CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 24 Julai 2015

PENDEKATAN PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME



PENDEKATAN PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME

Pengenalan
                Pengajaran dan pembelajaran matematik melibatkan kemahiran mengira  yang melibatkan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi. Pembelajaran matematik  memerlukan kefahaman sesuatu konsep dengan mantap dan menyeluruh. Perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran matematik perlu mengambil kira keperluan dan tahap pencapaian para murid.
                Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mempunyai matlamat memperkembangkan fungsi  murid secara  menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani.emosi dan jasmani supaya mereka dapat menjalani kehidupan  dengan berkesan dan bertanggungjawab. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlu memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan bijaksana supaya kaedah yang dipilih itu sesuai dengan murid-murid yang pelbagai kebolehan dan minat. Salah satu trend matematik yang perlu diamalkan ialah melalui pendekatan Pembelajaran Konstruktivisme.

Pengertian Konstruktivisme

Pendekatan konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda pelajar. Pengetahuan dikembangkan secara aktif oleh pelajar itu sendiri dan tidak diterima secara pasif dari persekitarannya. Ini bermakna pembelajaran merupakan hasil daripada usaha pelajar itu sendiri dan bukan dipindahkan daripada guru kepada pelajar. Iaitu tidak lagi berpegang pada konsep pengajaran dan pembalajaran yang  lama , di mana guru hanya “menuang ilmu “ kepada murid tanpa murid itu sendiri berusaha dan menggunakan pengalaman atau pengetahuan sedia ada mereka .
                Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru perlu mengambil kira  struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah bentuk baru tentang sesuatu ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan Konstruktivisme.Beberapa ahli konstruktivisme berpendapat bahawa pembelajaran bermakna bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid.
                Rutherford dan Algren berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara sama ada betul atau salah.Jika kefahaman
dan pandangan diabaikan dan tidak diatasi, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan , mereka memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh guru.
                John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme dengan mengatakan bahawa pendidik cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun  atau membina pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.


Ciri-ciri Utama Pendekatan Konstruktivisme

                Mengikut pandangan ahli konstruktivisme, setiap orang murid mempunyai  peranan dalam menentukan apa yang dipelajari. Ini bermakna kepala pelajar bukanlah kosong. Penekanan diberi kepada murid supaya berpeluang untuk membentuk kemahiran dan pengetahuan  iaitu dengan mengaitkan pengalaman lampau dengan kegunaan masa depan. Murid bukan sahaja diberi fakta sahaja tetapi penekanan diberi kepada proses berfikir dan kemahiran berkomunikasi.

Peranan Guru Dalam Kelas Konstruktivisme
 Melalui pendekatan konstruktivisme, guru perlu mengubah peranannya dalam bilik darjah.. Guru akan berperanan sebagai penyelidik . Dengan cara ini, guru lebih memahami bagaimana murid membina konsep atau pengetahuan. 
                Ahli konstruktivisme menganggap peranan guru di dalam kelas adalah sebagai pengurus atau fasilitator untuk menangani masalah disiplin dengan sempurna. Murid diterima sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza dan perlu diberi perhatian. Mereka diberi peluang untuk membina keputusan sendiri.tentang perkara yang mereka pelajari. Melalui proses ini mereka lebih bertanggungjawab dan melibatkan diri dalam aktiviti  pembelajaran. Sebaliknya mengikut ahli objektivisme berpendapat bahawa guru harus berperanan sebagai pengawal kelas. Murid tidak ada pilihan kecuali menurut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Sekiranya ingkar mereka akan diberikan hukuman atau didenda oleh guru tersebut.
               

Prinsip-prinsip Pendekatan Konstruktivisme

Dalam pembelajaran secara konstruktivisme pengetahuan tidak diterima secara pasif tetapi dibina secara aktif oleh pelajar. Manakala fungsi pembelajaran adalah bersifat penyesuaian dan bertanggungjawab untuk mengorganisasi dunia pengalaman dan bukan untuk menemui dunia realiti.

Model Pengajaran Konstruktivisme
1.    Model Pengajaran Interaktif (Biddulph & Osborne)
v     Guru lebih sensitif kepada idea dan persoalan pelajar.
v     Guru menyediakan pengalaman penerokaan yang membolehkan pelajar menimbul persoalan dan mencadangkan penerangan yang munasabah.
v     Guru menyediakan aktiviti yang memfokuskan kepada idea dan persoalan oleh pelajar.
v     Guru menyediakan aktiviti yang menggalakkan pelajar membuat penyiasatan.
v     Guru berinteraksi dengan pelajar untuk mencabar dan melanjutkan idea mereka.

2.    Pengajaran Model Berpusatkan Masalah (Wheatley)
v     Guru memilih tugasan yang  berkemungkinan menjadi masalah besar kepada pelajar.
v     Pelajar membuat tugasan dalam kelompok kecil.
v     Kelas akan berkumpul semula untuk membentangkan kepada kelas dan guru. Guru hanya berperanan sebagai fasilitator.

Cara-cara Pelajar Membina Konsep Matematik
v     Pelajar membuat penyelesaian matematik dengan manipulatif.
v     Pelajar berbincang keputusan penyiasatan mereka.
v     Pelajar menulis hasil pengalaman mereka.
v     Pelajar belajar cara penemuan mereka.
v     Pelajar berfikir secara mencapah.
v     Pelajar menyelesaikan masalah yang terbuka.
Keberkesanan Strategi Pengajaran Matematik Melalui Pendekatan
Kontruktivisme
v     Pelajar berpeluang mengemukakan pandangan mereka terhadap sesuatu konsep.
v     Pelajar dapat berkongsi persepsi /pandangan / idea antara satu sama lain.
v     Pelajar dapat menerima serta menghormati semua pandangan daripada rakan-rakan mereka.
v     Semua pandangan diterima dan tidak dipandang rendah.
v     Pelajar dapat mengaplikasi idea baru dalam konteks yang berbeza untuk mengukuhkan kefahaman tersebut.
v     Pelajar dapat merenung atau mengimbas kembali proses pembelajaran yang telah dilalui.
v     Pelajar dapat menghubungkaitkan idea yang asal dengan idea yang baru dibinanya.
v     Pelajar dapat mengemukakan hipotesis daripada aktiviti yang dilaluinya tetapi bukan guru yang menerangkan teori.
v     Pelajar dapat berinteraksi dengan pelajar lain dan guru.
v     Memupuk semangat kerjasama antara individu dan kumpulan melalui aktiviti koperatif.
v     Pengajaran berpusatkan kepada pelajar.
v     Guru akan dapat meningkatkan kemahiran berfikir di kalangan pelajarnya.
v     Guru menjadi lebih prihatin terhadap keperluan , kebolehan serta minat pelajar.
v     Guru hanya mengemukakan soalan yang boleh merangsangkan pelajar mencari jawapan.

Kesimpulan

                Kesimpulannya pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme akan memberi peluang kepada guru untuk memilih kaedah pengajaran  dan pembelajaran  yang sesuai dan murid dapat menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau pengetahuan. Di samping itu, guru dapat membuat penilaian kendiri  dan menilai kefahamannya tentang sesuatu bidang pengetahuan dapat ditingkatkan lagi. Selain itu, beban guru sebagi pengajar akan berkurangan di mana guru lebih bertindak sebagai pemudahcara atau fasilitator.

Konstruktivisme



Sumber

Konstruktivisme

merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda pelajar.A.N. Whitehead  (1929)  mengingatkan  kita  supaya  tidak membebankan  kanak-kanak  dengan pengetahuan yang tidak berkembang (" dead knowledge").Apa  yang  diketengahkan  oleh  Whitehead  ialah  amalan mengajar di sekolah perlulah menjurus  kepada  usaha  membolehkan kanak-kanak  atau murid berfikir  dalam persekitaran kehidupan dan mengelakkan daripada hanya memberi pengetahuan yang bersifat kaku ( inert ideas ) yang tidak mampu digunakan bagi menyelesaikan masalah harian. 

Barnes (1976) dan Bransford (1986) mengkaji tentang'inert ideas' mendapati kebanyakan pengetahuan yang diajar di sekolah adalah terasing daripada cara kanak-kanak berfikir.Menurut Bransford ramai yang berpandangan bahawa pengetahuan yang didapati di sekolah hanya merupakan pengetahuan yang dipindahkan dari seseorang kepada seseorang yang lain. Pengetahuan tersebut hanya cukup untuk menjawab soalan daripada guru ataupun untuk menjawap soalan-soalan peperiksaan sahaja tetapi ianya tidak menunjukkan  pengetahuan individu secara keseluruhan.

Pengajaran yang lazim diamalkan oleh kebanyakan guru masa kini masih lagi berasaskan kepada amalan yang sama iaitu menyuap murid-muriddenganpengetahuan  bagi membolehkan pelajar  menjawab dengan betul dalam peperiksaan tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah yang melibatkan pengaplikasian pengetahuan tersebut.
 
KONSTRUKTIVISME - KAJIAN AWAL

    Pembelajaran bermakna (meaningful learning) mengikut John Dewey (1966) merangkumi 'learning by doing' yang seterusnya dapat membantu murid berfikir dan membentuk kefahaman tentang masalah. DiAmerika Syarikat , program pengajarandan buku teks telah diolah agar lebih menjurus kepada penggalakan proses berfikir di kalangan murid-murid , menyelesaikan masalah dan membina keupayaan untuk belajar.
Jean Piaget seorang yang terkenal dengan teori perkembangan kognitifj uga merupakan orang yang memberi sumbangan penting dalam konstruktivisme dengan mengutarakan 4 fasa dalam perkembangan pemikiran kanak-kanak yang menjadi asas kepada kefahaman konstruktivisme.

i.Fasa Pertama       :
Menjelaskan tentangasas yang membolehkan kanak-kanak   membuat penaakulan yang           tidakbercirikan   struktur yang  logik.

ii.Fasa Kedua       :Menjuruskepada pendefinisian ciri-ciri struktur    matematikal logik.

iii.Fasa ketiga       :Memfokuskan pembinaan pengetahuan melalui struktur   matapelajaran.

iv.Fasa Keempat    :Tertumpu kepada mekanisme perkembangan yang   mengaitkan perhubungan antara  'assimilation- accomodation'


Persoalannya , sejauhmanakah amalan yang digunakan oleh guru-guru sekarang dapat menyampaikan ilmu pengetahuan yang menjurus kepada pembelajaran bermakna? Pada asasnya , konstruktivisme dapat dilihat sebagai kepercayaan bahawa pembelajaran bermula daripada pengetahuan dan pengalaman yang tersimpan dalam memori pelajar. Dalam proses pembelajaran , maklumat baru diproses dan diserapkan untuk dijadikan sebahagian aripada memori di dalam minda pelajar. Pembelajaran bermakna akan berlaku apabila maklumat baru dapat dikaitkan dengan memori sedia ada untuk membina suatu kerangka baru ilmu pengetahuan yang lebih luas.

Dengan itu jelaslah bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh dipindahkan kepada murid dalam bentuk yang serba sempurna melalui pengajaran guru . Ini bererti bahawa" guru tidak boleh belajar bagi pihak murid " dan murid sendiri perlu melibatkan diri secara aktif  untuk merangsang pengaliran pengetahuan secara berterusan.

AMALAN  KONSTRUKTIVISE  DALAM  BILIK DARJAH

Pengajaran dan pembelajaran berasaskan konstruktivisme menyeimbangkan peranan guru dan pelajar untuk berperanan secara saling bersandar di antara satu sama lain. Ahli konstruktivisme berpendapat bahawa guru adalah sebagai pengurus bilik darjah. Guru seharusnya menerima murid sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza dimana individu itu dianggap penting dalam proses pembelajaran dan perlu diberi perhatian sewajarnya. Pengajaran dan pembelajaran konstruktivisme memberi peluang kepada guru untuk memilih kaedah yang sesuai dan menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau pengetahuan.
Seseorang  guru boleh mengamalkan pendekatan konstruktivisme dengan mengambil kira beberapa faktor :
  • Murid diberi peluang berkongsi persepsi antara satu sama lain
  • Murid diberi peluang mengemukakan pandangan tentang sesuatu konsep
  • Murid digalakkan menghormati pandangan alternatif rakan mereka
  • Semua pandangan murid dihormati dan tidak dipandang rendah
  • Pembelajaran berpusatkan murid
  • Guru mementingkan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir
  • Murid digalakkan merenung kembali proses pembelajaran yang dilaluinya 
  • Murid diminta menghubungkaitkan idea asal dengan idea yang baru dibina
  • Murid digalakkan mengemukakan hipotesis
  • Guru tidak menyampaikan maklumat secara terus kepada murid 
  • Murid banyak berinteraksi dengan murid lain dan guru
  • Guru perihatin terhadap keperluan , kebolehan dan minat murid
  • Murid digalakkan bekerja secara kumpulan
Suasana bilik darjah di mana amalan konstruktivisme dijalankan adalah berpusatkan murid dan berpusatkan bahan. Di samping itu guru akan menggunakan penyoalan bukan untuk menguji kefahaman murid tetapi adalah untuk menguji kemahiran murid dalam membina konsep.

 PERANAN GURU DAN MURID DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PERANAN GURU     
                                               
1. Guru tidak menganggap minda murid sebagai bekas kosong yang perlu diisikan dengan fakta dan     pengetahuan baru.
2.Guru berperanan sebagai pembimbing /fasilatator
3.Guru berperanan sebagai pengurus bilik darjah untuk menangani hal-hal disiplin murid dengan sempurna

PERANAN MURID

1. Murid tidak menganggap guru sebagai pembekal    maklumat tetapi sebagai suatu daripada sumber pengetahuan untuk membantu mereka mencari maklumat dan menggalakkan mereka berfikir serta berkomunikasi.
2.Murid bertanggungjawab terhadap segala usaha untuk mencari pelbagai cara untuk memproses maklumat dan menyelesaikan masalah
3.Murid berdisiplin dalam membuat keputusan sendiri untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran.
 
CIRI-CIRI PEMBELAJARANKONSTRUKTIVISME

ØPengetahuan dikembangkan secara aktif oleh pelajar itu sendiridan tidak diterima secara pasif dari persekitarannya. Ini beerti pembelajaran merupakandaripada usaha pelajar itu sendiri dan bukan dipindahkan daripada guru kepada pelajar .
ØPelajar membina pengetahuan mengikut pengalaman masing-masing dan pengetahuan sedia ada pelajar .

ØSetiap pelajar mempunyai peranan dalam menentukan apa yang akan mereka pelajari. Pelajar diberi peluang untuk membentuk kemahiran dan pengetahuan dan menghubungkaitkan pengalaman lampau mereka dengan kegunaan masa depan .

 
PENUTUP

Konstruktivisme adalah pendekatan yang memberi hak dan peluang untuk murid-murid belajar untuk belajar (learn how to learn) dengan membina makna dalam kerangka minda masing-masing  berasaskan pengalaman dan persekitaran yang sedia ada. Ia menuntut agar guru  lebih perihatin terhadap keperluan dan kehendak pelajar secara individu. Walaupun begitu  konstruktivisme merupakan satu  anjakan  yang perlu diaplikasikan  terutamanya  dalam pendidikan matematik. Ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk merealisasikannya dalam kehidupan seharian mereka. 

Isnin, 6 Julai 2015

PT 3 Sejarah - Perkaitan dan Rumusan



Perkaitan pembentukan persekutuan dengan kedulatan Malaysia.

Idea penubuhan Malaysia telah dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman pada 1961. Ianya akan menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura. Pada awalnya beliau mencadangkan penubuhan tersebut mampu bekerjasama dalam bidang politik dan ekonomi dengan lebih rapat.
Dengan Penyatuan negeri-negeri di bawah nama Malaysia yang dibentuk pada 1963 telah mampu menjadikan negara ini maju setanding dengan negara-negara maju yang lain. Selain kemajuan material, negara kita juga berjaya memodenkan sistem pentadbiran dengan cara mencontohi corak birokrasi dari negara barat dengan beberapa pengisian seperti penubuhan parlimen, kabinet, kementerian, jabatan dan pentadbiran diperingkat negeri.

Dengan penyatuan 14 negeri di Malaysia juga telah berjaya mebantu membangunkan negara ini kerana segala hasil bahan mentah seperti balak, petroleum dan gas asli dari negeri –negeri tertentu dapat dijana untuk membantu pembangunan negeri lain dalam bentuk pembinaan infrastruktur.Negeri Sarawak yang kaya dengan balak dan minyak contohnya merupakan antara negara yang menyumbang pada pendapatan negara ini. Hasilnya kerjaaan  pusat dapat membantu negeri lain dalam bentuk peruntukan tahunan.

Dengan penubuhan Malaysia juga tahap keselamatan negara ini semakin meyakinkan kerana kerajaan pusat bertanggungjawab menjaga keselamatan negara daripada ancaman daripada luar dan keselamatan dalam negeri juga dititikberatkan melalui peranan yang dimainkan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian dalam negeri.




Pengetahuan 

Persetiaan 1895 sebenarnya menjadi rujukan yang baik ke arah pembentukan sebuah negara bergelar Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.Walaupun terdapat beberapa ciri yang sama dalam pentadbiran Malayan Union tetapi beberapa klausa atau perkara tidak dipersetujui oleh orang Melayu menyebabkan rancangan Inggeris menjadikan negara ini sebagai tanah jajahan melalui Malayan Union gagal. Beberapa ciri penting seperti taraf raja dan takrifan negeri naungan menjadi antara perkara yang dikekalkan dalam perlembagaan 1948.

Sama seperti Persetiaan 1895, penggubalan perlembagaan melalui Suruhanjaya Reid pada 1956 juga mengambilkira beberapa aspek seperti hak kerajaan pusat dan negeri dan jaminan terhadap kedudukan raja . Cuma yang berbeza antara keduanya ialah penambahan beberapa isu seperti agama, bahasa, hak kerakyatan dan lain-lainnya.

Dalam nada yang sama kita seharusnya memahami dan menghayati peristiwa sejarah negara negara ini yang terjajah sekian lama dan memerlukan kekuatan segenap sudut bagi menjamin penjajahan ke atas negara ini tidak lagi akan berlaku .

Iktibar
Kita juga seharusnya mengambil iktibar bahawa perpaduan hanya dapat dicapai jika semua rakyat bersatu padu , bertolak ansur, hormat menghormati antara sesama angota masyarakat tanpa mengira latar belakang negeri, kaum atau bangsa

Harapan
Saya berharap agar semua warga negara ini akan sentiasa mematuhi undang-undang/ peraturan, tidak terpengaruh dengan anasir luar dan menghargai jasa tokoh yang telah banyak berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan memenuhi kemerdekaan ini agar menjadi lebih bermakna akhirnya. Kita  harus bersatu padu dalam usaha menjadikan kemajuan negara yang kita kecapi ini berkekalan hingga akhirnya.