CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Isnin, 31 Mei 2010

MODUL TB 21- AYAT PASIF

LATIHAN SPM I

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Adik yang sedang bermain di halaman rumah dipanggil kakak.
• Kakak memanggil adik yang sedang bermain di halaman rumah.

2. Anak-anak perlu diawasi oleh ibu bapa supaya tidak terjebak dalam
kegiatan yang tidak bermoral.
• Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak supaya tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral.

3. Seutas jam tangan dihadiahkan oleh Puan Sharifah kepada anaknya
setelah lulus peperiksaan SPM dengan cemerlang.
• Puan Sharifah menghadiahkan seutas jam tangan kepada anaknya setelah lulus peperiksaan SPM dengan cemerlang.

4. Kesalahannya itu disedarinya selepas beberapa ketika.
• Dia menyedari kesalahannya itu selepas beberapa ketika.

5. Tanah itu diserahkan semula oleh kedua-dua belah pihak setelah memahami penerangan tersebut.
• Kedua-dua belah pihak menyerahkan tanah itu semula setelah memahami penerangan tersebut.

6. Spesies tumbuhan anak di hutan itu akan dikajinya sekali lagi.
• Dia akan mengkaji spesies tumbuhan anak di hutan itu sekali lagi.


LATIHAN SPM 2

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Novel berbahasa Inggeris itu sudah dibaca oleh Helen bulan lalu.
• Helen sudah membaca novel berbahasa Inggeris itu bulan lalu.

2. Para pengawas dinasihati oleh guru disiplin agar menunjukkan contoh yang baik kepada murid-murid yang lain.
• Guru disiplin menasihati para pengawas agar menunjukkan contoh yang baik kepada murid-murid yang lain.

3. Pemandangan di kampung nelayan itu saya lukis.
• Saya melukis pemandangan di kampung nelayan itu.

4. Tikus telah berjaya ditangkap oleh Si Comot, kucing kesayangan emak pagi tadi.
• Si Comot, kucing kesayangan emak telah berjaya menangkap tikus pagi tadi.

5. Tingkah laku anak haruslah diawasi oleh ibu bapa agar mereka tidak tersalah langkah.
• Ibu bapa haruslah mengawasi tingkah laku anak agar mereka tidak tersalah langkah.

6. Setelah lulus dalam ujian memandu Mei Ling dihadiahi sebuah kereta Kancil oleh Puan Lucy.
• Puan Lucy menghadiahi Mei Ling sebuah kereta Kancil setelah lulus dalam ujian memandu.


LATIHAN SPM 3

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Bayaran balik pinjaman tidak akan dituntut oleh Jabatan Perkhidmatan Awam daripada pelajar yang cemerlang.
• Jabatan Perkhidmatan Awam tidak akan menuntut bayaran balik pinjaman daripada pelajar yang cemerlang.

2. Eksperimen itu telah kau jalankan dengan baik.
• Kau telah menjalankan eksperimen itu dengan baik.

3. Pahlawan itu dianugerahi oleh baginda bintang kehormatan dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah, Kelang.
• Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormatan dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istanan Alam Shah, Kelang.

4. Suzi dihadiahi Halim sejambak bunga ros sempena hari jadinya yang ke-23.
• Halim menghadiahi Suzi sejambak bunga ros sempena hari jadinya yang ke-23.

5. Stor sukan hendak kami kemas pada petang nanti.
• Kami hendak mengemas stor sukan pada petang nanti.

6. Nota sejarah saya telah anda ambil semalam.
• Anda telah mengambil nota sejarah saya semalam.


LATIHAN SPM 4

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Tugas itu patut anda selesaikan sekarang juga.
• Anda patut menyelesaikan tugas itu sekarang juga.

2. Jawatan yang dipegang oleh mereka sangat penting.
• Mereka memegang jawatan yang sangat penting.

3. Sedikit garam dimasukkan oleh kakak ke dalam gulai yang sangat saya gemari.
• Kakak memasukkan sedikit garam ke dalam gulai yang sangat saya gemari.

4. Pokok-pokok itu dipangkas oleh para pekerja supaya sentiasa rendah.
• Para pekerja memangkas pokok-pokok itu supaya sentiasa rendah.

5. Nota pelajaran dikemaskinikan oleh mahasiswa itu supaya mudah membuat
ulang kaji.
• Mahasiswa itu mengemaskinikan nota pelajaran supaya mudah membuat ulang kaji.

6. Orang yang lurus bendul itu tidak harus kamu peralat sewenang-wenangnya.
• Kamu tidak harus memperalat orang yang lurus bendul itu sewenang-wenangnya.


LATIHAN SPM 5

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Pelajar itu ditahan oleh guru disiplin selepas perhimpunan kerana melanggar
peraturan sekolah.
• Guru disiplin menahan pelajar itu selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.

2. Anak-anak sewajarnya dikawal oleh ibu bapa supaya mereka tidak bergaul dengan budak-budak nakal.
• Ibu bapa sewajarnya mengawal anak-anak supaya mereka tidak bergaul dengan budak-budak nakal.

3. Pelajar itu dihadiahi oleh guru bahasa Melayu sebatang pen setelah berjaya
memperoleh ‘A’ dalam peperiksaan percubaan SPM.
• Guru bahasa Melayu menghadiahi pelajar itu sebatang pen setelah berjaya memperoleh ’A’ dalam peperiksaan percubaan SPM.

4. Satu misi dilaksanakan oleh mereka bersama-sama.
• Mereka melaksanakan satu misi bersama-sama.

5. Alat pendingin hawa itu dijualnya dengan harga yang tinggi.
• Dia menjual alat pendingin hawa itu dengan harga yang tinggi.

6. Komputer itu saya beli untuk adik di kolej.
• Saya membeli komputer itu untuk adik di kolej.


LATIHAN SPM 6

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Permukaan air itu dilitupi pokok teratai yang berwarna-warni.
• Pokok teratai yang berwarna-warni melitupi permukaan air itu.

2. Majalah bercorak akademik kurang diminati oleh golongan remaja meskipun bahan di dalamnya memberikan ilmu kepada mereka.
• Golongan remaja kurang meminati majalah bercorak akademik meskipun bahan di dalamnya memberikan ilmu kepada mereka..

3. Pondok buruk yang didiami oleh orang tua itu beratapkan rumbia dan berdinding buluh.
• Orang tua itu mendiami pondok buruk yang beratapkan rumbia dan berdinding buluh.

4. Adik perempuan saya dijahitkan baju kurung oleh kakak pada hujung minggu yang lalu.
• Kakak menjahitkan adik perempuan saya baju kurung pada hujung minggu yang lalu.

5. Rumah itu tidak berani kami hampiri kerana takut akan anjing peliharaan tuan rumah tersebut.
• Kami tidak berani menghampiri rumah itu kerana takut akan anjing peliharaan tuan rumah tersebut.

6. Kerja-kerja memperdalam Sungai Kinta itu akan ditangguhkan oleh mereka berminggu-minggu.
• Mereka akan menangguhkan kerja-kerja memperdalam Sungai Kinta berminggu-minggu.


LATIHAN SPM 7

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Segala masalah itu mesti kita hadapi dengan hati tabah.
• Kita mesti menghadapi segala masalah itu dengan hati tabah.

2. Pengalamannya di hutan itu diceritakan oleh Encik Firdaus apabila didesak oleh ahli keluarganya.
• Encik Firdaus menceritakan pengalamannya di hutan itu apabila didesak oleh ahli keluarganya.

3. Rotan-rotan itu dijemur oleh mereka berminggu-minggu sebelum dibelah.
• Mereka menjemur rotan-rotan itu berminggu-minggu sebelum dibelah.

4. Simen dari luar negara telah diimport oleh kerajaan untuk mengimbangi kekurangan simen dalam pasaran tempatan.
• Kerajaan telah mengimport simen dari luar negara untuk mengimbangi kekurangan simen dalam pasaran tempatan.

5. Semak onak yamg melingkari perdu pokok saya bersihkan.
• Saya membersihkan semak onak yang melingkari perdu pokok.

6. Bantahan telah dikemukakan oleh penduduk kampung itu kepada wakil rakyat mereka.
• Penduduk kampung itu telah mengemukakan bantahan kepada wakil rakyat mereka.




LATIHAN SPM 8

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Buah-buah mangga yang belum begitu masak diperam oleh Pak Yusuf dengan cara membungkusnya.
• Pak Yusuf memeram buah-buah mangga yang belum begitu masak dengan cara membungkusnya.

2. Semua hasil tanaman mereka diborongkan oleh penanam-penanam sayur di kampung itu kepada seorang tauke Cina.
• Penanam-penanam sayur memborongkan semua hasil tanaman mereka di kampung itu kepada seorang tauke Cina.
• Penanam-penanam sayur di kampung itu memborongkan semua hasil tanaman mereka kepada seorang tauke Cina.

3. Mata pelajaran Bahasa Melayu diajarkan oleh guru itu kepada pelajar-pelajar selama satu jam setengah pada setiap minggu.
• Guru itu mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar selama satu jam setengah pada setiap minggu.

4. Usahawan tempatan dinasihati oleh Perdana Menteri supaya mengambil langkah susulan yang sewajarnya.
• Perdana Menteri menasihati usahawan tempatan supaya mengambil langkah susulan yang sewajarnya.

5. Lakaran yang dibuatnya berdasarkan kain yang digunting oleh Puan Lim.
• Dia membuat lakaran berdasarkan kain yang digunting oleh Puan Lim.

6. Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga kali sebatan oleh Tuan Hakim.
• Tuan Hakim menjatuhi lelaki itu hukuman penjara lima tahun dan tiga kali sebatan.


LATIHAN SPM 9

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Seekor rusa jantan telah ditangkap oleh ayah sewaktu memburu di hutan.
• Ayah telah menangkap seekor rusa jantan sewaktu memburu di hutan.

2. Buah rambutan di belakang rumah telah dipetik oleh adik untuk diberi kepada pak cik yang datang dari Singapura.
• Adik memetik buah rambutan di belakang rumah untuk diberi kepada pak cik yang datang dari Singapura.

3. Halaman rumah kami disapu oleh kakak setiap hari kerana banyak daun gugur pada musim panas ini.
• Kakak menyapu halaman rumah kami setiap hari kerana banyak daun gugur pada musim panas ini.

4. Rumah banglo di tepi pantai itu saya beli dengan duit titik peluh saya sendiri.
• Saya membeli rumah banglo di tepi pantai itu dengan duit titik peluh saya sendiri.

5. Kuih bahulu yang sedap itu dibuat oleh ibu Kalsom sempena hari lahir Kalsom.
• Ibu Kalsom membuat kuih bahulu yang sedap itu sempena hari lahir Kalsom.

6. Kerusi-kerusi itu disusun oleh mereka di padang sebelum acara sukan bermula.
• Mereka menyusun kerusi-kerusi di padang sebelum acara sukan bermula.


LATIHAN SPM 10

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Bunga telur itu dibuat oleh Rosliza untuk majlis perkahwinannya.
• Rosliza membuat bunga telur itu untuk majlis perkahwinannya.

2. Beg pakaian yang besar dibawa oleh Hazif untuk ke Kuala Lumpur.
• Hazif membawa beg pakaian yang besar untuk ke Kuala Lumpur.

3. Buah-buahan ini mesti anda makan sehingga habis.
• Anda mesti makan buah-buahan ini sehingga habis.

4. Kereta api itu saya naiki untuk menziarahi nenek di Singapura.
• Saya menaiki kereta api itu untuk menziarahi nenek di Singapura.

5. Kebun pisang ayah saya dirosakkan oleh kerbau jantan yang liar itu.
• Kerbau jantan yang liar itu merosakkan kebun pisang ayah saya.

6. Badan peserta gimnastik Rusia digulingkan di atas lantai semasa pertandingan itu.
• Peserta gimnastik Rusia menggulingkan badan di atas lantai semasa pertandingan itu.


LATIHAN SPM 11

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1. Ceramah tentang bahaya merokok itu disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Kesihatan.
• Pegawai dari Jabatan Kesihatan itu menyampaikan ceramah tentang bahaya merokok.

2. Para pelajar diingatkan oleh pengetua sekolah itu agar sentiasa berwaspada sewaktu berulang-alik ke sekolah.
• Pengetua sekolah itu mengingatkan para pelajar agar sentiasa berwaspada sewaktu berulang-alik ke sekolah.

3. Gadis dari Brunei Darussalam itu diperisteri oleh Encik Halim sebulan yang lalu.
• Encik Halim memperisteri gadis dari Brunei Darussalam itu sebulan yang lalu.

4. Anak ayam emak saya telah disambar oleh helang pada tengah hari semalam.
• Helang menyambar anak ayam emak saya pada tengah hari semalam.

5. Sampan itu didayungnya dengan laju dengan harapan untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu.
• Dia mendayung sampan itu dengan laju dengan harapan untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu.

6. Penyalahgunaan dan pengedaran dadah telah diharamkan oleh kerajaan di negara ini.
• Kerajaan mengharamkan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan