CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Isnin, 31 Mei 2010

MODUL TB 14 - PERIBAHASA ii

Latihan Peribahasa 11
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Penduduk Taman Nusa Idaman mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan persekitaran. Mereka sepakat untuk melakukan kerja sama ada mudah atau susah. Penduduk taman yang berbilang kaum itu bertolak ansur dan hidup aman dan damai. Sekiranya ada penduduk di taman itu yang menghadapi kesusahan, penduduk yang lain turut bersimpati dan cuba membantu.

Latihan Peribahasa 12
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Kerajaan telah memilih Kampung Muafakat sebagai kampung angkat. Kampung itu terpilih kerana majoriti penduduknya rajin bekerja dan mereka juga mudah memberikan pertolongan jika diperlukan. Dalam salah satu projek yang dijalankan, penduduk kampung telah bersepakat untuk mendirikan rumah Pak Dali semula yang hampir roboh. Sikap pemuda-pemuda kampung yang suka menghabiskan masa di tepi-tepi jalan pula amat dikesalkan kerana tidak sudi membantu walaupun telah ditegur.

Latihan Peribahasa 13
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Gejala sosial dalam kalangan remaja begitu membimbangkan. Walaupun telah diberi teguran dan dinasihati oleh keluarga, guru dan masyarakat pelbagai masalah sosial terus berlaku. Ada antara remaja terbabit telah ditangkap dan dihantar ke pusat serenti atau pusat pemulihan akhlak. Golongan ini memang menyusahkan masyarakat yang cinta akan kedamaian. Walaupun begitu, ibu bapa dan keluarga mereka tetap tidak berputus asa, malahan terus berusaha untuk memastikan masalah ini dapat diatasi.

Latihan Peribahasa 14
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Masyarakat kampung terkenal dengan semangat bekerjasama. Hal ini dapat dilihat apabila ada majlis kenduri-kendara. Masyarakat di bandar pula lebih mementingkan diri sendiri dan keadaan ini berpunca daripada latar belakang hidup yang berbeza. Jika berlaku sesuatu masalah, mereka terasa berat untuk membantu. Namun, keistimewaan tinggal di bandar, penduduknya akan terasa aman kerana tiada orang yang menyibuk akan hal orang lain. Sedangkan jika di kampung, apabila berlaku sahaja sesuatu perkara, akan gemparlah seluruh kampung.


Latihan Peribahasa 15
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Pak Mahat yang telah lama berniaga makanan di kampung telah mengambil keputusan untuk mencuba nasib dengan membuka restoran di Kuala Lumpur. Perniagaannya sangat baik kerana sejak akhir-akhir ini dia telah mendapat keuntungan yang banyak hingga kehidupannya menjadi senang. Setelah beberapa tahun, sikap tamak mula bersarang di hatinya menyebabkan dia menutup restorannya dan melibatkan diri sebagai kontraktor bangunan. Malangnya, syarikat barunya itu telah gagal mendapat sebarang projek dan diisytiharkan muflis hingga menyebabkan dia menjadi miskin.

Latihan Peribahasa 16
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Budaya dan minat membaca hendaklah dipupuk sejak kecil lagi. Kita bersyukur kerana sudah ada pihak yang berani tampil dengan beberapa pendekatan sistematik bagi menimbulkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak yang berusia tiga hingga empat tahun agar mereka mahir membaca. Ahli keluarga terutamanya ibu bapa juga harus menampilkan teladan dalam memupuk minat membaca. Sekiranya budaya ini sudah dijadikan amalan, sudah pasti anak-anak akan mengikut jejak langkah mereka. Masyarakat perlu sedar bahawa tanpa ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada pembacaan, mereka akan terus menjadi masyarakat yang buta ilmu dan ketinggalan zaman.


Latihan Peribahasa 17
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Pak Din bekerja sebagai seorang peniaga kecil-kecilan. Dia tidak hanya bergantung pada pendapatan sebagai peniaga sahaja, sebaliknya turut mengambil upah menjahit baju sebagai cara untuk menambahkan pendapatannya. Pak Din juga sering beringat dan tidak boros berbelanja dan akan menyimpan wang untuk keperluan semasa susah. Walau bagaimanapun, dia amat sedih apabila kedainya terbakar akibat kecuaiannya.

Latihan Peribahasa 18
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Muniandy masih tidak puas hati dan terus menuntut harta pusaka peninggalan ayahnya daripada abang-abangnya walaupun pembahagian sama rata telah dibuat. Perangainya itu menimbulkan kemarahan keluarganya kerana semasa ayahnya masih hidup, Muniandy dengan lantang mengatakan bahawa dia tidak kisah akan harta tersebut. Sikapnya itu menjadi penyebab hubungan mereka sekeluarga terjejas walaupun sebelum ini mereka sekeluarga cukup akrab.

Latihan Peribahasa 19
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Para pengunjung yang datang ke kedai lelongan itu amat sedikit walaupun iklan tentang lelongan itu telah disebarkan secara meluas menerusi media massa. Sebahagian daripada pelanggan yang datang ke kedai itu berasa kesal kerana barangan yang ada di situ tidak banyak pilihan untuk dibeli seperti yang disangka oleh mereka. Jelaslah perkara itu hanyalah omong kosong dan tidak menepati maklumat dalam iklan yang disiarkan. Nampaknya pengunjung pulang dengan hampa kerana terpaksa pulang tanpa membeli apa-apa barangan.

Latihan Peribahasa 20
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan ini.

Setiap indinvidu yang ingin berjaya tidak boleh hanya mengharapkan bantuan dan simpati orang lain. Mereka perlulah berusaha dengan gigih kerana tiada kejayaan untuk orang yang malas. Apabila sudah berjaya, jangan pula kita melupakan jasa semua pihak yang telah menolong kita seperti ibu bapa, guru dan pihak kerajaan. Kita juga perlu bijak membuat keputusan dan jangan pula terlalu mengikut arahan orang lain tanpa usul periksa atau memikirkan kesan negatifnya kepada diri kita sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan