CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 Perkembangan Perusahaan Getah di Tanah Melayu

Perkembangan Perusahaan Getah di Tanah Melayu

Pengenalan

Getah mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1880-an. Sebelumnya, tanaman yang popular ialah kopi, gambir dan lada hitam. Pada tahun 1876, Pengarah Taman Kew di London iaitu Joseph Hooker telah menghantar Henry Wickham ke Brazil untuk mendapatkan bijih benih getah. Sebanyak 70 ribu bijih benih getah dibawa ke England dan disemai di Taman Kew, London. Tiga ribu bijih benih dari Taman Kew kemudian dihantar ke tanah jajahan British terutamanya ke Sri Lanka, dan Singapura. Pada tahun 1877, 22 ribu bijih benih dibawa ke Singapura dan ditanam di Taman Botanical Singapura dan di perkarangan rumah Sir Hugh Low (Residen Perak) di Kuala Kangsar. H.N. Ridley yang menjadi Pengarah Taman Botanical Singapura sejak 1888 memainkan peranan penting terhadap perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah menjalankan penyelidikan dan menggalakkan penduduk Tanah Melayu menanam getah. Pada mulanya, galakan beliau tidak mendapat sambutan tetapi menjelang abad ke-20, tanaman getah mula diminati oleh orang ramai. Berikut ialah jadual perangkaan penanaman getah di Tanah Melayu:

Tahun Keluasan Tanah (ekar)

1897 345

1900 46000

1905 48000

1906 85000

1909 200000

1911 1000000

1914 1500000

1918 2500000

1940 3500000


Faktor-faktor perkembangan perusahaan getah

1. Permintaan

Menjelang abad ke-20, permintaan getah meningkat akibat dari perkembangan industri kereta di Eropah dan Amerika, lebih-lebih lagi selepas J.B. Dunlop berjaya mencipta tayar angin. Pada tahun 1905, perkembangan industri kereta di Amerika terbukti daripada pertambahan pengeluarannya. Pengeluaran kereta Amerika sebanyak 500 ribu buah pada tahun 1910 telah meningkat kepada 8 juta buah pada tahun 1920. Selain itu, getah juga diperlukan oleh industri lain seperti alat-alat elektrik, alat-alat perubatan, perkakas rumah dan lain-lain. Permintaan yang bertambah telah menyebabkan harga getah meningkat. Pada tahun 1900, harga getah hanya 2s 3d (penn) bagi sepaun tetapi pada tahun 1911, harganya meningkat kepada 5s 5d (penn) bagi sepaun. Antara tahun 1906 hingga 1918, harga getah ialah kira-kira 15s sepaun. Kenaikan harga sudah tentu menyebabkan orang-orang Melayu menanam getah.

2. Kejatuhan harga kopi

Kejatuhan harga kopi juga menjadi faktor menyebabkan perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Pada tahun 1890-an, berlaku kejatuhan harga kopi akibat saingan kopi Brazil dan juga pengeluaran berkurangan disebabkan penyakit yang dibawa oleh kupu-kupu “Beehawk”. Harga kopi $45 sepikul pada tahun 1975 telah jatuh kepada $19 sepikul pada tahun 1899. Kejatuhan harga kopi menyebabkan penduduk Tanah Melayu beralih kepada tanaman getah. Buktinya pada tahun 1898, taman-taman percubaan Kerajaan Perak telah menjual 32 ribu biji benih getah dan 60 ribu anak benih getah.

3. Tenaga buruh

Perusahaan getah memerlukan tenaga buruh yang ramai. Tenaga buruh didapati dengan mudah dan murah hasil dari usaha untuk membawa imigran-imigran dari Selatan India terutamanya dan Madras. Pelbagai kemudahan telah diadakan bagi menggalakkan kedatangan orang India seperti Tabung Percuma, tempat tinggal dan lain-lain. Pada tahun 1907, tabung imigran orang-orang India telah ditubuhkan bagi menguruskan kedatangan orang India. Pada tahun 1912, Undang-undang Buruh dilaksanakan bagi mengelakkan penindasan majikan kepada buruh-buruh ladang. Imigran-imigran India dibawa ke Tanah Melayu melalui beberapa sistem seperti Sistem Kontrak (Identuru), Sistem Kangani, buruh bebas yang dibantu dan yang tidak dibantu. Usaha untuk bantu orang-orang India ke Tanah Melayu bertambah mudah kerana adanya hubungan kerjasama Kerajaan British di India dan Tanah Melayu. Kedatangan ramai imigran India telah membolehkan lebih banyak ladang-ladang dibuka di Tanah Melayu. Orang India memberi sumbangan penting terhadap perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu dan mereka dianggap sebagai rakyat British yang kuat dan rajin bekerja, mudah dikawal dan tidak bercita-cita tinggi.

4. Campur tangan British

Campur tangan British dan perlaksanaan Sistem Residen di Tanah Melayu sejak tahun 1874 menamatkan kekacauan di Tanah Melayu seperti perebutan takhta, pergaduhan antara pembesar, pergaduhan di antara pelombong Cina, perlanunan dan lain-lain lagi. Kestabilan politik serta keamanan dan peraturan yang wujud telah memberi jaminan keselamatan terhadap nyawa dan harta benda. Keadaan ini menyebabkan berlaku perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Selain itu, keadaan ini telah menarik pelabur-pelabur untuk menanam modal.

5. Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896 yang menggabungkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah berjaya mewujudkan keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran seperti Undang-undang tanah dan sistem cukai yang seragam antara negeri-negeri itu diperkenalkan. Keseragaman pentadbiran telah mewujudkan kestabilan politik serta keamanan dan ini telah memberi tarikan kepada pelabur-pelabur untuk memperkembangkan perusahaan ini.

6. Sistem perhubungan

Pembinaan sistem perhubungan jalan raya dan jalan keretapi memudahkan pengangkutan getah dari kawasan pengeluaran ke kawasan pelabuhan untuk dieksport. Menjelang tahun 1904, terdapat jalan keretapi sejauh 340 batu dan jalan raya 2400 batu. Jalan kertapi pertama dibuka pada tahun 1885 yang menghubungkan antara Taiping – Port Weld, 1886 Kuala Lumpur – Kelang, 1891 Seremban – Port Dickson, 1893 Ipoh – Teluk Anson. Menjelang tahun 1903 sudah terdapat jalan keretapi dari Perai ke Seremban dan 1909 disambungkan ke Johor Bahru. Menjelang tahun 1911, sudah terdapat jalan raya dari Perai ke Singapura.

7. Sistem pengukuran tanah

Sistem pengukuran tanah yang tepat dan jelas telah menamatkan pertikaian kawasan merebut tanah, khususnya tanah penanaman. Keadaan yang tenteram membolehkan para pengusaha untuk mengembangkan perusahaannya dengan bersungguh-sungguh tanpa merisaukan peristiwa huru-hara berlaku.

8. Iklim dan tanah

Iklim dan tanah di tanah Melayu amat sesuai untuk tanaman getah. Percubaan yang dijalanlkan menunjukkan getah dapat ditanam di pelbagai jenis tanah di Tanah Melayu. Akibatnya getah dapat ditanam di seluruh Tanah Melayu.

9. Undang-undang Tanah

Undnag-undang Tanah yang liberal telah membolehkan pengusaha asing memiliki tanah untuk penanaman getah. Kerajaan British telah berjaya membatalkan hak milik tanah oleh pembesar-pembesar. Tanah menjadi hak kerajaan dan sesiapa sahaja boleh memohon untuk menanam getah. Pada tahun 1896, undang-undang yang berkaitan dengan penerokaan tanah untuk tanaman getah telah dilaksanakan. Mulai tahun 1897, cukai ke atas tanah yang ditanam dengan getah hanya sebanyak 10¢ seekar bagi 10 tahun pertama. Selepas tempoh tersebut, cukai tanah yang dikenakan hanya 50¢ seekar setahun. Cukai yang dikenakan ke atas getah hanya sebanyak 2.5% bagi tempoh 15 tahun pertama. Selepas tempoh itu, cukai yang dikenakan untuk getah tidak melebihi 5% setahun. Selain itu, mereka yang meneroka tanah untuk tanaman getah diberi hak milik kekal.

10. Peranan H.N. Ridley

H.N. Ridley yang menjadi pengarah Taman Botanical Singapura sejak tahun 1888 bertanggungjawab ke atas perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah menjalankan penyelidikan dan menggalak penduduk Tanah Melayu menanam getah sehingga digelar “Ridley Getah” atau “Ridley Gila”. Pada peringkat awalnya saranan beliau tidak mendapat sambutan. Hanya beberapa orang pengusaha yang mengambil langkah menanam getah. Sebagai contoh, pada tahun 1896, seorang Cina di Selangor iaitu Tan Choy Yan telah menanam 40 ekar getah dan pada tahun yang sama, adik-beradik Kindersley telah menanam 5 ekar getah di Kajang. Pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar getah diseluruh Tanah Melayu. H.N. Ridley telah mencipta teknik menoreh getah yang dikenali sebagai “Tulang Ikan Herring” yang membolehkan pokok getah hidup lebih lama dan pengeluaran susu getah meningkat. Beliau juga teleh mencipta cara mengangkut anak benih getah, iaitu membungkusnya dengan arang yang lembap. Cara ini membolehkan anak getah diangkut ke tempat yang jauh.

11. Penyelidikan

Penyelidikan juga dijalankan bagi memajukan perusahaan getah. Pada 1899 sebanyak $4 ribu diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Pada tahun 1905, Jabatan Pertanian telah ditubuhkan bagi menguruskan tanaman getah. Pada tahun 1926, pusat penyelidikan getah (RRI) ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan mengenai penanaman getah seperti teknik menanam, penggunaan baja, teknik menoreh, cara memproses susu getah, penggunaan getah dan lain-lain.

12. Negeri-negeri Melayu Utara dan Johor

Penguasaan British ke atas Negeri-negeri Melayu Utara (1909) dan Johor (1914) juga memajukan perusahaan getah. Tanaman getah dapat dijalankan di negeri-negeri tersebut sedangkan sebelumnya tumpuan hanya pada Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

13. Dasar ekonomi bebas

Dasar ekonomi bebas dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan British telah menarik ramai pelabur-pelabur Eropah untuk menanam modal dalam perusahaan getah.

14. Firma Eropah

Penglibatan firma Eropah telah memajukan perusahaan getah di Tanah Melayu. Kekuatan modal mereka membolehkan lebih banyak ladang getah dibuka. Pada tahun 1910, sebanyak 142 buah ladang getah di Selangor. Antara firma Eropah tersebut ialah Harrison dan Crossfield, Sime Darby, Guthurie, Dunlop dan sebagainya.

Sumbangan perusahaan getah

1. Ekonomi

Perusahaan getah merupakan punca hasil yang terbesar bagi kerajaan Semenanjung tanah Melayu. Hampir kesemua daripada hasil tersebut diperolehi melalui cukai ke atas eksport getah. Hasil daripada perusahaan getah telah membolehkan kerajaan memodenkan Semenanjung Tanah Melayu.

Pengeluaran getah juga menjadi sumber pendapatan penduduk dengan membekalkan pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk.

2. Sosial

a. Jalan raya dan keretapi dibina bagi menghubungkan kawasan-kawasan getah dengan pelabuhan.

b. Perusahaan getah telah mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk Semenanjung Tanah Melayu. Beberapa kilang yang menghasilkan barang buatan getah telah didirikan.

c. Perusahaan getah telah mengakibatkan penghijrahan orang India dan Indonesia dari Jawa dan Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Hal ini telah menyumbangkan kepada kemunculan masyarakat majmuk dan tambahan dalam bilangan penduduk yang pesat.

Kesimpulan

Walaupun harga getah meningkat kira-kira $5 sepaun antara tahun 1906-1918, tetapi pada tahun 1920-an, berlaku kejatuhan harga getah. Pada tahun 1920, harga getah hanya 20 sen sehingga 30 sen sepaun. Akibatnya, Kerajaan British terpaksa melakukan Rancangan Pembatasan Stevenson pada tahun 1922 bagi menghadkan pengeluaran agar tidak melebihi permintaan. Perlaksanaan Rancangan Pembatasan Stevenson telah menyebabkan harga getah meningkat kepada $2 sepaun (1925). Walau bagaimanapun, rancangan ini gagal dan dibatalkan pada tahun 1928 kerana hanya disertai oleh wilayah British. Indonesia yang mengeluarkan 24% getah dunia tidak menyertainya. Kegagalan rancangan ini menyebabkan kejatuhan harga getah pada tahun 1931, harga getah hanya 5 sen sehingga 7 sen sepaun. Akibatnya, pada tahun 1934, negara-negara pengeluar getah telah melaksanakan Rancangan Pembatasan Getah Antarabangsa. Rancangan ini meningkatkan harga getah kepada 40 sen sepaun pada tahun 1937.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan