CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 1 Jun 2010

karangan - frasa menarik II

Contoh 1: Isu sosial

Apalah ertinya jika negara maju membangun, sedangkan kualitinya hidup bermasyarakat menyongsong arus pembangunan. Apalah maknanya pemodenan, sekiranya nilai-nilai murni sebagai peradaban bangsa tidak diletakkan seiring dengan agenda negara. Atas dasar itu, langkah Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Malaysia melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni pada 11 Januari 2005 yang lalu, amat bertepatan dengan masanya dan bersesuaian dengan tuntutan era globalisasi yang mewarnai dunia kini.


Contoh 2: Isu budaya

Justeru, rakyat Malaysia seharusnya menyahut dan mendukung kempen kerajaan ini demi melahirkan masyarakat yang berilmu dan berperibadi unggul. Dengan kembali memupuk serta menghidupkan. Budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat, secara tidak langsung kita telah dapat memenuhi prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu “kesopanan dan kesusilaan”.


Contoh 3: Isu sosioekonomi

Pada masa yang sama juga, orang Melayu harus berani melakukan perubahan sikap dan minda agar lebih terbuka, berdaya saing, dan tidak mudah selesa dengan keadaan yang telah sedia dinikmati. Bangsa Melayu perlu melakukan anjakan paradigma supaya segala dasar dan bantuan kerajaan untuk membantu orang Melayu lebih bermakna.


Contoh 4: Isu kekeluargaan

Dalam meniti usia emas, warga tua sepatutnya boleh menyandarkan harapan kepada anak-anak. Pertalian yang sekian lama terjalin wajarlah ada tautan hingga ke penghujung zaman. Ini untuk mengelakkan warga emas merasa rendah diri, tersisih dan hidup dalam cucur menitis airnya mata.


Contoh 5: Isu remaja

Dalam meniti era globalisasi, remaja harus mengentalkan perasaan menguasai dan mengawal minda masing-masing. Di samping itu remaja harus mengenal identiti diri untuk mengelakkan semangat daripada luruh bertepatan dengan hasrat negara “generasi muda pelapis dan peneraju wawasan”


Contoh 6: Isu pendidikan

Mahasiswa perlu disuntik dengan nilai pengetahuan yang tinggi supaya mereka lebih cekap, inovatif, kreatif dan dinamik untuk bersaing di peringkat global bagi memastikan negara ini berupaya dan berdaya saing dalam era ekonomi dunia yang semakin mencabar kerana tidak ada kejayaan yang datang bergolek.


Contoh 7: Isu pendidikan

Keadaan ini akan memecahkan kebekuan ilmu dan minda yang wujud dalam kalangan sesetengah pelajar supaya mereka dapat berfikir dan bertindak dalam bidang ilmu yang lebih luas dan mencabar sesuai dengan kehidupan dunia hari ini untuk mengharungi cabaran dan halangan yang terhampar.



Contoh 8: Isu dadah

Cogan kata Dadah Musuh Negara wajar disimpulkan dalam minda setiap individu. Masyarakat khususnya remaja perlu lebih berhati-hati dan berwaspada supaya terhindar daripada penularan najis dadah yang kian parah. Remaja harus cuba lari daripada sesawang negatif yang membelenggu masa depan mereka kelak.


Contoh 9: Isu pendidikan

Ruang waktu yang ada di IPTA untuk melatih kemahiran berbahasa, apatah lagi bahasa Inggeris dan bahasa asing lainnya, sangat terbatas. IPTA seharusnya berperanan berbahasa dan bukannya memberikan latihan asas dalam bahasa Inggeris. Namun inilah yang biasanya terpaksa dilakukan oleh pihak IPTA apabila menerima mahasiswa yang sebahagian besarnya tidak menguasai langsung atau terlalu lemah keupayaan bahasa Inggeris. Kepincangan dalam sistem pengajaran dalam bahasa Inggeris terpaksa dipikul oleh pihak IPTA yang menjadi perhentian terakhir sebelum graduan memasuki pasaran kerja.


Contoh 10: Isu remaja

Sememangnya naluri remaja tidak suka berseorangan. Remaja mahukan perhatian dan rakan untuk berbual, menyatakan perasaan diri untuk didengar oleh seseorang, membisikkan isi hati agar orang lain tahu, malah mengadu hal tentang masalah peribadi untuk mencari jalan penyelesaian. Bersama rakan yang mengerti dan memahami, remaja dapat melontarkan idea dan meluahkan perasaan yang membelenggu di jiwa nurani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan