CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 Perubahan Penduduk Akibat dari Perkembangan Perusahaan Bijih Timah dan Getah

Perubahan Penduduk Akibat dari Perkembangan Perusahaan Bijih Timah dan Getah


Pengenalan

Pada abad ke-19, Tanah Melayu bukan sahaja mengalami perubahan politik tetapi juga perubahan ekonomi yang membawa kepada perubahan sosial. Perkembangan perusahaan bijih timah telah membawa kepada kedatangan orang Cina dan perkembangan perusahaan getah membawa kepada kedatangan orang India. Kemudahan yang disediakan seperti Jabatan Perlindungan Orang-orang Cina 1871, Tabung Imigran Orang India 1907 dan sebagainya telah menggalakkan lagi kedatangan imigran-imigran yang berpunca daripada kesusahan yang dialami di negara mereka seperti bencana alam, pertambahan penduduk, takanan sosial, politik dan sebagainya. Mereka dibawa ke Tanah Melayu melalui beberapa sistem seperti Sistem Buruh Bebas, Sistem Buruh Kontrak, Sistem Kangani dan sebagainya.

Perubahan-perubahan penduduk

Sebelum 1848, hampir seluruh penduduk Tanah Melayu terutamanya penduduk Negeri-negeri Melayu terdiri daripada orang Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa petempatan kecil orang Cina di Negeri-negeri Selat, muara Seberang Perai, Johor, muara Sungai Pahang, Kuala Terengganu manakala sebilangan orang India lebih kecil dan mereka terdapat di Negeri-negeri Selat sebagai buruh di ladang-ladang kopi, tebu dan sebagainya. Mengikut bancian 1839, penduduk Tanah Melayu berjumlah 250 ribu orang. Akibat dari perkembangan perusahaan bijih timah dan getah, telah berlaku perubahan penduduk Tanah Melayu. Penduduk Tanah Melayu yang berjumlah 0.5 juta orang pada tahun 1870 telah meningkat kepada 3 juta orang pada tahun 1921. Pertambahan penduduk berpunca daripada kedatangan imigran-imigran yang kebanyakannya terdiri daripada buruh-buruh dari Selatan China terutamanya dari wilayah Kwantung, Kwangsi dan Fukkien serta dari Selatan India terutamanya Madras.

Kedatangan orang-orang Cina secara beramai-ramai berlaku antara tahun 1840-1914 semasa perkembangan perusahaan bijih timah, manakala kedatangan orang-orang India berlaku antara tahun 1906-1921 semasa perkembangan perusahaan getah. Akibat dari perkembangan perusahaan bijih timah dan getah, bilangan orang Melayu telah bertambah akibat dari kedatangan imigran Indonesia dari Sumatera, Jawa, Kalimantan, Riau dan lain-lain Kepulauan Indonesia. Selain itu, bilangan orang Eropah meningkat kerana mereka terlibat dalam kedua-dua perusahaan tersebut. Menjelang tahun 1921, 50% daripada kegiatan perlombongan bijih timah dikuasai oleh orang-orang Eropah dan kebanyakan ladang adalah kepunyaan mereka.

Akibat perkembangan perusahaan bijih timah dan getah juga komposisi penduduk mengalami perubahan. Walaupun sebelum 1848, orang Melayu menjadi majoriti penduduk Tanah Melayu tetapi menjelang tahun 1921 bilangan imigran hampir sama ramai dengan orang Melayu. Pada tahun 1911, 1/3 daripada penduduk Tanah Melayu terdiri daripada orang Cina. Mengikut bancian 1921, pecahan penduduk Tanah Melayu adalah seperti berikut:

a. Melayu: 3,338,545

b. Cina: 1,170,551

c. India: 472,000

d. Lain-lain: 46,000

Sebelum tahun 1870, penduduk Tanah Melayu adalah penduduk yang menetap di Tanah Melayu. Mereka terdiri daripada orang Melayu yang dilahirkan di Tanah Melayu dan nisbah antara lelaki dan perempuan seimbang. Menjelang tahun 1921, kira-kira ½ dari penduduk Tanah Melayu merupakan penduduk yang tinggal tidak menetap di tanah Melayu. Mereka terdiri daripada orang Cina dan India yang dilahirkan sama ada di China atau India dan nisbah antara lelaki dan perempuan tidak seimbang kerana majoriti imigran adalah lelaki. Pada tahun 1921, hanya 21% orang Cina dan 12% orang India yang dilahirkan di Tanah Melayu. Imigran-imigran Cina dan India masih menumpukan taat setia kepada negara asal mereka. Bilangan penduduk Tanah Melayu juga bergantung kepada keadaan ekonomi Tanah Melayu. Pada zaman ekonomi mewah, penduduk Tanah Melayu telah bertambah kerana keadaan ini menarik kedatangan imigran-imigran. Pada zaman ekonomi meleset, penduduk Tanah Melayu berkurangan kerana kecenderungan imigran terutama imigran India untuk pulang ke negara asal mereka.

Sebelum 1870, penduduk Tanah Melayu adalah penduduk desa kerana petempatan orang Melayu adalah di tepi pantai, kuala sungai dan pinggir sungai. Akibat perkembangan perusahaan bijih timah dan getah kawasan tempat tinggal orang Melayu telah mengalami perubahan penduduk orang Cina tinggal di pelabuhan dan kawasan perlombongan yang kemudiaannya berkembang sebagai bandar. Akibatnya, orang Cina menjadi penduduk bandar hingga hari ini. Manakala orang-orang India pula tinggal di ladang getah dan sebahagian mereka tinggal di bandar selain daripada kawasan ladang. Pekerjaan penduduk di Tanah Melayu juga mengalami perubahan. Orang India menjadi penoreh getah, pekerja ladang dan buruh di jabatan kerjaan terutamanya Jabatan Kerja Raya, Keretapi; orang Cina menjadi pelombong dan peniaga; orang Melayu menjadi penanam padi, nelayan dan sebagainya.

Kesimpulan

Selepas tahun 1921, terdapat tanda-tanda bahawa imigran Cina dan India mahu menetap di Tanah Melayu. Buktinya mereka mula membawa keluarga mereka ke Tanah Melayu. Tindakan mereka untuk menetap di Tanah Melayu telah membawa kepada wujudnya masyarakat majmuk di mana orang India dan Cina merupakan masyarakat yang tidak dapat mengasimilasikan diri mereka ke dalam masyarakat Melayu kerana beberapa perbezaan dari segi agama, adat resam, bahasa dan cara hidup. Berdasarkan pernyataan di atas, memang tidak dinafikan bahawa perkembangan perusahaan bijih timah dan getah membawa kepada perubahan penduduk di Tanah Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan