CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Isnin, 31 Mei 2010

LATIHAN NOVEL JULIA

LATIHAN 1

“Latar merujuk kepada waktu dan tempat berlakunya sesuatu peristiwa yang melibatkan watak-watak dalam sesebuah cereka.”
Jelaskan penggunaan latar dalam novel Julia karya Abu Hassan Morad.

JAWAPAN CONTOH..
Secara umumnya, kisah yang dipaparkan dalam novel Julia menampilkan dua tempat atau dua latar utama.Pertama, di sekitar Kuala Lumpur, iaitu tempat asal Julia.Kemudian, pengarang membawa pembaca berganjak ke Perth,Barrack Street,St. George,Howord Street,Allen Areen,Convarstory,Collin Book Sellers,Stirling,Sg. Swan, dan Kings Park, bertempat di Australia.
Pengarang misalnya, menggambarkan suasana alam dengan pepohon menghijau subur dan pokok akasia di sepanjang jalan serta penduduknya berbilang bangsa dan sebagainya.Pengarang ingin pembaca menghayati setiap baris ayat yang diutarakan dengan memaparkan latar yang menarik.
Daripada sudut geografi, ternyata pembangunan tanah di Perth terancang dan dijaga dengan begitu rapi. Sisitem undang-undang dikuatkuasakan di mana pengarang turut memuatkan gambaran sepasukan polis di tepi jalan sedang meneropong untuk menyaman kenderaan yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan jalan raya. Latar di Kuala Lumpur pula berkisar di rumah Julia dan di pejabat ayahnya.
Latar masa dalam novel Julia boleh dibahagikan kepada dua sub topic, iaitu:

1. Masa berlakunya peristiwa-peristiwa dalam novel
Peristiwa yang dijalani dalam kisah ini berlaku pada masa-masa tertentu sesuai dengan kejadiannya.Contohnya, peristiwa yang terjadi secara tiba-tiba atau secara kejutan.Namun, tidak pula diperkatakan waktu khusus seperti malam,siang,pagi,petang dan sebagainya.Misalnya, pengarang tidak menyatakan waktu kemalangan yang berlaku kepada Datuk Bakar dan Datin Maznah.Pengarang hanya mengemukakan tragedi tersebut ketika Julia berada di sekolahnya.Sudah tentu kemalangan itu berlaku lebih awal kerana waktu tempatan (Malaysia) dan waktu di Australia berbeza.Pengarang juga tidak menyatakan berapa lama masa yang di ambil oleh adik-adik Julia untuk memulihkan semangat masing-masing selepas menerima berita yang mengejutkan tentang kematian ibubapa mereka.Tidak ketinggalan juga pengarang tidak memasukkan masa yang diambil oleh Julia untuk memulihkan kembali perniagaan keluarganya itu.

2. Masa dalam keseluruhan novel
Pengarang tidak menjelaskan keseluruhan masa yang diambil dalam menjalinkan peristiwa-peristiwa dalam novel.Hal ini kerana semua kisah silam Julia diceritakan dan dibawakan semula dalam ingatan Julia.Penggunaan teknik imbas kembali telah dibaurkan dengan peristiwa-peristiwa semasa yang berlaku kepada diri Julia.Misalnya, Julia sering teringatkan peristiwa-peristiwa lalu tentang pertemuannya dengan Jun walaupun dia telah mengahwini Jun.Dengan adanya teknik imbas kembali ini, masa yang berlalu boleh dikatakan terasa agak lama.
Dalam novel ini turut digambarkan kehidupan masyarakat.Misalnya, pengarang memaparkan budaya pelajar dan muda-mudi di kota metropolitan yang bebas dari segi pergaulan dan terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sihat.Misalnya, Rashid dan teman-temannya yang lain sering berpelesiran dan terlibat dengan gejala yang tidak sihat.Rashid juga tidak segan silu mengugut Julia.Akhirnya, Rashid di tangkap oleh pihak berkuasa.
Namun demikian,pendedahan agama turut dimuatkan oleh pengarang dalam novel ini.Pengarang mengisahkan pada setiap hujung minggu keluarga Julia akan mengadakan kuliah subuh.Sebelum Datuk Bakar meninggal dunia, dialah yang memberi kuliah subuh dan dibantu oleh Datin Maznah untuk menguatkan lagi penerangan.Selain itu, keluarga Julia tidak ketinggalan menziarahi pusara kedua-dua ibu bapa mereka pada setiap hujung minggu.


LATIHAN 2

Setelah membaca novel Julia, kita mulai terfikir tentang siapakah Julia yang sebenar yang ingin ditonjolkan oleh pengarang.Berikan ulasan yang selanjutnya tentang sikap dan peranan yang dimainkan oleh watak Julia sebagai watak protagonis.

JAWAPAN CONTOH..
Novel ini mengetengahkan watak-watak penting yang berperanan menghidupkan gaya atau jalan cerita.Judul novel ini yang tertera nama JULIA sekali gus menamakan watak utamanya sebagai Julia.Julia seorang gadis muslim yang berketrampilan tinggi,berkaliber dan cekal serta tabah hati dalam mengharungi ranjau hidup.
Corak kehidupannya di kota kosmopolitan Kuala Lumpur ialah sebagai seorang gadis remaja yang lincah dan agresif sifatnya.Pergaulan dengan teman-temannya agak bebas dan sering berpelesiran.
Namun, atas dasar kesedaran yang memuncak demi masa depannya kelak, ibu bapanya telah menghantarnya melanjutkan pengajian di Hidayah Islamic College. Semasa di Perth, Australia, banyak perkara baru yang dipelajari oleh Julia terutamanya untuk bekalan di akhirat.Julia tidak seperti yang dikenali oleh teman-temannya beberapa tahun yang lalu kerana corak kehidupannya kini bertukar kepada suatu suasana baru sebagai wanita Islam yang sebenar.
Selain itu,Julia merupakan watak utama atau protagonis dalam novel ini dan juga anak sulung daripada empat orang adik-beradik.Julia berasal daripada keluarga yang berada.Bapanya ialah pengurus besar syarikat BMPRO Holding Sdn. Bhd. Manakala ibunya pula sibuk dengan kerjanya sendiri.Di sinilah banyak menimbulkan konflik antara Julia dengan ibubapanya.Keluarganya bahagia walaupun Datuk Bakar mengambil keputusan berkahwin untuk kali kedua dengan Ummi Sarah.
Julia digambarkan sebagai seorang remaja yang bertanggungjawab dan dedikasi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.Ini dapat dilihat apabila dia dapat memulihkan semula perniagaan pelancongan bapanya yang dilanda masalah akibat kegawatan ekonomi dan masalah jerebu.
Julia juga mempunyai jiwa yang terlalu sensitive dan oleh sebab itulah dia gemar bermonolog sendiri atau bercakap sendirian.Sikapnya ini menjadi-jadi selepas kematian ibu bapanya akibat kemalangan jalanraya.Mungkin Julia merasakan tiada siapa lagi yang dapat menghibur dan memberikan nasihat.Namun, pengarang sengaja berbuat demikian kepada watak utamanya sebagai satu perangsang baru buat diri Julia sendiri yang keseorangan meskipun mempunyai Adi,Fatin, dan Sufi.

LATIHAN 3

Tuliskan sebuah esei pendek tentang dasar perjalanan Syarikat Kumpulan BMPRO Holding Sdn. Bhd. yang dikemukakan atau Abu Hassan Morad dalam novel remaja tersebut

JAWAPAN CONTOH..
Kumpulan BMPRO Sdn. Bhd. ditubuhkan untuk menyambut hasrat kerajaan memperbanyakkan golongan korporat menengah Melayu.Pendekatan syarikat ini ialah pendekatan institusi atau organisasi berpandangan jauh yang menonjolkan kepentingan jangka panjang, iaitu kepentingan kesinambungan hak ramai dengan mengutamakan peranan kolektif semua yang terlibat sebagai dorongan dan motivasi.Syarikat kumpulan BMPRO Holding Sdn. Bhd. mempunyai wawasan bermotifkan ‘CCL’ atau CEKAP CEKAL LANCAR.Cekap merujuk kemampuan pemikiran untuk membuat sesuatu keputusan berlandaskan syariat Islam, manakala Cekal merujuk jiwa yang cekap untuk memastikan potensi diri mukim dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, dan Lancar merujuk kepada keupayaan tindakan fizikal bagi memastikan sesuatu kerja itu dapat dilaksanakan dengan efisien.
Makna di sebalik BMPRO itu adalah berasal daripada nama Bakar Maznah Profesional, iaitu syarikat yang membawa imej kekeluargaan.Sudah semestinya sebuah organisasi besar berkeyakinan untuk meningkatkan kualiti keluarga sebagai asas kepada pencapaian dalam syarkat ini.Ia mestilah bermula daripada hubungan keluarga yang harmoni dan bahagia.
Kesimpulannya, pengurusan manusia adalah sesuatu yang sentiasa berubah dan memerlukan ketua yang kreatif dan bijak.BMPRO Holding dan anak-anak syarikatnya akan memberi keutamaan untuk melahirkan sebanyak mungkin pasukan pengurusan muda yang lebih efisien dan komited terhadap tugas.Tetapi ini bukan bermakna staf lain diabaikan kerana CCL hanya akan berkesan apabila mendapat kerjasama daripada semua peringkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan