CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 Penubuhan Pusat-pusat Perdagangan oleh Inggeris di Tanah Melayu

Penubuhan Pusat-pusat Perdagangan oleh Inggeris di Tanah Melayu


Pengenalan

Hasil daripada kegiatan perdagangan teh di antara China dengan British yang semakin maju, British ingin mencari sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan persinggahan yang sesuai di Alam Melayu untuk membolehkannya berlabuh semasa angin monsun dan memperlengkapkan dan mengisi bekalan mereka serta membaiki kapal sementara menunggu masa yang sesuai untuk berlayar ke China lagi.

Pembukaan Pulau Pinang, 1786

Pada tahun 1780-an, sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Syah (1778-1798) telah meminta bantuan SHTI untuk menentang serangan Siam. Baginda telah menawarkan Pulau Pinang kepada SHTI untuk dijadikan pangkalan perdagangan dan pelabuhan persinggahan. SHTI bersetuju menerima Pulau Pinang tetapi berasa keberatan untuk memberikan jaminan perlindungan tentara bagi menentang musuh Kedah. Namun, Francis Light, seorang pegawai SHTI telah menyakinkan Sultan Abdullah bahawa permintaan baginda sedang dipertimbangkan walaupun beliau sedar bahawa SHTI tidak akan memberi naungan kepada Kedah. Bagi mencapai matlamatnya, Francis Light telah menipu Sultan Abdullah dengan memberikan janji-janji kosong. Atas janji-janji ini, Sultan Abdullah membenarkan Light menduduki Pulau Pinang tetapi dengan syarat Light akan berundur jika naungan tidak diberi oleh SHTI.

Pada 11 Ogos 1786, British telah menduduki Pulau Pinang dengan rasminya. Hubungan antara Sultan Abdullah dan SHTI mula tegang apabila Francis Light tidak menghiraukan syarat yang dikemukakan oleh baginda pada bulan Ogos 1785. Antara syarat-syarat utama baginda ialah:

1. SHTI dibenarkan menduduki Pulau Pinang dengan syarat ia mengawal kawasan perairan Kedah daripada musuh.

2. Segala perbelanjaan perang hendaklah ditanggung oleh SHTI.

3. SHTI akan membantu Kedah sekiranya Kedah diserang dari darat oleh musuhnya dan segala perbelanjaan akan ditanggung oleh Kedah.

Baginda tidak puas hati apabila SHTI enggan membayar ganti rugi dan bantuan tentera untuk melindungi Kedah daripada musuhnya iaitu Bugis dan Siam. Hubungan antara Francis Light dan Sultan Abdullah bertambah buruk apabila Light tidak mengambil sebarang langkah untuk memastikan SHTI mematuhi syarat-syarat tersebut.

Sultan Abdullah berasa kecewa atas sikap Light dan membuat rancangan untuk mengambil semula Pulau Pinang. Rancangan itu dapat diketahui oleh Light. Beliau telah bertindak dahulu dengan menyerang dan memusnahkan angkatan tentara Kedah yang berhimpun di Seberang Perai pada bulan April 1791. Sultan Abdullah mengalami kekalahan yang teruk dan terpaksa menandatangani perjanjian damai dengan SHTI pada bulan Mei 1791. Syarat-syarat perjanjian 1791 ialah:

1. Kedah mengakui kedudukan SHTI di Pulau Pinang.

2. Kedah akan menerima elaun tahunan sebanyak Sp$6000 selagi SHTI menduduki Pulau Pinang.

3. British akan membeli bekalan makanan di Kedah tanpa sebarang sekatan atas cukai.

Walau bagaimanapun, perjanjian damai ini tidak menjanjikan sebarang bantuan kepada Kedah untuk menentang musuhnya.

Pengambilan Seberang Perai, 1800

Di bawah pentadbiran Francis Light dan penggantinya, Pulau Pinang telah mengalami kemajuan yang pesat dan membawa kepada pertambahan penduduk. Pertambahan penduduk ini telah menyebabkan Pulau Pinang terpaksa bergantung kepada Kedah untuk mendapatkan bekalan makanan. Akan tetapi, permusuhan masih berterusan di antara SHTI dengan Kedah walaupun selepas Perjanjian Damai 1791. Ini telah menyebabkan Kedah menghalang bekalan makanan ke Pulau Pinang.

Oleh itu, SHTI berasa perlu untuk mengambil Seberang Perai, sebuah wilayah yang bertentangan dengan Pulau Pinang untuk dijadikan kawasan pertanian. Pihak syarikat telah berunding dengan sultan Kedah dan berjaya menandatangani satu perjanjian pada tahun 1800. Syarat-syarat perjanjian 1800 ialah:

1. Sultan Kedah menyerahkan Seberang Perai kepada SHTI.

2. SHTI bersetuju menambahkan ganti rugi daripada Sp$6000 kepada Sp$10000 setahun selagi syarikat menduduki Pulau Pinang.

Perjanjian ini tidak menjanjikan perlindungan kepada sultan Kedah tetapi berjanji akan melindungi pantai Kedah daripada serangan musuh.

Pembukaan Singapura, 1819

Minat untuk membuka Singapura sebagai pusat perdagangan pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal dagangan antara India dan China berlaku selepas Perang Napoleon yang tamat pada tahun 1815.

Selepas tamatnya Perang Napoleon, Jawa dipulangkan semula kepada Belanda pada tahun 1816 dan Melaka pada tahun 1818. Apabila Belanda kembali ke Jawa, mereka mula melaksanakan dasar monopoli perdagangan dan menyekat perdagangan Inggeris di rantau Kepulauan Melayu.

Oleh itu, SHTI telah mengambil langkah untuk memenuhi keperluan-keperluan berikut:

1. Melindung perdagangan Inggeris di Gugusan Kepulauan Melayu.

2. Mencegah perluasan pengaruh Belanda di rantau kepulauan Melayu dan memecahkan monopoli perdagangannya.

3. Menyediakan kemudahan-kemudahan bagi kapal-kapal British yang belayar di antara India dan China berlabuh, membaiki dan melengkapi bekalannya.

4. Mempunyai kedudukan yang sesuai untuk mengumpul hasil-hasil selat untuk ditukar dengan barangan China.

Pada tahun 1818, Gabenor Jeneral India, Lord Hastings, telah menghantar Stamford Raffles untuk mencari pangkalan di Acheh dan Riau. Raffles mendapati kedudukan Singapura yang strategik di pintu masuk Selat Melaka dan Selat Sunda amat sesuai untuk mengawal monopoli perdagangan Belanda. Pada masa itu, Singapura merupakan sebahagian daripda Empayar Johor dan ditadbir oleh Temanggung Abdul Rahman.

Pada bulan Januari 1819, Raffles telah menandatangani satu perjanjian dengan Temenggung Abdul Rahman. Menurut perjanjian ini, SHTI dibenarkan membina loji di Singapura. Sebagai balasan, syarikat berjanji akan melindungi Temenggung dan akan memberi bayaran tahunan sebanyak Sp$3000 kepada Temenggung. Walau bagaimanapun, Raffles masih perlukan kebenaran Sultan Johor. Sultan Johor pada masa itu ialah Sultan Abdul Rahman yang berada di Riau di bawah pengaruh Belanda. Oleh itu, Raffles yakin Sultan Abdul Rahman tidak akan melayan permintaannya untuk membuka sebuah loji perdagangan di Singapura.

Seterusnya, Raffles telah memujuk Temenggung Abdul Rahman supaya melantik Tengku Hussein, putera sulung Sultan Mahmud III sebagai Sultan Johor. Tengku Hussein menerima tawaran itu dan menaiki takhta Kerajaan Johor dengan Sultan Hussein Muhammad Syah. Pada 6 Februsri 1819, Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman telah menandatangani perjanjian rasmi dengan Raffles. Menurut perjanjian ini, Singpura diserahkan kepada SHTI. British akan membayar Sp$5000 setahun kepada sultan dan Sp$3000 kepada Temenggung. Selain itu, British juga akan melindungi baginda dan temenggung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan