CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 13 Januari 2017

BM SPM RUMUSAN 1

SPM 2016

BAHASA MELAYU KERTAS 2 RUMUSAN


 Latihan Rumusan 1 (Negeri Perlis)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menghadapi tekanan ketika peperiksaan dan peranan ibu bapa untuk mengurangkan tekanan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Proses penilaian melalui peperiksaan awam yang penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara masih relevan. Melalui penilaian inilah pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan disokong dengan kecemerlangan dalam bidang koakademik atau kokurikulum mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pengajian di universiti awam.


Namun begitu, isu yang paling menarik untuk diperkatakan bukanlah tentang puluhan ribu pelajar yang dapat melanjutkan pelajaran di universiti awam tetapi situasi yang dihadapi oleh pelajar sebelum menjelangnya kedua-dua peperiksaan penting itu.


Pelbagai ragam pelajar sama ada yang positif atau negatif sebelum menjelangnya peperiksaan awam termasuklah tekanan perasaan atau stres yang rata-ratanya dihadapi oleh pelajar. Tekanan ialah perkara yang berkaitan dengan ketegangan yang dialami oleh mental atau emosi seseorang disebabkan oleh pelbagai faktor. Pelajar atau remaja perlu mempunyai kemahiran untuk mengatasi masalah tekanan perasaan supaya fokus mereka untuk menghadapi peperiksaan tidak terjejas. Pelajar biasanya mendapat tekanan daripada ibu bapa,

guru atau rakan untuk meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dalam konteks ini, pelajar seharusnya berasa tenang dan sentiasa fokus tentang peperiksaan yang akan dihadapi. Ketenangan yang diperlukan tidak akan datang dengan tiba-tiba atau secara terpaksa tetapi akan terzahir apabila pelajar bersedia dengan sebaik-baiknya. Lantaran itu, pelajar perlu melaksanakan perancangan yang sesuai berdasarkan kemampuan dan komitmen mengikut keupayaan sebagai persiapan menjelang peperiksaan. Malahan mereka sepatutnya mengadakan jadual pembelajaran yang sistematik dan boleh diikuti agar tidak menggelabah atau mengalami kerisauan yang kronik sebelum peperiksaan.

Tekanan perasaan perlu ditangani dengan segera untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku terutamanya bagi para pelajar. Pelajar perlu memahami Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Oleh itu, mereka seharusnya belajar dalam persekitaran yang menyeronokkan agar emosi mereka berkembang secara natural dan memenuhi keperluan mereka sebagai remaja. Pelajar juga perlu menjauhkan diri daripada perkara yang merosakkan emosi dan ketenangan. Seelok-eloknya pelajar harus mempunyai hala tuju yang konsisten tentang masa depan mereka. Perkara sampingan yang mampu menjejaskan kestabilan emosi seperti hubungan peribadi dengan rakan-rakan, masalah keluarga, masalah dengan guru dan masalah kewangan perlu ditangani dengan bijaksana kerana dikhuatiri mampu menjejaskan tumpuan mereka terhadap peperiksaan.

Sekiranya pelajar menghadapi masalah kritikal yang mampu menjejaskan ketenangan, mereka perlu segera berjumpa dengan guru yang rapat atau kaunselor di sekolah. Guru atau kaunselor pasti mempunyai kaedah bagi mengatasi masalah ini. Di samping itu, pelajar perlu menjaga kesihatan diri kerana tanpa kesihatan yang baik sukar bagi pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dan melakukan latihan intensif dengan baik. Pelajar sepatutnya membanyakkan amalan kerohanian yang dapat memberikan ketenangan kepada jiwa sebagai persiapan penting untuk menghadapi peperiksaan. Kesimpulannya, tugasan atau bebanan yang keterlaluan kepada pelajar semata-mata mahu menjadikan mereka cemerlang dalam bidang akademik perlu dielakkan demi melahirkan insan yang cemerlang dari segi ilmu dan akhlaknya.


( Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Tekanan Perasaan Menggugat Peperiksaan” oleh Nizar Parman

Dewan Siswa, September, 2015) 

Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata kerisauan yang kronik.

[ 2 markah]
(ii) Dalam petikan terdapat beberapa perkara sampingan yang mampu menjejaskan kestabilan emosi pelajar.

Apakah perkara-perkara sampingan tersebut?
[3 markah]
(iii) Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan pelajar mengalami tekanan yang kronik.

Huraikan pendapat anda tentang tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membendung masalah ini.
[4 markah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan