CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Isnin, 31 Mei 2010

Modul ringkasan

Soalan 1 : Rumusan
( 30 markah )

Baca petikan dibawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang punca ibu kurang bercakap dengan anak mereka dan kesannya terhadap anak-anak. Panjangnya rumusan anda itu hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Institut keluarga amat penting dan amat berharga kepada masyarakat hari ini kerana institusi inilah yang menjadi asas dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu dan harmoni. Malangnya, keadaan institusi ini semakin terancam dan dilanda pelbagai masalah sosial. Kedudukan institusi ini yang sepatutnya menjadi asas kepada kekukuhan dan kerukunan masyarakat sudah semakin goyah. Rupa-rupanya semakin moden manusia tu, semakin ruwet pula kehidupannya, khususnya urusan rumah tangga mereka.
Pelbagai masalah timbul dalam institusi ini. Masalah perceraian, keganasan rumah tangga, penderaan isteri dan anak-anak, sumbang mahram, anak lari dan rumah, dan jurang generasi antara anak dengan ibu bapa adalah antara masalah kekeluargaan yang kerap menimpa institusi tersebut. Keadaan yang semakin hari semakin memburuk ini menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak. Banyak pihak yang menimbulkan persoalan. Bagaimanakah kita dapat membentuk masyarakat penyayang atau masyarakat
madani jika keluarga hari ini sentiasa dalam keadaan porak-peranda dan kacau-bilau?
Sebagaimana yang diketahui, tuntutan kewangan, hambatan tugas, kewajipan sosial dan pelbagai tuntutan lain telah menyebabkan ibu bapa dan anak-anak tidak kecukupan masa untuk melakukan sesuatu perkara bersama-sama. Mereka semakin sukar berbual-bual dan beramah mesra antara satu dengan yang lain, makan dan menonton televisyen atau filem bersama-sama, berbincang hal-hal keluarga atau hal pelajaran, apatah lagi untuk keluar bersiarsiar bersama-sama. Ada masanya ibu bapa terlalu penat untuk untuk bermesra dengan anak-anak. Ketiadaan kesempatan dan masa untuk mengamalkan amalan yang asas dalam keluarga ini sedikit sebanyak menjejaskan ikatan kemesraan dan hubungan kekeluargaan di kalangan ahli keluarga.
Senario bapa atau ibu yang tidak sempat bertemu dengan anak-anak mereka kerana urusan perniagaan dan kerjaya di tempat lain sehingga seminggu atau lebih merupakan suatu keadan yang biasa. Ada kalanya, sebagai akibat hambatan kerja si bapa pulang lewat malam dari pejabat dan pada ketika itu anaknya sudahpun masuk tidur. Keesokannya pula, sebelum anak bangun daripada tidur, si bapa sudah keluar rumah lebih awal lagi semata-mata hendak mengelakkan kesesakan lalu lintas!.Ada banyak cara untuk mengeratkan dan merapatkan hubungan kekeluargaan. Salah satu cara yang amat berkesan adalah melalui perundingan atau amalan musyawarah di kalangan ahli keluarga.
(Disesuaikan daripada majalah Dewan Masyarakat)


latihan 2

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah meningkatkan minat terhadap pelaburan saham amanah di kalangan masyarakat. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan

Penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2003 telah membawa faedah yang amat besar kepada orang ramai dalam memberi kesedaran kepada mereka mengenai
kepentingan industri saham amanah dan kepentingannya kepadanegara. Selepas kegawatan ekonomi yang menyaksikan saham-saham amanah oleh beberapa buah negara mengalami kemalapan ketara, keyakinan pelabur terutamanya kaum bumiputera turut luntur sehingga hari ini. Semangat ini perlu dibangkit kembali oleh pengurus-pengurus dana dengan menyuntik keyakinan baru kepada orang ramai. Dengan adanya keyakinan , masyarakat akan terus melabur walaupun menghadapi masalah kewangan. Masyarakat perlu tahu akan konsep risiko dan pulangan daripada pelaburan yang dibuat. Oleh itu, mereka perlu diberi
pendidikan sepenuhnya tentang kegiatan saham amanah
Banyak rungutan daripada para pelabur amanah saham negeri dan yang ditaja oleh beberapa pertubuhan telah membuat aduan mengenai nasib mereka ”yang tidak terbela” setelah membuat pelaburan dalam amanah saham berkenaan. Para pengurus dana terutamanya ajen-ajen mereka perlu bersikap ikhlas dalam memberi penerangan. Lebih penting lagi, program susulan dengan para pelabur perlu ditingkatkan agar mereka tiada keseorangan dalam menangani sebarang masalah yang dihadapi. Para pengurus dana tidak seharusnya hanya mengejar keuntungan dan komisen semata-mata.

Semasa berkempen pelbagai kata manis diucapkan tetapi selepas melabur dan saham itu pula jatuh tiada apa-apa berita yang diterima. Sebenarnya kaum bumiputera masih lagi lemah dalam urusan pelaburan. Sejak produk-produk pelaburan dilancarkan, penyertaan kaum bumiputera terlalu sedikit bilangannya. Oleh itu, pengurus dana digesa agar memberi penekanan kepada usaha meningkatkan ilmu dan kemahiran pelaburan supaya masyarakat lebih bijak merancang kewangan
dan pelaburan mereka. Sesungguhnya industri saham amanah memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara, berpotensi untuk lebih maju dan perlu diperluaskan lagi.

Kita mahu MSAM 2003 yang bertemakan “Saham Amanah Pilihan Pelabur Bijak” diperluas ke peringkat negeri dan daerah supaya kesedaran itu lebih meluas. Bagi memantapkan pemahaman generasi muda tentang saham amanah, murid-murid sekolah harus didedahkan dengan pengetahuan pelaburan. Walaupun usia amanah saham di negara ini sudah dikatakan matang, pengetahuan masyarakat masih belum masak sepenuhnya. Dalam keghairahan pengurus dana menjalankan kempen menarik pelabur, kempen kesedaran juga harus seiring dan dipertingkatkan.

(Diubahsuaikan daripada Tingkatkan Fahaman

Mengenai Saham Utusan Malaysia 29.4.2003)

latihan 3
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan negatif penggunaan internet dan langkah-langkah untuk membendung penyalahgunaannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kelebihan utama internet berbanding dengan media lain ialah keupayaannya memberikan maklumat tanpa sekatan. Internet membolehkan masyarakat memperoleh dan menyebarkan maklumat dengan bebas. Internet bukan sahaja menjelaskan konsep demokrasi maklumat, malah dapat mengubah cara manusia berkomunikasi. Perubahan cara komunikasi inilah yang menerbitkan krisis dalam aspek keselamatan maklumat dan aspek tanggungjawab.

Sesungguhnya, pengenalan internet menimbulkan perdebatan dalam pelbagai isu. Penyebaran bahan imperialisme yang dapat meruntuhkan nilai-nilai budaya dan moral sesuatu bangsa jelas menunjukkan bahawa internet mudah dikaitkan dengan perkara-perkara yang kurang menyenangkan. Internet merupakan media yang membolehkan sesiapa sahaja menerbitkan bahan kepada masyarakat dunia dengan kos yang sangat murah. Hakikat ini telah menyebabkan kerajaan-kerajaan di seIuruh dunia cuba mengawal media baru ini. Keupayaan rangkaian canggih ini menyebarkan imej digital menyebabkan internet sering dijadikan wahana untuk menyebarkan bahan tidak bermoral secara talian terus.


Di samping itu, internet digunakan juga untuk menyebarkan pelbagai judul buku yang diharamkan di sesetengah negara. Malah, penerbit buku di seluruh dunia mempersoalkan pelanggaran hak cipta yang banyak dilakukan dalam internet. SeIain itu, rangkaian ini juga digunakan untuk menyebarkan iklan yang mungkin tidak diterima oleh media lain, kerana iklan itu melanggar kod etika pengiklanan seperti mengeksploitasikan wanita dan cita rasa kanak-kanak. Kebebasan penyebaran maklumat menyebabkan internet digunakan untuk menyebarkan fitnah dan khabar angin terhadap kerajaan atau organisasi tertentu. Internet turut menimbulkan masalah perundangan terbesar dalam undang¬-undang harta intelek dan kebebasan hak asasi.

Beberapa terbitan Ensiclopedia World Wide telah disebarkan melalui internet tanpa izin pemegang hak ciptanya. Perbuatan tersebut memang menyalahi undang-undang, tetapi perkara ini telah berlaku dalam ruang siber dewasa ini. Kebimbangan terhadap internet turut tertumpu terhadap kegiatan jenayah ekonomi dan penipuan dalam transaksi talian terus. Internet menjadikan sempadan geografi semakin tidak jelas. Internet sering mencabar amalan budaya dan moral. Menyedari hakikat ini, banyak negara berusaha mengambil Iangkah-Iangkah yang sewajarnya bagi memerangi penyalahgunaan internet.

Soalan 2 : Pemahaman [10 markah]

Soalan 2(a) — Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Apakah maksud rangkai kata sering dijadikan wahana? [2 markah]
(ii) Internet mempunyai beberapa kebaikan. Nyatakan kebaikan tersebut. [3 markah]
(iii) Berikan pendapat anda tentang ciri-ciri laman web mata pelajaran yang menarik.

latihan 4
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan proses kitar semula dan masalah-masalah pelaksanaannya di Malaysia. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Proses kitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan menggunakan semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah. Kitar semula memungkinkan bahan¬-bahan yang terbuang dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Tahukah anda bahawa rakyat Malaysia membuang sampah-sarap dalam pelbagai bentuk pada kadar 15000 tan sehari? Apakah yang akan berlaku dalam tempoh sepuluh tahun jika keadaan ini berterusan?

Sisa bahan buangan yang terdiri daripada 27% kertas, 36.5% sisa buangan dari rumah, 3.9% besi, 3.7% kaca, 16.4% plastik dan 12.5% lain-lain. Hal ini akan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Pembuangan sampah dan sisa buangan rumah dilonggokkan di tepi-tepi jalan bukan sahaja menyakitkan mata memandangnya, malah bau yang busuk tentu sahaja mengganggu keselesaan kita. Lebih teruk lagi kesannya akan mengancam sistem air bawah tanah yang menjadi salah satu punca sumber air dalam kehidupan kita. Kita sering kali merungut apabila sampah melewati kawasan rumah kita kerana baunya yang busuk. Hal ini seharusnya kita ambil sebagai iktibar kerana jika kitar semula tidak diamalkan dan kita sendiri mengambil sikap endah tak endah, kita akan dibelenggu oleh bau yang busuk sepanjang masa. Melalui amalan kitar semula, kita dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar demi kesejahteraan hidup.

Kerajaan amat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kempen kitar semula untuk memastikan ruang hidup manusia akan terus terpelihara. Pada masa ini terdapat kira-kira 230 buah tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya dianggarkan berkeluasan 20 hingga 150 ekar bergantung kepada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang. Andainya keadaan ini berterusan tentulah kawasan kediaman akan terjejas. Lantaran itu, usaha ini juga dapat menjamin persekitaran yang lebih sihat dan bersih. Keadaan di kawasan pembuangan sampah yang kotor dan menjijikkan tentu sahaja menjadi tempat pembiakan serangga perosak. Oleh itu, proses kitar semula ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah pembuangan sampah, malah dapat mengawal penyakit daripada merebak.

Walaupun aktiviti pengutipan sampah sekarang memberi peluang pekerjaan kepada sesetengah orang, namun jika program kitar semula dilaksanakan, lima kali lebih banyak peluang pekerjaan akan tersedia untuk warga Malaysia. Keperluan terhadap jurutera, pakar mesin, pakar alam sekitar, pekerja am dan sebagainya amat dikehendaki oleh kilang-kilang terbabit. Dari segi jangka panjang, kos untuk melaksanakan kitar semula jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan biaya pemuliharaan alam sekitar yang telah musnah. Oleh itu, masyarakat mestilah dididik supaya peka akan masalah yang kita cipta ini. Pelaksanaan kaedah ini tidak sukar untuk dijayakan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan semakin giat menggalakkan pengitaran semula bahan-bahan buangan menerusi majlis perbandaran di setiap daerah dan kawasan. Malah, kita memuji langkah Jabatan Alam Sekitar yang mengadakan pelbagai aktiviti menerusi media massa dan mengadakan penerangan hingga ke sekolah dalam usaha melahirkan rakyat yang mencintai alam sekitar. Oleh itu, kerjasama yang berterusan oleh semua pihak iaitu individu, masyarakat, pihak berkuasa, media massa, kerajaan dan pihak swasta amat dituntut untuk menjamin pengekalan kebersihan dalam kehidupan.

Soalan 2(a) : Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata menyakitkan mata memandangnya. [2 markah]

(ii) Apakah kesan daripada pembuangan sampah yang tidak terurus? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan alam sekitar dihargai? [4 markah]


latihan 5Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah menangani masalah vandalisme dan akibat daripada masalah tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Perbuatan merosakkan harta benda awam atau vandalisme kian hari kian menular di negara kita. Harta benda awam telah dirosakkan sewenang-wenangnya. Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengundang pelbagai komplikasi. Pengerusi Jawatankuasa Antivandalisme Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, Datuk Lee Lam Thye mengelaskan vandalisme kepada vandalisme perlakuan, iaitu menjual harta benda yang dicuri, vandalisme dendam dan vandalisme conteng. Gejala negatif ini biasanya melibatkan mereka yang berusia antara 15 hingga 21 tahun. Antara kemudahan-kemudahan awam yang sering menjadi mangsa ialah telefon awam, papan tanda, lif rumah pangsa dan dinding-dinding bangunan. Saban tahun, kerajaan memperuntukkan wang berjuta-juta ringgit untuk meningkatkan keselesaan rakyat dengan menyediakan kemudahan awam kepada rakyatnya. Malangnya, wujud golongan yang tidak berkesedaran sivik tergamak untuk merosakkan harta benda awam ini. Justeru, kita perlu menghalusi punca-puncanya dan mengorak langkah proaktif demi memeranginya ke akar umbi.

Memandangkan ketenatan masalah vandalisme, suatu penyelesaian segera amat diperlukan untuk menghapuskan masalah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ibu bapa berperanan untuk mendidik anak-anak agar menghargai harta benda awam. Pihak sekolah pula harus memberikan bimbingan dan nasihat tentang pentingnya menjaga harta benda awam. Konsep “Masyarakat Penyayang” harus dihidupkan semula supaya para remaja sedar akan peranan mereka selaku pembela bangsa pada hari muka. Masyarakat perlu bersikap proaktif terhadap gejala vandalisme yang dilakukan di kawasan mereka.

Langkah drastik, iaitu mengenakan tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang melakukan vandalisme perlu dilaksanakan. Akta Kerajaan Tempatan yang menetapkan sesiapa yang merosakkan harta benda awam boleh didenda RM2000.00 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan perlu dikuatkuasakan. Pihak berkuasa disarankan agar membuat rondaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan remaja. Pesalah-pesalah vandalisme wajar didenda supaya melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Selain itu, langkah bersama yang boleh diambil ialah mengadakan program tindakan bersama seperti menganjurkan pameran yang melibatkan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur.

Tindakan setegas-tegasnya amat perlu supaya dapat menimbulkan keinsafan dan memberi pengajaran kepada mereka yang ingin melakukan vandalisme agar berfikir sebelum berbuat demikian. Tindakan ini juga secara tidak langsung dapat menjimatkan kos kerajaan untuk membaiki kerosakan terhadap harta awam. Disebabkan benteng didikan agama yang rapuh, golongan ini akan melakukan kegiatan vandalisme demi mendapatkan perhatian masyarakat.


2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mengundang pelbagai komplikasi.
[2 markah]

(ii) Mengapakah tindakan tegas perlu dilaksanakan untuk menangani masalah vandalisme?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab? [4 markah]



[4 markah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan