CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 13 Januari 2017

BM SPM RUMUSAN 2

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan makanan kesihatan tambahan dikatakan berbahaya dan peranan persatuan pengguna dalam menangani isu tersebut. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Pada hari ini, kebanyakan pengguna disogokkan dengan pelbagai promosi makanan kesihatan yang dimomokkan dengan kebolehan luar biasa untuk tujuan merawat pelbagai penyakit, mengurangkan berat badan dan 1001 khasiat yang menakjubkan. Lambakan makanan kesihatan tambahan di Malaysia ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Terdapat pelbagai isu yang membimbangkan pengguna berhubung dengan makanan kesihatan tambahan apabila label tidak mempunyai arahan penggunaan yang lengkap dan didapati mengandungi bahan yang belum dinilai atau diuji bagi menyediakan jaminan yang munasabah. Fenomena ini lazim berlaku di seluruh dunia, tetapi lebih kerap berlaku di negara Asia, terutamanya di India dan di China yang merupakan pengeluar dan pengguna herba terbesar. Pencemaran bahan logam berat seperti pestisid, mikroorganisma dan mikotoksin banyak didapati dalam herba.

Seterusnya, pencemaran berlaku secara tidak sengaja melalui proses pembuatan yang menggunakan mesin logam yang tidak berkualiti, dan penambahan secara sengaja seperti merkuri sulfida, arsenik sulfida dan arsenik trioksida yang diamalkan dalam perubatan ayurveda dan perubatan dari China. Namun begitu, isu ini tidak akan berlaku sekiranya pihak pengeluar menggunakan mesin logam yang disahkan selamat dan mereka tidak menambah bahan-bahan kimia tertentu dalam produk perubatan yang dihasilkan.

Walau bagaimanapun, terdapat bukti saintifik yang mengaitkan penggunaan arsenik sulfida berkesan untuk merawat penyakit leukemia. Hal ini bermakna sesetengah bahan yang digunakan dalam makanan kesihatan tambahan berkesan untuk merawat penyakit tertentu namun ada pengguna yang mengambilnya tanpa mendapatkan khidmat nasihat dan pengawasan daripada doktor yang bertauliah. Pencemaran daripada mikroorganisma dapat berlaku pada peringkat penghasilan dan pemasaran. Keadaan pemprosesan dan penyimpanan yang sesuai bagi bahan mentah dan produk siap sangat penting untuk menentukan kualiti produk yang bebas daripada mikroorganisma.

Suhu dan kelembapan yang tinggi di kawasan tropika dan subtropika menyumbang kepada pertumbuhan kulat dan penghasilan mikotoksin kepada produk herba. Selain itu, pemalsuan produk makanan bagi tujuan meraih keuntungan juga sengaja dilakukan oleh pengusaha. Terdapat juga kes melibatkan produk langsing yang dikesan mempunyai komponen kimia yang tidak dilabel, iaitu sibutramine dan sildenafil. Sibutramine diharamkan penggunaannya di Kanada kerana sering dikaitkan dengan strok dan serangan jantung.

Jelaslah di sini bahawa setiap produk dalam pasaran menjanjikan kehebatan yang tersendiri. Oleh itu, pengguna harus berfikir dan membuat keputusan secara bijak terhadap sebarang produk yang digunakan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Makanan Kesihatan Tambahan, Madu atau Racun
Oleh Radhiah Shukri
Dewan Masyarakat, Disember, 2015)


Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata khasiat yang menakjubkan.

[ 2 markah]
(ii) Dalam petikan terdapat beberapa tindakan untuk memastikan produk makanan tambahan dihasilkan dalam keadaan selamat.

Apakah tindakan-tindakan tersebut?
[3 markah]
(iii) Masyarakat kita mudah percaya akan keberkesanan promosi makanan tambahan.

Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?

[4 markah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan