CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 13 Januari 2017

BM SPM RUMUSAN 4

Latihan Rumusan 4 (Negeri Johor)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha mengekalkan keharmonian antara kaum dan cabaran memperkukuh perpaduan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Sejak negara mencapai kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia telah menerima Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kumpulan etnik dan Rukun Negara sebagai panduan dalam pembinaan negara. Keharmonian masyarakat dan kestabilan negara menjadi idaman negara lain, termasuklah negara yang maju.


Pembinaan negara-bangsa bukanlah suatu proses yang mudah. Pelbagai cabaran yang berliku perlu ditempuhi. Persefahaman, toleransi dan yang paling utama, komitmen serta pengorbanan yang tinggi amatlah penting. Jika kita telusuri sejarah negara sejak beberapa dekad ini, tidak dinafikan kita telah mencapai kejayaan dari segi pembangunan ekonomi, pemodenan dan teknologi maklumat. Oleh sebab itu, janganlah menghancurkan apa-apa yang telah kita capai selama ini melalui semangat muhibah dan persefahaman antara kaum di negara berbilang bangsa ini. Janganlah kita membiarkan fahaman ekstremis memecahbelahkan negara yang kita cintai ini kerana inilah tanah tempat kita dilahirkan, tempat membina kehidupan dan tempat kita mencari rezeki.


Rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik perlu membantu menjalin dan memperkukuh keharmonian hidup di Malaysia. Hanya keharmonian dan persefahaman antara kaum yang mampu menggalakkan kepercayaan dan perpaduan antara rakyat. Rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau agama, seharusnya lebih peka terhadap peranan dan sumbangan mereka kepada perpaduan negara. Pembangunan ekonomi tidak akan bermakna tanpa persefahaman, keharmonian dan kepercayaan antara rakyat. Rakyat Malaysia harus sedar dan perlu mengelakkan diri daripada mengejar agenda yang bersifat perkauman. Hal ini demikian kerana benih-benih perbalahan yang wujud akan memudaratkan keharmonian dan perpaduan yang sudah sekian lama terjalin.


Di samping itu, semangat patriotisme mestilah sentiasa disemai dan dibajai dalam usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan sosial. Penyelesaian kepada kemelut yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum sewajarnya menggunakan pendekatan kesederhanaan. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata yang bersifat provokasi yang dapat menjejaskan keharmonian kaum dan perpaduan hendaklah dielakkan.


Kesimpulannya, keharmonian hidup masyarakat antara kaum hendaklah dikekalkan. Setiap masalah perlu ditangani secara penuh berhemah dan teliti ibarat menarik benang di dalam tepung agar tidak menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak yang lain.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana
Jangan Langgar Sempadan Perpaduan
Utusan Malaysia, 1 Januari, 2012) 



Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata benih-benih perbalahan.

[ 2 markah]
(ii) Mengapakah penulis menganggap pembinaan negara bangsa sebagai suatu proses yang sukar?

[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, wajarkah jika kita katakan bahawa negara kita telah berjaya menjadi sebuah negara yang disegani kerana wujudnya perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum? Kemukakan alasan anda.

[4 markah 

4 ulasan:

  1. Berapa patah perkataan ni

    BalasPadam
  2. Balasan
    1. https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=https://lamanbahasa.files.wordpress.com/2010/01/skema-bm2-jdt.pdf&ved=2ahUKEwj16O6K1aziAhVu6XMBHR7DAvsQFjAAegQIAhAB&usg=AOvVaw35VKriELq-sNLZBFG45Lcj

      Padam
    2. ya rumusan nya sama tapi soalan nye tidak sama

      Padam