahai adikku dengarlah tuan,
Bumi ini amanah tuhan,
Jangan suka membuat kerosakan,
Nyawa terancam mengganggu kesihatan,

Bumi ini amanah tuhan,
Dijaga rapi ke akhir zaman,
Usah dicari kemurkaan tuhan,
Kelak nanti ditimpa seksaan,


Tanah, udara dan lautan,
Allah kurnia pelbagai kegunaan,
Mesti dihayati penuh kesyukuran,
Pasti dilimpahi pelbagai kurniaan,

Sampai hati membuat kerosakan,
Menangis bumi banyak pencemaran,
Tanah, sungai, parit, lautan,
Kotor ditaburi sisa buangan,

Sematkan di jiwa semangat iltizam,
Janganlah suka berbuat kejam,
Flora dan fauna tidak terancam,
Kehidupan di dunia aman tenteram,
Gunakan minda dan kreativiti,
Mencanai lukisan ukiran seni,
Hiasan artifak menambah seri ,
Sekitar indah hidup harmoni
,

Rafeah Abdul Rahman
Antologi Anak Bumi Tercinta
DBP 2001

36. Apakah pesanan penyair kepada adiknya dalam rangkap pertama
A. Supaya menikmati keindahan alam sekitar yang belum tercemar
B. Supaya memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar
C. Supaya sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan
D. Supaya mengadakan kempen kebersihan

37. Jelaskan punca utama yang menyebabkan berlakunya masalah jerebu
A. kebakaran kilang
B. sikap masyarakat yang pengotor
C. kempen kebersihan yang tidak berkesan
D. pembangunan tanpa perancangan yang teliti

38. Yang berikut persoalan ”Syair Cintai Alam Sekitar” kecuali
A. hidup memerlukan udara yang bersih
B. pencemaran hendaklah dicegah daripada berlaku
C. pembangunan mempercepat keharmonian hidup
D. alam sekitar yang bersih mewujudkan kehidupan yang harmoni

39. Frasa ombak berlagu memukul pantai yang terdapat dalam rangkap keempat dalam ”Syair Cintai Alam Sekitar” merupakan contoh gaya bahasa
A. personafikasi
B. peribahasa
C. metafora
D. simile

40. Berikut merupakan pengajaran daripada ”Syair Cintai Alam Sekitar” kecuali
A. kita hendaklah menjaga kesihatan diri
B. kita perlu menjauhi perbuatan menagih dadah
C. kita hendaklah bersama-sama menjaga alam sekitar
D. kita mestilah bersama-sama mencegah kebersihan alam sekitar


SET 7

G. Soalan 36 hingga soalan 40
Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Syair Pesanan Ibu


Dengarlah anak ibu berpesan,
Lengkapkan diri dengan pelajaran
Hanyalah itu jadi bekalan
Untuk hidup di masa hadapan

Ilmu itu pelindung diri
Seperti kebun berpagar berduri
Seperti sinar intan baiduri
Itulah tanda orang jauhari

Hidupmu kini di masa remaja
Bagaikan permata amat berharga
Jangan jatuh ke lembah hina
Nanti menyesal tidak berguna

Kalau hidup terasa susah
Sering berhadapan denan masalah
Hadapi dengan hati tabah
Jangan cepat rasa gelisah

Syaitan menggoda bertambah gundah
Jangan mengambil jalan yang mudah
Jangan sekali mencuba dadah
Kalau terjerat sesal tak sudah

Jika masa sudah terbuang
Perginya tidak akan berulang
Di hari tua sesal mendatang
Mengingatkan waktu yang telah hilang

Dunia bagai lautan dalam
Gelombang besar karangnya tajam
Di situ banyak kapal tenggelam
Ramai insan yang telah karam

Ingatlah wahai anakku sayang
Tanah indah pusaka moyang
Jangan terlepas ke tangan orang
Sedangkan kita miskin terbuang


Zurinah Hassan
(Dipetik daripada antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa,
Tingkatan 2,DBP)



36. Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh penyair dalam rangkap terakhir syair
di atas?
A. Orang tua yang rasa menyesal
B. Teringat sewaktu masih muda
C. Jangan mensia-siakan waktu
D. Masa akan meninggalkan kita

37. Apakah tema syair ini?
A. Kepentingan harta pusaka dalam kehidupan
B. Perkara-perkara yang perlu dijauhi oleh anak-anak
C. Nasihat seorang ibu kepada anak untuk dijadikan pedoman
D. Kepentingan ilmu dalam kehidupan


38. Frasa dunia bagai lautan dalam yang terdapat dalam pertama rangkap ketujuh puisi ini ialah gaya
A. Metafora
B. Simile
C. Personafikasi
D. Inversi

39. Rima akhir dalam setiap rangkap Syair Pesanan Ibu ialah

A. aaaa
B. abab
C. abba
D. abcd

40. Yang berikut merupakan antara pengajaran syair di atas kecuali
A. kita mestilah menghargai masa
B. jauhilah perkara yang membinasakan hidup kita
C. patuhilah nasihat ibu demi kebaikan
D. apabila dalam kesusahan serahkan harta kepada orang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan