CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 13 Januari 2017

BM SPM RUMUSAN 5

Latihan Rumusan 5 (Negeri Sabah)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor jenayah pemerdagangan orang dan implikasinya kepada negara. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Pemerdagangan manusia ialah masalah global yang kian meningkat jumlah kesnya sejak seabad yang lepas. Jenayah ini membabitkan perbuatan eksploitasi pada skala yang besar terhadap wanita, lelaki dewasa dan kanak-kanak dalam bentuk perhambaan moden. Mengikut laporan Amnesty International, pada tahun 2004 dianggarkan 700, 000 orang diperdagangkan pada setiap tahun. Amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktiviti mereka. Usaha kerajaan memerangi aktiviti pemerdagangan manusia berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana isu ini merupakan jenayah rentas sempadan. Jenayah ini sukar dikesan kerana melibatkan banyak negara contohnya negara-negara yang berjiran dari segi kedudukan geografinya, orang yang diperdagangkan direkrut oleh agensi-agensi pekerjaan secara sukarela mahupun secara paksa. Pada mulanya, mereka diperdagangkan kerana telah dijanjikan pekerjaan yang baik di negara yang menjadi destinasi. Mereka juga diyakinkan bahawa aktiviti ini tidak menyalahi peraturan.


Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia berhijrah ke negara kita. Kebanyakan mereka yang datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam telah menjadi mangsa selepas dijanjikan pekerjaan dengan bayaran lumayan sedangkan semuanya palsu. Keadaan ini merancakkan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Pada masa yang sama kewujudan pusat hiburan yang beroperasi secara haram menyebabkan permintaan yang tinggi kepada aktiviti ini. Hal ini ditambah oleh kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean yang menjadikan antara lokasi strategik untuk aktiviti pemerdagangan manusia. Menyedari masalah itu, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan tetapi akta ini masih belum cukup kuat untuk menghalang jenayah ini. Selain itu, modulus operandi sindiket yang membawa masuk mangsa sukar dikesan oleh pihak berkuasa disebabkan mereka memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelajar. Bukan hanya wanita, malahan lelaki dewasa turut diperdagangkan terutama untuk tujuan pengeksploitasian buruh. Kanak-kanak dan bayi juga mendapat permintaan yang tinggi bagi aktiviti meminta sedekah.


Selain itu juga, kesedaran dan kefahaman masyarakat Malaysia yang masih rendah tentang isu ini turut menjadi penyebab kepada permasalahan ini. Keuntungan lumayan yang diperoleh oleh sindiket dengan jumlah yang besar hasil daripada aktiviti pemerdagangan manusia juga menyebabkan kegiatan ini terus berleluasa. Kanak-kanak dan bayi diperdagangkan untuk dijadikan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat sendiri. Kemiskinan di negara asal membuatkan mangsa hilang pertimbangan kerana percaya akan janji-janji manis pihak sindiket. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah seperti hukuman yang ringan turut menyebabkan kegiatan yang tidak bermoral ini terus berlaku. 

Kesimpulannya, sindiket pemerdagangan manusia dilihat semakin meruncing dari hari ke hari dan menggugat hak asasi manusia. Kerjasama masyarakat dunia diharap merupakan jalan terbaik bagi membendung jenayah ini daripada terus menjadi barah kepada masyarakat.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana
Globalisasi dan Fenomena Pemerdagangan Manusia
Informasiglobalisasi.blogspot.com, 22 Jun, 2015) 



Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata semakin meruncing.

[ 2 markah]
(ii) Apakah faktor-faktor yang mendorong lelaki dang kanak-kanak diperdagangkan?

[3 markah

iii. Pada pendapat anda , bagaimanakah pelajar boleh didedahkan dengan isu di atas ?.


1 ulasan: